Saturday, 31 October 2009

Hujan di Pagi Sabtu

Assalamualaikum kepada pengikut blog mak teh !

Dari pagi tadi cuaca mendung dan hujan turun sederhana lebatnya. Mak teh baru pulang dari pasar. Mula-mula mak teh pergi ke Kelang mebeli barang-barang keperluan dapor. Kemudian pergi ke Pasar Seksyen 6 untuk barang-barang segar. Badan terasa letih dan pernafasan sedikit tercunggap. Tidak mengapa asalkan kerja-kerja yang perlu di buat dapat di lakukan.

Ada orang bertanya, " Tidakkah mak teh dan Pak haji mahu berehat setelah menjadi warga emas dan mencapai umur pencen ini? "

Jawapannya: " Kami ingin melakukan kerja-kerja ini kerana ingin mendidik anak-anak bangsa di jalan ini kerana Allah. Setidak-tidaknya, kami akan mengurangkan jumlah anak-anak bangsa yang hidup terbuang terjebak dalam dadah dan kancah maksiat yang lain." Semoga di berkatiNYA.

Ada lagi yang berkata, " Kami tak sangguplah melakukan kerja seperti ini. Buat projek lain kan lebih senang. Kalau berjaya dapat banyak duit! Boleh enjoy !"

Betul tu ! Mak tehpun pernah terfikir begitu terutama apabila mengharungi dugaan. Namun Alhamdulillah di beri hidayah oleh Allah dan hati akan berbisik seperti ini, " Kalau aku berkebun di sini aku akan dapat hasil segera di sini. Namun kalau kami buat kerja yang kami lakukan ini, kami berharap untuk menuai hasil di sana ". Sebenarnya semua ganjaran akan di beri oleh Allah. Kita hanya berusaha sahaja, semoga di rahmatiNYA dunia dan akhirat.

Hakikatnya kita tidak akan bertahan lama di dunia ini. Oleh itu tak perlulah menginginkan nama kita terkenal di dunia ini. Lebih penting kalau kita usahakan sesuatu yang ganjarannya di perolehi di alam yang berkekalan.

Semoga Allah SWT menganugrahkan Hidayah Taufik kepada kita semua. Alhamdulillah ! Hari ini ada 2 orang yang akan mendaftarkan untuk kemasukan tahun 2010 dan ada 3 pemohon untuk temuduga. Insya-Allah kami akan hanya memilih keluarga yang faham matlamat perjuangan kami ini dan ingin berjuang bersama-sama kami di jalan ini.

Memberi anak-anak ilmu agama terutama Al-Quran dan menuntut ilmu agama terutama menghafaz Al-Quran adalah satu perjuangan! Dan percayalah perjuangan ini bukanlah mudah !

Friday, 30 October 2009

Kisah Di Pagi Jumaat

Assalamualaikum!

Pagi Jumaat ini suasana amatlah tenang. Kedengaran kicauan burung-burung dari pokok-pokok di hadapan dan sisi rumahku. Oh, ada lagi kedengaran suara ceria anak-anak tahfiz yang sedang membasuh van sekolah. Hari ini hari mereka mengemas dan mencuci asrama dan kawasan asrama.

Anak-anak tahfiz sudah bersarapan setelah pulang dari masjid. Sarapan mereka hari ini ialah susu segar, kepingan bijirin, roti, mentega, kaya dan teh. Sebagai menganti senaman mereka menolong membasuh van sekolah secara sukarela.

Ada permintaan untuk anak-anak Tahfiz puteri, menghadiri majlis kuliah-kuliah agama wanita di syarikaat gergasi berdekatan. Kami telah mempersetujuinya dengan harapan dapat memperkenalkan sekolah kami dan orang awam dapat mengetahui bagaimana kami mendidik dan membentuk anak-anak Tahfiz. Anak-anak tahfiz akan emperdengarkan bacaan surah ( hafazan ) dan juga nasyid-nasyid berunsur agama. Sesungguhnya anak-anak Tahfiz Puteri kami menarik perhatian di setiap majlis yang kami bawa mereka hadiri.

