Tuesday, 29 September 2009

Anak-anak Tahfiz Pulang Ke Asrama

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, anak-anak Tahfiz telah kembali ke asrama pada petang ahad lalu. Hanya seorang belum kembali kerana di serang penyakit di percayai adik-beradik A (HINI). Kami semua berdoa agar dia cepat sembuh.

Alhamdulillah ! Kami telah mendapat dua orang tenaga pengajar baru yang telah melaporkan diri. Kelegaan bagi kami yang sangat memerlukan tenaga pengajar tambahan. Di harap dengan adanya mereka ini akan bertambah mantaplah sekolah kami. Dari satu sudut yang yang lain keadaan kami sedikit kalam-kabut, kerana tidak ada pekerja pembantu. Pembantu kami yang telah pergi bercuti Liburan di jangka akan kembali bertugas minggu hadapan, Insya-Allah. Namun berkat kecekapan Pak Haji yang beraksi seperti seorang General dalam peperangan, semua perkara berjalan seperti biasa. Apapun sesaklah juga nafasku !

Berita daripada anak-anak di luar Negara di terima setiap malam sebelum aku masuk tidur. Lia sibuk dengan pengajiannya sedangkan Kin telah berpindah ke rumah yang lebih sesuai. Kin akan mula berkuliah hari ini. Mak teh dan Pak haji sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaan mereka.

Permohonan untuk kemasukan tahun 210 telah bermula. Kami akan mula menemuduga pemohon pada hari ahad ini. Kami akan menemuduga pemohon-pemohon yang berminat yang mendapat 4 atau 5 A dalam peperiksaan percubaan UPSR mereka. Permohonan untuk anak-anak sekolah rendah masuk asramapun ada. Buat masa ini kami tidak bercadang amabil anak-anak kecil masuk asrama. Kemungkinan di masa hadapan kami akan ambil anak-anak darjah 5 & 6 masuk asrama akan di pertimbangkan. Memandangkan cabaran yang ibubapa hadapi di zaman sekarang dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, kami sanggup menyediakan kemudahan pembelajaran berasrama di peringkat sekolah rendah itu.

Kepada yang berminat sila hubungi kami telefon 03- 55139880. Insya-Allah kami akan menjawab semua pertanyaan. Ingatlah pepatah Melayu ;

Malu bertanya sesat jalan !

Hendak melentur buluh, mestilah dari rebungnya !

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya !

Tepuk dada tanya selera !

Sekian dahulu, terima kasih!

Wednesday, 23 September 2009

Terbanglah Anakku Selamat Ke Destinasi

Assalamualaikum !

Awal pagi aku ke pasar bersama Lia untuk membeli benda-benda yang dia nak bawa balik Jordan. Dia nak serai, daun kunyit, lengkuas, bunga kantan dan daun limau perut. Semua ada kat pasar seksyen 6 tu. Dia request nak makan bihun sup dan soto, maka aku belilah bahan-bahan perlu untuk membuatnya.Tengah hari tadi dah buat bihun sup special request tu. Nasib baik buat banyak, ada tetamu datang dan jadi rezeki di hidangkan kepada mereka.

Lia dah pack semua barang-barang dalam beg besar dan sebuah beg kecil yang akan di bawa sebagai hand luggage. Biasalah apabila anak-anak nak balik semula ke luar Negara, macam-macamlah yang mereka nak bawa balik. Tambahan pula bagi kes Lia ni dia tidak bercadang akan balik di tahun hadapan. Malam ini kami akan hantar Lia ke KLIA.

Selepas ini nak kisah hal Yanna pula yang akan balik ke Mesir. Akhirnya yang ada di rumah nanti tinggal 2 orang anak dan Polly burung parrot peliharaan kami. Anak-anak kucing kepunyaan Kin sudah di beri pada orang. Lapanglah sikit hatiku kerana aku tidak akan hidu bau yang menusuk hidung yang tidak menyenangkan!

Alhamdulillah! Nasib mak teh dan Pak haji di kira baik. Walaupun anak-anak sudah tiada di rumah kami ada anak-anak Tahfiz yang akan menceria dan menyibukan hidup kami. Suara hilai tawa anak-anakku di ganti dengan suara mengaji al-Quran anak-anak Tahfiz pula. Rindunya kami pada suara mereka melagukan doa " Allahumarhamna bil Quraan, ................. Ya Robbulalamieen! " setiap kali mereka selesai sesi membaca al-Quran. Hari Ahad 27 September nanti pulanglah mereka. Dan suara mereka akan melenyapkan kesunyian kami.

