Tuesday 29 December 2009

Ilmu Tadika

Assalamualaikum !

Mak teh nak menceritakan kisah ini supaya kita dapat berfikir dan berhibur dengannya. Kisah ini berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu di sebuah kampung di Negeri Kedah.

Seorang anak buahku ( kita namakan dia Ali ) sangat cerdik dan mudah mempelajari sesuatu perkara. Semasa dia berumur 5 tahun dia telah di hantar ke sebuah Tadika. Dia amat seronok dapat belajar membaca dan mempelajari perkataan-perkataan baru setiap hari. Suatu hari, di Tadika dia telah belajar bahawa buah nyiur itu di sebut sebagai kelapa dalam bukunya. Sebagai yang umum tahu buah kelapa orang Kedah sebut " Nyiok " Maka berlarilah dia pulang amat teruja untuk memberitahu orang lain perkara baru yang di pelajarinya.

Alkisah Ali ada seorang bapa saudara ( dia panggil Pak Lang ) yang selalu melayan kepetahannya. Mereka berdua selalu buat teka-teki. Jadi pada hari itu, Ali rasa dia akan kenakan Pak Lang dengan sebuah teka-teki. Pada sangkaannya tentu Pak Lang tidak boleh menjawab teka-teki ini.

Ali berkata, " Pak Lang, ini ada satu teka-teki best. Cuba jawab! "

Pak Langpun berlagak kehairanan, " Apakah teka-teki itu. Tentu susah nak jawab ! "

Ali berkata, " Dia bulat. Pokok dia tinggi. Daun dia macam ni, macam ni, ( sambil menggayakan dengan tangannya bentuk daun kelapa ). Ada orang panggil dia kelapa. Buah apa ? "

Pak lang yang hendak tertawa, melenyapkan senyumannya, lalu berpura-pura cemas. " Isy ! Isy ! Isy ! Susah sungguh nak jawab teka-teki ini. Haaa.....Pak Lang tahu, Buah durian !" teka Pak Lang.

Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, Ali berkata, " Bukaaan ! "

Kata Pak Lang lagi, " Buah cempedak....." Maka banyaklah lagi nama buah-buahan tekaan Pak Lang.

Kepada semua jawapan itu Ali menggeleng-gelengkan kepalanya dan berkata " Bukaaan ! "

Akhirnya sambil tersenyum kemenangan Ali berkata, " Buah nyiok !! "

Di kalangan ahli keluarga kami menyimpan kisah ini untuk di ceritakan dan berderailah gelak-tawa mengenangkan telatah si kecil yang petah itu.

Sekarang Ali adalah seorang jurutera dan bekerja sebagai Konsultan Pakar IT dengan pendapatan yang amat lumayan. Alhamdulillah !

Pada masa kini, sesekali Ali menghantar SMS kepadaku nasihat-nasihat agama dari ilmu yang di pelajarinya. Untuk mengeluarkan pendapat dalam perkara-perkara agama sudah tentu Ali memastikan ilmunya tidak secetek ilmu Tadika !

Monday 28 December 2009

Keceriaan Menyambut Tahun Baru

Assalamualaikum!

Hari ini kepenatan amat terasa, namun hati mak teh dan Pak haji ada keceriaan. Seronok dan teruja melakukan kerja-kerja berkaitan pembukaan sekolah sesi 2010. Bermula awal pagi kami telah ke Pasar basah Seksyen 6, kemudian ke kelang membeli barang kering keperluan dapur. Nasib baik urusan membeli buku-buku dan kitab-kitab telah selesai minggu lepas.

Anak-anak Tahfiz senior telah mula menghafal dan mengulang bersama Ustaz Nizam semalam. Sedapnya mendengar Ustaz Nizam mengajar mereka sambil bertaranaum. Hari ini ada seorang Ustaz baru berkelulusan Universiti Madinah, mula mengajar anak-anak Tahfiz Bahasa Arab Tinggi. Malam ini, Tn Haji Razif atau panggilan mesra Uncle Razif oleh anak-anak Tahfiz, mengajar tuition Maths. Nampaknya tak sabar-sabar dia hendak mendidik anak-anak Tahfiz subjek Maths iaitu bidang kepakarannya.