Malam ini kami akan adakan satu majlis membaca doa selamat untuk bakal-bakal haji iaitu seorang pelajar dan keluarganya dan sepasang ibubapa kepada pelajar kami dan keluarganya. Majlis skan diadakan pada jam 9.00 malam di rumah Pengetua.

Seperti biasa sebelum mak teh berundur renungilah kata-kata ini:

Jadilah orang yang suka membina dan janganlah jadi orang yang suka meroboh.

Jangan mendengar apa yang orang kata, lihatlah siapa yang berkata ( baru dengar )

Birds of a feather flock together ( jadi hati-hatilah, semoga kita ketahui dan sedar kita dalam golongan yang mana??)

Jangan memandang rendah seseorang itu kerana kekurangan harta dunianya, kemungkinan orang itu lebih mulia dari kamu di sisiNYA.

Kalau kamu meminta harta dunia, Allah boleh memberinya, namun kalau kamu inginkan syurga hendaklah ikhlas mengusahakannya.

Dalam mengharungi kehidupan, lidah janganlah bercabang dan talam janganlah dua muka.

Sesungguhnya Allah amat mengetahui isi hati seseorang, dan Allah memilih kepada siapa yang akan di beri ganjaran yang besar ia-itu sebuah Mahkota yang gemerlapan cahaya batu permata! Tersenyumlah ketika anda mendapatnya nanti.

Sekian, Wassalam !

Thursday, 29 October 2009

Ke KLIA Menghantar Aly

Salam Semua !

Pada hari Selasa malam Rabu kami pergi ke KLIA menghantar Aly balek ke Mesir. Atas permintaan anak-anak Tahfiz kami buat rombongan ke KLIA dengan menyewa Bas Lan ( Bas yang selalu kami sewa untuk membawa kami ke mana saja, tuanpunya bernama Lan dan dia juga pemandu ).

Kami bertolak jam 6.00 petang dan tiba di KLIA tepat waktu maghrib. Setelah menunaikan solat maghrib anak-anak Tahfiz di benarkan bebas berjalan dalam kumpulan sesuka hati mereka. Maka dengan wajah ceria, berkeliaran lah mereka pergi membeli-belah di kedai-kedai yang terdapat di situ. Mereka di bekalkan sandwich dan minuman kerana mereka belum makan malam. Nasi goreng, makanan malam mereka ada di dalam bas. Mereka akan makan dalam perjalanan pulang nanti.

Alhamdulillah berkat asuhan kami, mereka berkelakuan baik dan pandai membawa diri. Oleh kerana mereka memakai pakaian outing sekolah kami maka kemana saja mereka pergi berderet-deret, mereka menarik perhatian orang ramai. Ada orang yang bertanya kepadaku, siapakah mereka ini dan mereka nak berlepas ke mana?. Sehingga ada seorang mak cik yang mengikuti mereka kesana-sini untuk bertanya macam-macam soalan kepada mereka. Aku melihat saja semua adegan itu tanpa masuk campur. Aku pandang sahaja dari jauh.

Cerita anak-anak Tahfiz kepadaku kemudian bahawa mak cik itu bertanya adakah mereka hendak berlepas ke Mesir untuk melajutkan pelajaran di Al Azhar? Mereka telah menjawab " Insya-Allah dalam 3 tahun lagi!" Mula-mula mak cik itu memang menyangka mereka akan berlepas ke Mesir malam itu bersama Aly. Hehehe!

Sementara menunggu kaunter buka, kami bergambar beramai-ramai dengan pelbagai posing. Jam 10.00 barang-barang Aly sudah di check-in, kamipun menyuruh anak-anak Tahfiz pulang dengan bas sedangkan mak teh dan Pak haji terus menunggu sehingga Aly masuk ke balai berlepas. Menghantar anak-anak kami ke Lapangan terbang KLIA, sudah merupakan perkara rutin bagi Mak teh dan Pak haji kerana dalam masa sebulan lebih ini telah 4 kali kami berbuat demikian!

Sekian dulu nanti akan di update lagi dengan gambar-gambar.

Monday, 26 October 2009

Malam Anugerah Cemerlang MTAQSA

Salam Semua !

