Saturday 30 May 2009

Hari Berkemas Untuk Pulang

Salam Semua !

Semalam mak teh pergi ke kedai barang dapur ( grocery ) kat Kelang. Nya yang selalu melayan mak teh mengucapkan ' Selamat Bercuti ' kepadaku. Pagi tadi semasa pergi membeli barang-barang segar kat pasar, tauke gerai sayurpun mengucapkan ' Selamat Bercuti ' kepadaku.

Setelah pulang dari Pasar tadi aku segera masak mee goreng basah untuk makanan jam 10.30 pagi. Teringat pula bahawa anak-anak ini telah biasa dengan makanan yang teratur masanya setiap hari. Jadi malam tadi semasa perjumpaan dengan anak-anak Tahfiz Puteri, aku telah berpesan bagaimana untuk menjaga pemakanan mereka apabila mereka pulang kerumah masing-masing nanti. Aku berpesan agar mereka jangan makan mee segera atau makanan yang di beli dari gerai-gerai sebarangan. ( Ini bagi kes dimana ibu-ibu sibuk bekerja ). Aku telah berpesan supaya mereka sentiasa ada bahan seperti susu, roti, telor dan tuna di rumah mereka.

Bagi anak-anak yang mempunyai ibu seorang surirumah tentunya si ibu akan memberi makanan dari masakan ibu yang sedap-sedap dan istimewa. Alhamdulillah, dapatlah mereka merasa nikmat tinggal bersama keluarga tersayang. Sekiranya mereka pergi bercuti aku juga berpesan agar tidak minum banyak air gas atau air batu. Kebiasaan yang terjadi apabila si ibu kurang prihatin mengenai perkara ini, kesihatan anak-anak akan terjejas. Apa yang berlaku ialah semasa anak-anak kembali keasrama selepas bercuti, kami dapati ada yang demam atau sakit.

Anak-anak Tahfiz kesemuanya sedang mengemas asrama dan beg pakaian mereka untuk pulang. Aktiviti anak-anak Tahfiz lelaki selain berkemas ialah berkebun. Ada juga kelihatan pagi tadi Pak haji mencukur, merapikan rambut anak-anak yang hendak pulang bercuti. ( Pak haji ni, dia buat semua anak-ank itu seperti anak-anak dia sendirilah ! )

Bagi anak-anak Tahfiz Puteri mereka akan membuat kek dan muffin petang ini. Kalau mereka buat banyak selalunya aku suruh mereka bawa pulang 1 paket untuk keluarga mereka. Dengan cara ini, mereka akan merasa bangga menunjuk kepandaian mereka kepada keluarga.

Sekian dulu, dengan ini mak teh mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua orang! Sekiranya ada terkasar bahasa mak teh pohon di maafkan. Almaklumlah manusia tidak sunyi dari kesilapan!

Wassallam !




Semua berwajah ceria kerana dah habis exam dan nak bercuti




Anak siapa nii?





Ini anak Tahfiz kami yang termuda berumur 5 tahun ...... sudah menghafal beberapa surah Juzu' 30 . Boleh menulis dan membaca English, Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Dia juga sudah belajar metamatik dan sains. Bak kata pepatah " Melentur buluh hendaklah dari rebungnya "

Friday 29 May 2009

Hari Bergambar Sekolah Kami

Assalamualaikum !

Hari ini hari kami merakamkan gambar anak-anak Tahfiz bersama guru-guru untuk setiap kelas. Kami juga akan merakamkan gambar semua anak-anak Tahfiz Puteri dan anak-anak Tahfiz Putera berasingan. Semua pelajar-pelajar dan guru-guru telah diberitahu akan perkara ini. Harap-harap cuaca menyebelahi kami. ( sekarang nampaknya cuaca mendung ).

Aku perlu ke pasar dahulu untuk membeli barang-barang keperluan memasak makanan untuk jam 10.30 dan juga persediaan untuk makan malam. Hari ini kami akan hidangkan laksa kegemaran mereka. Pastinya hari ini aku akan sediakan anggaran yang berlebihan.
Disebabkan harga ikan terlalu mahal kami akan masak daging untuk makan malam nanti. Harga daging sekarang rm 20 sekilo. Kami memerlukan 2.5 kilo daging jadi sekali belanja untuk daging sahaja Rm 50 lebih murah dari membeli ikan bawal ( rm 70 )atau tenggiri ( Rm 100 ).

Kami telah mengambil gambar pada jam 9.00 higga 9.30 pagi tadi. Keadaan lighting kurang memuaskan. Sila lihat gambar di bawah ini.




Anak-anak Tahfiz Puteri Bersama Guru-guru




Anak-anak Tahfiz Putera Bersama Guru-guru




In Holiday Mood





The Brothers and Sisters In Our School

Thursday 28 May 2009

Selepas Exam, Cuti Mood !

Assalamualaikum !

Alhamdulillah ! Dah selamatlah anak-anak Tahfiz menjalani peperiksaan pertengahan tahun mereka. Nampaknya mereka ingin nak releks sikit, maka mereka meminta di bawa keluar ke Giant. Aku membenarkan kerena rasa kasihan kepada mereka yang telah menghadapi tekanan peperiksaan sejak 2 minngu lepas. Jadi selepas solat zohor dan makan tengah hari aku membenarkan mereka dibawa keluar.

Anak-anak Tahfiz perempuan nampak bergembira kerana mendapat tahu beberpa subjek yang sudah di tanda oleh guru-guru, menunjukkan kesemua mereka lulus. Manakala anak-anak Tahfiz lelaki ada beberapa orang yang tidak lulus mata-pelajaran tersebut. Biasalah tu di peringkat umur ini anak-anak perempuan lebih matang dan lebih tekun. Tapi ini tidaklah bermakna anak-anak Tahfiz perempuan yang akan mendapat top marks.

Mak teh tidak boleh releks lagi kerana perlu menanda 12 set kertas peperiksaan BM 1 & 2 dan English 1 & 2 untuk Ting 1,2 & 3. Walaubagaimanapun selepas anak-anak ini di jemput pulang oleh ibubapa mereka pada hari Ahad ini, dapatlah kami berehat sedikit.

Cuti kami tidak sama dengan cuti sekolah-sekolah kerajaan. Program kami untuk penggal ini belum tamat. Ada beberapa orang ibubapa yang masih belum faham perkara ini meminta anak mereka dibenarkan pulang awal iaitu petang ini. Kami tidak boleh membenarkannya. Ada lagi perkara-perkara yang mereka perlu buat. Kami perlu memastikan anak-anak betul di latih dan akan membuat kerja-kerja yang di suruh sewaktu cuti. Mengikut Takwim kami mereka hanya mula bercuti pada hari selasa nanti. Namun kami telah membuat keputusan melepaskan mereka pulang hari Ahad ini.

Semalam kami di kunjungi beberapa orang pelawat yang berkulit cerah. Tahukah anda siapa pula yang datang mengunjungi kami kali ini ? Haa, kali ini kami menerima pelawat dari Timur Tengah. Apakah tujuan mereka datang menjenguk kami? Tujuan mereka samalah dengan pelawat yang sebelum ini, iaitu hendak memohon untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah kami.

Apakah pula jawapan kami kepada mereka? Pertama, kami sudah tidak ada tempat kerana asrama kami penuh ( untuk lelaki ) dan kami belum mendapat bangunan asrama tambahan. Kedua calon yang mereka bawa, kami tidak boleh terima dan kami menerangkan sebab-sebabnya. Ketiga kami sedia menerima anak-anak perempuan mereka yang berumur 6, 7 dan 8 tahun untuk di masukkan kedalam Darjah 1 & 2. Anak-anak ini sedang bersekolah di sekolah lain, jadi perkara ini belum tentu mereka akan berpindah kesini.




Dalam kelas anak-anak Tahfiz Junior

Tuesday 26 May 2009

Batch Pertama Dari Luar Negara

Assalamualaikum !