Kesibukan hari ini juga kerana mak teh dan Pak haji menerima ramai tetamu dan pengunjung. Ada ibubapa datang mendaftar anak mereka, ada orang yang datang bertanya mengenai sekolah dan ada juga dermawan yang berkunjung untuk menghulurkan sumbangan. Kemudian ada 2 orang guru baru datang berbincang dengan Pak haji.

Persediaan untuk tahun baru termasuk memasang bendera baru untuk asrama yang telah di lakukan oleh Aizad dan Jurulatih Syah dan mengecat bahagian depan asrama ( belum siap ). Insya-Allah Sekolah Rendah Tahfiz Al Hanna juga akan mendapat wajah baru apabila Papan tandanya siap nanti.

Semoga tahun baru 2010 akan membawa lebih kejayaan kepada MTAQSA dan adiknya Sekolah Rendah Tahfiz Al Hanna serta semua warganya. Ameen!

Sekian Wassalam.

Sunday 27 December 2009

MTAQSA Menghadapi 2010

Assalamualaikum !

Semalam pelajar-pelajar senior mula masuk asrama. Kedengaran suara-suara keriangan mereka bertemu semula selepas cuti yang agak panjang. Maka itu petanda bermulanya kesibukan kami.

Tujuan kami meminta anak-anak Tahfiz senior pulang seminggu lebih awal adalah untuk menyediakan mereka untuk pertandingan tilawah hafazan yang akan berlangsung awal Febuary 2010. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 juga di minta masuk asrama awal lebih sebab kelas akan di mulakan dengan segera. Kami menyediakankan buku-buka dan guru-guru. Namun barisan tutor khas untuk subjek Maths, Add Maths, Physics dan Chemistry, di sediakan oleh ibubapa yang berkhidmat secara sukarela. Jazakallah dan Syabas di ucapkan kepada mereka !

Ahlan Wasahlan kepada Pelajar-pelajar Baru! Pelajar-pelajar baru akan daftar masuk pada 2 January. Pelajar-pelajar lain akan masuk pada 3 January. Untuk tahun ini kami menghadkan bilangan pelajar baru kepada 20 orang sahaja. Matlamat sekolah ini adalah untuk mengeluarkan ' quality students ' sahaja. Saringan untuk menerima pelajar baru di lakukan sewaktu temuduga pelajar dan ibubapa. Alhamdulillah, nampaknya pelajar-pelajar yang kami terima amat berpotensi.

Kami menerima berbagai sumbangan dari para dermawan. Dari Tanah Suci, kami menerima, sehelai permaidani baru untuk dewan solat asrama lelaki. Kami juga menerima satu set alat-alat power point iaitu sebuah laptop, projector dan skrin dan 4 buah komputer. Kerja-kerja naik taraf dewan makan asrama lelaki juga akan dilakukan. Begitulah rezeki yang di limpahkan Allah kepada sekolah ini. Alhamdulillah !

Menubuh serta menjalankan sebuah Maahad Tahfiz seperti ini bukanlah satu kerja yang mudah. Tambahan pula program yang di sediakan adalah sebuah program yang mengintegrasikan 3 aliran. Ianya memerlukan pelajar-pelajar dan ibubapa dan guru-guru yang amat committed. Mak teh dan Pak haji hanya menjalankan tugas-tugas kami sedaya kami sahaja. Perkara-perkara selainnya kami hanya berserah kepada Allah. Kami juga sedar yang mana kerja Allah dan yang mana kerja kami. Dengan itu kami menerima apa-apa yang di takhdirkan Allah. Sesungguhnya kami sedar bahawa masuk atau keluarnya pelajar dari sekolah ini adalah kerja Allah.