Alangkah bertuahnya kami! Kesyukuran di panjatkan kepada Allah SWT.

Tuesday, 22 September 2009

Hari Raya Ke 3

Assalamualaikum !

Awal pagi ini aku telah ke pasar untuk membeli bahan-bahan segar untuk masakan hari ini. Hanya beberapa gerai yang buka dan pengunjungpun tidaklah ramai. Dapatlah aku membeli ikan dn udang dan juga beberpa jenis sayur-sayuran kegemaran Pak haji.

Aku dan Pak haji menuju ke pusat bandar dan di dapati masih lengang kerana hari ini masih cuti umum lagi. Kemudian kami pergi ke restoran di seksyen 3 untuk membeli sedikit makanan sarapan. Kami dapati ke dua-dua restoran sudah buka dan di penuhi pelanggan. Hampir setengah jam baru aku dapat apa yang aku order.

Kawasan kami masih sunyi kerana beberapa keluarga jiran belum balik dari kampung mereka. Dintara jiran-jiran kami ada yang pulang ke kampungnya di seberang, ada yang balik ke Klate, ada yang balik Ganu, ada juga yang balik ke Utara dan ada juga yang balik ke Selatan. Keluarga kami diantara yang terawal menetap di sini dan kami sudah rasa bahawa di sinilah kampung kami. Namun ramai juga yang seperti kami, tidak pulang ke kampung asal. Jadi pada malam Hari Raya terdapat lebih 40 orang termasuk kanak-kanak dan remaja yang datang bertakbir dari rumah ke rumah. ( Tahun ini yang paling ramai kerana anak-anak yang dahulunya kecil sekarang sudah jadi remaja dan anak-anak kecil adalah dari kalangan cucu-cucu jiran)

Hari ini mak teh akan masak makanan kegemaran Lia sebelum dia berangkat balik Jordan malam esok.

Sunday, 20 September 2009

Hari Raya Pertama

Assalamualaikum!

Nampaknya semua orang sedang rancak beraya. Mak teh nak cuba jadi the first to update the blog for Hari Raya, sedangkan orang lain masih sibuk dengan hal raya. Hehehe!

Sekarang sudah menjelang petang Hari Raya Pertama. Hari ini keluarga mak teh sudahpun beraya. Apa yang kami telah buat sejak bangun pagi tadi? Setelah bersarapan spesial, kami bersiap untuk ke Masjid. Kami bertolak ke Masjid Negeri jam 7.30 pagi. Semasa kami tiba orang belum ramai yang datang. Menjelang jam 8.30 masjid menjadi sesak dibanjiri para jemaah terutama dewan solat jemaah lelaki. Bagi jemaah perempuan ada 2 level, ground floor dan 2nd floor, jadi sangat lapang dan selesa untuk jemaah perempuan terutama bersolat di Tingkat 2.

Setelah selesai solat kami bergambar di kawasan Masjid. Kemudian kami pulang menjamu selera makanan hari raya yang telah disediakan dan makanan yang di hantar jiran sebelah yang sangat baik hati. Kami juga membalas pemberian tersebut seperti yang selalu kami lakukan setiap Hari Raya. Yang bagusnya kami telah berbincang sebelum Hari Raya menjelang, apa yang akan kami masakan supaya kami tidak masak menu yang sama.

Sedang kami makan, datang tetamu pertama ia-itu seorang adik Pak haji dan suaminya. Kemudian adikku datang bersama keluarganya di ikuti oleh keluarga besanku dan anak menantunya. Pecah rekodlah tahun ini pertamakali kami menerima ramai tetamu untuk Hari Raya Pertama.

Anak-anak telah menelefon nenek mereka untuk mengucapkan " Selamat Hari Raya ". Kemudian kami dapat panggilan telefon dari Kin dari London memberitahu bahawa dia akan menunaikan solat Aidilfitri di Kedutaan Malaysia.

Selepas mereka pulang, kami makan lagi dan terus melepak sambil menonton tv kerana keletihan dan kekenyangan.

Maka sambil aku berbaring teringat akan pantun Melayu lama seperti berikut:


Gendang gendut tali kecapi,

Kenyang perut senang hati.


Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga,

Hancur badan di kandung tanah,

Budi yang baik di kenang jua.


Kalau ada jarum yang patah,

Jangan di simpan di dalam peti,

Kalau ada silap dan salah,

Jangan di simpan di dalam hati.




