Showing posts with label My Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label My Tazkirah. Show all posts

Thursday, 21 July 2011

Adab Di Masjid

Assalamualaikum!

Hari ini Mak teh nak terangkan mengenai adab di masjid termasuk perkara yang perlu kita lakukan sebelum ke masjid.

Pertama, kita hendaklah mengambil wudhuk sebelum melangkah ke masjid. ( Mandi serta bersihkan diri, berus gigi, memakai pakaian yang bersih dan bagus adalah diantara perkara yang disarankan. Bagi orang lelaki mereka di galakkan memakai wangi-wangian.)

Semasa dalam perjalanan ke masjid elok membaca doa " Allahummaj'al fi khalbi nurron, wafii lisaani nurron, waj'alfi sam'ii nurron, waj'alfii basori nurron, waj'almin kholfi nurron, wamin amaami nurron, waj'almin fauqi nurron, wamin tahti nurron. Allahumma a'thini nurron. " yang bermaksud, " Ya Allah nyalakanlah dalam hatiku suatu cahaya, pada lisanku suatu cahaya, pada pendengaranku suatu cahaya, pada pandanganku suatu cahaya, dari arah belakangku suatu cahaya, dari arah depanku suatu cahaya, nyalakanlah dari arah atasku suatu cahaya, dari arah bawahku suatu cahaya. Ya Allah limpahkanlah cahaya kepadaku.

Apabila masuk ke masjid hendaklah membaca doa, "Allahumaftahli abwaaba rohmatik " yang bermaksud " Ya Allah bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untukku."

Apabila melangkah masuk kedalam masjid hendaklah mendahulukan dengan kaki kanan.

Apabila sudah berada di dalam masjid hendaklah terus melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid sebelum kita membuat perkara lain seperti duduk beriktikaf atau berzikir.

Hendaklah kita niat beriktikaf apabila duduk dalam masjid sambil berdiam diri mengingati Allah.

Apabila selesai muazzin melaungkan azan dirikan solat sunat sebelum solat fardhu.

Apabila orang sudah bersedia hendak menunaikan solat berjemaah hendaklah mengambil tempat dalam saf bergerak ke kanan untuk merapatkan saf, Hendahlah melangkah ke saf hadapan jika nampak ada kekosongan.

Apabila solat berjemaah, hendaklah mengikuti pergerakan Imam tanpa mendahuluinya, seeloknya beberapa saat selepas Imam melakukan pergerakan itu.

Selepas selesai solat, bolehlah berdoa dan berzikir bersama-sama Imam.

Bolehlah melakukan solat sunat selepas solat fardhu ( melainkan pada waktu asar dan waktu subuh )

Apabila melangkah keluar masjid hendaklah membaca doa, " Allahummainni asaluka fadhlik " yang bermaksud Ya Allah sesungguhnya aku memohon kurniaMu.

Semoga anak-anak buah Mak teh mendapat faedah dari keterangan di atas.

Wednesday, 20 July 2011

Adab Di Masjid ( Negatif )

Assalamualaikum!

Setiap kali Ramadhan tiba, ramai orang mengunjungi masjid untuk mendapat pahala bersolat terawih. Kadangkala ada saja perkara yang aku ternampak yang ingin aku beri sedikit teguran terutama untuk kaum wanita.

Ada anak-anak remaja dan gadis pergi ke masjid dengan pakaian tak sesuai. Aku pernah lihat ada yang memakai baju bertangan pendek, ada baju yang nipis, ada yang memakai baju rumah ( housecoat ), baju & seluar tidur dan ada juga yang memakai seluar jeans yang ketat. Apabila berpakaian begitu dan mereka tidak mengenakan telekung yang penuh maka kelihatan amat tak elok.

Ada orang yang suka berebut saf hadapan sedangkan bagi wanita saf yang belakang lebih mendapat banyak pahala.

Ada orang yang suka berbual apabila sudah masuk saf sementara menunggu untuk menunaikan solat. ( Ada-ada saja topik perbualannya dari kisah anak cucu hingga ke gosip panas )

Ada orang suka membiarkan saf renggang, iaitu tidak merapatkan saf dengan cara bergerak rapat ke kanan.

Ada orang memakai hiasan yang berlebihan merupakan barang kemas ditangan dan pernah aku ternampak seorang makcik yang memakai diluar telekungnya rantai emas dan loket yang besar.

Ada orang yang memakai makeup dan wangian yang berlebihan.

Ada orang yang membunyikan bacaan dalam solatnya terlebih kuat sehingga mengaggu jemaah lain.

Ada orang yang bawa ke masjid anak kecil yang tak boleh dikawal sehingga mengganggu jemaah lain.

Ada orang yang membawa anak yang belum mumaiyyiz meletakkan anaknya solat dalam saf diantara orang dewasa. Seeloknya letakkan mereka dihujung saf atau di saf kanak-kanak di belakang supaya saf tidak dikira terputus.

Ada orang yang membawa barang untuk di jual didalam masjid. Hukumnya haram dan perniagaan di jamin rugi. Aku pernah tengok orang jual handphone dalam masjid.

Ada orang bersolat sunat ( selain dari sunat tahiyatul masjid ) apabila orang sedang memberi tazkirah.

Ada orang makmum yang mendahului pergerakan Imam. Seelok-eloknya tunggulah sesaat dua sebelum melakukan pergerakan mengikut Imam.

Ada orang tergesa-gesa melakukan solat tahiyatul masjid apabila azan sedang berkumandang.

Ada orang yang telah memakan makanan yang busuk seperti petai, durian atau bawang putih kemudian datang bersolat berjemaah di masjid.

Ada orang yang tidak memakai stokin kaki, kemudian kainya singkat menampakkan kaki apabila dia sujud.

Ada orang yang memakai anak telekung yang berhias manik dan renda hingga menutup dahi.

Ada orang yang melangkah dihadapan orang yang sedang solat.

Ada orang yang suka mencelah ke saf yang hadapan walaupun saf dah penuh dan sempit.

Itulah di antara perkara-perkara yang mengundang teguranku untuk perhatian kita bersama. Esok aku akan senaraikan Adab di Masjid perkara positif. Sekian, terima kasih.

Monday, 21 December 2009

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Assalamualaikum !

Selamat menyambut tahun baru 1431 hijriah kepada semua pembaca blog mak teh. Seperti biasa kami penduduk Shah Alam menyambut tahun baru ini dengan mengadakan bacaan Surah Yassin, beristighfar dan membaca doa akhir tahun dan awal tahun di Masjid Negeri. Ada juga jemaah yang telah berpuasa sunat pada hari itu. Pada tahun ini, selepas solat Isya di adakan majlis Ceramah Perdana.

Majlis seperti ini biasa di jalankan di Negara kita yang berpegang kepada mazhab Syafie. Perkara ini tidak di lakukan di Negara-negara yang berpegang kepada pendapat Wahabi. Kalau ada orang berkata kepada mak teh, " Kenapa mak teh menghadiri majlis sebegini? " Mak teh akan menjawab yang mak teh mengikut apa yang alim ulama kita sarankan baik untuk kita melakukannya. Para alim ulama kita telah mengkaji segala nas-nas yang membolehkan atau tidak mengharamkan kita melaku sesuatu perkara.

Kita tinggal di Negara ini yang sudah lama menegakkan agama Islam dengan pegangan mazhab Syafie. Jadi usahlah kita memecah-belahkan rakyat umat Islam ( terutama orang Melayu ) dengan mengemukakan pendapat sesetengah orang yang mengatakan itu tidak boleh dan ini tidak boleh. Kata mereka perkara yang kita buat itu semuanya adalah bidaah kerana tidak dilakukan oleh Rasullallah !