Malam tadi kami telah mengadakan satu majlis ia-itu Majlis Anugerah Cemerlang MTAQSA. Oleh kerana majlis ini simple dan ringkas kami hanya menjemput ibubapa yang tinggal berdekatan di Lembah Kelang sahaja.

Majlis dimula dengan bacaan Surah Al-Quran secara bertaranaum oleh seorang pelajar senior. Seterusnya hadirin semua di minta bangun untuk menyanyikan sebuah lagu ' Sudahkah Kau Lupa' bersama-sama anak-anak Tahfiz. Bergema suara kami semua mendendangkan lagu tersebut dengan penuh semangat. Kemudian Penolong Kanan di jemput untuk memberi ucapan di ikuti dengan ucapan seorang bapa pelajar sebagai wakil Ibubapa dan sererusnya ucapan oleh Pengetua Mtaqsa. Semua ucapan ini memberi ikrar untuk melakukan segalanya agar Mtaqsa menjadi sebuah sekolah terbilang di masa hadapan. Semangat juga diberi kepada anak-anak Tahfiz agar belajar bersungguh-sungguh ilmu yang di sampaikan terutama memahatkan di dalam hati ayat-ayat suci yang telah di hafaz.

Di majlis ini Pengetua telah menyampaikan beberapa jenis sijil dan trofi kepada pelajar-pelajar, misalnya ada sijil anugerah pelajar terbaik, pelajar harapan, pengawas, kadet tahfiz terbaik dan kadet tahfiz harapan serta pemenang Gerak Gempur. Tersenyum pelajar-pelajar yang menerima anugerah ketika bergambar bersama-sama keluarga mereka sewaktu sesi fotografi. Anak-anak Tahfiz juga telah bergambar bersama-sama guru Maths dan guru tuition Maths mereka.

Selesai acara penyampaian anugerah, kami di tayangkan gambar-gambar perkhemahan Tabrani yang telah diadakan beberapa bulan yang lalu. Amat menghiburkan melihat aksi kadet-kadet tahfiz berada dalam ' hutan' sewaktu perkhemahan itu.

Walaupun majlis ini simple dan ringkas amatlah teratur dan berjalan dengan lancar. Tahniah di ucapkan kepada Ustaz yang telah merancang dan menjayakan majlis ini. Mak teh juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan ibubapa yang telah memberi sokongan padu mereka kepada kami untuk menjayakan sekolah ini. Mak teh terasa amat berpuas hati setelah majlis tamat pada malam tadi. (Insya-Allah gambar-gambar akan di masukan kemudian )

Sebelum mak teh mengundur diri hayatilah kata-kata ini: " Don't ask what your country can do for you, ask what can you do for your country."

Kadang-kadang sifat sesetengah manusia ini selfish ia-itu mementingkan diri sendiri , mereka sentiasa menyoal apakah yang mereka boleh dapat untung dalam satu situasi ( selalunya untung yang mereka sudah dapat mereka tidak akan nampak ) tanpa menyoal apakah sumbangan mereka dalam sesuatu perjuangan. Memberi ilmu agama kepada anak-anak dan menuntut ilmu agama terutama ilmu al-quran adalah satu perjuangan. Dan dalam usaha kita untuk mencapai matlamat sesuatu perjuangan kita tidak boleh lemah semangat !

Wassalam !

Saturday, 24 October 2009

Majlis Perjumpaan Bekas Pelajar SAS

Assalamualaikum!

Maaf! Sudah agak lama mak teh tidak menulis. Rupa-rupanya apabila lama mak teh tidak menulis blog, rasa amat malas nak meninggalkan jejak disini. Alhamdulillah, hari ini hati mak teh terbuka untuk berkata-kata. Banyak cerita yang mak teh nak ceritakan dan banyak juga cerita yang mak teh tidak mahu ceritakan.