Kami sentiasa berdoa agar kami dapat melakukan yang terbaik. Kami juga sentiasa berdoa hanya orang-orang yang faham dan ikhlas terhadap perjuangan kami sahaja dapat bersama-sama membina sekolah ini dan akhirnya akan menikmati bersama kejayaan perjuangan ini. Ameen!

Sekian, Wassalam !

Monday 21 December 2009

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Assalamualaikum !

Selamat menyambut tahun baru 1431 hijriah kepada semua pembaca blog mak teh. Seperti biasa kami penduduk Shah Alam menyambut tahun baru ini dengan mengadakan bacaan Surah Yassin, beristighfar dan membaca doa akhir tahun dan awal tahun di Masjid Negeri. Ada juga jemaah yang telah berpuasa sunat pada hari itu. Pada tahun ini, selepas solat Isya di adakan majlis Ceramah Perdana.

Majlis seperti ini biasa di jalankan di Negara kita yang berpegang kepada mazhab Syafie. Perkara ini tidak di lakukan di Negara-negara yang berpegang kepada pendapat Wahabi. Kalau ada orang berkata kepada mak teh, " Kenapa mak teh menghadiri majlis sebegini? " Mak teh akan menjawab yang mak teh mengikut apa yang alim ulama kita sarankan baik untuk kita melakukannya. Para alim ulama kita telah mengkaji segala nas-nas yang membolehkan atau tidak mengharamkan kita melaku sesuatu perkara.

Kita tinggal di Negara ini yang sudah lama menegakkan agama Islam dengan pegangan mazhab Syafie. Jadi usahlah kita memecah-belahkan rakyat umat Islam ( terutama orang Melayu ) dengan mengemukakan pendapat sesetengah orang yang mengatakan itu tidak boleh dan ini tidak boleh. Kata mereka perkara yang kita buat itu semuanya adalah bidaah kerana tidak dilakukan oleh Rasullallah !

Pertama, perkataan " bidaah " itu sendiri mengundang perbahasan yang panjang lebar. Kita orang biasa tidak mampu mengenal samaada sesuatu perkara itu bidaah atau tidak. Kedua perkataan " bidaah " itu bukan satu perkataan yang negatif. Bidaah bererti perkara-perkara baru. Ada bidaah yang di katakan bidaah baik yang di terima mengikut ijma' ulama' ( consensus ) Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mak teh orang biasa tidak mampu membahaskan perkara ini. Maka biarlah para alim ulama yang membahaskannya. Sebagai orang kebanyakan, mak teh hanya mampu mengikut sahaja. Mak teh telah di ajar, dalam beragama kita harus berpegang kepada satu mazhab sahaja, tidak boleh berubah-ubah mengikut angin. Kalau kita berpegang kepada Mazhab Syafie, maka kita hendaklah melihat apa kata alim ulama mazhab itu dalam sesuatu masaalah atau perkara. Kita tidak boleh mengeluarkan pendapat sendiri.

Lainlah kalau kita memang pakar agama, dan kita ada pendapat sendiri, maka bolehlah kita lakukan apa yang kita fikir betul. Itupun kita tidak boleh mengajak orang lain mengikut kita. Mak teh teringat kepada nenek-saudaraku, seorang Tok Guru, ulama yang dihormati. Pada satu ketika ( puluhan tahun yang lalu ) Kerajaan telah mengumumkan bahawa hari raya aidil fitri jatuh pada hari esoknya, sedangkan mengikut ilmunya, beliau berpendapat belum masuk 1Syawal pada hari esoknya itu. Murid-muridnya datang bertanya masaalah itu, maka beliau berkata rakyat wajiblah mengikut pengumuman Kerajaan. Aku dapat tahu dari ibuku Tok Guru tidak berhari raya pada hari yang di umumkan itu tetapi beliau melakukannya seorang diri secara diam dan tidak menghebahkannya.