Awal pagi tadi angin kuat macam nak hujan ribut. Kemudian tengah hari hingga ke saat ini cuaca gelap macam nak hujan, namun belum ada setitikpun hujan yang turun. Apapun aku bersyukur kerana kain di ampaian sudah kering.

Bercakap mengenai kain di jemuran teringatlah kisah kami dengan masaalah washing machine yang dah udzur itu. Baru-baru ini dah repair 2 kali, sekali repair bayar Rm 250. Mujurlah ada orang yang terbaca bebelan mak teh ini, maka dia nampak kelibat mak teh dipasar di hulurkan duit untuk bayar kos repair yang pertama tu. Lepastu repair lagi, ganti motor pulak kena lagi Rm 250.00. Alhamdulillah, sekarang dah jalan baliklah mesin itu.

Pak haji telah berbincang dengan sebuah syarikat pengeluar washing machine jenama yang terkenal ( dari dulu kami pakai jenama tulah )untuk membeli sebuah mesin yang kapasiti lebih bertahap komersial. Harga yang di tawarkan rm 16,000. Nak order mesin ini kena letak deposit 30%, 2 bulan lagi baru dapat. Kami bercadang hujung bulan ni nak buat order mesin tu. Setakat ini bolehlah bertahan nak buatbayaran deposit itu, nak bayar yang selebihnya itu kami berdoa rezeki yang akan datang. Insya-Allah! Semoga dipermudahkannya.

Kami selalu berdoa agar di hantarkan kepada kami ramai pelajar-pelajar yang cintakan Al-Quran. Namun tidak kami sangka Allah akan menghantar seramai 10 orang dari luar Negara dan warna kulit yang berbeza dari kita ( orang yang berasal dari sebuah wilayah di benua Afrika ). Setakat ini sudah ada 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan yang telah memohon untuk masuk sekolah kami. Fikir punya fikir nampaknya kami kenalah menerima masuk pelajar-pelajar baru ini. Mereka akan mula belajar di sekolah ini apabila buka semester 2 nanti.

Perkara yang menjadi masaalah sekarang ialah mana kami nak letak mereka ini ( pelajar-pelajar lelaki ) sebab asrama kami sudah melebihi hadnya. Setiap hari kami akan ronda kawasan berhampiran untuk mencari bangunan kosong sesuai untuk kegunaan asrama kami.

Selain dari itu kami juga masih menerima banyak pertanyaan untuk kemasukan baru. Kami amat bersyukur di atas sambutan orang ramai terhadap sekolah kami. Untuk menerima masuk pelajar yang nak pindah dari sekolah lain, kami amat berhati-hati. Kami bukan saja melihat dari segi prestasi akademik, kami juga melihat dari segi lapuran disiplin pelajar itu. Pendek kata pelajar yang sudah ada masaalah disiplin di sekolahnya tidak akan kami terima masuk.

Bagi ibu-ibu yang tidak sabar menunggu hari Ahad ini untuk menjemput anak mereka pulang, harap bersabarlah. Hanya tinggal 2 hari lagi mereka ada peperiksaan dan 2 hari selepas itu anda bolehlah mengambil mereka pulang. Insya-Allah anada akan dapati ada perubahan yang baik pada anak-anak anda. Bersyukur dan berdoalah lagi.

Sekian dulu, Wassallam !





Anak-anak Tahfiz Puteri Kami di hari Ujian Tilawah Hafazan




Anak-anak Tahfiz Putera kami di hari Ujian Tilawah Hafazan

Monday 25 May 2009

Panas, Puasa Dan Peperiksaan

Assalamualaikum!

Hari ini seperti biasa anak-anak Tahfiz berpuasa sunat hari Isnin. Dalam cuaca yang membahang dan sedang menduduki peperiksaan mereka masih gagah berpusa. Cuma di penghujung petang aku terdengar beberapa orang anak-anak Tahfiz perempuan merayu kepada ustaz Aizad hendak keluar ke kedai sebentar.

Lalu aku bertanya, " Nak pergi kedai nak apa? "

Mereka menjawab " Nak ice-cream ! ". Ada yang berkata " Nak slurpee ! "

Lantas aku menggeleng-gelengkan kepalaku dan memberi isyarat tidak membenarkannya. Dalam keadaan cuaca panas begini memang itulah idaman orang yang berpuasa. Demi kesihatan mereka aku tidak membenarkan untuk berbuka puasa dengan benda-benda yang terlalu sejuk. Nanti kalau lewat malam sikit bolehlah makan ice-cream tapi waktu berbuka tentulah akan memudharatkan kesihatan mereka.

Aku juga telah sediakan makanan berbuka yang istimewa untuk mereka . Menu mereka hari ini ialah daging masak rendang dan sotong masak cili tomato serta sayur campur. Tambahan extra untuk berbuka ialah buah kurma, koay teow spesial dan buah tembikai. Aku kira sudah cukuplah makanan yang disajikan itu.

Hanya ada 3 hari lagi untuk mereka menduduki peperiksaan ia-itu ada 6 subjek lagi. Kesihan juga aku melihat wajah-wajah mereka ( dalam keadaan sedang berpuasa ) semasa menjalani peperiksaan siang tadi. Selalunya aku tidak ke dewan peperiksaan sebab sudah ada guru yang bertugas. Hari ini aku telah pergi menjenguk sebentar sebab ada subjek BM kertas 1 & 2 untuk Ting 1 & Ting 2. Esok mereka akan menduduki subjek BI kertas 1& 2. Hari akhir peperiksaan mereka ialah hari Khamis ini.

Nampaknya anak-anak Tahfiz kami sudah mendapat budaya study hard untuk peperiksaan. Harap-harap mereka akan meneruskan tabiat rajin belajar ini sentiasa bersama mereka bukan saja sewaktu peperiksaan. Insya-Allah,anak-anak yang ada dengan kami ini adalah anak-anak yang pandai ( melainkan beberapa orang sahaja ada yang kurang sikit ). Jadi kalau mereka rajin dan mahu belajar, mereka akan mencapai tahap excellent ! Sama-samlah kita lihat nanti pencapaian mereka.

Sekian dulu, selamat beristirehat!





Contoh Sebuah Bas Idaman Kami




Seronoknye berlatih main Bola Jaring...... Lepas exam nak main lagi !




Ini Pasukan Bola Jaring MTAQSA ...... sesiapa nak lawan bolehlah...

Sunday 24 May 2009

Keadaan Cuaca Yang Panas !

Salam Semua!

Hari ini cuaca panas tak terkira. Bila rasa panas begini, mulut kita mulalah berkata, " Issy , Panasnyee !! " Maka terfikirlah pulak, " Tak baiklah kalau nak komplen pasal cuacakan. Ada orang suka panas, ada orang suka hujan. Siapalah kita nak komplen mengenai cuaca . Itu semuakan kejadian dan kehendah Allah SWT ".

Orang tua dulu-dulu, kalau kita komplen panas, dia akan berkata, " Haaa ! Di akhirat nanti lagi panas, matahari hanya sejengkal dari kepala! Sejak kecil aku cukup takut memikirkan panas yang termat di akhirat nanti. Sehingga aku dewasa, barulah aku tahu bahawa ada perlindungan dan pertolongan bagi orang-orang yang beriman semasa di Padang Mahsyar. Kita hendaklah berdoa kepada Allah, apabila kita sujud semasa melakukan solat sunat Tahjud berdoalah " Robbi, adkhilni mudkhola sidkhi, waakhrijni mukhrajan sidkhi, waj'alni milladunka sultanannasiro ", yang bermaksud " Ya Tuhanku, ................dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang mendapat pertolongan ". ( nanti nak cari maksud yang tepat )