Pertama mak teh nak ceritakan keseronokan yang amat mak teh rasakan semalam apabila mak teh menghadiri Majils ' sembang-sembang ' reunion bekas pelajar sekolah mak teh, sebuah sekolah menengah perempuan yang terkenal di bandar Alor Setar tu. Rasanya semua orang kenal sekolah kami ini yang merupakan sekolah perempuan tertua di Malaysia. Hehehe! Jadi apalagi kami yang datangpun kebanyakan warga emas dan berlianlah. Kami berkumpul di sebuah hotel di PJ bermula jam 11.00 pagi hari jumaat lalu.Punyalah seronok semua orang di majlis itu kerana berjumpa kawan-kawan lama hingga suasana menjadi gamat. Apalagi riuh rendahlah berpeluk cium dan punya sembang sakan sampai MC cakappun tak dengar. ( Maaflah cikgu, kami nak buat bising! )

Anyway, majlis di mulakan dengan doa dan ucapan seorang bekas guru besar yang sangat di hormati dan disayangi. Dalam sebak ucapannya dia memberitahu akan 2 orang bekas guru yang telah kembali kerahmatullah. Majlis mendoakan semoga roh mereka di rahmati Allah SWT. Selepas doa kami semua menyanyi lagu ' Warisan ' dan di ikuti dengan lagu sekolah dengan penuh semangat.

Sambil makan dan bersembang tak henti-henti, kami di hiburkan dengan tarian dan nyanyian oleh ahli-ahli persatuan. Bayangkanlah orang-orang lama menyanyi dan menari. Hehehe! Seronoknya kami dapat berjumpa kawan-kawan lama hingga tidak dapat nak mak teh ceritakan. Terasa lebih mesra dan seronok apabila kami dapat memanggil nama kawan-kawan sekelas seperti di zaman persekolahan walaupun mereka sudan ada gelaran, Datuk, Datin, Puan Sri dan sebagainya.

Tahniah mak teh ucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa yang telah menjayakan majlis tersebut. Mak teh harap mereka akan mengadakan majlis sebegini lagi di Lembah Kelang di masa hadapan. Mak teh nak ucapkan " Terima kasih cikgu ! Kami sangat sayang dan terhutang budi pada Cikgu! "

Kepada kawan-kawan sekelas mak teh, rasa kemesraan persahabatan dan kasih sayang tidak berubah seperti semasa kita di zaman persekolahan dari tahun 1964 ( Special Malay Class 1 hingga tahun 1971 ( Upper Six ) dahulu. Semoga persahabatan kita berpanjangan hingga ke akhir hayat. Yang lebih penting sekarang ini, di zaman senja kita ini, dapat membuat bekalan untuk alam yang kekal abadi walaupun apa jua aktiviti kita. Semoga kita di beri taufik dan hidayah dan dirahmatiNYA. Ameen!

Wednesday, 7 October 2009

Anak-anak Tahfiz Berpuasa Enam

Salam semua !

Alhamdulillah, hari ini sudah 3 hari warga MTAQSA menjalankan ibadah berpuasa sunat 6 dalam bulan syawal. Fadilatnya adalah kalau kita berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan di ikuti dengan berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal, kita akan dapat ganjaran pahala seolah-olah kita bepuasa sepanjang tahun! Kami melatih anak-anak Tahfiz berpuasa sunat 6, setiap tahun.

Apabila selesai berpuasa sunat 6, iaitu pada hari Sabtu ini, kami akan mengadakan Majlis Raya pada malam itu. Kami juga telah menjemput guru-guru dsn ibubapa bersama terutama yang tinggal di Shah Alam untuk bersama-sama meraikannya. Dengan ini, Mamalisa yang ingin membawa Alisa beraya ke rumah mak teh di jemput hadir pada malam itu. Makanan untuk majlis ini akan kami order sebahgiannya dari katerer dan signature dish kami akan kami sediakan. Insya-Allah. Sanak-saudara kalau terbaca blog ini dan belum dapat jemputan tetapi ingin menghadiri sila msej mak teh. ( Saja tak jemput semua orang sebab kami tak cadang buat besar-besaran ) Maafkan Daku ! Hehehe!

Sekian dahulu untuk hari ini, mak teh nak pergi ke pejabat sebuah majalah terkenal kerana mereka bercadang memuatkan sebuah rencana mengenai sekolah kami. Kalau anda berminat mengenai sekolah kami, anda boleh layari www.mtaqsa.com atau www.mtaqsa.net.