Ada orang cuba menuduh sesetengah pendakwah membawa hadith yang daif ( lemah )dalam satu saluran TV yang popular . Mak teh tertanya-tanya, " Tahukah dia bahawa sesebuah hadith itu daif atau tidak ? " Seeloknya, biarlah alim ulama sahaja yang mengatakannya. Sebab itu di syaratkan seseorang yang hendak bercakap dan berdakwah pasal agama mesti mempunyai tauliah. Sebenarnya kita orang biasa tidak ada ilmu begitu mendalam. Seseorang pengkaji dan penghafaz hadith telah mengkaji dan menghafaz beribu-ribu hadith. Mereka juga mengkaji Al-Quran dan tafsirnya. Jadi hujah-hujah mengenai agama, biarlah pakar dalam bidang Al-Quran & hadith yang menentukannya betul atau salah. Kita yang ada sedikit ilmu peganglah kepada pepatah ini, " Kalau kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam ! "

Jangan lah kita dalam hal agama jadi seumpama kisah 5 orang buta yang pegang gajah. Si buta yang pertama telah memegang badan gajah lalu berkata " Aku tahu gajah ini seperti dinding ". Si buta yang kedua pegang telinga gajah lalu berkata, " Gajah ini seperti kipas yang besar" . Sibuta yang ketiga pegang kaki gajah dan berkata, " Gajah seperti tiang rumah " . Manakala Si buta keempat yang memegang gading berkata, " Gajah tajam seperti tombak " . Si buta yang kelima pegang belalai gajah sambil berkata " Kamu semua salah, gajah adalah seperti ular yang besar dan panjang." Maka bertengkarlah 5 orang buta itu masing-masing berkata dia yang betul dan orang lain itu salah.

Jadi janganlah kita bertengkar akan perkara yang kita bukanlah seorang pakar di dalam bidang itu. Kalau kita baru tahu sedikit tentang bidaah janganlah semudah itu kita hendak memberi pendapat bahawa orang lain itu buat bidaah dan akan masuk Neraka! Perkara agama bukanla semudah 2+2 jadi 4. Tidak semudah itu kita memasukkan orang ke dalam Neraka. Renungkanlah !

Sekian, Wassalam !

Wednesday 16 December 2009

Bersihkan Hati

Assalamualaikum !

Tujuan Allah menjadikan manusia di bumi ini ialah untuk manusia menjadi hamba kepada Allah, untuk menyembah Allah. Dunia adalah sebagai sebuah pentas, tempat manusia mengambil peranan masing-masing. Maka nampaklah kita manusia itu sebagai seorang pelakon, melakonkan watak masing-masing yang dipilihnya.

Dalam Al-Quran telah menyebut bahawa syaitan itu adalah musuh manusia yang nyata. Syaitan mahu mengheret manusia ke neraka bersama-samanya. Maka apa-apa watak baik yang kita cuba lakukan di pentas dinia ini, syaitan sentiasa mengambil peranannya untuk menggangu orang yang berbuat baik itu. Kadang-kadang syaitan itu tidak dapat mengggangu atau mempengaruhi seseorang manusia yang berhati ikhlas, dia akan mencucuk orang lain untuk jadi dalangnya mengganggu orang yang sedang buat sesuatu kebaikan. Oleh itu hati-hatilah supaya kita jangan di pergunakan oleh syaitan.

Penghujung hidup semua manusia ialah mati. Sebagai orang Islam kita berdoa dan mengharapkan penghujung hidup kita ialah yang baik ia-itu Husnul Khatimah. Insya-Allah, kita akan mendapat husnul khatimah kalau dalam hidup kita hati sentiasa baik dan ikhlas serta tidak melakukan apa-apa yang di larang Allah. Kita akan dapat di sebaliknya kalau hati kita hasad dengki, riak, sombong dan ujub, Nauzubillah ! Jadi kita hendaklah belajar membersihkan hati kita. Kalau kita tidak tahu untuk membuat perkara-perkara kebaikan, usahlah kita mendengki hamba Allah yang cuba melakukannya. Biarlah orang itu buat apa yang dia tahu membuatnya.