Pertama, perkataan " bidaah " itu sendiri mengundang perbahasan yang panjang lebar. Kita orang biasa tidak mampu mengenal samaada sesuatu perkara itu bidaah atau tidak. Kedua perkataan " bidaah " itu bukan satu perkataan yang negatif. Bidaah bererti perkara-perkara baru. Ada bidaah yang di katakan bidaah baik yang di terima mengikut ijma' ulama' ( consensus ) Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mak teh orang biasa tidak mampu membahaskan perkara ini. Maka biarlah para alim ulama yang membahaskannya. Sebagai orang kebanyakan, mak teh hanya mampu mengikut sahaja. Mak teh telah di ajar, dalam beragama kita harus berpegang kepada satu mazhab sahaja, tidak boleh berubah-ubah mengikut angin. Kalau kita berpegang kepada Mazhab Syafie, maka kita hendaklah melihat apa kata alim ulama mazhab itu dalam sesuatu masaalah atau perkara. Kita tidak boleh mengeluarkan pendapat sendiri.

Lainlah kalau kita memang pakar agama, dan kita ada pendapat sendiri, maka bolehlah kita lakukan apa yang kita fikir betul. Itupun kita tidak boleh mengajak orang lain mengikut kita. Mak teh teringat kepada nenek-saudaraku, seorang Tok Guru, ulama yang dihormati. Pada satu ketika ( puluhan tahun yang lalu ) Kerajaan telah mengumumkan bahawa hari raya aidil fitri jatuh pada hari esoknya, sedangkan mengikut ilmunya, beliau berpendapat belum masuk 1Syawal pada hari esoknya itu. Murid-muridnya datang bertanya masaalah itu, maka beliau berkata rakyat wajiblah mengikut pengumuman Kerajaan. Aku dapat tahu dari ibuku Tok Guru tidak berhari raya pada hari yang di umumkan itu tetapi beliau melakukannya seorang diri secara diam dan tidak menghebahkannya.

Ada orang cuba menuduh sesetengah pendakwah membawa hadith yang daif ( lemah )dalam satu saluran TV yang popular . Mak teh tertanya-tanya, " Tahukah dia bahawa sesebuah hadith itu daif atau tidak ? " Seeloknya, biarlah alim ulama sahaja yang mengatakannya. Sebab itu di syaratkan seseorang yang hendak bercakap dan berdakwah pasal agama mesti mempunyai tauliah. Sebenarnya kita orang biasa tidak ada ilmu begitu mendalam. Seseorang pengkaji dan penghafaz hadith telah mengkaji dan menghafaz beribu-ribu hadith. Mereka juga mengkaji Al-Quran dan tafsirnya. Jadi hujah-hujah mengenai agama, biarlah pakar dalam bidang Al-Quran & hadith yang menentukannya betul atau salah. Kita yang ada sedikit ilmu peganglah kepada pepatah ini, " Kalau kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam ! "

Jangan lah kita dalam hal agama jadi seumpama kisah 5 orang buta yang pegang gajah. Si buta yang pertama telah memegang badan gajah lalu berkata " Aku tahu gajah ini seperti dinding ". Si buta yang kedua pegang telinga gajah lalu berkata, " Gajah ini seperti kipas yang besar" . Sibuta yang ketiga pegang kaki gajah dan berkata, " Gajah seperti tiang rumah " . Manakala Si buta keempat yang memegang gading berkata, " Gajah tajam seperti tombak " . Si buta yang kelima pegang belalai gajah sambil berkata " Kamu semua salah, gajah adalah seperti ular yang besar dan panjang." Maka bertengkarlah 5 orang buta itu masing-masing berkata dia yang betul dan orang lain itu salah.

Jadi janganlah kita bertengkar akan perkara yang kita bukanlah seorang pakar di dalam bidang itu. Kalau kita baru tahu sedikit tentang bidaah janganlah semudah itu kita hendak memberi pendapat bahawa orang lain itu buat bidaah dan akan masuk Neraka! Perkara agama bukanla semudah 2+2 jadi 4. Tidak semudah itu kita memasukkan orang ke dalam Neraka. Renungkanlah !

Sekian, Wassalam !

Wednesday, 16 December 2009

Bersihkan Hati

Assalamualaikum !

Tujuan Allah menjadikan manusia di bumi ini ialah untuk manusia menjadi hamba kepada Allah, untuk menyembah Allah. Dunia adalah sebagai sebuah pentas, tempat manusia mengambil peranan masing-masing. Maka nampaklah kita manusia itu sebagai seorang pelakon, melakonkan watak masing-masing yang dipilihnya.

Dalam Al-Quran telah menyebut bahawa syaitan itu adalah musuh manusia yang nyata. Syaitan mahu mengheret manusia ke neraka bersama-samanya. Maka apa-apa watak baik yang kita cuba lakukan di pentas dinia ini, syaitan sentiasa mengambil peranannya untuk menggangu orang yang berbuat baik itu. Kadang-kadang syaitan itu tidak dapat mengggangu atau mempengaruhi seseorang manusia yang berhati ikhlas, dia akan mencucuk orang lain untuk jadi dalangnya mengganggu orang yang sedang buat sesuatu kebaikan. Oleh itu hati-hatilah supaya kita jangan di pergunakan oleh syaitan.

Penghujung hidup semua manusia ialah mati. Sebagai orang Islam kita berdoa dan mengharapkan penghujung hidup kita ialah yang baik ia-itu Husnul Khatimah. Insya-Allah, kita akan mendapat husnul khatimah kalau dalam hidup kita hati sentiasa baik dan ikhlas serta tidak melakukan apa-apa yang di larang Allah. Kita akan dapat di sebaliknya kalau hati kita hasad dengki, riak, sombong dan ujub, Nauzubillah ! Jadi kita hendaklah belajar membersihkan hati kita. Kalau kita tidak tahu untuk membuat perkara-perkara kebaikan, usahlah kita mendengki hamba Allah yang cuba melakukannya. Biarlah orang itu buat apa yang dia tahu membuatnya.

Mungkin orang yang masih muda ingat dia masih jauh dari kematian. Hakikatnya ramai orang mati semasa umurnya masih muda. Oleh itu kita cubalah perbaiki diri sendiri tanpa mengganggu orang lain. Kalau kita fikir seseorang itu melakukan sesuatu, tetapi tidak berapa bagus, maka buatlah azam kita akan melakukan seseuatu yang baik itu lebih bagus dimasa hadapan. Buat masa ini timbalah ilmu dahulu sebanyak mungkin. Dunia ini luas, tepuk dada tanya selera, " Aku nak ambil peranan atau watak apa di atas pentas dunia ini? "

Ada orang berwajah manusia tetapi orang lain boleh lihat tanduk syaitan itu ada di kepala seseorang yang diperkudakan oleh syaitan tanpa orang itu menyedarinya. Kasihan kepada orang seperti itu. Semoga Allah memelihara kita dari fitnah syaitan. Ameen !

Wassalam !

Saturday, 28 November 2009

Jangan Perasan !

Assalamualaikum !

Dalam hidup kita seharian kita akan berhadapan dengan berbagai perkara yang menjadi persoalan. Haruskah kita buat begitu atau haruskah kita buat begini dalam sesuatu keadaan. Kadang-kadang perkara itu amatlah kecil tetapi sebenarnya adalah sesuatu yang besar.Kadang-kadang pula ada perkara yang nampak besar tetapi sebenarnya kecil sahaja.

Apakah yang mak teh nak cakap pagi-pagi ini? Macam-macamlah yang nak mak teh cakapkan. Pertama mak teh risau melihat keadaan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Orang-orang kita tidak dapat membezakan apa isu yang besar dan apa pula isu yang kecil.

Misalnya isu imam solat baca panjang-panjang , isu besarkah itu? ( Lagipun berapa orang sangat imam yang baca panjang-panjang ? Waktu mana yang dia baca panjang-panjang ? )Isu orang buat filem untuk melambangkan orang baik-baik pakai jubah, berjanggut dan bertasbih, isu besarkah itu ? Kata nak buat perubahan, kenalah tahu sudut mana kita nak buat perubahan.

Masyarakat kita bukan masyarakat yang baru masuk Islam. Ada orang yang dah bagus pegangan agama dan tidak salah akidahnya, biarlah dia nak solat atau doa panjang-panjangpun. Ada orang tak mau doa panjang-panjang biarkanlah dia. Jadi orang yang tak mau doa panjang-panjang ni janganlah gusar pulak kalau orang lain nak doa panjang-panjang. Atau kalau dia tak mahu pakai jubah jangan risaulah kalau orang lain nak pakai jubah. Itu bagi mak teh adalah perkara yang remeh-temeh.