Alhamdulillah, kita hendaklah bersyukur kepada Allah. Banyak nikmat kurniaan Allah kepada kita tidak boleh kita sangkalkan. Kerana manusia ramai yang tidak tahu bersyukur maka ada beberapa ayat dalam al-Quran menyatakan ( kebanyakan ) manusia ini sedikitpun tidak bersyukur! Kerana manusia ini ramai yang jenis bongkak dan sombong, maka di tegur Allah begitu dalam surah Assajadah. Ayat teguran itu di sambungkan dengan ayat ini yang bermaksud " Hanya mereka yang mempercai Tanda-tanda Kebesaran Kami ( Allah ) apabila dibacakan kepada mereka, terus sujud dan memuji Kebesaran Tuhan mereka dan tidaklah mereka bongkak dan takbur " , Ayat 15 Surah Assajadah. Apabila kita menunaikan solat subuh di pagi Jumaat, Imam akan membaca surah Assajadah dalam rakaat pertama. Selepas Imam membaca ayat yang berkaitan hendaklah kita terus sujud kepada Allah, sambil membaca, " Sajadawaj hiyalilladzi kholakhohu wasauwarahu wa syakhosam'ahu, wabasorohu, bihaulihi wakhuwatihi, fatabarokallahu ahsanul kholikheen " ( Menganai sujud sajadah lihat entry lama )

Oleh itu hendaklah kita belajar menjadi insan yang tahu bersyukur. Janganlah pula kita menunggu apa-apa yang tidak kena dalam hidup kita baru nak mengadap Allah SWT. Kata peribahasa kita, " Dah terantuk baru nak tengadah " Kita bersyukur semasa kita sihat dan mewah dengan pelbagai kesenangan. Ada banyak cara untuk menunjukan kesyukuran kita. Beribadah jangalah sampai bila-bila masih di takuk yang lama. Hari demi hari, tambahlah sedikit demi sedikit lebih sempurna atau lebih banyak ibadah kita dari hari-hari yang lepas. Kita nak bersedekah janganlah tunggu kita jadi jutawan dahulu baru nak bersdekah. Kita nak pergi haji atau umrah jangan lah tunggu umur dah tua, anak dah bersar, masa lebih mengizinkan.

Sesungguhnya, Allah SWT telah berjanji bahawa sesiapa yang terlalu sibuk hal duniawi sehingga tidak ada masa untuk melakukan perkara-perkara ke jalan Allah, maka Allah akan membuatkan dia bertambah sibuk lagi setiap hari dalam urusan dunia. Pasanglah cita-cita nak memperbaiki diri dari segi ibadah bermula sekarang.

Ada orang berkata bahawa, dia tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan sudahpun pergi menunaikan Haji dan Umrah. Apa lagi yang dia perlu buat? Jawapannya amatlah banyak lagi perkara yang boleh dilakukannya. Orang yang jarang bersedekah, mulalah bersedekah sekurang-kurangnya setiap minggu masa pergi solat Jumaat itu bawalah beberapa RM masukan ke tabung masjid. Orang yang jarang pergi berjemaah, hendaklah cuba pergi lebih kerap. Orang yang jarang puasa sunat belajarlah berpuasa sunat. Orang yang belum pernah solat malam cubalah mula bersolat malam. Orang yang tidak pernah memberi makan orang miskin atau anak-anak yatim berilah makan golongan ini.

Tazkirah yang ku tulis ini adalah untuk diriku dan sesiap jua yang ingin membacanya.

Terima Kasih.

Wassallam !












Bunga-bunga adalah di antara nikmat Allah yang mengembirakan kita

Friday 22 May 2009

Pengumuman Penting !

Assalamualaikum !

Entry ini ditujukan khas kepada semua ibubapa anak-anak Tahfiz kami. Lembaga Sekolah telah bermesyurat dan telah mengambil keputusan untuk melepaskan anak-anak tuanpuan pulang awal sedikit dari jadual takwim sekolah. Tuanpuan bolehlah datang mengambil anak-anak pada hari Ahad 31 hb Mei 2009, selepas jam 10.00 pagi.

Sebelum membawa anak-anak pulang hendaklah berjumpa dahulu dengan Pak haji. Ini adalah untuk memastikan tuanpuan tahu akan arahan-arahan kerja rumah semasa cuti yang perlu dibuat oleh anak-anak. Semasa datang masuk semula ke asrama nanti, pada hari Sabtu 13 Jun 2009, tuanpuan hendaklah berjumpa Pak haji sekali lagi untuk menyerah borang-borang yang telah di tanda tangan oleh tuanpuan sebagai memenuhi kehendak sekolah bahawa tuanpuan telah memastikan anak-anak tuanpuan telah melakukan segala tugas mengikut jadual.

Maaf! Nampak susah sikit ye? Ada pula tugas ibubapa semasa anak-anak pulang untuk bercuti. Betul, tuanpuan disusahkan sedikit untuk memastikan segala latihan dan didikkan anak-anak tuanpuan selama berada bersama kami tidak lenyap begitu saja. Untuk kami membentuk perangai baik anak-anak ini mengambil masa berbulan-bulan. Kalau di biarkan sehari dua sahaja mereka tidak melakukannya, maka sekejap saja perkara yang baik pada diri mereka itu akan lenyap.

Di sini mereka di latih bangun sebelum subuh, menunaikan solat sunat malam dan solat-solat sunat lainnya , melakukan solat sebaik masuk waktu, mereka membaca al-Quran setiap selepas solat fardu, mereka menghafal al-Quran setiap malam, mereka menulis al-Quran setiap selepas asar. Pohon ibubapa dapatlah memerhatikan jadual mereka berjalan seperti biasa. Kita sebagai ibubapa hendaklah memainkan peranan kita. Akhirnya hadiah dan ganjaran yang banyak akan di beri Allah kepada ibubapa juga. Bagaimana kita akan mendapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya!

Sekian dulu di harap tuanpuan menjaga anak-anak dengan sebaiknya, jagalah pemakanan mereka, kesihatan mereka dan keselamatan mereka. Kenapa kami perlu berpesan kepada tuanpuan begitu ? Kerana kami telah membela anak-anak tuanpuan selama ini dan anak-anak tuanpuan adalah anak-anak kami juga.

Wassallam!





Wah! Ramainya ..... kami!





Seronoknye menjadi pelajar MTAQSA.... walaupun kepalaku dibotakkan!





Belajar menyanyi lagu-lagu Sekolah

Thursday 21 May 2009

Anak-anak Tahfiz Berkawad

Salam Semua !

Relax nampaknya anak-anak Tahfiz kerana hari ini hari akhir peperiksaan untuk minggu ini. Esok dan lusa mereka bercuti hujung minggu. Minggu hadapan mereka ada beberapa subjek lagi yang mereka akan menduduki peperiksaan. Tentunya hari ini selepas selesai membuat kertas-kertas exam tadi, mereka merasa lega!

Pak haji sudah sibuk nak belikan semua pelajar-pelajar Ting 1 pakaian seragam kadet Tahfiz. Pagi Sabtu ini mereka akan berlatih berkawad. Rancangan Pak haji ialah hendak membuat " Passing off Parade " iaitu kawad tamat latihan bagi seniors di perkarangan Masjid Negeri. Masa yang sesuai ialah awal bulan 7, semasa Aly sudah pulang ke sini. Kata Pak haji orang-orang masjid menyambut baik cadangan itu.

Hari Sabtu hujung minggu ini bukanlah hari " Lawatan Keluarga " untuk anak-anak Tahfiz. Namun kami tidak melarang ibubapa dan keluarga datang melihat anak-anak mereka berkawad. Ramai ibubapa yang rindukan anak-anak mereka mengambil kesempatan ini untuk menjenguk anak-anak mereka dan melepaskan rindu. Ada beberapa pasang ibubapa yang datang setiap minggu menjenguk anak dengan cara begini. Oleh kerana segan di lihat oleh Pak haji, maka ada yang terhendap-hendap di hujung padang. Hehehe! Geli hati melihat gelagat mereka. Pak haji tak marahpun tetapi mereka yang terasa sendiri.

Apabila anak-anak Tahfiz kami berkawad, orang luarpun ada sama memerhatikan aktiviti mereka. Sesiapapun boleh tengok anak-anak ini berkawad. Di jamin amat mengagumkan ! Inilah kelebihan MTAQSA, sebuah sekolah Tahfiz yang disiplinnya ala kolej ketenteraan. Kawadnya juga tidak kalah jika di bandingkan dengan sebuah kolej ketenteraan yang terkenal. Apakah latihan begini perlu untuk sebuah sekolah Tahfiz? Jawapannya, amatlah perlu mengikut wawasan kami!




