Saturday, 30 August 2008

Menghadapi Kehidupan Sebagai Warga Emas

Assalamualaikum!

Wahai ibu-ibu muda, bersedialah menghadapi masa hadapan apabila anak-anak anda meningkat remaja dan dewasa mereka tidak akan sentiasa berada bersama anda. Misalnya pada hari ini sepatutnya adalah beberapa orang anakku dirumah. Namun apabila aku bangun pagi, tengok semua orang dah ada program masing-masing.

Maka apabila aku kesaorangan mulalah teringat kepada anak-anak yang jauh di perantauan. Anak-anakku berjumlah 9 orang. Lia, Yanna dan Ally ada di Luar Negara, jadi tinggal 6 orang bersama-samaku menghuni di rumah. Selepas subuh Ude sudah keluar ke Kelab Ekuin STC untuk latihan menunggang kudanya 2 kali setiap minggu. Sekarang Ude semakin serius membuat latihan sebab dia akan menyertai pertandingan Dressage di Terengganu awal Oktober nanti.

Selepas itu Zed keluar untuk mengajar ahli-ahli kelabnya memanah. Zed adalah presiden dan instructor Kelab Memanah MTAQSA. Dia melatihkan ahli-ahlinya setiap sabtu dan ahad. Sekarang ahli kelabnya mencecah 80 0rang pelajar-pelajar sekolah kami dan sekolah rendah dan menengah berdekatan.

Kemudian Kin dan Amal pula keluar untuk menghadiri majlis kenduri kawan masing-masing. Alan anak yang ke 8 ada aktiviti sekolah, dia termasuk seorang ahli band sekolahnya yang akan membuat persembahan malam ini untuk menyambut kemerdekaan esok. Anak yang bongsu, Cik Su pula menghuni asrama banat sekolah kami. ( Sebenarnya sebahgian dari rumah kami telah di jadikan asrama pelajar perempuan). Namu cik Su tidak boleh selalu menjenguk balik kerumahnya melainkan bila perlu sahaja.

Maka tinggallah aku, the maids dan pets, Polly the parrot dan kucing-kucing dalam sangkar masing-masing. Aku tidak mahu tinggalan kesaorangan di rumah. Pak haji akan membawa anak-anak tahfiz ke majlis membaca Yassin dan doa selamat di sebuah rumah di BJ. Jadi aku akan ikut samalah sebentar lagi. Nasib baik kami ada banyak lagi anak, iaitu anak-anak tahfiz yang 40 orang lagi tu. Mereka itu lah yang membuat aku dan Pak haji tersangat sibuk setiap hari.

Namun kesibukan jenis ini adalah kesibukan yang kami cari dan suka. Kata sesetengah orang " Tak ada kerja cari kerja ". Hehehe! Bagi aku dan Pah haji biarlah kami buat kerja ini sehingga akhir hayat kami. Semoga di berkati Allah SWT segala usaha kami dan di permudahkan segala urusan kami.Ameen!

Thursday, 28 August 2008

Kalut Sedikit

Assalamualaikum!

Kita akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 0gos ini dan pada malam itu juga kita akan tengok anak bulan Ramadhan. Tanpa aku sedari Hari Kemerdekaan dan Ramadhan datang serentak dan itu juga bermakna hari kelahiran anak sulungku akan menjelma iaitu pada 1 september. ( Nampaknya kali ini tak buat sambutanlah untuk Birthday Kin ).

Aku dan Pak haji juga sedang sibuk dengan hal-hal sekolah. Kekalutan kami di tambah pula dengan beberapa orang anak tahfiz kami sakit dan demam sejak mereka masuk kembali dari percutian sabtu lalu. Tiga orang sudah di jemput pulang oleh keluarga mereka, hanya tinggal anak sarawak dan anak cilik yang masih di asrama. Aku tidak suruh mereka pulang kerana suhu mereka tidak tinggi. Insya-Allah mereka akan pulih esok.

Ditambah kepada kesibukan itu, kami telah mendapat banyak jemputan makan untuk anak-anak tahfiz. Jadi sibuklah nak tunaikan jemputan-jemputan itu. Namun kami sangat bersyukur kerana masyarakat sudah sedar akan kewujudan kami sebagai sebuah sekolah tahfiz. Jadi adalah terasa masyarakat menhargai usaha-usaha kami dan anak-anak tahfiz kami serta masyarakat nampaknya berkehendak kepada golongan tahfiz ini.

Esok aku kena bawa anak-anak tahfiz ke tailor kami untuk menempah jubah baru bulan ramadhan dan sepasang baju melayu untuk mereka yang akan bertaddarus di Istana. Setiap malam mereka akan pakai jubah putih namun pada hari 23 puasa nanti akan ada majlis khatam al-Quran dan majlis itu akan di hadiri oleh Duli Tuanku atau Adindanya, maka protocol menghendaki mereka berpakaian baju melayu lengkap dengan kopiah dan sampin. Warna baju melayu sekolah kami ialah biru sedang dan sampin songket biru.

