Monday, 17 December 2007

Keluar Makan

Panggilan telefon dari Zed memberitahu semuanya ok di Shah Alam. Zed sengaja ditinggalkan di Shah Alam untuk menjalankan beberapa tugas. Tugas Zed adalah untuk mengemas dan mengunci rumah Shah Alam yang akan di tinggalkan itu. Zed akan bertolak ke Alor Setar dua hari lagi iaitu pada hari Ahad. Dia akan memandu sebuah Nissan Vennette membawa adik-adiknya, Alan dan Cik Su, pembantu rumah Indonesia, Wiwik dan semua barang-barang yang perlu dibawa ke Alor Setar.

Matahari sudah menegak, Yasmin sudah kemas dan bersihkan bahagian dapur. Cerah dan kemas nampak ruang dapur, angin dari luar meniupkan udara segar melalui tingkap-tingkap yang telah dibuka luas. Kaca-kaca tingkap telah dibersihkan oleh Lia tadi menampakkan kilauannya. Terdapat sebuah peti ais jenama GEC model lama masih boleh berfungsi dan ada sebuah dapur gas yang masih elok. Namun Yasmin belum boleh mula memasak kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukannya.

"Mama Lia dah laparlah! Kita nak makan kat mana?" tanya Lia.

"Ok! Semua orang pergi mandi, siap kita nak keluar makan kat Alor Setar atau Jitra." kata Yasmin.

Setengah jam kemudian Wan Harun memandu kenderaannya menghala Alor Setar.Keluarganya yang ada bersama rancak berbincang tempat mana yang mereka akan tuju untuk makan tengah hari. Akhirnya mereka sepakat. Wan Harunpun membelok kenderaannya masuk ke kawasan kedai-kedai makan di Pumpong. Ada banyak gerai dan juga kedai makan disitu. Menu di kedai yang mereka masuk itu sangatlah banyak jenis lauk-pauk seta ulam-ulamannya. Anak-anak yang letih dan kelaparan itu ghairah memesan pelbagai jenis makanan. Tanpa melengahkan masa, merekapun menjamu selera hingga puas dan kekenyangan.

Hampir selesai makan Wan Harun ternampak seseorang masuk kekedai. Dia bangun lantas menyapa, "Assalamualaikum! Pak Ndak."

"Waalaikumsalam! Eh, Bila hangpa balik sini?", Kelihatan Pak Ndak tercengang.

"Baru malam tadi sampai pukul 12 malam." kata Wan Harun. " Pak Ndak mai makan sorang sajakah? Mana Mak Ndak?"

"Mak Ndak ada kat rumah, kurang sihat hari ni. Ni nak mai beli bungkus bawa balik. Hangpa mai dok kat mana?"

"Kami tinggal di rumah Wa Sin yang lama dah kosong tu! Pak Ndak mailah rumah bawa Mak Ndak sekali" Kata Wan Harun.

"Hangpa mailah rumah kami dulu! Mai makan! Nanti Mak Ndak dah sihat dia boleh masak."

"InsyaAllah! Tapi ni kami baru sampai, rumah Mak pun belum pergi lagi!" kata Yasmin.

Setelah berbual-bual sekejap, mereka semua bersalaman dengan Pak Ndak, "Kirim salam Mak Ndak ya!" kata Yasmin sebelum mereka beredar dari situ.

Masuk saja kedalam kenderaan, Aly bersuara, "Siapa tu Mama?"

"Tok Ndak hangpa, sepupu Tok Hangpa. Dia bekas ketua Tok Penghulu Negeri Kedah."

"Ya kah? Padanlah badanyapun besar macam sesuai watak Tok Penghulu dalam cerita P. Ramlee!" kata Aly membuat semua orang ketawa.

2 comments:

  1. hehehehe..I read this in loghat utagha!

    ReplyDelete
  2. Sememangnya akn ada banyak dialog dalam loghat utara lagi. Maklumlah setting di Kedah!

    ReplyDelete