Apakah perkara yang besar yang sepatutnya orang itu risaukan? Sepatutnya dia risau orang-orang Islam yang semakin lemah akidah atau orang-orang Islam yang terpesong akidahnya. Inilah yang sepatutnya menjadi isu besar, bukan nak gaduh orang lain solat panjang sangat atau doa berlebih-lebih. Atau perkara pakaian nak lambangkan Islam tak perlu pakai jubah, pakailah kot dan nektai. Ini perkara terlalu remehlah!

Kita janganlah perasan atau syok sendiri. Umpamanya, orang tidak kata kita handsome atau di sebaliknya. Tetapi kita yang ingat orang kata kita tu handsom atau di sebaliknya. Begitu juga didalam keadaan lain, umpamanya, orang tidak kata diri kita berpengetahuan tinggi dan luas tetapi kita yang ingat diri kita lebih berpengetahuan lebih advance dalam ilmu itu dari orang lain. Ini boleh di ibaratkan orang yang pegang lampu tetapi dia buta, dia buta kerana pandangannya tersilau oleh cahaya lampu yang di peganganya. Lagipun orang lain dah pakai lampu letrik yang menyuluh seleruh kawasan sedangkan dia masih pegang lampu pelita !

Begitu juga kalau kita membuat penampilan diri, seperti seorang model. Kitapun ingat dalam diri, sudah tentu orang nampak aku cantik. Padahal orang tidak nampak dia seperti yang dia sangka. So janganlah kita syok sendiri, membuat andaian sendiri! Bahaya, kalau bawa kereta sudah tertu boleh terbabas !

Sekian, Wassalam !

Thursday, 19 November 2009

Ibadah Haji

Assalamualaikum !

Khabarnya hari ini abangku akan berangkat bersama isterinya ke Tanah Suci untuk menunaikan Ibadah Haji. Mereka akan terbang dari Alor Setar ke Subang naik kelip-kelip dan akan di tempatkan di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya sebelum berangkat malam nanti. Aku bercadang untuk menjenguk mereka di Kelana Jaya sebelum mereka berangkat ke KLIA.

Ini adalah kali kedua bagi abangku menunaikan ibadah Haji. Beberapa tahun yang lalu dia telah pergi bersendirian tanpa isteri. Kali ini lebih kepada untuk menemani isterinya. Aku doakan mereka selamat pergi dan kembali. Semoga mereka mendapat Haji Mabrur !

Bercakap pasal haji, terkenang juga kisah aku dan Pak haji menunaikan ibadah itu 20 tahun yang lalu. Masa itu kami masih muda, umurku baru 37 tahun dan Pak haji 43 tahun. Bagaimana pula kami tergerak hati untuk menunaikan ibadah haji sewaktu umur masih muda ? Padahal masa itu kami bertungkuslumus dalam hal-hal duniawi.( pada zaman itu agak kurang orang menunaikan haji di umur muda ) Ceritanya panjang, cuma bolehlah dipendekkan kepada Taufik Hidayah dari Allah SWT. Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang telah merahmati kami dengan menarik perhatian kami ke hala agama.

Alhamdulillah! Berkat menuanaikan Haji di umur muda, kami dapat memperbaiki diri dalam menjalankan kehidupan seharian. Sejak itu kami lebih cenderung ke jalan agama. Perjalanan hidup kami itu, kalau di umpamakan membawa kereta, kami beloklah sedikit, tidaklah koner baring.

Seronoknya melakukan ibadah Haji sewaktu muda kerana badan kita masih kuat dan sihat. Kesihatan yang baik dan tenaga atau kudrat orang muda, membantu kami melaksanakan ibadah tersebut dengan rancak dan sempurna.

Maka dari pengalamanku itu, mak teh sarankan kepada adik-adik yang masih muda, pergilah menunaikan umrah dan Haji semasa umur masih muda. Insya-Allah ia akan memantapkan keimanan anda dan anda akan mendapat panduan dan pegangan hidup yang kukuh di umur yang masih muda.

Jika di pandang ke belakang, aku amat bersyukur telah melakukan Ibadah Haji. Kalau kami hendak melakukannya sekarang, mungkin kesihatan atau keewangan akan jadi penghalang.

Alhamdulillah !

Monday, 9 November 2009

Baru Aku Tahu !

Assalamualaikum !

Hari sabtu lalu Pak haji balek dari mendengar tazkirah di Masjid Negeri yang di adakan tiap-tiap Sabtu jam 7.00 pagi ( Majlis Agama bernama Addin ). Seperti biasa Pak haji akan terus memberi tazkirah padaku apa-apa piont yang telah di pelajarinya dari majlis-majlis agama yang di hadirinya.

Kata Pak haji, " Apabila seseorang itu bangun malam untuk bersolat Tahhajud adalah kerana Allah telah memilihnya untuk berbuat demikian. Allah akan mengarah malaikat untuk mengejutkan sesiapa yang dipilihNYA untuk menunaikan solat Tahhajud pada malam itu mengikut waktunya."

Tercengang aku lalu berkata, " Jadi kalau orang itu bangun bersolat Tahajjud, bukan kerana dia hendak melakukannya, tetapi kerana telah di pilih Allah ? Wow ! Istimewanya hamba itu .... menyembah Allah kerana di pilihNYA ! "

" Betul tu ! " kata Pak haji sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

" Masya-Allah ! Baru aku tahu ........ " terdetik dalam hatiku sambil berfikir lebih dalam perkara-perkara berkaitan dengan point ini.

" Orang itu juga tidak boleh bercerita atau memberitahu kepada orang lain yang dia telah bangun melakukan solat Tahajjud ...... habis pahalanya kalau berbuat demikian. " sambung Pak haji.

( Alhamdulillah, mengenai point ini aku dah tahu ! )

Kebanyakan amalan sunat kita tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau menghebahkan kepada orang kerana bukan saja akan hilang pahalanya kalau berbuat demikian, malah akan mendapat dosa sekiranya perbuatan itu dikira riak atau ujub !

Sekian dulu, itu saja yang dapat mak teh kongsikan dengan anda pada pagi ini. Semoga mendapat manafaat.

Wassalam !

Friday, 6 November 2009

Ku Pujuk Diriku

Assalamualaikum !

Selepas pulang dari masjid kami ambil sedikit sarapan. Kemudian Mak teh dan Pak haji pergi berjalan-jalan buat exercise, morning walk. Ni baru saja pulang dari berjalan itu, terasa panas dan berpeluh-peluh !

Sejak meningkat usia keemasaan sekarang ini mak teh terpaksa memujuk diri. Pertama, mak teh memujuk diri untuk minum susu untuk mencegah aestoporasis tu. Mak teh memang jenis tak suka minum susu, tetapi kalau susu asli, susu segar atau susu dalam kotak boleh lah tahan juga. Ini susu untuk warga emas, memanglah bukan susupun ( di campur bahan-bahan terutama kalsium )Jadi setiap kali nak minum mak teh baca Bismillah kemudian ingat dalam hati 'ini ubat yang tak pahit boleh di minum '. So dapatlah mak teh menelannya secawan setiap pagi.

Kedua mak teh perlu memujuk diri untuk buat exercise. Oleh kerana pak haji tak mahu membelikan mak teh alat senaman seperti ' basikal bodoh ', mak teh terpaksalah berjalan perlahan-lahan di jalan hadapan rumah ! Nak pergi buat exercise kat tepi tasikpun tak ada kawan dan masa.

Perkara ketiga yang mak teh kena pujuk diri ini ialah makan semua ubat yang di beri doktor dan vitamin tambahan yang di beli. Kalau tidak berbuat semua ini maka pada malam hari akan terbitlah dari mulutku " Aduh letihnye...! Kaki lenguh seperti menggigit-gigit ! " Ha ! sedar tak sedar aku telah mewarisi perkataan yang pernah di keluarkan oleh ibu dahulu !