Terlalu banyak perkara yang aku nak ingat dan fikirkan sehingga banyak perkara yang aku lupa. Pertama aku lupa tempah baju raya untuk kami sekeluarga kerana asyik memikirkan tempahan baju-baju kami semua termasuk baju pengantin untuk majlis perkahwinan Amal nanti. Bila fikirkan perkara-perkara yang mesti dibuat untuk majlis itu aku rasa tidak ada banyak masa lagi. Insya-Allah majlis kami akan berlangsung pada awal Disember nanti. Tetapi aku jenis tak mahu gelabah. Aku cuba take it cool sahaja. Kerja yang perlu di buat telah di bahagi-bahagikan kepada anak-anakku. Aku perlu confirm menu dengan katerer dan cari khemah-khemah dan confirm guests list sahaja. Perkara-perkara yang anak-anak buat mereka kena tunjuk atau beritahu untuk mendapat persetujuanku.

Kepada semua pembaca blog mak teh di ucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK!
Semoga Allah SWT akan panjankan umur kita dan di beri kesihatan supaya dapat beribadah pada bulan ramadhan ini dengan berpuasa di siang hari dan bertarawih serta bertaddarus di malam hari. Ameen!

Sunday, 24 August 2008

Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum!

Semalam dan hari ini cuaca mendung dan hujan menyebabkan udara sangat sejuk terutama di malam hari. Mak teh dan warga sekolah kami bersedia menyambut bulan Ramadhan. Esok merupakan hari isnin last berpuasa sunat sebelum masuk Ramadhan.

Dalam bulam Ramadhan anak-anak tahfiz kami akan buat lebih banyak aktiviti ibadah dan mereka akan di rehatkan dari aktiviti ko-kurikulum. Pertama mereka akan di bangunkan pada jam 4.30 am untuk bersahur. Kemudian mereka akan terus bersedia untuk solat-solat sunat dan menghafal Al-Qurqn sebelum masuk waktu subuh. Setelah solat subuh mereka akan melakukan exercise ringan. Seterusnya mereka akan ke sekolah. Jadual sekolah akan berjalan seperti biasa. Jam 200 petang mereka pulang ke asrama.

Selepas itu mereka akan tidur rehat seperti biasa diantara 3.00 hingga 4.00 pm. ( pada bulan Ramadhan hingga 4.30 pm. kerana mereka dah bangun awal ) Setelah bangun mereka akan menulis Al-Quran sehingga Asr. Selepas itu mereka akan bersiap sedia untuk pergi ke Masjid Negeri. Mereka akan berbuka puasa, melakukan solat maghrib, solat Isya dan solat Tarawih. Kemudian kumpulan yang di jemput bertaddarus di istana akan melakukan solat Tarawih 8 rakaat sahaja dan terus pergi ke Istana untuk bertaddarus. Kumpulan yang tidak ada mana-mana jemputan akan solat tarawih hingga 20 rakaat. Setelah selesai semua solat mereka akan makan 'moreh' dahulu sebelum pulang ke asrama. Di asrama mereka akan bertaddarus hingga jam 11 malam.

Lain-lain persiapan ialah pakaian jubah untuk ke masjid mestilah yang putih bersih. Begitu juga untuk anak-anak banat, mereka di suruh membeli telekung yang putih dan baru. Merka akan di beri penerangan untuk menjaga pemakanan semasa berbuka supaya tidak mudah dapat penyakit.

Selalunya di dalam bulan Ramadhan, rezeki anak-anak tahfiz kami sangat murah. Ada-ada saja makanan untuk berbuka yang di hantarkan orang, buah kurma, kueh-muah dan sebagainya. Alhamdulillah! Sekarangpun kami menerima rezeki berupa beras sedekah, wang sedekah jariah, beras fidiah dan bahan makanan. Terima kasih kepada penderma-penderma termasuk dari University berdekatan dan sahabat handai sekelian. Jazakallah. Anda yang telah memberi adalah orang-orang yang faham dan prihatin akan keadaan kami dan tahu akan ganjaran besar yang di janjikan Allah SWT. Semoga Allah SWT akan memberi taufiq dan hidayahNYA kepada anda semua. Ameen!

Saturday, 23 August 2008

Percutian Ke Terengganu

Assalamualaikum!

Hari Rabu lalu aku dan Pak haji pergi bercuti ke Terengganu. Kami bertolak jam 5.00 am. Sampai di stesyen pertonas yang nak masuk karak tu kami berhenti solat subuh dan bersarapan. Kemudian kami terus perjalanan ke Kuantan. Di Kuantan berjumpa dengan parent anak tahfiz kami. Dia belanja kami makan nasi kerabu.

Kemudian kami teruskan perjalanan sampai kemaman. Di sana dengan panduan Sarina melalui fon kami sampai di rumahnya jam 12.00 tengah hari. Disitu kami temuduga seorang pelajar dengan ibunya sekali. Sarina hidangkan kami dengan spheggeti dan bubur kacang. Seronok bertemu Sarina dan anak-anaknya kerana Sarina dan keluarga merupakan kenalan baik Lia sewaktu di Jaordan ( dunia ni kecilkan? )

Jam 2.00 petang kami meninggalkan rumah Sarina menuju Kerteh. Di sana pula dengan panduan fon kami sampai ke rumah mak lang jam 3.00 petang. Pertemuan dengan mak lang juga seperti bertemu kawan lama. Kami berborak sambil mak lang jamukan kami roti jala dan kek cokolat. Kerana Pak lang tiada di rumah Pak haji berehat di taman mak lang sahaja. Mak lang juga memberikan hadiah kepadaku. Ternyata mak lang ni pemurah orangnya.

