Wednesday 30 July 2008

Melanjutkan Pelajaran ke Universiti Al - Azhar

Assalamualaikum!

Rancangan kami untuk berkhemah pada 2 hb ogos ini terpaksa dibatalkan. Kami kesuntukan masa kerana banyak aktiviti yang akan di jalankan. Pada hari tersebut kami hendak membuat sedikit makan dan doa selamat untuk Yanna dan Ally yang akan melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti Al-Azhar, Cairo. Mereka akan bertolak pada 12 Ogos. Pada 10 Ogos sekolah kami akan mengadakan Kejohanan Memanah. Itulah sebabnya kami amat kesuntukan masa.

Kami bercadang membawa anak-anak Tahfiz ke KLIA untuk menghantar Yanna dan Ally nanti. Terpaksalah kami sewa sebuah bas untuk tujuan itu. Aku berpendapat dengan menghantar Yanna dan Ally anak-anak Tahfiz ini akan memberi semangat kepada mereka berdua untuk belajar dan juga anak-anak Tahfiz ini akan bersemangat untuk belajar bersungguh-sunnguh kerana hendak melanjutkan pelajaran mereka ke luar Negara.

Hari ini pak Haji dijemput ke Syarikat Gergasi yang akan mendermakan sebuah van kepada sekolah kami. Akhirnya urusan surat menyurat untuk semua permohonan telah selesai. Alhamdulillah beberapa hari lagi kami dapatlah menggunakan kenderaan tersebut. Memandangkan perkembangan sekolah ini di tahun hadapan kami terpaksa mendapatkan sebuah bas pula. Bagaimana caranya akupun tidak tahu, Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Syukur! Dalam menghadapi zaman kesusahan ini kami dapat serba sedikit pertolongan dari hamba-hamba Allah yang pemurah dan prihatin. Beberapa hari lepas kami dapat 2 kampit beras yang di letakkan di depan asrama kami. Kami juga telah mendapat sumbangan dari orang kita yang merantau jauh di Negara padang pasir. Walaupun mereka kata sumbangan mereka tak seberapa ia-nya sedikit sebanyak amat membantu kami dalam operasi sekolah ini. Jazakallah!

Sunday 27 July 2008

Hujung Minggu Yang Sangat Sibuk

Assalamualaikum!

Hujung minggu kami ialah hari Jumaat dan Sabtu. Namun hujung minggu adalah waktu-waktu yang sibuk bagi anak-anak tahfiz kami. Bermula petang Khamis malam Jumaat
sesudah solat maghrib, mereka membaca Surah Yassin dan selalulunya disetai majlis tahlil atau solat Hajat di atas permintaan sesiapa yang berhajat. Selesai solat Isya mereka belajar Taranaum ia-itu bacaan Al-Quran berlagu dari Uatas Nizam.

Keesokan paginya Pak haji kejutkan mereka seawal 4.30 pagi untuk bersiap sedia ke Masjid Negeri. Pak haji mengangkut mereka termasuk pelajar perempuan ke masjid berulang-ulang sehinggalah semua berada dimasjid seawal jam 5.30 pagi. Sementara menunggu waktu mereka melakukan solat-solat sunat dan menghafal surah-surah. Solat subuh Jumaat amat istemewa sebab Imam akan membaca Surah Assajjadah di rakaat pertama dan Surah Al-Insan di rakaat kedua. Dalam rakaat pertama apabila imam membaca Surah Assajjadah, tiba pada akhir suatu ayat itu, imam dan makmum akan melakukan sujud yang dinamakan sujud sajjadah.

Lalu di dalam sujud itu kita lafazkan pujian kepada Allah SWT yang berbunyi ....... " Sajadawajhi yalilladzi kholakhohu wasauwarohu wasyakkhosam'ahu wabasorohu bihaulihi waquwwatihi, fatabarakaallahu ahsanul kholiqeen" yang bermaksud " Ku sujudkan wajahku pada Mu ( ya Allah )yang menciptakan rupa parasku, yang memberi pendengaran padaku, yang memberi penglihatan padaku, dengan KekuasaanNya dan KekuatanNya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta."

Anak-anak tahfiz kami kesemuanya telah menhafal Surah Assajjadah ini, malah inilah Surah yang pertama wajib mereka hafal setelah masuk ke sekolah kami. Selepas itu mereka di suruh mempelajari maknanya. Oleh itu fahamlah mereka mengapa sujud itu dilakukan dan kalau ada yang faham lebih mendalam akan tersentuh hatinya dan akan mengalirkan air mata.