Attention! Arahan Ketua Perlu di Dengar




Sewaktu Kawad Kemas dan Segak




Tidak Ketinggalan Kadet Tahfiz Puteri Berkawad Sama Rentak !




Puteri kami, Lemah-lembut di Pentas Tilawah, Cekang di Padang Kawad !

Wednesday 20 May 2009

Anak-anakku Sedang Menghadapi Exam

Assalamualikum!

Dapat berita dari anak-anak mak teh yang sedang berada di Cairo dan Irbid Jordan. Aly sudah selesai peperiksaannya. Sedangkan Yanna dan Lia sedang bertungkus-lumus menduduki peperiksaan. Setiap kali mak teh dan Pak haji berdoa dan bersolat hajat untuk mereka dan setiap kali tamat satu paper mereka akan sms dengan apa yang kita mahu dengar iaitu " Alhamdulillah, boleh buat ". Itulah yang mak teh nanti setiap malam ingin juga tahu kedudukan atau apa yang mereka telah alami untuk peperiksaan itu. Sebenarnya kami sebagai ibubapa samalah berdebar dengan mereka.

Selesai exam mereka nanti, Insya-Allah mereka akan pulang ke Malaysia kalau ada rezeki nak beli tiket kapal terbang. Tiket 2 way mereka menjangkau Rm 3,500 - Rm 4,000 untuk seorang. Melihat kepada jumlah keewangan itu memanglah satu amoun yang banyak. Nasib baik Lia sudah berjimat cermat wangnya dan dia akan biaya sendiri kos tiketnya. Yanna pula akan memerlukan kami top-up separuh harga tiket kerana dia juga pandai simpan duit sikit-sikit.

Anak-anak Tahfiz juga menunggu kepulangan anak-anakku ini kerana tiap seorang dari mereka akan memberi sumbangan tenaga mengajar anak-anak ini dalam bidang masing-masing yang berkaitan. Misalnya Lia akan mengajar First Aid, Yanna akan mengajar Bahasa Arab dan Aly akan mentasme al-Quran dan membantu menjalankan aktiviti koku seperti Kadet Tahfiz, memanah, berkhemah dan berkuda.

Hari ini anak-anak Tahfiz telah buat 3 lagi kertas peperiksaan. Seperti biasa girls nampak tenang sedangkan boys ada yang kelihatan gelabah. Namun ada juga boys yang kami tahu akan dapat top marks. Mereka ini adalah jenis yang mengambil berat tentang pelajaran sejak awal-awal mereka masuk lagi.





Sebahgian Anak-anak Tahfiz bergambar bersama ustaz Nizam selepas kelas tambahan Al-Quran

Tuesday 19 May 2009

Asrama Puteri Belum Siap

Assalamualaikum!

Hari ini panas terik. Kain di jemuran sekejap saja dah kering. Washing machine yang rosak telah dibaiki semalam. Kos pembaikan dan alat ganti rm 250.00. Bolehlah tahan dibandingkan kalau nak hantar ke laundry, sekilo Rm 2.00. Kami membayar pada kedai dobi lebih Rm 1000.00 sebulan untuk mencuci pakaian anak-anak Tahfiz lelaki sahaja.

Anak-anak Tahfiz sudah pulang dari sekolah bermakna mereka sudah selesai exam 2 lagi subjek hari ini. Anak-anak Tahfiz perempuan kalau pulang dari exam mereka senyap berihat dan ada yang sudah pegang buku untuk revision subjek yang esok pula. Berbeza dengan anak-anak Tahfiz lelaki, untuk melepaskan tension mereka, semalam sekumpulan di tangkap main bola dalam asrama. Ustaz Aizad yang menangkap mereka naik berang. Pasti mereka akan dikenakan hukuman pada hujung minggu ini.

Asrama Puteri hampir siap. Sekarang pekerja sedang meletakkan tile untuk lantai pantry mereka bewarna hijau lembut. Cantik juga nampaknya apabila dipadankan dengan tile dinding dan tile lantai toilets. Kemudian dinding selebihnya dicatkan apple-white. Bahagian dorm mereka tinggal nak pasangkan tingkap dan sliding door and grill.
Dindingnya akan di catkan warna orchid-white. Ibu Ai telah menyiapkan langsir warna purle pink ( mak teh belum lihat lagi ). Rasanya semua akan turn out nice.

The girlspun tak sabar nak pindah masuk dorm baru mereka. Mereka ada 3 tandas 3 bilik mandi dan satu kawasan tempat wudhuk ( ada 5 kepala pipe ). Pantry mereka ada 1sinki dan table-top, 1 peti ais, 1 rak pinggan mangkuk dan 1 tempat seterika. Dorm mereka akan ada 9 unit katil double-decker, 9 wardrobe besi, kipas dan lightings, cermin panjang solek dan rak-rak buku. Bolehlah muat dengan selesa 18 orang. Tempat makan mereka dan dewan solat mereka dan tempat study adalah kawasan yang sama, terletak di depan dorm. Disitu akan ada meja rendah untuk makan dan menulis ( boleh di susun ), boiler atau flask air panas, pembakar roti, rak makanan dan bahan membuat minuman serta sebuah tangki akuarium.

Sekarang masaalahnya kami sudah ada 16 orang girls. Akan masuk lagi 3 orang girls baru semasa buka penggal baru nanti. Bilik-bilek yang girls guna sekarang telah di janjikan untuk kegunaan Sekolah Rendah kami sementara nak dapat bangunan baru. Kami sedang dalam proses nak ambil alih sebuah bangunan berhampiran yang sedang digunakan oleh sebuah taska. Kami berdoa agar dapat mengambil alih bangunan ini. Sekiranya dapat kami akan selesaikan banyak masaalah sekali gus.




Penghuni Asrama Puteri dan 4 orang guru-guru mereka

Monday 18 May 2009

Puasa Sunat Dan Hari Kedua Exam

Assalamualaikum !

Hari ini hari kedua anak-anak Tahfiz menduduki peperiksaan bertulis. Seperti biasa hari Isnin mereka berpuasa sunat. Jam 11.30 mereka sudah tamat menjalankan peperiksaan untuk hari ini. Oleh kerana mereka berpuasa, mereka bolehlah berehat sebentar sehingga masuk waktu zohor. Selepas zohor mereka akan meneruskan revision mereka.

Cuaca kelihatan redup, kemungkinan hujan turun di tengah hari. Kain cucian di jemuran belum kering. Orang yang dipanggil untuk repair washing machine belum tiba. Rennovation untuk asrama Puteri belum siap. Kepala pekerja memberitahu bahan simen sudah kurang. Harga beras akan naik lagi, dengar khabar naik RM 3.00 bagi setiap kampit 10 Kg. Dana yang adapun tidaklah sebanyak mana. Semua ini serba sedikit merimaskan aku.

Aku cuba harungi semua ini dengan tenang. Aku akan hadapi satu persatu. Semoga Allah akan mempermudahkan urusan kami. Aku mestilah banyak bersabar dan bersyukur. Pertama aku bersyukur 2 hari lepas sebuah syarikat telah mendermakan 500 Kg beras kepada kami. Kedua masaalah kurang tenaga kerja di bahagian dapur sudah diatasi. Ketiga anak-anak Tahfiz yang sedang menduduki peperiksaan semuanya dalam keadaan sihat. Alhamdulillah aku bersyukur!

Makanan istimewa untuk berbuka puasa ialah sphagetti. Menu hari ini rendang ayam, ikan bilis bersama kentang di goreng cilli dan sayur hijau lemak manis.




Kelas teori Memanah




Tekun menulis Al-Quran setiap hari selepas solat Asar





Ini Kadet Tahfiz - Pengambilan Baru sedang menyanyi lagu Negaraku. Minggu hadapan mereka akan memakai pakaian Seragam Kadet Tahfiz dan anda akan lihat perbezaannya.