Mungkin orang yang masih muda ingat dia masih jauh dari kematian. Hakikatnya ramai orang mati semasa umurnya masih muda. Oleh itu kita cubalah perbaiki diri sendiri tanpa mengganggu orang lain. Kalau kita fikir seseorang itu melakukan sesuatu, tetapi tidak berapa bagus, maka buatlah azam kita akan melakukan seseuatu yang baik itu lebih bagus dimasa hadapan. Buat masa ini timbalah ilmu dahulu sebanyak mungkin. Dunia ini luas, tepuk dada tanya selera, " Aku nak ambil peranan atau watak apa di atas pentas dunia ini? "

Ada orang berwajah manusia tetapi orang lain boleh lihat tanduk syaitan itu ada di kepala seseorang yang diperkudakan oleh syaitan tanpa orang itu menyedarinya. Kasihan kepada orang seperti itu. Semoga Allah memelihara kita dari fitnah syaitan. Ameen !

Wassalam !

Tuesday 15 December 2009

Majlis Kenduri Aqikah

Assalamualaikum !

Mak teh agak sibuk hari ini. Kami sedang membuat persediaan untuk mengadakan majlis kenduri aqikah untuk cucu. Insyaallah majlis akan berlangsung pada 20 hb Disember ini. Berkesempatan dengan itu kami juga menyambut 33 tahun hari ulangtahun perkahwinan mak teh dan Pak haji. Alhamdulillah !

Maka ramailah sanak-saudara yang di jemput. Kami mengharapkan kedatangan mereka , jiran-jiran dan sahabat-handai untuk meraikan majlis ini. Majlis akan di mulakan dengan bacaan yassin dan doa selamat. Kemudian makanan akan di sajikan bermula jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang. Kawan-kawan dan saudara-mara yang tidak dapat sms jemputan sila telefon mak teh dan bolehlah datang.

Sekian, terima kasih sehingga kita berjumpa lagi.

Wassalam !

Saturday 12 December 2009

Kurniaan Mu !

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah Tuhan sekelian alam ! Kesyukuran yang aku rasakan kerana nikmat yang dilimpahkan Allah kepada aku dan keluarga.

Allah telah kurniakan kepadaku seorang cucu pewaris keluarga ini. Semoga dia di pelihara dan di lindungi Allah sentiasa. Allah juga telah memberi kepadaku Hidayah yang Taufik. Tidak dapat aku ceritakan disini apakah perkara itu. Yang penting aku rasa lebih tenang dan lebih dekat denganNYA.

Aku juga rasa tahap kesedaranku kepada alam sekeliling lebih tinggi. Umpamanya pagi-pagi ini aku telah mendengar kicauan burung yang jawab-menjawab seolah-olah sedang berbual dengan penuh irama. Aku nampak daun-daun pokok segar menghijau. Aku lihat warna langit membiru. Aku juga nampak indahnya daun-daun palma melenggok-lengok dalam irama angin ynag menhembus perlahan. Masya-Allah sebutku perlahan. Subhanallah... semua adalah kurnia dariMu dan bukti KeagonganMu kepada sesiapa yang dapat melihatnya.

Alhamdulillah !

Thursday 10 December 2009

Sunday 6 December 2009

Dah Jadi Nenek !

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, mak teh dah jadi nenek. Gelaran terbaru bagi mak teh dan Pak haji ialah Mak tok dan Tok wan. Seronoknya perasaan jadi nenek lain sedikit dari seronok jadi parents dahulu. Sekarang mak teh bolehlah join kelab Sarina. Hehe!

Baby boy selamat di lahirkan petang semalam dengan weight 3.98 kg. Masya-Allah! Namanya belum lagi di umumkan oleh parents dia. Namun sebelum nama itu di umumkan mestilah mendapat kelulusan cop sirim Tok Wan dahulu. Hehehe!