Selesai solat subuh mereka kembali keasrama untuk bersarapan pagi. Setelah bersarapan mereka akan menghafal Al-Quran. ( Dua jam setipa pagi merupakan jadual yang wajib mereka ikuti menghafal Al-Quran walaupun dihujung minggu ).

Kemudian mereka membersihkan bilik mereka dan kawasan asrama. Selepas itu mereka bergegas salin pakaian untuk ke kelas Khat. Jam 11-12.00 tengah hari mereka makan dan berehat sebentar serta bersiap untuk ke Masjid Negeri. Tepat jam 12.00 Pak haji muncul dengan Hiluxnya untuk mengangkut mereka sekali lagi pergi ke Masjid Negeri untuk menunaikan Solat Fardu Jumaat.

Mereka berehat sebentar dari jam 3.00 hingga 3.30 kerana selepas itu mereka akan di bawa ke Perpustakaan Negeri dan berada di sana hingga jam 6.00 petang. Solat Asar mereka lakukan di surau Perpustakaan.

Pada hari sabtu pula mereka ada aktiviti memanah yang diwajibkan kepada semua pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Kemudian mereka ada kelas tambahan atau tusyen bagi mata pelajaran yang mereka lemah. Pada petang hari Sabtu mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah mereka ataupun menunggu ibubapa mereka yang akan berkunjung 2 minggu sekali.Itulah lazimnya aktiviti mereka setiap minggu.

Namun pada hari hujung minggu ini, ada sedikit kelainan. Mereka telah mengadakan aktiviti perkemahan, merupakan salah satu aktiviti di bawah Pasukan Kadet Tahfiz ( kalau sekolah kebangsaan di panggil Pasukan Kadet Remaja ). Nampaknya anak-anak ini sangat teruja dan seronok dengan aktiviti ini. Buat permulaan mereka berkhemah di kawasan lapang belakang asrama mereka. Pelajar banat ( perempuan ) hanya berkhemah di halaman asrama mereka. Selepas solat Jumaat mereka sudah mula bersiap membersihkan tapak khemah, kemudian memacak dan mendirikan khemah masing-masing. Pada malam itu mereka tidur dalam khemah. Ada 8 pasukana kesemuanya. Mereka memasak makanan sendiri untuk supper malam itu dan menyediakan sarapan keesokan pagi. Mereka kemudian berkawad galas bag haversack memanjat Bukit seksyen 3. Kuat bersemangat bunyi suara mereka berkawad. Markah-markah di beri kepada semua aktiviti mereka oleh Komandan pasukan. Jam 3.30 petang mereka selesai berkhemah dan pulang ke asrama dengan amat keletihan. Maka tidak hairanlah mereka tertidur hingga jam 5.00 petang di kejutkan oleh Pak haji untuk solat Asar. ( Menyedari keletihan mereka, aku telah berpesan kepada Pak haji agar jangan memarahi mereka bangun lewat untuk solat Asar hari itu.)

Malam tadi kami telah mengarah mereka tidur awal untuk bersedia ke sekolah pagi ini hari Ahad ia-itu hari pertama minggu ini untuk sekolah kami. Minggu hadapan kami bercadang akan membawa mereka berkhemah ke dusun kami di Ulu Langat. Walaupun kami benarkan aktiviti sebegini, mereka terus gigih berlumba-lumba menghafal Al-Quran. Umpannya, kalau tak dapat tasme' ( meperdengarkan hafalan depan ustaz ) semuka surat sehari, untuk mereka yang cepat dan 3/4 muka surat sehari untuk yang lambat, maka mereka tidak akan di bawa serta untuk aktiviti perkhemahan yang di rancangkan!

Semoga dengan pendedahan kepada aktiviti sebegini akan membina semangat jatidiri dan membentuk peribadi kepimpinan dalam anak-anak tahfiz kami. Ibupapa sila perhatikan perubahan positif yang berlaku kepada anak-anak anda setelah berda di sekolah kami.

Monday 21 July 2008

Anak-anak Tahfiz Berpuasa Sunat

Assalamualaikum!

Seperti lazimnya pada setiap hari Isnin warga sekolah kami melakukan puasa sunat. Berpuasa sunat adalah satu latihan ibadah yang wajib bagi anak-anak tahfiz kami.Mereka sepatutnya berpuasa sunat juga pada hari khamis. Namun kerana hari Kamis adalah hari aktiviti kawad kami, buat masa ini kami tidak sampai hati untuk menyuruh mereka berpuasa pada hari Khamis.