Sunday 17 May 2009

Hari Pertama Exam Bertulis

Salam Semua!

Hari pertama peperiksaan bertulis, merupakan subjek Hadith dan Bahasa Arab bermula pagi tagi. Aku melihat dari atas balkoni untuk melambai anak-anak Tahfiz puteri ke sekolah, tetapi mereka sudah mula berjalan satu baris dengan kertas nota di tangan dan mulut yang masih berbunyi riuh menghafal sepanjang jalan ( Apalah agaknya kata jiran-jiranku sekirnya mereka melihat keaadaan itu ). Aku rasa geli hati dan rasa terharupun ada melihat gelagat mereka itu. Betapa bersungguh-sungguhnya mereka belajar dan ingin mencapai kejayaan !

Untuk makan jam 10.30 aku sediakan laksa kegemaran mereka. ( Aku sediakan berlebihan supaya tidak ada yang kata tak dapat bahagian nanti ). Mereka tamat exam 2 subjek itu jam 11.00 pagi. Jadi Pak haji benarkan mereka terus pulang ke asrama dan makanan rehat itu di makan selepas pulang jam 11.00 pagi. Bila ditanya adakah mereka boleh buat exam subjek tersebut. Kebanyakan mereka tersenyum sambil menjawab mereka dapat menjawab soalan-soalan exam tadi. Lapang juga hati aku mendengarnya. ( Itu girls, boys aku belum jumpa lagi ) Selepas itu mereka berehat , ada yang tidur sebentar. Kemudian selepas zohor mereka pulun buat revision semula.

Jam 6.00 mereka makan malam dan tiap seorang mendapat 1 biji buah epal, sedekah dari parents salah seorang pelajar yang datang dari Perak. Seperti yang telah ku katakan rezeki anak-anak Tahfiz sentiasa murah.

Sudah 2 hari washing machine yang kami gunakan setiap hari, rosak. Kami ada 2 washing machine ( kegunaan rumahku ), dulu sebuah telah rosak, sekarang kedua-duanya dah rosak. Aduh! Macam manalah nak mengatasi washing yang banyak perlu di buat setiap hari. Selama ini, pakaian boys kami beri pada kedai dobi. Oleh kerana bayaran harga dobi mahal, pakaian girls kami cuci sendiri. Dulu dah cadang nak beli washing machine dan dryer komersial macam kat kedai dobi tu. Tapi dana tidak mencukupi. Harganya kedua-dua mesin itu hampir RM 35,000. Sekarang masaalah sikit nampaknya.




Hari nak hujan nampaknya tetapi mereka ini baru turun padang. Barisan Puteri yang siap bersedia menanti arahan coach.

Saturday 16 May 2009

Seorang Lagi Pelajar Baru

Salam Semua !

Malam ini mak teh dan Pak haji sangat keletihan. Sejak bangun sebelum subuh pagi tadi belum ada rehatpun. Pak haji sudah tidur, samalah kami keletihan kerana kebanyakan perkara yang kami lakukan adalah bersama-sama. Tambahan pula hari ini Aizad ambil cuti, jadi semua kerja department dia kami juga terpaksa lakukan.

Walaupun hari ini Hari Guru kami tidak menyambutnya. Pertama kerana anak-anak Tahfiz sedang mengulang kaji untuk exam bertulis bermula esok. Kedua, Pak haji telah memberitahu anak-anak Tahfiz supaya jangan membeli hadiah atau kad untuk guru-guru. Dia tidak mahu menyusahkan anak-anak itu dengan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan. Kita tidak mahu Hari Guru ini di komersialkan oleh pihak tertentu. Kata Pak haji lainkali apabila bukan masa exam kalau nak sambut hari guru bolehlah membuat kad ucapan sendiri bukan terpaksa membelinya. Lagipun anak-anak ini sedang menghadapi peperiksaan. Fikiran mereka hendaklah difokuskan kepada perkara exam sahaja. Doa anak-anak ini setiap hari untuk kesejahteraan kami guru-guru mereka sudah lebih dari memadai.

Buat masa ini semua anak-anak Tahfiz sedang menumpu sepenuhnya mengulang pelajaran mereka. Keadaan mereka sangat tenang, cuma apabila menghafal hadith dan nahu sorof akan kedengaran suara mereka berlumba-lumba menghafalnya.

Hari ini kami menerima seorang lagi pelajar perempuan dari Ipoh, Perak. Dia akan masuk asrama pada 27 Mei ini setelah pelajar-pelajar kami selesi exam.

Berita untuk si kecil ialah kakak-kakak di sini makan nasi lemak dan menu malam kami ialah daging masak hitam ala Thai, udang goreng chili dan sayur kangkung.




Di Karnival Masjid Negeri Baru-baru ini. Pasukan Memanah MTAQSA bergambar bersama Imam Besar, Ustaz Ahmad Mustaffa.




Gerai Kelab Memanah MTAQSA - Mendapat Sambutan Hangat dari para Pengunjung





Anak-anak Tahfiz Junior Sedang Belajar

Friday 15 May 2009

Hari Jumaat Bersama Anak-anak Tahfiz

Assalamualaikum !

Jam 4.30 pagi, Pak haji sudah mengejutkan anak-anak Tahfiz lelaki di asrama mereka. Anak-anak Tahfiz Puteri telah juga bangun dan bunyi mereka bergerak di tingkat bawah masuk ke telingaku yang masih tidur. Selalunya sebelum jam 5.00 pagi akupun akan bangun mandi dan bersiap untuk ke masjid Negeri. Namun pagi ini aku sangat keletihan dan tidak turut bersama-sama anak-anak Tahfiz. Habis apa jadi dengan mak teh? Jawabnya, solat bersendirian kat rumah, dapatlah tidur lebih sikit.

Pernah kalau aku tidak bersama anak-anak ini ke Masjid, kawan sesaf akan menegurku kemudiannya apabila bertemu, " Subuh tadi nampak anak-anak awak ramai di masjid, tetapi ibunya tidak kelihatan ! "

Aku hanya tersenyum dan menjawab, " Terlalu keletihan ! " Nak kata malu orang tegur begitupun tidak juga kerana betul kadang terasa keletihan yang amat sangat. Almaklumlah badanku tidak seperti 10 tahun yang lalu.

Setelah menunaikan solat subuh ( ada sujud sajaddah di pagi Jumaat ) mereka akan pulang ke asrama membaca surah Yassin. Kemudian mereka bersarapan pagi. Sarapan pagi hari Jumaat dan Sabtu istimewa sedikit. Mereka di sajikan roti jam dan butter dan tuna atau roti bersama peanut butter, susu segar bersama bijirin. Di pagi hari lain mereka di hidangkan roti bersama jam and butter dan telur cincang setiap hari.

Setelah sarapan mereka akan buat exercise, berjogging mengelilingngi bukit seksyen 3 kawasan kami. Kemudian mereka akan membaca dan menghafaz al-Quran dari jam 8.00 am hingga 9.30 am. Jam 10.00 hingga 11.00 am mereka akan pergi ke kelas khat ( hari ini tak ada kerana mereka on study leave ) Kelas tulisah khat sangat penting kerana mereka perlu membentuk tulisan yang cantik apabila menulis ayat-ayat Al-Quran di dalam buku tulisan al-Quran mereka.

Jam 11.00 pagi anak-anak Tahfiz Puteri di hantar ke perpustakaan Negeri. Mereka di sana hingga jam 3.00 petang. Selalunya mereka akan buat sendiri dan pack sedikit sandwiches. Nampaknya anak-anak Tahfiz baik lelaki maupun perempuan amat gemar ke perpustakaan. Harap mereka menggunakan masa di Perpustakaan dengan sebaik-baiknya.

Bagi boys pula, jam 11.00 hingga 12.00 mereka dibenarkan tidur atau berihat sebentar sebelum bersiap-siap untuk ke Masjid Negeri untuk bersolat Jumaat. Mereka akan di hantar ke perpustakaan dan berada di sana jam 3.30 hingga jam 5.30 petang.