Selepas rumah mak lang kami mencari rumah anak tahfiz kami seorang lagi. Dari panduan melalui fon juga kami jumpa rumah yang di cari terletak tidak berapa jauh dari rumah mak lang dan parent anak tahfiz inipun kenal akan mak lang dan Pak Lang.
Kami di sambut mesra dan sambil berbual panjang kami di hidangkan pula dengan hidangan keropok lekor dan pisang goreng. Kami terasa seolah-olah bertandang kerumah keluarga sendiri.( Sememang keluarga anak-anak tahfiz kami dan menjadi seperti keluarga besar kami ) Setelah rehat, mandi dan solat di sini kami bertolak ke Kuala Terengganu.

Kami sampai di Kuala Terengganu selepas maghrib sebab dalam perjalanan itu kami telah singgah makan malam dahulu. Oleh kerana musin cuti dan musabakah antarabangsa sedang berjalan di Kuala Terengganu, tidak ada bilek kosong di hotel 4 bintang yang dahulunya tempat kebiasaan kami menginap. Akhirnya kami dapat bilik di sebuah hotel baru yang tak ada bintangpun. Kerana hotel itu masih baru maka aku rasa bolehlah tahan menginap di situ. Harga bilik rm 110.

Keesokkan harinya kami pergi meronda Kuala Terengganu. Pertama pergi cari tukang yang nak peterikan pahar tembaga yang kami beli darinya banyak tahun yang lalu. dua kali pusing baru jumpa orang tersebut. Dua buah pahar yang patah kaki itu selamat dipeterikan harga rm 15 sahaja. Harga pahar jenis yang aku dah beli tu sekatang rm 140. Dulu aku beli harga rm 70 sahaja. Selamat aku dah beli 13 pahar bertahun yang lalu. Hehehe, kiranya dalam perkara ini aku berpandangan jauhlah.

Kemudian kami pergi tengok Trengganu Equestrian Resort ( TER ) tempat Ude akan memasukki pertandingan Berkuda Dressage di jadualkan selepas raya nanti. Kami juga pergi melihat masjid Kristal. Hari kedua kami pergi pasar Payang. Aku tak tahan panas, jadi hanya sempat beli buah. gula melaka dan 2 helai kaftan sahaja. Songket yang aku cari tidak ada yang berkenan kerana tukang-tukang tenun songket telah membawa hasil kraf mereka ke Kuala Lumpur untuk pameran di Kompleks Kraftangan Conlay. Nampaknya aku dah silap langkah kenalah balik semula ke KL nak cari songket istimewa untuk pengantin. Di sebelah petang kami pergi ke tempat yang selalu di adakan Pertandingan berkuda Endurance. Agak jauh tempat itu namanya Lembah Bedong dan semasa kami melawat itu sangat sunyi ( kerana tidak ada apa-apa aktiviti ) hanya ternampak seekor kucing dan seorang pekerja. ( lengannya umpama padang arafah di luar musim haji )

Keesokkan paginya kami bertolak pulang jam 8.00 pagi setelah pekena nasi dagang kat tepi jalan selepas jambatan sugai tu. Aku agak hampa sebab nasi dangang yang dulunya kegemaranku tidak sesedap yang diharapkan! Berasnya terasa keras macam kurang masak je! Mungkin mereka telah gunakan beras yang lain kualitinya. Alhamdulillah! Kami selamat sampai rumah jam 2.00 petang.

Monday, 18 August 2008

Ketenangan Di Pagi Isnin

Assalamualiakum!

Hari ini susana di luar nampak tenang ( tiada angin yang menggoyang pohon-pohon ) dan aku rasa juga hatiku dipagi ini setenang suasana di luar sana. Selepas tengah hari ini anak-anak tahfiz akan pulang kepada ibubapa mereka dan akan kembali semula pada petang sabtu nanti. Jadi aku dan Pak haji akan bercuti sehingga hujung minggu ini. Cadangan esok aku dan Pak haji berdua sahaja, (orang lain tak mau ikut ) nak pergi ke pantai timur. Insya-Allah akan bertemu blogger Mak lang dan Silver sarina.

Hari ini aku tak perlu ke pasar dan tak perlu terkejar-kejar. Kalau tidak pagi-pagi lagi mukaku dah ada kat pasar. Semua orang pasar seksyen 6 tu dah kenal aku. Akupun dah malu nak minta di kurangkan harga barang. Kerana kenaikkan harga barang yang terlalu tinggi aku buatlah penjimatan cara sendiri. Misalnya dahula harga ayam rm 6.00 sekilo, sekarang rm 7.00. Orang pasar beri aku harga rm 6.80. Bagi masakkan yang kami sediakan memerlukan 15 ekor ayam seminggu lebihkurang 30 kg, ( tak termasuk bagi masakkan yang di sediakan oleh Maria Caterer yang membekalkan makanan tengah hari setiap hari ). Oleh itu di hari yang menu utama ayam, kami sedilah menu kedua yang lebih ringan seperti, telor, ikan bilis, udang dicampurkan ke sayur. Kebiasaannya menu kami ialah nasi bersama 1 masakan lauk utama, 1 jenis lauk kedua, dan sayur dan air sirap.

Untuk hidangan waktu rehat selalunya kami sediakan makanan yang mengeyangkan seperti bihun goreng, mee kuah, cucur udang, roti jala, nasi goreng, nasi lemak, koay teow. Jadi untuk menyediakan jenis kuah, kami selalunya menggunakan seekor ayam. Sekarang untuk penjimatan kami gunakan separuh ayam sahaja ditambah dengan rebusan stok ayam.
Cara begini tidak mengurangkan keenakan masakan.