Mungkin ada orang akan berkata, " Sedarpun diri dah tua ! "

Sebenarnya aku dah sedar dah lama dah. Aku sedar apabila melihat wajah tidak bercalit make-up dan lipstik lagi. Aku sedar apabila kasutku tidak bertumit tinggi lagi. Aku sedar apabila baju dan pakaianku satu pesen saja ! Aku sedar apabila pakaianku terutama pakaian dalam tidak berjenama lagi.

Hehehe! Adakah anda ingat aku tak sedar diri?? Bukan tak sedarkan diri cuma kadangkala terlupa sekejap.

Terlebih lagi aku sedar apabila anak-anak sudah di peringkat mendirikan rumah tangga masing-masing. Terlebih-lebih lagi aku sedar apabila aka akan mendapat cucu tidak lama lagi !! ( Insya-Allah ! )

Oleh kerana mak teh amat mencintai Bahasa Ibunda maka di bawah ini adalah perkataan-perkataan yang selalu di guna oleh masyarakat pertanian di Negeri Kedah yang mungkin anda jarang dengar :

Buang busuk : buah yang gugur sebelum musim atau masanya, selalunya buah itu busuk

Tanah rang : tanah yang kurang mendapat hasil apabila di tanam padi

Balogh liat : Orang yang pemalas

Besar gajah Tok Mia : Orang yang berbadan besar, atau anak remaja yang hampir dewasa

Tarik muka 14 relong : Orang membuat mukanya masam teramat kerana merajuk atau tidak sukakan seseorang.

Anak dara mulut ceh : seseorang gadis yang cakap berlebihan, terlalu 'outspoken'

Anak dara cedeh : Seseorang gadis yang suka keluar rumah tak tentu - terlalu 'outgoing'

Contoh penggunaan perkataan :

Buang busuk - Haji Ahmad amat mengharapkan hasil dari dusun duriannya yang mula berbuah tahun ini. Malangnya banyak buah gugur sebelum masak kerana buang busuk. Namun Haji Ahmad dapati, walaupun hasil tanamannya tidak seberapa, kualiti buahnya adalah yang terbaik.

Sekian, terima kasih !

Wassalam !

Wednesday, 4 November 2009

Hujan Hingga Petang

Assalamualaikum !

Hujan turun dari tengah hari tadi belum berhenti. Maka tringatlah mak teh akan lagu Melayu Asli yang bertajuk 'Hujan turun ' Diantara liriknya berbunyi begini :

Hujan turun dari pagi tiada henti,

Ku duduk termenung seorang diri,

Hingga petang Kau ku tunggu tiada datang,

Mungkin putus sudah kasih dan sayang,

Tapi bila hujan reda, alam sunyi sepi...

..............................??

Ku tiada berteman seorang diri.....

Hanya bintang-bintang sebagai pengganti.

Rasanya dah tak betul lirik lagu itu kerana mak teh dah tak berapa ingat. Dulu semasa di kampus mak teh suka menyanyi. Tetapi mak teh tidak menyanyi atas pentas macam arwah Sudirman ( Dia kawan mak teh, 1 year junior ) Mak teh hanya menyanyi kalau masuk bilik air sewaktu mandi. ( seronoknya mak teh menyanyi tak terkira.. lepaskan geram!! ) Mak teh ni walaupun tidak mendapat suara seperti Sharifah Aini suka sangat menyanyi yang melalak lalak tu. Cuma suara itu hanya dapat di dengar sewaktu mak teh masuk bilik air nak mandi. Besstlah apabila dapat menyanyi ....pada zaman itu lah! Dah lama mak teh tak nyanyi camtu ! Hehehe!

Huda sedang berada di Trengganu kerana menjadi sebahgian dari team mengendalikan events berkuda yang di sedang berjalan di Terangganu. Kan ada iklan dalam akhbar " Kuda Sokmo...." Huda telah SMS aku tengah hari tadi, " Sini hujang Sokmo... huhuhu ! "

Aku balas balik , " Duduklah dalang hotel oder nasi ikang boleh makang..." Hehehe!

Kejap tadi ada orang datang bawa 2 karton air mineral untuk anak-anak Tahfiz buat bacaan Yassin dan doa untuk anaknya yang nak ambil peperiksaan SPM tak lama lagi. Insya-Allah kami akan lakukannya esok malam. Baru aku sedar musim peperiksaan sudah hampir tiba!!!

Sebenarnya anak-anak Tahfiz kamipun sedang on study leave. Mereka juga akan menempuh peperiksaan seminggu lagi. Nampaknya anak-anak Tahfiz berlumba-lumba study terutama yang Puteri. Ada yang tak tidur jam 3.00 hingga 4.00 petang ( mengikut jadual ) dan malam mereka hanya masuk tidur jam 11.30 malam. Syabas mak teh ucapkan kepada mereka. Tidak syak lagi merekalah anak-anak yang akan mendapat kejayaan cemerlang kelak ! Insya-Allah ! Kami akan usaha sedaya upaya agar mereka mencapai ' string of A's semasa SPM kelak seperti yang mereka idamkan !

Ingatkah anda peribahasa dan pepatah Inggeris di bawah ini: Renungilah !

Belakang parang sekalipun kalau di asah akan menjadi tajam ( Inikan pula anak-anak Tahfiz yang setiap hari menghafal ayat-ayat suci )

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna ( Ada orang yang akan sesal kemudian )

Berakit-rakit kehulu , berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.

Kalau tidak di pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Hanya jauhari mengenal manikam.

Water finds its own level.

A rolling stone gathers no moss.

The grass looks greener on the other side of the fence.

Time and tide wait for no men !

A stich in time saves nine !

Sekian dulu, terima kasih !

Friday, 30 October 2009

Kisah Di Pagi Jumaat

Assalamualaikum!

Pagi Jumaat ini suasana amatlah tenang. Kedengaran kicauan burung-burung dari pokok-pokok di hadapan dan sisi rumahku. Oh, ada lagi kedengaran suara ceria anak-anak tahfiz yang sedang membasuh van sekolah. Hari ini hari mereka mengemas dan mencuci asrama dan kawasan asrama.

Anak-anak tahfiz sudah bersarapan setelah pulang dari masjid. Sarapan mereka hari ini ialah susu segar, kepingan bijirin, roti, mentega, kaya dan teh. Sebagai menganti senaman mereka menolong membasuh van sekolah secara sukarela.

Ada permintaan untuk anak-anak Tahfiz puteri, menghadiri majlis kuliah-kuliah agama wanita di syarikaat gergasi berdekatan. Kami telah mempersetujuinya dengan harapan dapat memperkenalkan sekolah kami dan orang awam dapat mengetahui bagaimana kami mendidik dan membentuk anak-anak Tahfiz. Anak-anak tahfiz akan emperdengarkan bacaan surah ( hafazan ) dan juga nasyid-nasyid berunsur agama. Sesungguhnya anak-anak Tahfiz Puteri kami menarik perhatian di setiap majlis yang kami bawa mereka hadiri.

Malam ini kami akan adakan satu majlis membaca doa selamat untuk bakal-bakal haji iaitu seorang pelajar dan keluarganya dan sepasang ibubapa kepada pelajar kami dan keluarganya. Majlis skan diadakan pada jam 9.00 malam di rumah Pengetua.

Seperti biasa sebelum mak teh berundur renungilah kata-kata ini:

Jadilah orang yang suka membina dan janganlah jadi orang yang suka meroboh.

Jangan mendengar apa yang orang kata, lihatlah siapa yang berkata ( baru dengar )

Birds of a feather flock together ( jadi hati-hatilah, semoga kita ketahui dan sedar kita dalam golongan yang mana??)

Jangan memandang rendah seseorang itu kerana kekurangan harta dunianya, kemungkinan orang itu lebih mulia dari kamu di sisiNYA.

Kalau kamu meminta harta dunia, Allah boleh memberinya, namun kalau kamu inginkan syurga hendaklah ikhlas mengusahakannya.