Balik dari perpustakaan barulah mereka mengemas kawasan asrama dan bilik mereka. Girls akan tidur sebentar setelah pulang dari perpustakaan. Kemudian merekapun mengemas asrama dan bilik mereka.

Jadual mereka sebelah malam adalah seperti biasa pada malam-malam lain. Boys ada kelas taranaum pada malam ini. Kadang-kadang pada malam yang sesuai Pak haji akan membuat aktiviti jalan malam sambil melihat angkasa.

Begitulah anak-anak Tahfiz kami tidak sunyi dari pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Jadual mereka padat setiap hari, namun mereka tidak pernah menunjukkan keletihan atau jemu. Wajah mereka sentiasa kelihatan ceria.

Cerita untuk si kecil hari ini ialah kakak makan bihun sup untuk makanan 10.30 pagi dan menu kami malam ini ialah ikan kembung goreng dan sotong masak sambal tomato beserta sayur lemak campur.




Bukan Mudah Nak Jadi Al-hafiz sampai tertidur mencium Al-Quran ! ( Ibubapa anak ini kalu datang berjumpa mak teh mesti tangannya tak pernah kosong ! )





Sedang tekun menghafaz al-Quran ( Beginilah keadaan mereka setiap malam selepas maghrib. Masing-masing akan cari satu sudut untuk menghafal )





Girls sedang belajar taranaum dari Ustaz Nizam ( kelihatan dalam gambar di belakang, baju berwarna putih ada seorang tu dah berumurpun tak mau lepas peluang, nak belajar taranaum juga )

Thursday 14 May 2009

Jazakallah, Syukran!

Assalamualaikum,

Setelah siap membeli barang-barang keperluan di pasar, aku beredar ke gerai majalah dan surat khabar. Sedang aku membelek surat khabar yang nak dibeli, suatu suara menegur dari belakang, " Assalamualaikum mak teh! "

Aku menoleh serta menjawab salam, " Waalaikumussalam! Maaf, siapa ni dah tak ingat nama? " Aku rasa kenal orangnya tetapi aku sudah tidak ingat namanya. Kalau tak silapku dia adalah salah seorang ahli kelab cofee room geng Nurazzah 8, bloggermate yang pernah datang kerumahku. Terus dia memberitahu namnya sambil bersalaman denganku. Tersentak mak teh sekejap kerana salamnya penuh berisi. " Ini sedekah diatas nama ayah saya. " katanya.

" Jazakallah! mak teh terima, syukran! " kataku.

Itulah selalunya terjadi, mak teh tidak pernah meminta tapi orang datang memberi. Ini adalah kerana mereka tahu usaha yang kami lakukan dan mereka tahu tujuan dan faedah bersedekh itu. Malukah mak teh menerima sedekah daripada orang? Kalau pada kedudukan mak teh yang dahulu tentu saja malu. Sekarang mak teh terima saja dengan tangan terbuka kerana keewangan itu adalah kerana menjalankan sekolah ini. Sekolah yang kami usahakan ini adalah bertujuan lebih kepada amal. Alhamdulillah!

Kepada geng Nurazzah8, mak teh ucapkan jutaan terima kasih kerana sudah beberapa kali ada saja di antara anda yang bertemu dan menegur sapa mak teh dan salaman anda penuh berisi yang membuat mak teh kadang-kadang terkedu. Lalu terkeluarlah ucapan-ucapan zikir dari mulutku sambil bergenang airmata. Subhanallah!

Bukan geng Nurazzah sahaja, ada silent readers blog mak teh yang telah diam-diam mengkreditkan kedalam akaun sekolah kami. Begitu juga sahabat yang mak teh dapat dari berblogging ini telah mengirim cek dan semua mereka tidak mahu naam mereka di sebut. Mereka tahu pahala mereka banyak dan akan terbatal kalau disebut-sebut kepada orang. Kepada anda semua Jazakallah dan syukran! Sekolah ini adalh sekolah anda juga. Kita sama-sama berjuang dan Allah sahaja yang membalasnya. Ada diantara anda yang minta anak-anak Tahfiz mendoakan sesuatu dan ada yang minta Pak haji dan mak teh doakan, maka kami telah melakukannya. Kalau kami tertinggalpun permohonan anda itu percayalah Allah telah mendengarnya.

Terima kasih kepada anda semua yang memahami perjuangan ini. Kami tidak meminta-minta dan tidak boleh menyebut-nyebut. Terima kasih kerana sama-sama berjuang dengan kami, anggaplah anak-anak Tahfiz kami adalah anak-anak anda juga. Allah Maha Mengetahui, Wasallam!




Melakukan Exercise Perlu Mengikut Arahan Coach





Exercise Untuk Menguatkan Stamina, lari-lari anak 4 pusing keliling sekolah ( ada yang mengeluarkan air mata tapi terpaksa habiskan juga pusingan itu )




Boys Lebih Bertahan Dalam Ujian Stamina ini

Wednesday 13 May 2009

Pemohon-pemohon Dari Luar Negara

Assalamualaikum!

Jam 10 pagi, 2 orang ibu dan 3 orang anak lelaki mereka tiba di surau sekolah seperti yang dijanjikan. Kulit mereka berwarna gelap, jelaslah mereka berasal dari salah sebuah negara di benua Afrika. Mereka adalah pelarian dari negara sendiri sudah beberapa bulan berada di Malaysia. Selepas berkenal-kenalan Pak haji dan mak teh menginterview anak-anak yang ingin masuk ke sekolah kami itu.

Rupa-rupanya anak-anak ini fasih berbahasa Inggeris sebab mereka telah dilahirkan di Australia. Untuk interview bahagian pertama kami rasa boleh menerima mereka. Namun mereka kena datang untuk interview kali kedua sebab kami ingin melihat prestasi akademik mereka. Mereka sedang menuntut di salah sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur dan akan menghadapi exam minggu hadapan. Jadi kami bersetuju untuk menunggu keputusan peperiksaan itu sebelum menerima mereka. Dari segi kelakuan nampaknya mereka tidak kasar dan boleh dibentuk. Kalau kami bersetuju menerima mereka, mereka akan masuk bulan Julai nanti.

Ada lagi 2 orang adik-adik perempuan mereka yang juga pohon untuk masuk sekolah kami tetapi belum dibawa untuk interview. Allah Maha Kaya, baru minggu lepas kami dengan sedihnya telah keluarkan 2 pelajar dari sekolah kami oleh kerana sebab-sebab tertentu, hari ini di gantiNya dengan 5 orang pelajar baru. Apabila ditanya bagaimana mereka tahu mengenai sekolah kami, mereka sebenarnya tidak tahu. Dua hari lepas mereka hendak pergi ke sebuah sekolah di Kelang tetapi mereka tiba di Shah Alam. Maka dari cerita mereka jelaslah Allah yang mendorong mereka kemari. Kami selalu berdoa kepada Allah, " Ya Allah, hantarlah kepada kami pelajar-pelajar yang cintakan Al-Quran dan ingin mempelajarinya keranaMu ! "

Ini bukanlah kali pertama orang dari luar Negara memohon untuk belajar di sekolah kami. Kami pernah ada pelajar dari Brunei, dari U.S.A ( sudah pindah ke lain negara )dan pemohon-pemohon dari Negara Cina dan Negara-negara timur tengah. Masa itu kami dapati pemohon-pemohon itu tidak sesuai untuk di terima masuk.

Untuk adik-adik kecil, cerita hari ini ialah makan jam 10.30 pagi ialah bihun goreng dan menu makan malam ialah ayam goreng bersalut tepung berempah, sotong masak cilli dan sayur sawi manis. Aktiviti hari ini ialah boys pergi berenang sementara girls buat gardening bersama Pak haji. Khabarnya mereka telah menanam banyak pokok-pokok bunga renek.

Laporan baru diterima nasi dan lauk tidak mencukupi untuk 5 orang lagi ( boys ). Inilah pukulan pergi berenang membuat mereka lapar so mereka makan banyak sehingga tidak mencukupi makanan yang disediakan!