Terima kasih!

Sunday, 4 October 2009

Katerer Baru Bagus !

Alhamdulillah! Allah memberi pertolongan kepada kami. Betullah janjiNya dalam Surah Al-Insyirah: Dalam kesusahan ada kesenangan. Dalam kesusahan ada kesenangan Memang kami dalam kesusahan untuk menyediakan makanan kepada anak-anak Tahfiz kerana ketiadaan pembantu.

Maka seperti yang aku ceritakan semalam, aku telah menghubungi dan membuat order dari katerer baru. Sebelum ini aku telah pernah order makanan untuk keluargaku darinya dan masakannya sedap. Jadi kami telah berbincang dan dia mahu memasak untuk anak-anak Tahfiz. Hari ini dengan bujet yang aku sebutkan, dia akan menyediakan makanan berbuka lengkap. Perbelanjaan yang lebih adalah khairat darinya. Alhamdulullah! Lega rasanya hatiku yang kegusaran beberapa hari ini. Jadi kalau dia mahu aku akan terus memesan makanan seharian anak-anak Tahfiz darinya sehingga pembantuku kembali. Tengoklah keadaan, Insya-Allah di tahun hadapan kami akan mengambilnya sebagai katerer tetap kami.

Untuk ibubapa anak-anak Tahfiz yang mengikuti blog ini, Alhamdulillah anak-anak anda sedang tenang menghadapi pelajaran. Insya-Allah sekolah akan bertambah kukuh dengan kerjasama tuanpuan dan semua pihak. Tuanpuan sentiasa boleh menghubungi kami untuk mengetahui perkembangan anak-anak dan jika ada apa-apa kemusykilan yang timbul. Kami telah melantik 3 pasang ibubapa untuk bersama anak-anak 2 minggu sekali pada malam minggu supaya anak-anak merasakan ibubapa sentiasa berada bersama mereka dalam perjuangan ini. ( Menimba ilmu untuk menjadi seorang Tahfiz dan ilmuan adalah satu perjuangan yang bukan mudah ) Kebaikan untuk anak-anak dan kesejahteraan mereka, kita utamakan!

Nota untuk ibubapa anak-anak Tahfiz: Kami mula berpuasa Enam hari ini dan akan membuat Majlis Hari Raya pada hari Sabtu ini. Tuanpuan di jemput hadir bersama ke Majlis tersebut. Tuanpuan boleh mesej mak aji kalau nak datang ok ?

Sebelum mak teh mengundur diri inilah pepatah Melayu yang kita boleh hayati:


Kalau tidak di pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.


Belakang parang kalau di asah lagikan tajam ( Inikan pula anak-anak kita yang pandai dan tekun menghafaz al-Quran )


Berakit-rakit ke hulu, berenang-renag ke tepian,

Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.


Semoga usaha kita semua di berkati Allah SWT. Ameen!

Friday, 2 October 2009

Katerer Baru

Salam Semua !

Pembantuku belum telefon bila dia akan sampai ke sini. Katerer Maria tadi telah memberitahu aku bahawa dia tidak larat lagi nak masak makan tengah hari dan makan malam setiap hari. Aku memujuk dia dengan berkata sehari saja lagi nak suruh dia masak 2 kali sehari. Hari ahad kami semua akan mula berpuasa Enam. Jadi Maria akan hanya supply makanan sahur sahaja.

Itu kataku pada Maria, tapi sebenarnya keadaan kami bagaimana? Otakku telah berpusing ligat. Sementara memujuk maria aku telah buat rancangan segera dalam kepala. Pertama aku harap pembantu aku akan pulang dalam satu, dua hari sahaja lagi. Kedua makanan berbuka aku akan minta Katerer Hjh Gayah memasakkannya. Katerer Hjh Gayah adalah kawan Pak haji semasa mereka sama-sama bekerja sebagai pensyarah sekarang dah jadi buisness woman yang berjaya. Kami pernah berbincang sebelum ini, cuma sebutharganya agak mahal sedikit jadi aku tangguhkan membuat order kepadanya. Tetapi dalam keadaan begini aku tidak ada pilihan lain. Aku berharap dia akan beri portion yang anak-anak Tahfiz biasa makan. Kalau dia beri portion yang kecil susahlah kami nak terus berurusan dengannya. Untuk menjimatkan perbelanjaan, nasi putih dan air kami akan sediakan sendiri. Ni baru nak pi cakap dengan Pn Hjh Gayah tu nak buat order.