Tadi kami telah berbuka puasa, Alhamdulillah kami mendapat rezeki lebih. Makanan istimewa kami sediakan, ditambah pula dengan sedekah makanan dari jiran. Bagi aku dan pak haji kami cuba sedayanya berpuasa bersama-sama anak-anak tahfiz kami. Kami ada sedikit masaalah apabila tiba hari berpuasa. Pertama ialah untuk membangunkan mereka untuk sahur. Kedua hendak memastikan semua mereka yang boleh berpuasa melakukannya. Ada juga kami telah mendapat lapuran ada diantara anak-anak itu ( seorang dua ) yang cuba ponteng berpuasa. Ada juga yang mengadu gastrik dan tidak tahan berpuasa. Oleh kerana puasa yang ini adalah pusa sunat maka kami tidaklah menghukum mereka yang tidak tahan berpuasa atau mengadu sakit. Namun kami akan menghukum kalau mereka tidak bercakap benar.

Pada bulan ini kami telah menerima 3 orang pelajar baru, 1 orang lelaki dan 2 orang perempuan. Nampaknya mereka dapat menyesuaikan diri walaupun masuk ke sekolah kami agak lewat.Kami masih menerima pelajar baru untuk tahun ini. Tahun hadapan kami tidak akan mengambil pelajar baru untuk Tingkatan 2.

Disini mak teh ingin mengumumkan bahawa sekolah kami akan membuka Sekolah Rendah Tahfiz Al Quran. Kami akan menggunakan sistem yang sama bersesuaian dengan tahap sekolah rendah. Kurikulumnya adalah integrasi 3 ia-itu Al Quran hafazan, subjek agama dan akademik kurikulum KBSR. Pendaftaran untuk Jan 2009 bermula sekarang dan kami mengambil kemasukkan untuk darjah 1, 2, dan 3. Untuk sekolah rendah ianya sekolah harian bukan berasrama penuh berbanding Sekolah menengah kami.Ada juga ibu-ibu yang meminta kami buat asrama untuk anak-anak sekolah rendah. Kami tidak akan buat asrama untuk sekolah rendah kerana tak terdaya nak menjaga anak-anak yang masih kecil itu dan kedua kasihan kalau dipisahkan mereka yang masih kecil dari ibubapa mereka.

Sesiapa yang berminat silalah berhubung dengan kami. Sila layari laman web kami www.mtaqsa.com. Terima kasih.

Monday 14 July 2008

Kisah Lawatan Ke Perak

Assalamualaikum!

Hari sabtu lalu rombongan sekolah kami bertolak ke Perak jam 6.10 pagi selepas menunaikan solat subuh. Sebaik bas bergerak doa selamat perjalanan dibacakan dan seterusnya surah Yassin dan surah-surah amalan.

Bas kami mengambil jalan Kuala Selangor terus menghala ke Teluk Intan. Makanan berupa roti sandwic tuna di edarkan untuk sarapan pagi. Hampir jam 9.00 pagi kami sampai ke Bandar Teluk Intan. Tempat pertama yang kami tuju ia-lah Menara Condong. Setiba kami di situ kami telah di sambut oleh ibubapa kepada pelajar kami orang Teluk Intan. Kami tidak lengah bergambar di hadapan bangunan menara condong itu. Oleh kerana hari itu hujung minggu, menara itu di kunci dan kami tidak dapat masuk kedalamnya. Ada keterangan di situ meyatakan menara itu telah berumur 100 tahun lebih. Ia menempatkan sebuah jam besar yang mekanismanya menggunakan air yang berada dalam bangunan itu ialah sebuah perigi atau tempat air. ( Saya tidak berapa pasti tetapi fakta ini dari keterangan ibu kepada pelajar kami orang Teluk Intan tadi ). Sebelum meninggalkan Teluk Intan, kami di bekalkan dengan roti bun, snacks dan 2 kotak air mineral oleh ibubapa pelajar tadi.

Kemudian kami bergrak ke Pasir Salak kira-kira 45 minit dar Teluk Intan. Di Pasir Salak kami mengunjungi kompleks sejarah. Dapatlah kami bayangkan bagaimana Datuk Maharajalela dan pengikut-pengikutnya memberontak melawan British hampir 200 tahun dahulu. Kami juga dapat membayangkan bagaimana Birch telah di rejam dengan tombak apabila sedang mandi di sungai yang mengalir di tepi Kompleks itu. Selama 1 setengah jam kami berlegar di kawasan kompleks sejarah itu dan banyak jugalah fakta sejarah yang kami serapkan. Setelah itu kami semua terasa lapar, kamipun makan bekalan yang di bawa ia-itu bihun goreng.

