Monday, 21 December 2009

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Assalamualaikum !

Selamat menyambut tahun baru 1431 hijriah kepada semua pembaca blog mak teh. Seperti biasa kami penduduk Shah Alam menyambut tahun baru ini dengan mengadakan bacaan Surah Yassin, beristighfar dan membaca doa akhir tahun dan awal tahun di Masjid Negeri. Ada juga jemaah yang telah berpuasa sunat pada hari itu. Pada tahun ini, selepas solat Isya di adakan majlis Ceramah Perdana.

Majlis seperti ini biasa di jalankan di Negara kita yang berpegang kepada mazhab Syafie. Perkara ini tidak di lakukan di Negara-negara yang berpegang kepada pendapat Wahabi. Kalau ada orang berkata kepada mak teh, " Kenapa mak teh menghadiri majlis sebegini? " Mak teh akan menjawab yang mak teh mengikut apa yang alim ulama kita sarankan baik untuk kita melakukannya. Para alim ulama kita telah mengkaji segala nas-nas yang membolehkan atau tidak mengharamkan kita melaku sesuatu perkara.

Kita tinggal di Negara ini yang sudah lama menegakkan agama Islam dengan pegangan mazhab Syafie. Jadi usahlah kita memecah-belahkan rakyat umat Islam ( terutama orang Melayu ) dengan mengemukakan pendapat sesetengah orang yang mengatakan itu tidak boleh dan ini tidak boleh. Kata mereka perkara yang kita buat itu semuanya adalah bidaah kerana tidak dilakukan oleh Rasullallah !

Pertama, perkataan " bidaah " itu sendiri mengundang perbahasan yang panjang lebar. Kita orang biasa tidak mampu mengenal samaada sesuatu perkara itu bidaah atau tidak. Kedua perkataan " bidaah " itu bukan satu perkataan yang negatif. Bidaah bererti perkara-perkara baru. Ada bidaah yang di katakan bidaah baik yang di terima mengikut ijma' ulama' ( consensus ) Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mak teh orang biasa tidak mampu membahaskan perkara ini. Maka biarlah para alim ulama yang membahaskannya. Sebagai orang kebanyakan, mak teh hanya mampu mengikut sahaja. Mak teh telah di ajar, dalam beragama kita harus berpegang kepada satu mazhab sahaja, tidak boleh berubah-ubah mengikut angin. Kalau kita berpegang kepada Mazhab Syafie, maka kita hendaklah melihat apa kata alim ulama mazhab itu dalam sesuatu masaalah atau perkara. Kita tidak boleh mengeluarkan pendapat sendiri.

Lainlah kalau kita memang pakar agama, dan kita ada pendapat sendiri, maka bolehlah kita lakukan apa yang kita fikir betul. Itupun kita tidak boleh mengajak orang lain mengikut kita. Mak teh teringat kepada nenek-saudaraku, seorang Tok Guru, ulama yang dihormati. Pada satu ketika ( puluhan tahun yang lalu ) Kerajaan telah mengumumkan bahawa hari raya aidil fitri jatuh pada hari esoknya, sedangkan mengikut ilmunya, beliau berpendapat belum masuk 1Syawal pada hari esoknya itu. Murid-muridnya datang bertanya masaalah itu, maka beliau berkata rakyat wajiblah mengikut pengumuman Kerajaan. Aku dapat tahu dari ibuku Tok Guru tidak berhari raya pada hari yang di umumkan itu tetapi beliau melakukannya seorang diri secara diam dan tidak menghebahkannya.

Ada orang cuba menuduh sesetengah pendakwah membawa hadith yang daif ( lemah )dalam satu saluran TV yang popular . Mak teh tertanya-tanya, " Tahukah dia bahawa sesebuah hadith itu daif atau tidak ? " Seeloknya, biarlah alim ulama sahaja yang mengatakannya. Sebab itu di syaratkan seseorang yang hendak bercakap dan berdakwah pasal agama mesti mempunyai tauliah. Sebenarnya kita orang biasa tidak ada ilmu begitu mendalam. Seseorang pengkaji dan penghafaz hadith telah mengkaji dan menghafaz beribu-ribu hadith. Mereka juga mengkaji Al-Quran dan tafsirnya. Jadi hujah-hujah mengenai agama, biarlah pakar dalam bidang Al-Quran & hadith yang menentukannya betul atau salah. Kita yang ada sedikit ilmu peganglah kepada pepatah ini, " Kalau kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam ! "

Jangan lah kita dalam hal agama jadi seumpama kisah 5 orang buta yang pegang gajah. Si buta yang pertama telah memegang badan gajah lalu berkata " Aku tahu gajah ini seperti dinding ". Si buta yang kedua pegang telinga gajah lalu berkata, " Gajah ini seperti kipas yang besar" . Sibuta yang ketiga pegang kaki gajah dan berkata, " Gajah seperti tiang rumah " . Manakala Si buta keempat yang memegang gading berkata, " Gajah tajam seperti tombak " . Si buta yang kelima pegang belalai gajah sambil berkata " Kamu semua salah, gajah adalah seperti ular yang besar dan panjang." Maka bertengkarlah 5 orang buta itu masing-masing berkata dia yang betul dan orang lain itu salah.

Jadi janganlah kita bertengkar akan perkara yang kita bukanlah seorang pakar di dalam bidang itu. Kalau kita baru tahu sedikit tentang bidaah janganlah semudah itu kita hendak memberi pendapat bahawa orang lain itu buat bidaah dan akan masuk Neraka! Perkara agama bukanla semudah 2+2 jadi 4. Tidak semudah itu kita memasukkan orang ke dalam Neraka. Renungkanlah !

Sekian, Wassalam !

1 comment:

  1. Selamat menimang cucu, tahniah !!

    Salam maal hijrah dari kami sekeluarga buat makteh dan warga sekolah.

    ReplyDelete