Kalau ada sumur di ladang,

Boleh kita menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.


Sekian dulu, Salam Ceria untuk semua dari Mak teh !

Friday, 18 September 2009

Hari Ke 28 Ramadhan

Salam Semua!

Nampaknya sudah banyak blog lain sunyi kerana ramai orang sedang sibuk menghadapi kedatangan Aidilfitri. Ada yang dah selamat sampai ke kampung, ada yang sedang membuat kuih raya dan bermacam-macam persiapan lagi. Jadi manalah ada masa nak berblogging !

Semalam keluarga mak teh telah menhantar Kin ke Lapangan Terbang KLIA. Nasib baik kami bertolak ke KLIA awal. Kesesakan lalulintas amatlah ketara. Semua orang berebut-rebut menuju destinasi masing-masing sama seperti the Crazy Ants lari mengikut laluannya dalam documentary National Goegraphic.

Kami sampai KLIA dalam keadaan cuaca gelap-gelita menandakan permulaan ribut yang akan melanda. Segera Kin ke kaunter buat urusan check-in. Alhamdulillah, beg besar selamat masuk. Hanya tinggal satu kotak berisi periok nasi kecil dan seterika tak dapat masuk sebab begpun dah lebih had berat yang dibenarkan. Kemudian Kin telefon kawannya yang akan berlepas ke London pada Hari Raya ke 3 nanti. Alhamdulillah, kawan Kin bersetuju untuk membawa kotak itu bersamanya.

Selesai Kin membuat urusan check-in, waktu berbuka ada 20 minit lagi. Kami telah rancang untuk mengambil tempat berbuka di Burger King. Amal dan Aizad telah pergi terlebih dahulu membuat order makanan dan booking tempat duduk. Maka kami segera ke tempat yang di janjikan. Walaupun sudah ramai orang menunggu saat berbuka, kami sudah ada tempat duduk dan makanan yang di order. Sebaik saja pengemuman berbuka di hebahkan, kami selesa berpuka puasa. Kesian pada masa itu ramai lagi orang yang masih beratur membeli makanan. ( Pengajaran dari didikan Pak haji: Dalam hidup, semua perkara mesti di rancang terlebih dahulu ! )

Seronok pula berbuka sekeluarga di tempat yang berbeza. Terasa sedap makan berbuka semalam walaupun ringkas terasa macam berpiknik. Kami telah bawa bekalan air, kurma dan nasi serta sedikit lauk-pauk bersama. Habis licin bekalan dan makanan yang di order, semuanya berbaloi! Hehehe! ( Terkenang pula kisah dulu-dulu, masa keluarga kami masih muda, selalu juga kami berbuka sekeluarga ala berpiknik begitu. Semasa tu Kin baru masuk asrama UIA. Lama dah tak buat kerja macam ni, sejak kami lebih pentingkan solat Tarawih )

Alhamdulillah! Tadi sewaktu sahur, Kin telah mesej dia sedang transit di Dubai. Hari ini aku akan rehat dan berkemas sedikit sementara menunggu berita Kin selamat sampai ke destinasi. Aku tidak akan ke pasar hari ini untuk membeli barang-barang segar untuk masak makanan pagi hari raya. Aku bercadang akan melakukan perkara itu esok sahaja.

Semalam ada seorang anak-buah hantar mesej , menyuarakan dia terkilan sebab mak teh sekeluarga tak balik kampung untuk menyambut Aidilfitri. Mak teh harap dia dan juga orang-orang yang lain yang bersependapat dengannya, faham akan keadaan mak teh. Banyak perkara yang kami terpaksa lalui, nak hantar Kin berlepas dahulu malam tadi, nak hantar Lia pulang ke Jordan pada hari Raya ke 3, nak rehat sebab dah terlalu penat 24 jam menjaga anak-anak Tahfiz. Kami tak mahu terperangkap dengan kesesakan lalu-lintas sebab Mak teh dan Pak haji tidak muda seperti dahulu lagi, keupayaan kami dari banyak segi sudah berkurangan. Kami ingin bersama anak-anak kami berkumpul sekeluarga kerana anak-anak kami sudah besar dan hanya bersama kami beberpa hari sahaja. Lagipun kalau kami balik waktu ini, kesemua bilik di rumah ibu dan bilek hotel tiada yang kosong. Keluarga kami besar dan anak-anak sudah besar tidak boleh melepak-lepak sana sini lagi.