Kemudian kami menuju ke Kampung Gajah kawasan buah durian. Kami nampak replika buah durian gergasi menghiasi jalan masuk ke kawasan itu. Kelihatan lambakan durian dan penjual serta peraih durian sepanjang jalan. Kami sampai di rumah pelajar kami orang Kampung Gajah jam 12.30 tengah hari. Ibubapanya telah menjemput kami untuk singgah makan tengah hari. Kami di hidangkan dengan buah durian, roti jala, kuah durian selain masi dan lauk pauk. Apalagi teruslah kami menghadap hidangan tersebut tanpa segan silu. Hehehe, makanlah sehingga kekenyangan. Dalam ramai-ramai itu ada 6 orang yang tak makan durian. Mereka diacah oleh kawan-kawan disuruh cuba makan juga macam kisah episod Fear Factor. Termuntah-muntah mereka mencubanya menelan dalam ketawa dan tepukan kawan-kawan. ( Sungguh menggelikan hati! Ada di rakamkan dalam camera kami )

Selepas itu kami solat zohor di masjid kampung itu. Kemudian kami pergi melihat bengkel kraftangan labu sayung ( berdekatan bukan di Sayung ). Nampaknya pelajar-pelajar sangat berminat terhadap penghasilan kraftangan ini. Hampir dua jam kami merada disini mendengar peneranga, melihat demonstrasi, mencuba membuatnya dan membeli hasil seni tersebut.

Selepas itu kami beredar ke Kelly's Castle. Pelajar-pelajar masuk melawat ke dalam bangunan itu sedangkan aku dan Cik Gu Waa.. tinggal di dalan bas kerana sudah kepenatan. Jam menunjukkan hampir pukul 5 pm namun cuaca sewaktu itu sudah agak gelap kerana hujan rintik-rintik. Setelah kembali ke bas pelajar-pelajar melapurkan keadaan seram ketika di dalam castle itu.

Kami terus pulang melalui highway menuju Shah Alam. Kami makan dinner dalam bas kerana bekalan telah siap dibawa dan semua orang sudah kelaparan. Kami selamat sampai di Shah Alam jam 8.00 malam.

Alhamdulillah perjalanan kami selamat pergi dan kembali dan kami semua berasa puas hati mengenai lawatan ke Perak itu.

Friday 11 July 2008

Lawatan Sambil Belajar Ke Perak

Assalamualaikum! Minggu ini mak teh sibuk menyediakan persiapan untuk lawatan ke tempat bersejarah di Negeri Perak. Sudah lama mak teh berjanji nak membawa anak-anak sekolah kami membuat lawatan tersebut. ( Ini kerana Ting 2 membaca buku Pahlawan Pasir Salak )Inilah baru ada kesempatan masa setelah semua kertas peperiksaan telah di tanda dan diberi markah.

Esok kami akan bertolak pada jam 6.00 pagi sebaik sahaja menunaikan solat subuh. Kerana nak bertolak awal bacaan surah Yassin yang pada lazimnya dibaca selepas solat subuh, mereka akan bacakan di dalam bas. Kami merancang untuk sampai ke Teluk Intan pada jam 9 pagi. Kami, anak-anak tahfiz bersama 5 orang guru, termasuk seorang tenaga pengajar baru, Cik Gu Waa... akan membuat lawatan ke tempat bersejarah dan destinasi pelancongan sekitar Teluk Intan dan Batu Gajah. Nanti lepas balek mak teh ceritalah. Tak sedap nak cerita sekarang.

Malam ini kami hendak sediakan sandwic tuna untuk sarapan pagi ( akan di makan dalam bas ). Bahan untuk bihun goreng dan bekalan nasi akan di sediakan malam ini sebelum tidur. Mak teh dan pembantu kena bangun pukul 4 pagi nak masak bihun dan nasi serta lauk-pauknya. Bihun adalah untuk makan pada jam 10.30 pagi, di jangka setelah sampai Teluk Intan. Nasi dan lauk-pauknya adalah untuk makan malam sebelum kami bertolak balik.

Anda tentu tertanya-tanya bagaimana dengan makan tengah hari kami? Ha! Jawapannya ialah kami telah di jemput makan tengah hari dan makan durian bersama pulut di rumah pelajar kami yang tinggal di Kampung Gajah. Best! Kami semua looking forward untuk hidangan durian tersebut. Hehehe! Nanti balik mak teh cerita takut ada orang terleleh air liur pulak.