Sayur-sayuran juga adakalanya sangat mahal. Jadi aku akan bertanya kepada penjual, sayur jenis manakah yang murah sedikit berbanding yang lain pada hari itu. So aku adjust menu mengikut harga sayuran. Menu daging hanya seminggu sekali sebab aku beli daging fresh, harganya rm 20 sekilo ( tak suka daging kotak ). Harga ikan juga sangat mahal. Jadi aku berjimat dengan cara kalau ikan yang biasa di hidangkan ialah kembung sedang, rm 10 sekilo. Dua kali seminggu ikan jenis mahal sangat iaitu, siakap, bawal hitam, tenggiri, kerapu, kami potong kecil atau tak potong mereka share sehidang. Untuk masakan kari aku belikan bahagian ekor ( rm 10 sekilo )dari ikan jenis mahal kalau isinya rm 30 sekilo. Aku tidak pernah membeli ikan jenis murah sedikit iaitu ikan sadin dan ikan keli kerana tidak sesuai untuk makanan anak-anak tahfiz kami.

Untuk menjaga pemakanan yang seimbang dan bagus, kami berikan susu fresh untuk sarapan seminggu sekali. Roti, butter, kaya, telur dan kismis di beri setiap pagi, kurma di beri untuk tiap berbuka puasa. Minuman adalah teh, fresh juice dan sirap dan kami tidak pernah memberi kordial murahan ( tidak sesuai kerana kordial murahan mengandungi perasa dan pewarna tiruan.)

Begitulah sedikit sebanyak usaha kami untuk menjaga dan mendidik anak-anak tahfiz agar mereka sihat dan dapat menimba ilmu yang banyak supaya menjadi manusia yang pertumbuhannya sihat dan seimbang ( mental, rohani dan jasmani ). Kami sentiasa doakan semoga anak-anak tahfiz kami akan menjadi manusia baik untuk diri dan keluarga, agama dan negara serta mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Ameen!

Sunday, 17 August 2008

Beri Peluang Kepada Mereka

Assalamualaikum!

Hari ini hari ketiga anak-anak tahfiz yang belum pulang bercuti membuat kelas Al-Quran tambahan mereka. Kadang-kadang aku rasa penat juga dan menyoal kenapa Pak haji nak buat kelas tambahan untuk budak-budak ni? Akupun nak rehat, biarlah mereka pulang bercuti. Namun Pak Haji dan Ustaz Nizam ada jawapan masing-masing.

Pak haji mahu anak-anak tahfiz ini tamat hafazannya awal, kalau boleh di akhir Tingkatan 3 mereka dah tamat, walaupun mengikut sukatan mereka akan tamat di akhir Tingkatan 4 ( 6 juzu' ting 1, 8 juzu' ting 2, 8 juzu' ting 3, 8 juzu' ting 4 ). Di akhir Tingkatan 3 kami bercadang akan mula 'step up preparation' iaitu akan mula pecut untuk SPM. Kalau boleh kami nak anak-anak tahfiz kami score semua As dalam subjek yang mereka akan ambil nanti.

Bagi Ustaz Nizam pula, beliau mahu semua muridnya lulus subjek Al-Quran. Katanya, oelh kerana sekolah ini core subjeknya ialah Al-Quran, maka mereka harus diberi peluang untuk lulus subjek ini. Yang demikian, beliau sanggup tunggu anak-anak yang lambat sikit ni sehingga mereka mencapai tahap yang di kehendaki. Beliau nampak puashati dengan usahanya apabila ada yang boleh hafaz ( tasme') 2 muka sehari semasa kelas tambahan ini. Jenis yang macam ini adalah jenis yang boleh hafaz tetapi tidak serius atau tidak tekun melakukannya. Ada juga yang jenis slow sikit tu dah dapat menghafaz 3/4 muka sehari. Anak dari Sarawakpun sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar. Namun yang bagusnya ada yang telah capai lebih dari sukatan tetapi tak mau pulang sebab nak 'pulun' supaya meningkat cepat, jenis inilah patut tabik untuk dia.

Sebelum ini ada juga ibubapa yang tidak faham matlamat kami. Mereka upset ( tak suka ) kalau anak mereka di arahkan pulang lewat masa time cuti. Mereka tidak mahu ambil tahu bahawa performance anak mereka itu slow. Ada juga jenia ibubapa yang ingat anak mereka pandai, hanya ingin menyalahkan sekolah apabila anak mereka tidak menunjukan prestasi yang bagus. Maka tanpa berbincang atau memberitahu kami mereka menarik anak mereka ke sekolah lain. Alhamdulillah! Berkuranganlah beban kami kerana sememangnya anak itu tidak sesauai dengan sekolah kami dari segi dia lemah dalam pelajaran atau dia tidak boleh di disiplinkan.

Apapun, kami membela dan mendidik anak-anak ini seperti anak-anak kami semdiri. ( Adalah juga rasa sakitnya kalau di rentap oleh ibubapa macam itu ) Kami juga sentiasa berdoa semoga anak-anak sekolah kami dan ibubapa mereka adalah jenis orang yang 'berbaloi' segala pengorbanan kami keatas mereka. Allah SWT jua yang amat mengetahui.