Untuk jam 10.30 pagi tadi kami makan pulut kuning gulai ayam. Insya-Allah esok kami makan bihun goreng. Aku order makanan ini dari kawanku Zan. Nasib baik dia mahu membuatnya. Kalau aku order roti canai lagi tentu anak-anak Tahfiz tak mahu makan, nampaknya mereka dah muak makan roti canai dan roti telur dah seminggu. Hehehe, akupun naik muak, hari-hari roti canai!

Thursday, 1 October 2009

Selepas Raya

Assalamualaikum !

Mak teh dan Pak haji telah balik ke kampong selama 2 hari pada hari raya ke 6 . Kami bergegas pulang semula kerana anak-anak Tahfiz masuk asrama pada hari Ahad lepas. Anak-anak Tahfiz sudah mula menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan. Nampaknya mereka semakin tekun mengulangkaji dan membuat kerja-kerja sekolah yang di beri guru.

Kesusahan yang amat kami rasakan sekarang ialah kerja-kerja menyediakan makanan menyelenggarakan rumah serta premis asrama kerana pembantuku belum pulang. Sementara menunggu kepulangannya kami semua membuat kerja-kerja tersebut. Sarapan pagi kami sediakan alakadar sahaja. Makanan tengah hari dan makanan malam di sediakan oleh Maria, katerer kami. ( sebelum ini Maria hanya sediakan makan tengah hari sahaja ). Makanan jam 9.30 pagi untuk anak-anak sekolah rendah dan 10.30 pagi untuk sekolah menengah amat sukar untukku menyediakannya. Jadi aku order saja roti canai dari restoran sahabat kami. Aku rasa kasihan pula, takkan nak beri anak-anak Tahfiz makan roti canai setiap hari! Makanan petang anak-anak sekolan rendah aku sediakan susu segar dan bijirin sahaja.

Nasib baik kain untuk laundry di uruskan oleh Alan. Pak haji yang supervise kerja-kerja Alan setiap hari. Masakan untuk makanan kami di rumah, Yanna yang melakukannya kalau dia ada kesempatan kerana Yanna juga mengajar sambilan. Nak harap aku boleh lakukan kesemuanya ? Tak boleh, pagi tadi kepala aku jadi pening dan badan rasa nak tergolek ! Aly pula banyak membantu kami di sekolah. Sekarang Pak haji tidak terlalu tertekan kerana ada 2 orang guru baru. Aku masih mengajar English dan Bahasa setiap hari. Anda tentu hairan kenapa aku jarang menceritakan Aizad dalam cerita sekolah kami. Sebenarnya Aizad sekarang telah bekerja sebagai pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi berhampiran. Untuk mengisi kekosongan Aizad kami telah menyuruh Huda meletakan jawatannya sebagai arkitek ( interior ) agar dia dapat membantu kami. Disamping itu Huda juga akan memulakan latihan-latihan perlu untuk mendapat pengalaman untuk membuka Kelah Ekuin kami kelak. Huda anak keempat merupakan seorang penunggang yang cekap dan pernah memasuki pertandingan-pertandingn berkuda.

Sebelum mak teh mengundur diri mak teh nak berpantun sedikit yang ada kena mengena dengan pengalaman mak teh hari ini dan juga pernah berlaku sebelum ini:


Banyak udang banyak garam,

Banyak orang, banyak ragam !


Sewaktu berjalan terhuyung-hayang,

Membakar sate guna arang,

Anak didik anak di sayang,

Apakan daya anak orang!


Di tepi jalan ada perigi,

Dalam perigi ada ikan,

Ingatlah anak yang telah pergi,

Ajaran kami jangan di abaikan !


Di tepi sawah ada parit,

Parit bengkok kami luruskan,

Walaupun pengalaman agak perit,

Perjuangan kami tetap di teruskan !


Wassalam !