Mak teh ada lagi satu kegembiraan. Esok Yanna akan pulang bercuti dari Cairo. Kesian dia balek mak dia tak dapat sambut kat KLIA. Yanna akan di jemput oleh abang dia Zed dan kakak dia, Kin ang Ude. Yanna akan bercuti selama sebulan sebelum balik semula ke Cairo bersama Ally. Insya-Allah, kedua-duanya akan melanjutkan pelajaran ke University Al-Azhar. Suatu hari nanti mak teh akan ceritakan perihal kedua-dua beradik ini mak teh telah hantar belajar ke Sudan semasa mereka berumur 10 tahun dan 11 tahun hanya kerana ingin mereka mempelajari ilmu Al-Quran dan Bahasa Arab. Kerana merekalah juga sampai mak teh dan Pak Haji dapat membuka sekolah Tahfiz/Agama seperti sekarang ini.

Insya-Allah kami akan sampai balek dari Perak jan 9.00 malam. Mak teh doakan semuanya akan selamat, Yanna selamat sampai dan kami yang nak pergi melancong ini selamat pergi dan kembali. Ameen! Semoga segala usaha kami di berkati Allah SWT.

Friday 4 July 2008

Tazkirah Pagi Jumaat

Assalamualaikum!

Kabanyakan kita beranggapan susah untuk membuat ibadah dan mengutip pahala. Sebenarnya dalam Islam amat mudah mendapat ganjaran pahala setiap masa. Disini mak teh nak memberitahu cara-cara yang amat mudah mengutip pahala-pahala yang di janjikan oleh Allah SWT. Diantaranya adalah seperti berikut:

1) Memberi salam dan menjawab salam sesama Islam.

2) Memberi senyuman ikhlas kepada saudara Islam.

3) Membuang benda-benda halangan di jalan ( yang boleh membahayakan orang ) seperti paku, kaca, kayu dan sebagainya.

4) Mengucapkan ' Subhanallah ' apabila melihat kejadian Allah yang menakjubkab seperti apabila melihat laut, tumbuh-tumbuhan, keindahan alam dan sebagainya.

5) Mengusap kepala anak-anak yatim.

6) Memberi makan atau minum binatang termasuk binatang liar (umpamanya meletak pisang atau buahan di halaman rumah untuk burung-burung dan tupai)

7) Membantu orang dalam kesusahan.

8) Mengajarkan kepada orang lain ilmu yang berfaedah (apa saja ilmu kita ada)

9) Memberi makan orang yang berpuasa.

10) Berlaku baik kepada kedua ibubapa umpamanya setiap pagi bertanya khabar walaupun melalui telefon.

11) Bersedekah kepada fakir miskin walaupun 10 sen. ( Apabila ingin bersedekah janganlah menunggu hingga kita sudah kaya raya kerana disisi Allah sama saja nilainya orang yang kurang keewangannya bersedekah sedikit di bandingkan seorang jutawan bersedekah jutaan RM. Semuanya tergantung pada niat yang ikhlas.)

12) Memberi sokongan serta bantuan ( menderma kewangan atau sokongan moral yang akan memberangsangkan ) kepada orang-orang fisabilillah ( orang yang membuat kerja ke jalan Allah.

13) Menjaga harta awam ( bersifat prihatin, menghalang orang merosakkannya )

14) Menasihati, menegur atau melarang orang yang membuat mungkar. ( zaman sekarang walaupun kita ada amal ma'aruf kita tidak ada nahi mungkar, sebab kita takut dikatan busy body atau menjaga tepi kain orang )

15) Berzikir apabila anda seorang diri umpamanya semasa memandu, semasa beriadhah berjalan atau berjoging di taman atau keliling rumah.)

16) Beriktikaf dalam masjid. ( berniat iktikaf kemudian berdiam diri sambil mengingati Allah )

17) Mendoakan untuk kebaikkan orang lain sedangkan orang itu tidak mengetahuinya.

18) Berlaku baik dan tidak menyakiti jiran tetangga.

19) Meraikan tetamu yang datang kerumah kita. ( disambut dengan senyuman dan diberi makan dan minum)

20) Menziarah orang sakit.

Itulah di antara perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk mendapat pahala yang mudah. Ini menunjukkan Allah SWT amat Pemurah dan amat Mengasihani hambaNYA. Oleh itu marilah kita sama-sama cuba melakukan perkara-perkara diatas sebagai amalan hidup kita. Semoga Allah SWT akan memberkati hidup kita dan mencucuri rahmatNYA ke atas kita semua. Ameen!