Sebelum Sesi Exercise Bermula

Tuesday 12 May 2009

Berceloteh Dengan Peminat-peminat Kecil

Salam Semua !

Seperti yang mak teh beritahu semalam, anak-anak Tahfiz sedang on study leave. Namun kelas sesi Al-Quran masih berjalan setiap hari dari jam 7.30 hingga 9.30 pagi. Cuma perbezaannya sekarang mereka tidak mentasme' ayat baru, mereka mengulang ayat-ayat yang telah di hafal. Mereka ada 1 lagi paper al-Quran thariri iaitu menulis ayat-ayat yang telah dihafal terus dari ingatan mereka.

Walaupun sekarang ini adalah time mereka dok study, petang tadi the girls ada yang pergi berenang. Kami benarkan mereka pergi kerana kami berpegang kepada " All work and no play makes Jack a dull boy " Tapi ada juga yang tak mahu pergi kerana nak berkepit dengan buku.

Mak teh baru dapat tahu ada sekumpulan anak-anak cilik yang meminati blog mak teh. Setiap malam mereka membuka blog mak teh dan mengharapkan ada cerita baru. Mereka adalah adik-adik kepada anak-anak Tahfiz kami. ( Mereka merindui abang-abang dan kakak-kakak mereka ) Jadi untuk tidak mengecewakan mereka mak teh cubalah buat entry setiap hari. So janganlah hairan kenapa mak teh selalu menulis kisah aktiviti anak-anak Tahfiz kami dan apa yang mereka makan dan buat setiap hari.

Untuk hari ini makanan jam 10.30 mereka ialah nasi goreng cina. ( Pasti yang halal punyalah ! ) Apabila kami hidangkan nasi goreng cina atau nasi goreng kampung pasti habis licin dan kadang-kadang mereka mengadu tidak cukup. Makan malam mereka ialah ikan bawal sweet n sour, udang goreng cilli dan sayur kangkung. Aktiviti boys petang tadi ialah berkebun bersama Pak haji. Aktiviti di malam ini ialah keluar berjalan di malam hari sambil melihat angkasa kalau tak hujan. ( Lagi best kalau ada bulan sedang mengambang ). Ini adalah latihan untuk mereka berani tidak takut kepada kegelapan malam dan untuk mereka yang meminati astronomy.

Kisah pelajar dari luar negara tu biarlah mak teh cerita besok setelah kami interview mereka petang esok. Anak-anak mak teh kurang bersetuju mengambil orang luar ini kerana takut menganggu anak-anak Tahfiz kita. Kita tengoklah esok macam mana.

Sekian dulu hingga kita berjumpa di esok hari. Untuk adik-adik yang dah booking nak masuk MTAQSA, rajin-rajinlah membaca al-Quran dan perelokan tulisan jawi anda serta tidak ketinggalan improve your English ! Heheh nanti senanglah mak teh nak ajar kau orang. Bye...





General-general Kami Sedang Bersidang




Anak-anak Tahfiz Cilik Kami Sedang Tekun Belajar

Monday 11 May 2009

Sudah Selesai Exam Syafawi Al-Quran

Salam Semua !

Maaf lambat sikit mak teh update blog hari ini. Ini disebabkan mak teh sibuk pergi membeli barang-barang untuk pekerja yang sedang melakukan renovation untuk Asrama Puteri. Dari pagi mak teh dan Pak haji keluar pergi beli bahan-bahan cat, sinki, tombol pintu, kunci accessories toilet ( thanks to penderma duit untuk toilets ). Hampir jam 2.30 pm baru mak teh dan Pak haji sampai rumah.

Hari ini seperti biasa, anak-anak Tahfiz berpuasa sunat hari Isnin. Menu istimewa untuk mereka hari ini ialah cucok udang kuah kacang berayam. Lauk mereka ialah ayam masak merah dan telur mata kerbau serta sayur sawi manis di goreng bertumis bawang.

Setelah maghrib selepas berbuka puasa anak-anak Tahfiz riuh berceloteh sebentar tidak seperti biasa terus menghafal al-Quran. Kenapa mereka dok sembang-sembang dan kenapa pula mak teh dan pak haji tidak marahkan mereka ??

Haa! Jawapannya ialah mereka sedang relax sekejap melepaskan tension kerana mereka baru lepas habis menghadapi oral exam ( Syafawi ) Al-Quran siang tadi. Jadi kami biarlah mereka relaxlah sidikit setelah selesai oral exam yang kira susah gak tuu! So esok hingga sabtu ini mereka dikira dalam study leave. Ada kelas extra yang mana guru nak adakan mereka boleh attend, kalau tidak ada kelas mereka study sendirilah di dalam kelas masing-masing atau di dalam surau.

Mulai hari Ahad depan, mereka akan menghadapi exam subjek agama dan akademik sepenuhnya ada 23 subjek. Ramai orang bertanya bolehkah mereka ini menanggung semua subjek itu? Dari keputusan peperiksaan yang lalu ada 30 % mendapat markah A untuk majoriti mata pelajaran. Ada beberapa orang yang mendapat semua mata-pelajaran A. Kami menganggarkan tahun ini angka-angka itu akan meningkat. Insya-Allah! Ini adalah kerana Ting 1 tahun ini kami dapat pelajar-pelajar yang amat berpotensi.

Sekian dulu, esok mak teh akan ceritakan mengenai permohonan-permohonan dari luar negara untuk masuk belajar di MTAQSA. Adakah mak teh dan Pak haji bersedia untuk membuka sekolah ini kepada orang luar? Tujuan kami pada asalnya adalah untuk mendidik anak-anak bangsa kita. Sekarang kami berdepan dengan permohonan saudara muslim dari luar negara. Bagaimana?? Adakah kami mahu jadikan sekolah ini International ? Apakah tindakan yang harus kami ambil apabila mereka merayu meminta ihsan kita agar mengambil anak-anak mereka masuk MTAQSA atas alasan mereka adalah orang-orang Muhajirin?




Lawatan ke Bukit Melawati, Kuala Selangor. Yang Berjalan Depan Kanan Sekali Barisan Puteri Tu Anak Siapa ?

Saturday 9 May 2009

Hari Sabtu Bersama Anak-anak Tahfiz

Salam Semua!

Hari ini hari Sabtu merupakan weekend kami, sepatutnya bolehlah aku relax sikit selepas subuh. Baring-baring sebentar terasa sedapnya macam tak mahu bangun. Kemudian aku paksakan diriku bangun sebab jadual aku kena ke pasar. Akupun mengambil sedikit sarapan dan bergegas mencari Aizad untuk menghantar aku kat pasar. Aku akan mengambil masa 45 minit untuk membeli barang-barang tersebut. Barang yang aku beli akan dikumpul di suatu tempat dan Pak Haji akan mengangkat barang-barang itu apabila dia datang menjemputku.

Pagi hari Sabtu merupakan hari sukan memanah untuk anak-anak Tahfiz kami. Kebanyakan anak-anak Tahfiz berminat sukan memanah yang merupakan Sunnah Nabi ( bermainpun dapat pahala ). Ada 2 orang coach membantu Aizad di padang. Hari ini adalah hari mereka membuat exercise untuk menguatkan stamina mereka. Kabanyakan pelajar yang masuk sekolah kami berbadan kecil dan kurus. Kami perlu membina badan mereka dahulu, menguatkan otot mereka dan menguatkan stamina mereka sebelum mereka boleh menarik bow. Setiap pagi anak-anak ini melakukah exercise pumping dan exercice mengeluarkan suara. Namun hari ini exercise yang di lakukan adalah khas untuk menguatkan stamina mereka. Mereka di suruh berlari-lari anak 4 pusingan keliling sekolah. ( Di kala exercise macam ini pernah ada yang mengeluarkan air mata ! )

Jam 11.00 pagi mereka sudah siap berkumpul di kelas ( extra class ) kerana aku hendak memberi tips untuk menjawab soalan peperiksaan mengikut format soalan peperiksaan KBSM. ( Kertras peperiksaan mereka bukan aku yang siapkan. Kami ambil dari sekolah-sekolah menengah lain agar standard pelajar kami setaraf dengan sekolah menengah kerajaan ).

