Showing posts with label Adat dan adab-sopan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Adat dan adab-sopan Melayu. Show all posts

Thursday, 18 September 2008

Yang Kurik Itu Kundi, Yang Merah Itu Saga ( Bahagian Ke- 2 )

Assalamualaikum!

Pagi ini mak teh nak sambung mengenai adab sopan dan budi bahasa orang Melayu. Minta maaflah kalau ada di antara anak-anak buah mak teh yang tersinggung. Bukan tujuan nak menyinggung perasaan sesiapa tetapi ingin memberitahu beberapa perkara mengenai adab sopan bangsa kita turun temurun. Perkara-perkara ini telah di praktikkan dalam masyarakat kita tetapi tidak ada tertulis di mana-mana agar anak-anak buah mak teh dapat mempelajarinya.

Jadi di sini mak teh tuliskan beberapa perkara yang telah menarik perhatian mak teh bahawa ada perkara-perkara yang anak-anak tidak tahu mengenainya:

1) Apabila tetamu datang kerumah kerana kenduri, menziarah orang sakit atau kematian, yang memerlukan tetamu itu duduk di atas lantai maka hendaklah lantai itu di alaskan dengan tikar atau permaidani. Janganlah biar tetamu duduk atas lantai walaupun lantai anda bersih dan diperbuat dari marble Italy. Kadang-kadang rumah kita tidak ada tikar bagus atau permaidani, maka pergilah beli tikar plastikpun ok.

2) Sekiranya ada tetamu menziarah kita tiba di waktu makan hendaklah bertanya samaada dia dah makan atau belum, sekiranya belum hendaklah berusaha memberinya makan dengan apa saja yang ada.

3) Sekiranya tetamu datang bukan waktu makan, hendaklah di hidangkan minuman dan sesuatu makanan, kalau tidak ada apa-apa makanan hendaklah berkata " Maaf saya hidangkan air bujang sahaja ! "

4) Kadang-kadang tetamu yang datang membawa makanan, maka hendaklah di hidangkan juga makanan itu kepada tetamu.

5) Sekiranya semasa tetamu ada di rumah kita telah masuk waktu solat, maka hendaklah di pelawa tetamu bersolat dan di beri kemudahan untuk melakukannya.

6) Sekiranya tetamu datang dari jauh hendaklah juga kita mempelawanya bermalam di rumah kita. Zaman sekarang terdapat banyak hotel, jadi besar kemungkinan dia akan menolah pelawaan itu.

7) Menghidang makanan hendaklah di alaskan dengan kain alas ( dahulunya kain ini di panggil sapera ) Zaman sekarang meja makan sudah ada kain alasnya tetapi boleh juga di alaskan lagi ( lebih manis ).

8) Menganggkat hidangan dan minuman ke meja di ruang tamu hendaklah menggunakan dulang, tiap cawan dan gelas hendaklah di gunakan piring lapiknya.

9) Kalau makanan yang di hidangkan memerlukan guna tangan untuk makan maka sediakan tempat air basuh tangan dan kain tuala tangan nya sekali atau tissu sudah mencukupi.

10) Apabila tetamu hendak pulang ( terutama saudara-mara dari jauh ) seeloknya berikan sesuatu sebagai hadiah atau buah tangan.