Dalam mengharungi kehidupan, lidah janganlah bercabang dan talam janganlah dua muka.

Sesungguhnya Allah amat mengetahui isi hati seseorang, dan Allah memilih kepada siapa yang akan di beri ganjaran yang besar ia-itu sebuah Mahkota yang gemerlapan cahaya batu permata! Tersenyumlah ketika anda mendapatnya nanti.

Sekian, Wassalam !

Saturday, 12 September 2009

Fasa ke 3, 10 Hari Terakhir Ramadhan

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, kita sudah sampai ke kemuncak ibadah di bulan Ramadhan. Kalau ada rezeki kita akan bertemu dengan Lailatulqadar atau malam seribu bulan. Di malam yang mulia ini segala ibadah kita akan di beri pahala seolah-olah kita beribadah 1000 bulan. Maka ramailah para malikat yang di tugaskan turun ke dunia ini membawa rahmat di malam tersebut. ( Surah Qadr ). Kejadian Lailatulqadr di percayai berlaku pada salah satu malam 10 hari terakhir Ramadhan.

Cuaca di pagi hari ini agak redup. Maka terkenang aku akan kata-kata Ibu sewaktu aku kecil dahulu, " Kalau dimalamnya terjadinya Lailatulqadar, maka di pagi harinya akan sejuk dan redup. Ini di sebabkan cahaya matahari pagi di lindung oleh sayap-sayap malaikat yang naik semula ke langit." Ramai di antara kita yang tertanya-tanya, Malam manakah akan berlakunya Lailatulqadar ?

Apapun sejak kecil kami di ajar mengejar Lailatulqadar dengan beribadah bersungguh-sungguh 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Tak kiralah malam yang mana akan terjadinya Lailatulqadar itu. Berpuasa dan beribadah di 10 hari terakhir bulan Ramadhan juga di janjikan Allah kita dilindungi dari dimasukkan ke dalam Neraka.

Mendapat bertemu malam Lailatulqadar ini adalah rezeki yang di beri oleh Allah. Tentu sekali orang yang mendapat kemuliaan sebegitu adalah di kalangan orang-orang yang kuat beribadah, iaitu orang-orang ahli ibadah. Oleh itu kita usahakanlah menjadi orang yang tergolong kuat beribadah kalau ingin bertemu keajaiban itu.

Ada orang merungut bahawa susah menyuruh anak-anaknya berpuasa dan menunaikan solat 5waktu. Pendedahan kepada anak-anak sewaktu mereka kecil lagi akan hal-hal agama dan kebaikan beribadah akan mempermudahkan urusan anda mendidik anak-anak berbuat demikian. Insya-Allah lebih mudah kerja anda kalau anak-anak itu di masukan ke sekolah agama. Ini kerana mereka akan di didik lebih awal untuk memahami selok-belok agama dan melakukan ibadah.

Otak anak-anak kecil adalah sererti sponge, akan menyerap dengan pantas apa saja yang di ajar. Maka apakah yang lebih elok anak-anak itu serapkan ke otaknya dari kecil kalau tidak perkara-perkara agama? Ada ibubapa membelikan anak-anaknya apa saja yang di kehendaki seperti laptop, tv screen besar dinding, alat-alat permainan yang mahal-mahal, segala cd cerita kartun atau lebih dahsyat cd filem-filem barat sehingga anak-anak kecil itu sudah pandai mencarut-marut seperti orang barat. Astaghfirullah! Janganlah hendaknya perkara begini berlaku kepada anak-anak kita.

Di dalam kekalutan kita mencari nafkah setiap hari janganlah kita lupa akan tanggungjawab kita yang utama, iaitu mendidik anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan manusia yang berguna di hari muka. Luangkanlah juga masa untuk kita beribadat agar di hari tua kita tidak menyesal. Hari tua akan datang tidaklah lama lagi. Sedar-sedar kita sudah menghadapi hari-hari senja.

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca tazkirah Mak Teh!

Thursday, 10 September 2009

Hari Ke 20 Berpuasa

Salam Semua !

Hari ini adalah hari ke 20 kita berpuasa. Hanya ada 10 hari lagi sebelum Ramadhan melabuhkan tabirnya. Kita hanya ada 10 hari sahaja lagi untuk merebut pahala-pahala di bulan Ramadhan yang di janjikan Allah SWT.

Dalam bulan Ramadhan ini di umpamakan sebuah kapal yang besar datang berlabuh untuk memberi barangan yang bagus-bagus ( ganjaran )kepada kita. Maka inilah peluang untuk kita merebut ganjaran itu. Bagaimanakah caranya kita dapat merebut ganjaran istimewa itu ? Caranya ialah selain berpuasa ( wajib ), kita hendaklah melakukan ibdah-ibadah sunat seperti berzikir, membaca al-Quran ( bertaddarus ), melakukan solat sunat Tarawih dan solat-solat sunat malam ( Qiamullail ), bersedekah, memberi makan orang-orang yang berpuasa, membantu fakir miskin dan berbagai amalan-amalan yang baik semuanya mendapat ganjaran yang banyak.

Apabila berakhir Ramadhan maka kapal besar itupun akan berangkat dari pelabuhan kita dan belayar jauh sehingga timbul bulan Ramadhan tahun hadapan barulah ia muncul semula. Maka seharusnya berdoalah kita agar umur kita dipanjangkan Allah supaya dapat bertemu Ramadhan tahun hadapan.

Saya terkejut apabila mendengar seseorang berkata ( dalam sebuah rancangan tv ) " Di dalam bulan Ramadhan ini hendaklah kita merebut peluang membuat banyak duit ......"

Astaghfirullah! Nampak sangat orang itu bermata duitan dan kurang pengetahuannya tentang agama. Sedangkan ada ustaz yang bertazkirah berkata, " Rebutlah peluang membuat ibadah dalam bulan Ramadhan, kuih rayapun tak usah buat beli sahaja supaya masa terluang itu digunakan untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin "

Ada pula seorang kawan yang tidak dapat beserta untuk bertaddarus dengan alasan gerainya menghasilkan beribu-ribu ringgit dalam bulan Ramadhan. Katanya " Kalau tak tunggu gerai itu, siapa nak beri kita duit yang sebanyak itu??" Tak dapatlah aku menjawabnya, cuma di dalam hatiku berkata, " Semua rezeki datang dari Allah. Ada rezeki membawa berkat dan ada rezeki yang tidak berkat "

Sekian dulu Tazkirahku di pagi ini. Tazkirah ini adalah untuk diriku dan kawan-kawan yang mahu membacanya. Semoga kita semua di beri Hidayah olehNYA.

Monday, 31 August 2009

Merdeka !

Assalamualaikum !

Hari ini kita menyambut hari kemerdekaan yang ke 52. Ini bermakna mak teh sudahpun meningkat tua. Mak teh dilahirkan hanya beberapa tahun lebih awal dari laungan Kemerdekaan negara kita.

Masih teringat betapa aktifnya aku menjelang kemerdekaan. Ibubapaku merupakan ahli Seberkas iaitu sebuah pergerakkan untuk menuntut kemerdekaan dari British sebelum timbulnya UMNO di Kedah. Lepas itu mengikut arus perkembangan politik negara, ahli-ahli Seberkas telah menjadi ahli UMNO dan Seberkas dibubarkan. Mereka sangat keras menentang penubuhan Malayan Union. Aku telah mengikut ibu ke bandar dan kampung ke perhimpunan politik masa itu. ( Aku masih kecil di heret ibu kesana kemari ) Pada masa itu ibu sangat aktif dalam pergerakan politik. Walaupun ibu tidak pandai berpidato, ibu merupakan penyokong kuat pergerakan. Ibu diberi tugas membuat beribu-ribu bunga rossette untuk mengutip derma untuk tabung UMNO pada masa itu.