Sebelum mula kelas setelah memberi salam akupun bertanya, " Semua orang letih setelah buat exercise tadi? "

" Ya! " jawab mereka serentak.

" Semua dah kenyang makan tadi? " Maksud aku makanan rehat jam 10.30, hari ini aku telah masakkan untuk mereka mee kuah Muar.

" Taakk !! Makanan tak cukup !" jawab beberapa orang.

" Haaa! " seruku terkejut, " Siapa yang tak dapat makan? "

Enam orang mengangkat tangan. " Ni sudah melampau ! " Bisik hatiku. Selalunya begitulah akan ada orang yang ambil berlebih kalau mereka nampak makanan yang sedap, atau makanan kegemaran mereka.

Hari ini aku tak layan, aku teruskan saja kelas aku setelah mengarahkan ketua pengawas meletakkan seorang pengawas bertugas setiap kali time makan di asrama dan di sekolah. Habis cerita pasal tak cukup makan tu! Dah tak larat nak layan!




Permulaan Sesi Exercise




Pumping Exercise Perlu Untuk Menguatkan Otot





Mula Belajar Angkat Bow dan Aim





Girls Mendapat Tunjuk Ajar Dari Coach





Pasukan Memanah Puteri MTAQSA, Bakal Juara 2010 - Aim Ready to Shoot !

Thursday 7 May 2009

Anak-anak Tahfiz Dalam Exam Mood !

Assalamualaikum!

Pagi ini cuaca cerah, kemungkinan akan panas sampai ke petang. Beberapa hari kebelakangan ini cuaca dan udara amat panas. Khabarnya heatwave sedang melanda negara kita terutama Lembah Kelang. Anak-anak Tahfiz tidak dibenarkan keluar bersukan terutama bermain bola. Kementerianpun melarang anak-anak sekolah bersukan dalam keadaan 'heatwave' ini. Mak teh jenis tak tahan panas, alkmaklumlah mak teh seorang puteri iaitu Puteri Lilin. Hehehe!

Anak-anak Tahfiz sedang rehat setelah buat exercise di sebelah pagi, mengulang surah-surah yang telah di hafal dan makan makanan rehat pagi. Anak-anak lelaki dibenarkan tidur sebentar sebelum bersiap nak ke Masjid Negeri untuk menunaikan solat Jumaat. Minggu hadapan mereka ada exam Al-Quran ( 1 hari sahaja ) kemudian sudah dalam study leave. Minggu seterusnya mereka akan exam subjek akademik dan agama sepenuhnya.

Kami akan mengadakan satu upacara " Passing-out Parade " untuk Anak-anak Tahfiz senior bulan hadapan. Seorang Kenamaan akan di jemput untuk menerima tabek hormat. Ibubapa dan keluarga anak-anak Tahfiz akan di jemput hadir. Anda akan terpegun melihat kesegakkan dan smartnya kawad anak-anak ini. Ibubapa mereka akan tersenyum bangga !




Satu Platoon Berkawad Sakan!




Yang Ini Sedang Study Sakan!

Wednesday 6 May 2009

Warkah Kepada Ibubapa Anak-anak Tahfiz Kami

Assalamualaikum !

Wahai ibu-ibu dan bapa-bapa kepada anak-anak Tahfiz kami, anak-anak anda sedang sibuk mempersiapkan diri untuk peperiksaan yang akan bermula minggu hadapan. Laporan dari Pak haji menyatakan betapa bergemanya suara mereka menghafaz al-Quran setiap selepas maghrib. Mereka akan menghafaz al-Quran sehingga jam 9.15 malam. Kemudian mereka akan melakukan solat Isya dan selepas itu mereka akan buat persediaan untuk pelajaran keesokan harinya ( Prep )

Apabila jam menunjukkan 10.30 malam Pak haji akan menyuruh mereka masuk tidur. Namun ada lagi beberapa orang yang masih membuat kerja-kerja sekolah hingga jam 11.00 malam. ( Lights out tepat jam 11.00 malam ). Selalunya anak-anak ini akan tidur nyenyak tidak sedarkan diri sehinggalah Pak haji kejutkan mereka jam 4.30 pagi ( untuk hari Jumaat ( nak siap untuk solat Subuh di Masjid Negeri )dan Isnin ( bersahur ). Pada hari lain Pak haji kejutkan mereka sebelum 5.00 pagi.

Di pagi hari setelah bangun mereka akan mandi dan bersiap untuk melakukan solat subuh. Sebelum azan berkumandang mereka akan melakukan solat-solat sunat malam seperti solat tahajjud, solat hajat, dan solat witir. Selesai solat sunat mereka terus menghafaz al-Quran dan seterusnya solat sunat fajar dan subuh. Selesai solat mereka membaca Surah Yassin.

Begitulah selepas setiap solat fardu mereka akan membaca surah-surah amalan tertentu. Selepas setiap kali membaca al-quran mereka akan menamatkannya dengan " Allahummarhamna bil Quran ........... " Maka tidaklah jemu-jemu mereka berbuat demikian sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Sebelum tidur mereka akan menghadiahkan segala bacaan mereka itu kepada ibubapa mereka dan kepada arwah-arwah tok nenek mereka yang telah meninggal dunia. Setiap kali lepas solat juga mereka akan mendoakan kesejahteraan ibubapa mereka.

Selain berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis ( tiada paksaan berpuasa sunat di hari Khamis ), mereka juga melakukan banyak solat-solat sunat termasuk solat sunat dhuha setiap pagi apabila selesai sesi mentasme' al-Quran sebelum masuk ke kelas untuk pelajaran agama dan akademik.

Beberapa bulan sahaja bersama kami mereka boleh melaungkan azan dan menjadi imam. Bagi yang sudah naik Ting 2 dan Ting 3 kebanyakkan mereka sudah boleh mengepalai majlis-majlis Tahlil. Maka hati ibubapa manakah yang tidak suka mengetahui anaknya sudah pandai hingga tahap ini? Maka hati manakah yang tidak rasa kasih sayang kepada anak-anak ini? Perut ibu manakah yang tidak akan sejuk melihat anak sebegini perlakuannya ?

Ketahuilah, ramai orang sayangkan mereka, ramai orang bersedekah untuk mereka, ramai orang nak beri makan mereka, ramai orang nak anak-anak Tahfiz ini mendoakan dan melakukan solat hajat untuk mereka. Ramai lagi nak menjemput mereka ke majlis-majlis. Sememangnya doa anak-anak yang sentiasa beribadah ini dan masih suci rohani mereka di makhbulkan Allah SWT. Sememangnya anak-anak ini di kasihi Allah SWT sehingga sangatlah murah rezeki mereka setiap hari. Namun demi pelajaran mereka Pak haji menapis segala undangan dan permintaan terhadap anak-anak ini. Kami hanya melayan jemputan dan permintaan yang sesuai sahaja.

Anda rindukan anak-anak anda? Mak teh dan Pak haji sangat faham kerana kami juga merupakan ibubapa yang telah menghantarkan anak-anak kami bersekolah asrama penuh. Relakanlah perpisahan ini demi untuk kebaikan anak-anak anda dan sudah tentunya limpahan rahmatNya akan terkena pada anda jua. Jangan fikir sekarang sahaja pandanglah masa hadapan, anda akan berbangga dengan pencapaian anak-anak anda. Insya-Allah. Sudah tentunya di saat ini juga anda sedang merasakan kebahgiaan kerana membawa anak-anak anda ke jalanNYA. Alhamdulillah, anda adalah ibubapa yang telah mendapat hidayahNYA!

Sekian, doalah kesejahteraan kami dan anak-anak Tahfiz kami dalam perjuangan ini. Perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama. Semoga di makhbulkan Allah segala doa kita semua. Ameen!




Tiga Sahabat Gembira - Dalam Perjalanan Lawatan Ke Kuala Selangor




Siap Sedia Untuk Berbakti Kepada Negara