Pengalaman telah banyak mengajar kami. Jadi untuk kemasukan 2009, kami bersedia lebih awal. Bagi calon yang datang lebih awal menunjukkan minat mereka, maka priority akan diberi kepada mereka. Kami akan confirm tempat untuk mereka yang datang temuduga awal dari sekarang dengan membawa keputusan peperiksaan percubaan UPSR. Mereka harus menunjukkan minat terhadap AL-Quran dan berpotensi mendapat As dan Bs untuk UPSR.

Bagi Sekolah Rendah Tahfiz Al Hanna pula, kami bersama gurubesarnya,Cik Gu Wan sudah mula sesi temuduga anak-anak dan ibubapa dari sekarang. Sekolah rendah ini akan di tempatkan di seksyen 3 Shah Alam. Format pembelajarannya adalah sama dengan sekolah menengah kami ( MTAQSA ) bersesuaian dengan tahap dan subject mengikut kurikulmnnya. Anak-anak akan didedahkan lebih awal kepada ilmu Al-Quran, hafazan dan agama dengan lebih mendalam dari sekolah biasa tanpa meninggalkan akademik. Target hafazan mereka ialah Juzu' 30 dan surah-surah amalan. Namun mereka boleh terus meningkat ikut prestasi sendiri.

Semoga dengan membaca blog ini anda akan terbuka hati untuk membawa anak-anak ke jalan ini. Berilah kepada anak-anak kita pembelajaran ilmu dunia dan akhirat yang secukupnya. Ini adalah pelaburan yang amat bagus dimana hasilnya juga dapat anda kecapi di dunia dan akhirat. Walau apapun pendapat anda dalam hal ini, berdoalah kepada Allah SWT kerana apa yang baik itu datangnya dari Allah SWT.

Saturday, 16 August 2008

Di Pagi Sabtu

Assalamualaikum!

Cuaca dipagi ini kelihatan mendung. Hari ini ada jemputan kahwin untuk kami dan anak-anak tahfiz. Alhamdulillah jadi tak payah lah kami sediakan makan tengah hari. Namun ada perkara yang membuat hatiku berkocak. Patutkah aku tunaikan jemputan ini. Yang menjemput anak-anak tahfiz kami kawan baik anakku. Kad menjemput untuk aku dan Pak haji telah 2 minggu kami terima. Anda tentu hairan kenapa aku berkeadaan begini sedangkan anak tuan rumah itu kawan baik anakku!

Kisahnya begini: Lebih 10 tahun yang lalu aku sedang menjalankan tugas di pejabatku. Ada panggilan telefon , orang yang memanggil itu marah-marah padaku menggunakan bahasa agak kesat dan menuduh-nuduh yang bukan-bukan. Akupun menjawab dengan menjemputnya ke pejabatku kalau ada perkara yang dia tidak puas hati. Namun dia tidak muncul ke pejabatku hanya menarik balik kerja ( yang aku telah selesai lakukan tanpa membuat apa-apa bayaran ) dengan alasan tidak lagi mahu menggunakan perkhidmatanku. Sejak dari peristiwa itu kami tidak lagi bertegur sapa.

Masa berlalu ditakhdirkan Allah SWT anak-anak kami pergi belajar ke sekolah yang sama. Mereka menjadi kawan rapat, walaupun mereka tahu ibubapa mereka tidak bertegur sapa, mereka sentiasa saling berkunjung. Kami ibubapa buat tak tahu sahaja. Aku kasihan melihat si-anak itu kalau malam rayapun ikut bertakbir bersama anakku di kawasan kami. Masa bercutipun akan ikut bercuti bersama anakku. Sedangkan si bapa tidak pernah datang meminta maaf padaku, si emak pula walaupun tidak bergaduh denganku, tidak pernah tegur mesra bila bertemu. Adalah sekali disuatu ketika ( mungkin tahun lepas ) di masjid si bapa datang bersalaman dengan Pak haji.

Oleh kerana yang menjemput anak-anak tahfiz kami adalah kawan baik anakku, mak kami akan tunaikan undangan itu. Bagi diri aku pula buat masa ini aku masih tidak dapat buat keputusan akan memenuhi jemputan itu atau tidak. Pak haji tidak pergi kerana ada majlis lain yang memerlukan kehadirannya. Jadi aku kenalah buat keputusan sendiri. Tengoklah nanti, apabila jiran datang mengajakku pergi, kalau pada masa itu hatiku tenang, maka aku akan pergi. Kalau pada masa itu hatiku masih berkocak maka eloklah aku tidak pergi. Aku ini jenis orang yang tidak boleh bermuka-muka. Kalau manis dalam hatiku bolehlah aku senyum kalau masih kelat bagaimana nak senyum?

Kalau aku berdosa kerana tidak menunaikan jemputan ini aku pohon keampunan dari Allah SWT. Aku hanyalah manusia biasa!

Friday, 15 August 2008

Rehat Sedikit

Assalamualaikum!

Hari ini aku dan Pak haji boleh rehat sedikit sebab Yanna dan Ally sudahpun terbang dan selamat berada di bumi Mesir. Anak-anak tahfiz pula sebahgiannya sudah pulang bercuti semalam. Ada separuh yang tinggal untuk kelas Al-Quran tambahan akan pulang bercuti pada petang Isnin ini. ( Mereka yang buat wajib buat kelas tambahan ini adalah yang tidak mencapai target mengikut sukatan. Namun ada juga beberapa orang yang dah lebih dari sukatan tetapi tidak mahu pulang kerana nak pulun lagi!) Anak-anak yang bekerja sudah pergi kerja dan Alan anak yang second last dalam Ting 5 pun sudah ke sekolah. Ini yang menyebabkan aku boleh rasa relax sedikit.