Aku masih ingat di suatu perhimpunan ibu dan kawan-kawan seperjuangannya menangis kerana berpisah landasan perjuangan. Masa itu aku sangat kehairanan, aku tidak memahami apa yang berlaku. Setelah aku dewasa barulah aku faham bahawa peristiwa itu ialah titik perpisahan apabila tertubuhnya sebuah parti baru iaitu Parti Islam ( PAS ). Ibu di persimpangan jalan dalam perjuangannya kerana seorang bapa saudaranya menjadi orang kuat pergerakan UMNO dan seorang lagi menjadi orang kuat pergerakan PAS. Selepas itu ibu berundur dari aktif dalam mana-mana pertubuhan politik.

Sekarang ibuku sudah uzur kerana tua. Kawan-kawan seperjuangannya ramai yang sudah tiada. Dia tidak lagi bercakap mengenai politik atau Kemerdekaan. Kami anak-anaknyapun yang kebanyakan berada di Lembah Kelang ini tidak sempat menjenguknya di hari Menyambut Kemerdekaan ini kerana kesibukan masing-masing.
Aku mendoakan agar ibu sentiasa bahagia di hari-hari senjanya ini.

Di hari cuti kerana menyambut Kemerdekaan ini, janganlah kita berehat dan bersantai sahaja. Marilah kita semua bertanyakan diri kita " Apakah sumbangan kita untuk memerdekakan bangsa kita? " Walaupun Negara kita telah lama merdeka bangsa Melayu belum lagi merdeka kerana ramai anak-anak muda kita terjebak dengan cara hidup yang merugikan dan memalukan maruah bangsa kita. Fikirlah dan lakukanlah sesuatu yang positif demi anak-cucu kita.

Bangunlah bangsaku demi Bangsa dan Negara !

Sunday, 24 May 2009

Keadaan Cuaca Yang Panas !

Salam Semua!

Hari ini cuaca panas tak terkira. Bila rasa panas begini, mulut kita mulalah berkata, " Issy , Panasnyee !! " Maka terfikirlah pulak, " Tak baiklah kalau nak komplen pasal cuacakan. Ada orang suka panas, ada orang suka hujan. Siapalah kita nak komplen mengenai cuaca . Itu semuakan kejadian dan kehendah Allah SWT ".

Orang tua dulu-dulu, kalau kita komplen panas, dia akan berkata, " Haaa ! Di akhirat nanti lagi panas, matahari hanya sejengkal dari kepala! Sejak kecil aku cukup takut memikirkan panas yang termat di akhirat nanti. Sehingga aku dewasa, barulah aku tahu bahawa ada perlindungan dan pertolongan bagi orang-orang yang beriman semasa di Padang Mahsyar. Kita hendaklah berdoa kepada Allah, apabila kita sujud semasa melakukan solat sunat Tahjud berdoalah " Robbi, adkhilni mudkhola sidkhi, waakhrijni mukhrajan sidkhi, waj'alni milladunka sultanannasiro ", yang bermaksud " Ya Tuhanku, ................dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang mendapat pertolongan ". ( nanti nak cari maksud yang tepat )

Alhamdulillah, kita hendaklah bersyukur kepada Allah. Banyak nikmat kurniaan Allah kepada kita tidak boleh kita sangkalkan. Kerana manusia ramai yang tidak tahu bersyukur maka ada beberapa ayat dalam al-Quran menyatakan ( kebanyakan ) manusia ini sedikitpun tidak bersyukur! Kerana manusia ini ramai yang jenis bongkak dan sombong, maka di tegur Allah begitu dalam surah Assajadah. Ayat teguran itu di sambungkan dengan ayat ini yang bermaksud " Hanya mereka yang mempercai Tanda-tanda Kebesaran Kami ( Allah ) apabila dibacakan kepada mereka, terus sujud dan memuji Kebesaran Tuhan mereka dan tidaklah mereka bongkak dan takbur " , Ayat 15 Surah Assajadah. Apabila kita menunaikan solat subuh di pagi Jumaat, Imam akan membaca surah Assajadah dalam rakaat pertama. Selepas Imam membaca ayat yang berkaitan hendaklah kita terus sujud kepada Allah, sambil membaca, " Sajadawaj hiyalilladzi kholakhohu wasauwarahu wa syakhosam'ahu, wabasorohu, bihaulihi wakhuwatihi, fatabarokallahu ahsanul kholikheen " ( Menganai sujud sajadah lihat entry lama )

Oleh itu hendaklah kita belajar menjadi insan yang tahu bersyukur. Janganlah pula kita menunggu apa-apa yang tidak kena dalam hidup kita baru nak mengadap Allah SWT. Kata peribahasa kita, " Dah terantuk baru nak tengadah " Kita bersyukur semasa kita sihat dan mewah dengan pelbagai kesenangan. Ada banyak cara untuk menunjukan kesyukuran kita. Beribadah jangalah sampai bila-bila masih di takuk yang lama. Hari demi hari, tambahlah sedikit demi sedikit lebih sempurna atau lebih banyak ibadah kita dari hari-hari yang lepas. Kita nak bersedekah janganlah tunggu kita jadi jutawan dahulu baru nak bersdekah. Kita nak pergi haji atau umrah jangan lah tunggu umur dah tua, anak dah bersar, masa lebih mengizinkan.

Sesungguhnya, Allah SWT telah berjanji bahawa sesiapa yang terlalu sibuk hal duniawi sehingga tidak ada masa untuk melakukan perkara-perkara ke jalan Allah, maka Allah akan membuatkan dia bertambah sibuk lagi setiap hari dalam urusan dunia. Pasanglah cita-cita nak memperbaiki diri dari segi ibadah bermula sekarang.

Ada orang berkata bahawa, dia tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan sudahpun pergi menunaikan Haji dan Umrah. Apa lagi yang dia perlu buat? Jawapannya amatlah banyak lagi perkara yang boleh dilakukannya. Orang yang jarang bersedekah, mulalah bersedekah sekurang-kurangnya setiap minggu masa pergi solat Jumaat itu bawalah beberapa RM masukan ke tabung masjid. Orang yang jarang pergi berjemaah, hendaklah cuba pergi lebih kerap. Orang yang jarang puasa sunat belajarlah berpuasa sunat. Orang yang belum pernah solat malam cubalah mula bersolat malam. Orang yang tidak pernah memberi makan orang miskin atau anak-anak yatim berilah makan golongan ini.

Tazkirah yang ku tulis ini adalah untuk diriku dan sesiap jua yang ingin membacanya.

Terima Kasih.

Wassallam !












Bunga-bunga adalah di antara nikmat Allah yang mengembirakan kita

Tuesday, 7 April 2009

Hadiah Tasbih Bilangan Seribu

Assalamualaikum!

Sekarang ini musim orang pergi menunaikan Umrah. Di kalangan pelajar-pelajar kami sahaja 4 orang telah pergi dan 2 orang lagi akan berangkat tidak lama lagi. Daripada 3 orang yang dah kembali itu mak teh dan Pak haji mendapat berbagai cenderahati. Ada satu hadiah yang mak teh agak tergamam menerimanya ialah tasbih bilangan 1000. Pak haji juga menerima sekalung tasbih bilangan seribu itu.

Pak haji tersenyum menerima hadiah tersebut dan cuba menggunakannya. Aku pula belum berani memegang tasbih itu kerana tidak percaya aku mampu berzikir bilangan 1000 dalam masa sekali duduk ataupun sekali baring pasti aku akan terlena. Aku amat berbesar hati menerim hadiah itu tetapi ia masih tersimpan di dalam almari buku.

Aku tahu berzikir itu amat digalakkan kerana pahala dan fadilatnya amat besar. Setakat ini aku hanya berani menggunakan tasbih biasa bilangan 100. Itupun kalau aku berzikir sambil berbaring sebelum tidur, maka cepatlah aku tertidur dengan tasbih ditangan dan mimpi-mimpi menarik segera membuaikan tidurku.

Kalau di fikirkan berzikir amatlah mudah dilakukan tetapi kenapa berat mulut kita untuk melakukannya. Kalau kita lakukannya dari umur yang masih muda maka dengan tidak kita sedari kita mula mengutip pahala-pahala yang amat mudah diperolehi. Apa yang kita kutip ini akan kekal hak milik kita hingga ke akhirat nanti.