Insya-Allah dalam doa Tok Wan dan Mak tok kali ini akan termsuklah doa untuk cucunda agar menjadi seorang yang soleh dan seorang ulamak di masa hadapan. Ameen!

Sudah tentu mak teh akan dodoikannya dengan
lagu :

Timang Tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.

Mak Tok akan agah dia dengan rangkap begini:

Tumbuk-tumbuk emping, ( jari akan mencucuk tapak tangannya )
Emping dalam gantang,
Mana tikus keting,
Lari bawah ketiak ! ( sambil jari akan menggeletek ketiaknya, hehehe! )

Macam-macam lagilah perkara yang akan Mak tok lakukan bersama cucunda. Tidak lupa Mak tok akan ceritakan sejarah bangsa dan keluarga kita. Insya-Allah akan ku hidupkan segala budaya warisan kita selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat agama.

Selamat sejahtera cucuku !

Tuesday 1 December 2009

Bahasa Ibunda

Assalamualaikum !

Ibuku seorang Melayu, jadi bahasa ibundaku ialah Bahasa Melayu. ( Moyangku pula dari kedua belah ibu dan bapaku adalah campuran dari benua lain ). Namun orang yang sangat berpengaruh keatas kami mengenai bahasa ialah nenek sebelah ibuku. Percakapan nenekku penuh dengan kiasan dan peribahasa. Nasihat dan arahan-arahan selalu di kaitkan dengan cerita-cerita rakyat penuh dengan pedoman dan panduan.

Dari kecil kami dinyanyikan dengan lagu-lagu seperti ini :

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.

Buai laju-laju ,
Sampai balik sana,
Apa dalam baju ,
Sekuntum bunga Cina.

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor,
Apa salah kami,
Lalu tidak tegur.

Cak cekur, udang gamit,
Minta kapur, beri kunyit.

Masak pulut manis,
Santan kelapa muda,
Adik jangan menangis,
Emak nak buat kerja.

Apabila kami sudah besar sudah boleh bermain dengan kanak-kanak lain kami nyanyikan lagu-lagu seperti berikut :

Sik, sik, batang pinang,
Siapa bisik dia nak tunang!

( Macam-macam lagi lagu seperti dalam film P. Ramlee tu kami nyanyikan. Tak tahulah kami terpengaruh dengan P. Ramlee atau dia yang menceduk dari kami. )

Meningkat umur remaja sudah banyak cerita rakyat yang kami tahu, seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Nakhoda Tenggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Batu Belah Batu Bertangkup. Penggunaan Bahasa seharian kami berbunga dan berperibahasa, subur dan meluas.

Kami tahu siapa dia di dalam kampung kami yang di gelar " tangkai jering " dan kenapa. Kami tahu siapa yang " hidung belang " dan siapa yang " mata keranjang"! Kami tahu siapa yang " kaki bangku " dan siapa pula yang " kaki wayang ". Kami tahu perbezaan " kaki lima " dan " buku lima ". Kami juga tahu siapa yang " buku bertemu ruas ". Kamai juga tahu pasangan pengantin mana yang di katakan seperti " pinang di belah dua ".

Jadi amat hairanlah aku, apabila aku mengajar matapelajaran Bahasa Melayu, anak-anak muridku tidak pernah dengar peribahasa digunakan di rumah. Akupun telah berkata kepada mereka, " Balik rumah gunakanlah peribahasa ini dalam percakapan seharian ! Kalau emak tak tahu peribahasa ini ajarkan emak ! "

Wahai ibubapa muda ( anak-anak masih kecil ) bertuturlah dengan anak-anak menggunakan Bahasa Ibunda, jangan asyik nak cakap bahasa orang putih saja dengan anak-anak. Nanti orang lain dapat Matapelajaran Bahasa Melayu SPM A1, anak kita belum tentu boleh lulus! Ha! Siapa yang malu ?

Apabila anak-anak dah masuk sekolah menengah bolehlah bertutur dalam bahasa kedua atau ketiga, tiada masaalah.