Tak pulang ke kampung bukan bermakna tidak terkenang,
Berjauhan bukan bermakna sudah putus kasih sayang!
Tidak bersetuju dengan cara-cara seseorang bukan bermakna memutuskan silaturrahim!
Hanya Allah yang dapat melihat warna dan corak hati hambanya!


Mak teh ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua, terutama kepada Bonda tersayang, neneknda-neneknda yang di hormati dan di kasihi, Tok Lang dan Tok Su, Mak-mak saudara dan bapa-bapa saudara yang di ingati dan di kasihi, Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang, Mak Teh, Mak Tam, Mak Ndak, Mak Cik, Mak Su, Pak Ngah, Pak Andak, Pak Anjang, Pak Uneng, Pak Cik, kakak-kaka ipar yang di kasihi, Kak Long, Liza, kakak-kakak sekampung yang di ingati, Kak Melah, Kak Yah, Kak Siah dan Kak Dara dan kesemua anak-buah mak teh yang dah besar panjang dan senang-lenang.

Kepada anak-anak buah mak teh sempena hari Raya ini mak teh nak minta maaf kalau anda dapati nasihat-nasihat dan komen-komen mak teh kurang anda senangi sebab mulut mak teh ni laser sedikit. Namun percayalah banyak kebenaran kata-kata mak teh itu dan terguran adalah bertujuan untuk kebaikan anda. Hehehe!

Ingatlah juga pepatah Melayu ini:


Buat Baik Berpada-pada,
Buat Jahat Jangan Sekali!


Kera dihutan usah di susukan,
Anak di pangkuan usah di lepaskan!


Lihatlah gajah di depan mata,
Kuman di seberang usah di teropongkan!


Apa yang di tanam,
Itulah yang di tuai!

Akhir kata Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin untuk semua pembaca blog mak teh!

Thursday, 17 September 2009

Berangkat Ke Luar Negara

Salam Semua !

Semalam sekolah kami mula bercuti menyambut Aidilfitri. Ibubapa datang menjemput anak-anak mereka dari jam 11.00 pagi hinggalah jam 6.00 petang. Asrama di tutup jam 12.00 malam kerana kumpulan Taddarus Istana pulang lewat.

Malam tadi di adakan Majlis Khatam al-Quran di Istana Alam Shah, Kelang. Anak-anak tahfiz yang telah bertugas bertaddarus di Istana Kayangan telah di jemput untuk ke Majlis tersebut. Pak haji telah membawa mereka pada jam 6.00 petang ke Istana Kelang. Mereka memakai baju Melayu berwarna biru, bersampin kain songkit dan bersongkok hitam untuk Majlis tersebut. ( Tentu anda dapat bayangkan 'smartnya' mereka ).Majlis itu di hadiri oleh pembesar-pembesar Negeri, ahli-ahli Taddarus kumpulan lain, para jemputan dan kerabat Di Raja.

Selesai Solat Tarawih, Majlis bermula dengan bacaan ayat-ayat suci mengkhatamkan Al-quran. Kemudian ahli-ahli yang bertaddarus menerima hadiah sagu hati berupa satu sampul berisi wang dan sehelai kain songkit. Setelah selesai mereka di raikan dengan jamuan makan. Tentulah anak-anak Tahfiz kami amat teruja menghadiri Majlis tersebut dan sangat gembira menerima hadiah-hadiah yang di beri. Mereka sampai pulang ke asrama jam 11.30 malam.

Hari ini Mak teh dan Pak haji bolehlah relax sedikit. Kami termasuk kesemua anak-anakku akan menghantar anak sulungku, Kin ke lapangan Terbang KLIA, jam 6.00 petang nanti ( Flight 9.30 malam ). Ini adalah keberangkatan ke U.K untuk menyambungkan pelajaran untuk kali ke 2 bagi Kin. Dia mungkin rasa macam balik kampung kat U.K lah kut. Lima tahun yang lalu dia berkampung di Cardiff, tetapi kali ini kat tengah-tengah Kota London pulak. Kami berdoa semoga tidak ada perkara yang tak di ingini yang akan di tempuhnya memandangkan kebelakangan ini di Kota itu ada tunjuk perasaan anti-Islam.

Bagi keluarga kami keberangkatan ahli keluarga keluar Negara untuk menuntut ilmu sudah bermula sejak 14 tahun yang lalu, semasa Amal anak ke2 pergi ke U.K. Selepas itu anak-anak yang lain mengikut jejaknya. Maka sudah menjadi perkara biasalah bagi kami melepaskan anak-anak ke Luar Negara. Perpisahan begini tidak menjadi kesedihan bagiku dan Pak haji.