Aku telah melalui zaman muda, mengutip macam-macam benda material. Aku telah mengumpul barang-barang kemas dan exccessories, aku telah mengutip barang-barang antiq, batu-batu berharga semi-precious stones, siput-siput laut, dan macam-macam lagi. Namun selepas beberapa lama minat aku terhadap barang-barang itu hilang dan aku tidak mengahargainya lagi. Selalunya barang-barang itupun turut hilang juga apabila minatku terhadapnya hilang. Kesimpulannya aku tidak mendapat apa-apa faedah dari perbuatn aku mengumpul barang-barang material itu.

Kalaulah masa muda dahulu lagi aku banyak beribadah, banyak berzikir, banyak bersedekah tentulah pahala amalan-amalan itu sudah membukit. Pada hari ini umur aku dan yang mereka yang seangkatan dengan aku boleh dikatakan sudah masuk senja. Masa kami tidaklah panjang lagi untuk mengutip pahala-pahala dan melakukan amalan-amalan yang di anjurkan. Sepatutnya kenalah buat banyak amalan marathon, amalan berpanjangan atau sepanjang masa, sepatutnya sudah boleh berzikir menggunakan tasbih bilangan 1000. Alahai........! sepatutnyalahkan??

So yang masih muda itu bolehlah mula dari sekarang ! Mulalah dengan yang sikit-sikit dan mudah-mudah dulu. Kalau umur dah hampir 40 tahun dan anda belum mula apa-apa lagi, susahlah nanti bila umur lebih meningkat tak semudah itu nak lakukan segala ibadah, amalan-amalan sunat seperti berzikir! Lagilah impossible nak gunakan tasbih bilangan 1000. ( Nota: segala amalan sunat kita tidak boleh memberitahu dan sengaja meununjukkannya kepada orang lain )

Insya-Allah segala niat baik anda dan usaha murni anda akan mendapat ganjaran pahala dan kebaikan. Semoga kita semua berjaya mengutip pahala sebanyak mungkin setiap hari selagi kita masih bernafas di atas dunia ini. Ameen!

Tuesday, 24 February 2009

Jadilah Insan Yang Baik

Assalamualaikum!

Ramai diantara kita ingin menjadi orang yang baik, seorang yang soleh atau solehah. Ramai juga diantara kita yang tidak tahu dimana untuk bermula. Ibadah yang wajib seperti solat 5 waktu dan puasa di bulan ramadan telah kita lakukan. Kitapun rasa selesa, ingatkan diri kita seorang muslim yang baik dan beriman. Kemudian apabila umur meningkat akhir 30an kita ingin membuat yang lebih lagi, jadi kita akan menunaikan ibadah umrah dan seterusnya ibadah Haji.

Sebenarnya ada banyak amalan-amalan mudah yang kita boleh lakukan setiap hari, kita akan mendapat pahala dan akan meningkatkan lagi tahap keimanan kita. Diantaranya:

1) Apabila kita berjalan, kita ternampak duri atau paku atau kayu yang akan membahayakan orang lain, maka kita buangkan benda itu. Amalan ini walaupun kecil akan mendapat pahala.

2) Bersedekah kepada fakir miskin walaupun sedikit selain mendapat pahala akan melindungkan kita dari perkara-perkara yang buruk yang mungkin menimpa kita.

3) Membaca al-Quran akan diampunkan Allah dosa-dosa dan mendapat hidayahNya.

4) Menolong orang yang dalam kesusahan akan mendapat banyak ganjaran pahala.

5) Berzikirlah selalu dan beristighfar memohon keampunan dan pertolongan dari Allah, nescaya Allah akan memberi keampunan dan makhabulkan doa kita.

6) Solat Isya berjemaah di suarau atau masjid akan mendapat pahala seperti beribadah separuh malam dan solat subuh berjemaah di surau atau masjid mendapat pahala seolah-olah beribadah separuh malam. Jadi kalau berjemaah Isya dan Subuh maka akan dapat pahala seolah-olah beribadat sepanjang malam.

7) Sekiranya kita berselawat keatas Nabi Muhammad ( SAW ), malaikat akan berselawat keatas kita pula dan kita akan mendapat syafaat Rasullallah di akhirat nanti.

8) Ajarlahlah ilmu yang berguna kepada orang lain, pahalanya akan berpanjangan, apabila ilmu itu diajarkan lagi kepada orang lain.

9) Pergilah menziarah orang sakit, akan mendapat ganjaran pahala yang besar.

10) Berdoalah untuk kebaikan seseorang dan orang itu tidak mengetahuinya, maka kita akan mendapat pahala dan keampunan dosa-dosa.

Monday, 9 February 2009

Apakah Ganjarannya?

Assalamualaikum!

Apa khabar anak-anak buah mak teh semua? Di harap anda semua sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bahagia. Mak teh kagum dengan 2 orang sahabat blogger kita yang menghadapi dugaan yang di beri oleh Allah SWT iaitu berupa mengidapi penyakit yang amat di geruni. Mereka sangatlah tabah, kuat iman, bertawakkal dan sedia menghapi hidup tanpa banyak rungutan atau keluhan. Insya-Allah mereka akan dapat ganjaran besar yang Allah SWT janjikan kepada orang-orang yang beriman!

Pagi ini mak teh nak beritahu sedikit tentang bagaimana caranya kita hendak mendapat ganjaran-ganjaran istemewa yang di janjikan Allah kepada orang-orang yang beriman. Mak teh dapat cerita ini daripada bacaan dan tazkirah yang mak teh dengarlah. Mak teh belum sampai tahap mengkaji kitab-kitab sendiri.

Kalau kita hendak bangunan-bangunan yang indah banyak-banyaklah bersedekah kepada fakir miskin. Kalau kita mahukan bidadari syurga hendaklah banyak bersolat tahhajud. Anda ingin didahulukan untuk masuk ke syurga ( ikut level andalah )? Hendaklah bersedekah kepada orang-orang yang belajar ilmu agama. Anda mahu mahkota yang cantik? Bawalah anak belajar menjadi orang-orang yang menghafal al-Quran. Sekiranya anda banyak berpuasa sunat, dapat apa? Jawapannya hadiah yang terlalu istemewa ( surprise ! ) iaitu Allah sahaja yang mengetahuinya. MasyaAllah!

Ini pula ganjaran-ganjaran yang akan di perolehi oleh the bad guys. Orang yang berzina, di akhirat benda sulit dia tu akan bernyala seperti torchlight. Orang yang berlaku tidak adil kepada isteri-isterinya, akan berjalan senget ( itupun kalau dia masuk syurga ). Orang yang menyakiti jiran di bangkitkan tidak ada tangan dan kaki, jadi dia kena pergi menghadi Allah cara bergolek-goleklah ( nauzubillah! ) Orang yang kita tidak nasihatkan didunia ini ( kalangan keluarga dan sahabat ), apabila nak di campakkan ke dalam neraka akan cuba membuat tuduhan keatas kita, akan mengatakan kita yang bersalah tidak memberi nasihat atau ajaran kepadanya! MasyaAllah! Orang yang menerima rasuah akan tarik tangan pemberi rasuah agar sama-sama masuk neraka dengannya.

Bayangkan di majlis 'konvokesyen' di akhirat nanti, anda mahu menerima scroll anda ( buku Illiyin ) di tangan kanan. Itulah orang-orang yang berjaya. Kalau sesiapa menerimanya di tangan kiri maka dia sudah tentu orang yang gagal Nauzubillah! semasa hidupnya di dunia tidak membuat amalan-amalan yang baik. Di masa itu sesalan tidak berguna lagi.

Marilah kita lihat ayat 12, surah Assajadah seperti berikut: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat orang-orang yang berdosa itu, menundukkan kepalanya dihadapan Tuhan mereka ( dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu )" Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya, akan segala yang kami ingkari masa dahulu ), maka kembalilah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik ; sesungguhnya kami sekarang telah yakin"

Ayat seterusnya menyatakan Allah menolak rayuan itu dan mereka yang berdosa itu di masukkan ke dalam neraka bersama-sama jin dan manusia yang pada masa hidupnya tidak beramal soleh! Nauzubillah! Renunglah ayat-ayat tersebut dalam surah assajadah dan sekiranya anda faham akan maksudnya, anda akan mengalirkan air mata mengenangkan nasib kita nanti dan nasib orang-orang tersayang yang telah pergi dahulu dari kita apabila imam membacakan ayat ini di dalam solat subuh pagi jumaat.