Aku dan Pak haji terasa nak pergi bercuti setelah penat berhempas pulas setiap hari. Mungkin pada hari selasa ini kami akan pergi ke Pantai timur. Kalau jadi pergi nanti mak teh akan konteklah blogger silver sarina dan Mak Lang.

Pada pagi ahad dan isnin kami lapangkan masa untuk bertemu ibubapa dan anak-anak mereka. Ada yang nak datang untuk temuduga nak mendaftarkan anak mereka masuk sekolah kami untuk sekolah rendah dan Tingkatan 1. Ada juga yang datang untuk consultation kemana dan bagaimana nak menjurus anak mereka dalam pendidikan ini. Ada yang setelah membaca blog ini kisah Yanna telah belajar di Mesir sejak umur 14 tahun lagi ingin mencontohi Yanna mengambil jalan itu. Namun aku tidak menggalakan mereka berbuat demikian. Memandangkan kesusahan yang Yanna dan kami lalui untuk pembelajaran Yanna, maka kami telah membuka sekolah ini yang mana kurikulumnya berdasarkan kurikulum Al-Azhar untuk hafazan Al-Qurann dan matapelajaran Agama. Lebih cantik lagi di sini kita ada subjek akademik dan pelajar dapat mengambil peperiksaan SPM. Aku juga tidak yakin orang lain akan 'tough' macam Yanna.

Oleh kerana kami membuka sekolah ini maka anak kami yang bongsu, Cik Su tidak di hantar ke Mesir. Sebelum ( buka sekolah ) ini memang dalam perancangan kami nak hantar Cik Su ke Mesir seperti kakaknya, tambahan pula kakaknya dah berada di sana. Namun dalam perancangan itu aku dan Pak haji juga harus berpindah ke sana. Sekarang nampaknya tak jadilah dan aku juga setelah pergi melawat Yanna dalam tahun 2006 merasakan tidak berapa sesuai dengan cuaca di sana.

Dalam pengalaman aku dan Pak haji, kami dapati ramai ibubapa yang berhasrat murni hendak menjadikan anak mereka seorang tahfiz. Namun ramai yang tidak tahu jalannya, maka mereka membawa anak kesana sini merata-rata, sehingga anak itu yang telah meningkat umur tidak lagi dapat di masukkan ke sekolah yang mempunyai akademik. Ada juga yang menumpukan hafazan sahaja sehingga pelajaran agamapun diabaikan. Di sekolah kami, tekanan adalah kepada hafazan dan ilmu Al-Quran, seterusnya di integrasikan Dinniah Al-Azhar dan kurukulum KBSM. Matlamat kami ialah memberi pembelajaran yang seimbang untuk dunia dan akhirat ( An all rounded education for here and hereafter ).

Kepada yang berminat sila layari web kami www.mtaqsa.com.

Wednesday, 13 August 2008

Sudah Terbang

Assalamualaikum!

Semalam kami bersama 1 bas anak-anak tahfiz kami pergi menghantar Yanna dan Ally ke KLIA. Kami bertolak jam 5.30 petang. Sampai sana jam 6.30 petang, Yanna dan Ally terus check-in. Alhamdulillah semua barang cek-in untuk kargo selamat di terima masuk 65 kg.

Sementara itu. anak-anak tahfiz di lepas bebas berkumpulan dalam kawasan balai berlepas. Seronoklah mereka boleh bebas merayau-rayau disitu. Kemudian kami berkumpul untuk solat maghrib di surau Ally menjadi Imam. Bergema bunyi suara anak-anak kami mengaminkan bacaan dalam solat di dalam surau KLIA itu. Selepas itu kami beramai-ramai menghantar mereka ke pintu sekatan masuk ke kawasan gate berlepas. Alhamdulillah jam 9.30 malam mereka selamat berlepas dengan pesawat Negara jiran.

Selepas melambaikan Ally dan Yanna aku pergi mengambil 23 biji burger yang telah ku pesan lebih awal tadi. Oleh kerana burger ini jenis yang mahal maka aku hanya boleh memberikan mereka seorang separuh burger. Setelah makan burger kami menaikki bas untuk pulang. Di dalam bas bekalan kami nasi goreng di edarkan sekotak seorang. Anak-anak yang kelaparan terus makan. Aku yang keletihan terlena sekejap dalam deruman enjin bas dan bunyi tenteram celoteh anak-anak. Kami tiba di asrama hampir jam 11.00 malam.

Pada masa ini aku sedang menanti SMS dari Yanna memberitahu mereka selamat sampai di bumi Mesir. Jadi aku berhenti di sini sekejap hingga aku dapat berita tersebut.....

..... sambung .... Alhamdulillah pada jam 1.20 tengah hari tadi aku telah dapat SMS dari Yanna memberitahu mereka telah selamat sampai ke Cairo. Mereka sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kediaman mereka di Haiyyu 'Asyir, Madinat Nasr ( seksyen 10, Bandar Nasr ) Aku melafazkan kesyukuran kepada Allah SWT. Aku dan Pak haji sentiasa memohon kepada Allah untuk keselamatan anak-anakku yang jauh di bumi ambia' ( termasuk Lia yang di Jordan ), memohon kesihatan mereka, juga tidak lupa memohon dipermudahkan segala urusan mereka dan juga memohon agar mereka sabar dan kuat iman serta mereka dapat belajar dengan baik dan mendapat keputusan cemerlang.