Nampaknya kami akan berbuka puasa di Lapangan terbanglah. Tak kuasalah aku nak sediakan makanan berbuka puasa dan berangkut-angkut bekalan makanan ke lapangan terbang nanti. Jadi perkara yang paling mudah adalah untuk kami berbuka di fast food outlet kat airport tu. Hehehe! Kalau sesiapa nak join bolehlah!

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pembaca blog mak teh!

Wednesday, 16 September 2009

Hari Ke 26 Ramadhan

Assalamualaikum !

Semalam kami telah berbuka puasa bersama-sama anak-anak Tahfiz di rumahku. Lapang hati melihat anak-anak Tahfiz sudah boleh membantu mengemas dan menyediakan makanan tambahan untuk majlis tersebut. Kami telah pesan makanan dari katerer, menunya nasi beriyani. Walaupun nasi beriyani itu di sertai lauk ayam, darca dan acar, seorang dermawan telah menambah order semata lauk daging merah untuk kami. Perbelanjaan makanan itu telah di sedekahkan oleh seorang jiran. Maka kami hanya menambah menu ayam goreng, kentang putar, dan coleslaw. Hidangan kuih-kuih pula telah di sedekahkan oleh seorang ibu dermawan dan juga kuih sumbangan jiran sebelah rumah yang sangat baik hati. Aku hanya menambah lagi dengan membeli 3 batang lemang dan buah tembikai. Alhamdulillah, melempah-ruahlah hidangan atas meja kami berbuka malam tadi. Itulah yang di katakan rezeki anak-anak Tahfiz yang di kasihi Allah ( dan juga di sayangi masyarakat setempat ).

Majlis kami bermula pada jam 6.30 petang dengan bacaan Yasin dan doa selamat untuk Kin dan untuk kelahiran bakal cucu sulungku. Setelah azan berkumandang kami berbuka ringan dan terus menunaikan solat Maghrib dan solat Hajat memohon keselamatan dan kejayaan untuk Kin dan keselamatan untuk bakal insan yang akan di lahirkan. Ameen!

Setelah itu kami menghadapi makanan yang di sediakan. Seronok tengok anak-anak Tahfiz dan tetamu ( beberapa orang sahaja sebab kami tak jemput ramai orang ) makan dengan penuh berselera. Ramai yang memuji keenakan ayam goreng, kentang putar dan coleslaw yang telah di sediakan oleh Ustazah Hanna dengan bantuan anak-anak Tahfiz Puteri. Selesai berbuka puasa kami menunaikat solat Isya dan Tarawih di imamkan oleh seorang anak Tahfiz kami.


Hari ini adalah hari berkemas asrama dan pulang ke kampung masing-masing. Pagi-pagi lagi anak Sarawak sudah berangkat ke lapangan terbang. Yang lainnya akan berkemas asrama sehingga jam 11.00 pagi. Selepas itu ibubapa akan datang menjemput anak-anak mereka pulang. Maka di harap mak teh dan Pak haji akan dapat berehat dan menikmati ketenangan untuk sementara waktu. Namun kami juga sedia menghadapi kenyataan bahawa kesunyian akan menyelubungi kami sehingga anak-anak Tahfiz masuk semula pada 27 september selepas bercuti selama 12 hari. Akan bertambah sunyi lagi apabila anak-anak kami berangkat kembali ke luar Negara selepas Raya nanti.

Nota kepada ibubapa anak-anak Tahfiz: Wahai ibubapa anak-anak Tahfiz, anak-anak anda balik berbekalkan kerja-kerja sekolah yang telah diberikan dan jadual membaca dan menghafaz al-Quran adalah seperti biasa ia-itu selepas setiap solat 5 waktu. Mereka juga telah di beritahu tarikh peperikasaan akhir tahun. Mereka bukan balik bercuti tanpa buku, mereka seharusnya menyediakan diri untuk peperiksaan tersebut. Mereka juga telah di nasihatkan supaya meneruskan apa jua aktiviti ibadah Ramadhan seperti yang mereka lakukan di seni setiap hari. Gerak-laku dan perwatakan mereka seharusnya mencerminkan mereka seorang penghafaz Al- Quran ( seperti yang telah kami didikan ). Insya-Allah, Tuanpuan perhatikanlah nanti. Semoga akan menyenangkan dan mengembirakan hati Tuanpuan.

Sekian dulu, Selamat berpuasa 4 hari sahaja lagi!