Sekian Tazkirah mak teh di pagi ini. Semoga mendapat manafaat kepada anda! Terima kasih.

Monday, 2 February 2009

Lapar Sikit Tak Mengapa

Assalamualaikum!

Ramai orang rasa lapar sebab tak dapat makanan segera kesukaan mereka ( termasuk mak teh ). Telah 2 bulan kami boycot makanan segera dan barangan keluaran syarikat2 yang bersekongkol dengan musuh2 kita. Tapi sekadar rasa lapar saja kerana tak makan makanan tu, jadi mak teh buatlah makanan menggenyangkan perut apabila terasa lapar di kala petang hari atau malam. Kejap lagi mak teh nak masak koay teow sebagai makanan istemewa untuk anak-anak tahfiz yang berpuasa sunat. Sebenarnya mak tehpun terasa lapar nak makan koay teow tu. Hehehe!

Puas juga rasa hati apabila nampak ada kesan boycot yang dijalankan. Namun ada juga lagi orang-orang yang tak mahu boycot. Mereka tidak ambil kisah apa yang sedang berlaku kepada orang lain, seolah-olah tak ada kena mengena dengan merekapun.Mak teh ni jenis penyebuk, jadi bila pergi ke supermarket ternampak orang kita nak beli baranga yang kita boycot mak tehpun cakaplah pada hamba Allah itu supaya cari barang jenama lain kerana yang dia pegang tu dari syarikat yang kita sedang boycot. Ada yang kata " Yekah ? " ada yang buat tak dengar je. Biarkan lah orang macam tu, nanti disuatu hari dia akan ditimpa kesusahan dan kemungkinan tidak ada orang yang menolongnya.

Ok setakat ini dahulu sebab mak teh dah nak kena pi masak koay teow! Sorry, jangan terliur ya!

Friday, 4 July 2008

Tazkirah Pagi Jumaat

Assalamualaikum!

Kabanyakan kita beranggapan susah untuk membuat ibadah dan mengutip pahala. Sebenarnya dalam Islam amat mudah mendapat ganjaran pahala setiap masa. Disini mak teh nak memberitahu cara-cara yang amat mudah mengutip pahala-pahala yang di janjikan oleh Allah SWT. Diantaranya adalah seperti berikut:

1) Memberi salam dan menjawab salam sesama Islam.

2) Memberi senyuman ikhlas kepada saudara Islam.

3) Membuang benda-benda halangan di jalan ( yang boleh membahayakan orang ) seperti paku, kaca, kayu dan sebagainya.

4) Mengucapkan ' Subhanallah ' apabila melihat kejadian Allah yang menakjubkab seperti apabila melihat laut, tumbuh-tumbuhan, keindahan alam dan sebagainya.

5) Mengusap kepala anak-anak yatim.

6) Memberi makan atau minum binatang termasuk binatang liar (umpamanya meletak pisang atau buahan di halaman rumah untuk burung-burung dan tupai)

7) Membantu orang dalam kesusahan.

8) Mengajarkan kepada orang lain ilmu yang berfaedah (apa saja ilmu kita ada)

9) Memberi makan orang yang berpuasa.

10) Berlaku baik kepada kedua ibubapa umpamanya setiap pagi bertanya khabar walaupun melalui telefon.

11) Bersedekah kepada fakir miskin walaupun 10 sen. ( Apabila ingin bersedekah janganlah menunggu hingga kita sudah kaya raya kerana disisi Allah sama saja nilainya orang yang kurang keewangannya bersedekah sedikit di bandingkan seorang jutawan bersedekah jutaan RM. Semuanya tergantung pada niat yang ikhlas.)

12) Memberi sokongan serta bantuan ( menderma kewangan atau sokongan moral yang akan memberangsangkan ) kepada orang-orang fisabilillah ( orang yang membuat kerja ke jalan Allah.

13) Menjaga harta awam ( bersifat prihatin, menghalang orang merosakkannya )

14) Menasihati, menegur atau melarang orang yang membuat mungkar. ( zaman sekarang walaupun kita ada amal ma'aruf kita tidak ada nahi mungkar, sebab kita takut dikatan busy body atau menjaga tepi kain orang )

15) Berzikir apabila anda seorang diri umpamanya semasa memandu, semasa beriadhah berjalan atau berjoging di taman atau keliling rumah.)

16) Beriktikaf dalam masjid. ( berniat iktikaf kemudian berdiam diri sambil mengingati Allah )

17) Mendoakan untuk kebaikkan orang lain sedangkan orang itu tidak mengetahuinya.

18) Berlaku baik dan tidak menyakiti jiran tetangga.

19) Meraikan tetamu yang datang kerumah kita. ( disambut dengan senyuman dan diberi makan dan minum)

20) Menziarah orang sakit.

Itulah di antara perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk mendapat pahala yang mudah. Ini menunjukkan Allah SWT amat Pemurah dan amat Mengasihani hambaNYA. Oleh itu marilah kita sama-sama cuba melakukan perkara-perkara diatas sebagai amalan hidup kita. Semoga Allah SWT akan memberkati hidup kita dan mencucuri rahmatNYA ke atas kita semua. Ameen!

Monday, 16 June 2008

Adab Masuk Masjid

Assalamualaikum!

Hari ini mak teh nak beritahu sedikit tentang adab masuk masjid. Ramai orang kita terutama di kalangan wanita kurang tahu adab apabila memasukki masjid. Bacalah yang berikut ini sebagai panduan terutama untuk wanita muda seperti anak-anak buah mak teh.

1) Pakaian hendaklah sopan dan menutupi aurat.

2) Wanita mesti suci dari haid dan nifas. Wanita yang dalam keadaan haid dan nifas tidak boleh masuk ke dalam masjid, walaupun anda yakin tidak kebocoran.

3) Sesudah berwudhu, apabila hendak masuk pintu masjid hendaklah memberi salam kepada malaikat penjaga masjid.

4) Bacalah doa " Ya Allah aku memohon rahmat darimu." sambil berjalan memasukki masjid.

5) Lakukan solat sunat tahiyatul masjid 2 rakaat.

6) Tidak boleh bercakap-cakap ketika didalam masjid menuggu waktu. ( Orang yang masuk kedalam masjid malaikat berselawat ke atasnya selagi dia tidak besuara atau bercakap-cakap )

7) Apabila selesai solat sunat hendaklah berdiam diri atau berdoa atau berzikir atau membaca al-quran. Ketika brdiam diri eloklah niat iktiqaf dalam rumah Allah (mendapar pahala mudah )

8) Kemudian anda hendak masuk baris atau saf untuk rsolat berjemaah, hendaklah masuk baris dari kiri saf dan naik ke kanan untuk merapatkan saf.

9) Lakukan solat berjemaah dengan tertib melakukan pergerakkan mengikut imam beberapa saat selepas dia melakukan pergerakan tersebut tidak boleh mendahuluinya.

10) Bacaan anda tidaklah boleh kuat hanya perlu dengar ketelinga anda sahaja. Tidak boleh kuat mengganggu makmum lain.

11) Seeloknya tidak boleh keluar dari tempat duduk sehingga imam selesai membaca doa.

12) Tidak boleh berniaga atau membincangkan hal bisness didalam masjid. Jika anda berniaga dalam masjid ada hadith mengatakan di jamin anda akan kerugian.

13) Berdoalah agar kita akan selalu suka datang ke masjid, " Ya Allah sangkutkanlah hatiku di rumahmu ini."

14) Ketika melangkah keluar hendaklah berdoa, " Ya Allah aku mengharap rahmatMu"

Sekian di harap mendapat faedah dari tulisan ini. Wassallam!