Aku harap mereka sihat dan tidak demam sebab siang semalam sebelum bertolak, aku telah membawa Ally pergi berjumpa Dr Lee. Dr Lee telah memberi Ally 4 jenis injection. Pertama suntikan untuk melindungi dari penyakit Hepatitis A dan B, injection kedua untuk typhoid , suntikan ketiga mencegah penyakit meningitis, keempat suntikan dari penyakit kancing gigi ( anti titinus ). Kemudian Dr Lee suruh aku panggil Yanna datang untuk mendapatkan suntikan-suntikan tersebut. Dr Lee sangat prihatin tentang kesihatan anak-anakku. Katanya Cairo tempat yang sangat bahaya kerana persekitaran yang kotor, jadi risiko mendapat penyakit tersebut sangat tinggi.

Yanna yang sedang buat last minute shopping terpaksa datang juga kerana di panggil oleh Dr Lee walaupun aku tahu dia tidak kerana sangat takut akan suntikan. ( dari awal lagi dia cuba mengelak ). Yanna kemudian di beri 3 jenis suntikan kerana suntikan Hepatitis A and B dia telah buat 2 tahun lalu. ( suntikan itu tahan 5 tahun ) Oleh kerana semua suntikan tersebut dan 1 puff untuk Ally aku telah membayar rm 780.

Di sebabkan kesibukan mendapatkan semua barang-barang yang mereka nak bawa maka aku tak sempat menggoreng 'mee mamak ' salah satu permintaan Yanna. Namun aku puas hati kerana semua permintaanya yang lain telah dapat aku tunaikan!

Selamat belajar untuk Ally and Yanna.

Saturday, 9 August 2008

Persediaan ke Luar Negara

Assalamualaikum!

Kesibukan membuat aku tidak dapat update blog selalu. Kebelakangan ini bukan saja sibuk kerana sekolah kami tetapi juga sibuk mempersiapkan anak-anakku yang akan melanjutkan pelajaran ke Al Azhar. Yang nak berangkat kali ini ialah Ally dan Yanna. Bagi Ally yang akan baru mula menuntut kesana persediaan nya lebih sedikit. Kami telah siapkan passport, visa dan tiket kapalterbangnya. Kemudian kami pergi buka akaun dengan bank H*** untuk mempermudahkan urusan masuk dan keluar duit. Ally merupakan anakku yang ke 7 membuka akaun dengan bank ini untuk tujuan urusan pengeluaran duit di luar negara. Memang bank ni bagus untuk tujuan itu. Kalau ibubapa tanya memang aku rekomen bank itu. Selalunya apabila anak-anakku di luar negara meminta duit dalam masa kurang 1 jam dari aku memasukkannya di ATM disini, mereka boleh mengeluarkannya disana.

Kemudian bapanya telah menempah baju kot baru berwarna hitam bersama sepasang seluar ( sedondon )sebagai hadiah untuk pemrgiannya. Dia hanya perlu beberapa helai baju kemeja and kemeja T dengan 2 pasang seluar slack dan 2 pasang jeans. Dia juga memerlukan sepasang kasut jalan yang tahan lasak dan sepasang sliper. ( Kasut dan sliper tidak ada yang bagus di Mesir ). Ada lagi satu persiapan pakaian yang perlu untuk ally iaitu baju dalam untuk musim sejuk bernama 'long john'. Baju ini amat perlu kerana musim sejuk di Mesir akan bermula bulan September dan suhunya amat sejuk. Angin sejuk di sana menggigit hingga ke tulang. Kalau tak ada baju ini pelajar kita disana selalunya memakai berlapis-lapis baju. Baju ini boleh dibeli di sebuah kedai jual pakaian winter di jalan TAR. Harga nya untuk yang cotton ialah rm 100 lebih sepsang. Yang nylon murah sikit tetapi yang cotton itu lebih bagus.

Selain dari itu Ally perlu berjumpa dengan Dr Lee Subang Jaya Medical Centre( paediatrician semua anak-anakku sejak mereka lahir lagi ) untuk mengambil bekalan ubat puff dia dan untuk suntikan yang perlu untuk menghindari penyakit Hepatitis A, B, C ( aku pun tak tau tapi tahu ianya perlu ). Ally juga telah pergi dentist repair semua giginya ( disana dentist kurang bagus ). Sepasang cermin mata baru juga perlu dibuat disini.

Akhirnya bekalan yang perlu di bawa Ally ialah 1 periok kecil eletrik masak nasi, 1 blender, 1 set plug adaptor, dan 1 set multiple sockets. Sedikit barang-barang dapur yang perlu pula ialah chili kering, rempah ratus, udang kering, ikan bilis, sup kimball tepung, santan kering , milo 3 in 1, mee segera, pes nasi goreng, pes tom yam, rempah kari pelbagai dll. ( antara barang-barang yang susah dapat disana )

Lagi barang yang perlu ialah personal toiletaries, ubat ubatan seperti panadol, minyak angin, minyak panas,( minyak kapak ke harimau ke ), other personal medication. Beberapa alat tulis juga elok dibawa. ( misalnya ballpen kita lebih bagus, di sana tak ada jenis yang bagus )

Bagi Yanna pula tidak perlu banyak persiapan kerana dia sudah hampir 5 tahun berada disana. Peralatan dapur Yanna sudah lengkap termasuk kuali besar, periuk besar, periuk pengukus, lesung batu tumbuk dll. Yanna telah pergi ke Mesir semasa umurnya 14tahun. Dia telah melalui pendidikan arab sepenuhnya di Bouuth iaitu sekolah menengah Al Azhar untuk orang luar( bukan orang Mesir ). Insy-Allah, September ini Yanna akan ke Universiti Al Azhar mengambil bidang Usuluddin dan Ally akan mengambil bidang Al-Quran ( Qiraat ). Yanna telah membeli segala barang dapur, toiletaries dan ubat-ubat yang dia nak bawa. Hanya akau perlu siap serondeng daging, acar buah dan goreng kering ikan bilis petai. Harap aku dapat siapkannya dalam masa dua, tiga hari ini. Hehehe!tak banyak kan?

Friday, 1 August 2008

Yang Kurik itu Kundi, Yang Merah itu Saga

Pernahkah anda mendengar serangkap pantun lama ini yang berbunyi:

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Ini adalah sebuah pantun lama mengenai budibahasa. Walaupun nampak mudah dan ringkas ia mempunyai maksud yang luas dan mendalam. Sebagai orang lama mak teh ingin memberitahu sedikit sebanyak mengenai adab sopan dan budibahasa dalam budaya masyarakat Melayu. Di zaman sekarang, ramai anak-anak muda kurang arif tentang perkara ini. Mak teh tidak menyalahkan mereka kerana tidak ada pihak yang mengajar dan mendidik mereka tentang perkara ini. Mak teh dahulu telah dididik oleh nenek dan orang tua-tua di dalam masyarakat kami. Diantara perkara-perkara penting adalah seperti berikut:

1) Hendaklah tegur sapa dan bersalaman dengan saudara-mara atau tetamu yang datang kerumah kita ataupun orang yang kita kenali apabila bertemu.

2) Apabila bersalaman dengan orang yang lebih tua dari kita ( yang perlu kita hormati ) hendaklah mencium tangannya atau membongkokkan badan dam menundukkan kepala tanda hormat.

3) Janganlah berpakaian tidak sopan seperti memakai housecoat, baju tidur sahaja apabila tetamu datang bertandang.

4) Jangan mengeluarkan atau menggunakan penyapu apabila ada tetamu. Menggunakan penyapu dihadapan tetamu adalah tidak sopan dan pantang besar dalam budaya Melayu. Adalah di anggap sial jika terkena penyapu yang seseorang sedang menggunakanya.

5) Apabila membersihkan tangan janganlah renjis airnya hingga terkena orang lain.
Hendaklah menggunakan tuala tangan untuk mengeringkannya.

6) Jangan menggunakan kaki apabila menunjukkan sesuatu kepada seseorang. Anak-anak kita apabila bermain jangan dibiarkan menggunakan kaki ( sepak tendang )

7) Janganlah menggunakkan bahasa kasar atau kesat apabila bercakap. Ini adalah di anggap biadab.

9) Pantang lalu dibelakang seseorang di anggap tidak sopan tanpa minta izin terlebih dahulu ( bagi orang Kedah )

10) Jika melintas di hadapan seseorang dalam rumah atau majlis, hendaklah membongkokkan badan sambil tangan kanan di hulurkan kebawah menunnjukkan laluan.

11) Jangan meludah jika ada orang sedang lalu. Di anggap menghina seseorang
sekiranya kita meludah dihadapannya.

12) Jika duduk dihadapan orang janganlah duduk yang kaki terkangkang atau duduk bersila panggung iaitu kaki bersilang diatas kaki. Kita juga tidak boleh menggedikkan atau menggoyangkan kaki. Cara begini di anggap tidak sopan.

13) Apabila berjalan di pekan atau di bandar sewaktu hujan atau ada jalan berlopak air jangalah menarik kain hingga ke lutut menampakkan kaki dan betis. Kelihatan sangat tidak manis dan sekali gus menampakkan anda datang dari kampung atau pendalaman atau dari kawasan banjir.

14) Apabila tetamu datang berkunjung hendaklah kita menghidangkan makanan dan minuman sesuai mengikut keadaan dan masa.

15) Apabila tetamu hendak pulang, seeloknya berikan sedikit hadiah atau makanan terutama tetamu atau saudara-mara yang datang dari jauh dan jarang datang kerumah kita.

16) Kalau kita berkunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai eloklah bawa sedikit buah tangan sesuai dengan keadaannya. Sesekali hulurkan sedikit wang kepada orang tua ( emak saudara, neneksaudara ) atau anak-anak buah kita.

17) Ucaplah terima kasih apabila menerima sesuatu pemberian atau pertolongan dari seseorang.

18) Memberi senyuman kepada sesama kita walaupun kita tidak kenal adalah budaya orang Melayu terutama bagi masyarakat di Kedah.

19) Tolong menolong apabila kapada orang dalam kesusahan atau yang memerlukannya adalah budaya masyarakat kita.

20) Janganlah bersuara dengan kuat apabila bercakap kuat apabila menggunakan telefon di khalayak ramai.

Semoga anak-anak dan anak buah mak teh dapat mempelajari dari apa yang mak teh catatkan di sini. Kalau ada respond nanti mak teh akan tambah lagi.