Sunday 29 June 2008

What Goes up Must Come Down!

When you throw something into the air, it will eventually come down due to the law of gravity. However when prices keep spiralling upwards there is no law of gravity to pull it down. The result of such economic phenomena will be inflation. Then the bubble will burst, then there will be economic depression. I am not sure whether my theory is correct because I am not an economic professor. Simply to me the future looks rather gloomy!

Anyway to cushion us ( our school )from the rising prices, yesterday and the day before I went to the biggest stationary warehouse in Shah Alam to buy some 30 reams of A 4 papers, 1200 pieces of execise books, and some other stationaries. The salesgirl commented that I was doing a clever thing since she believed the price will definitely incresed by 40-50% come the 1st of July. I would have bought more items but that would tie down my capital and disturb my cashflow and the other problem would be storage.

The rise in prices of most goods is really hurting us. We are running our school based more on charitable consideration rather than a commercial one. As such we could not expect the parents to be burdened with increase in fees. At one point I thought that we might have to close the school. I was a bit depressed. Fortunately, with prayers and peservearence Allah SWT made it dawned upon me that if we are doing His job, help will come in many ways.

Insya-Allah we will plod on day by day to build this school to make it a success. May Allah allow this to happen. Ameen!

Saturday 28 June 2008

Hari Demi Hari

Assalamualaikum!

Hari demi hari aku meniti hidup ini. Entah berapa jauh lagi aku akan menapak ke hari muka, aku tidak tahu. Orang yang disayangi ada yang telah pergi terlebih dahulu. Ada lagi insan-insan yang ku sayangi masih menemani hidupku. Alhamdulillah! Kalau hidup tanpa mereka tentulah hidupku akan sepi. Aku tidak dapat dan tidak mahu membayangkannya.

Semalam aku duduk diruang tamu sambil memikirkan sesuatu. Zed datang menemanuku lalu bertanya, " Mak rasa diri mak mudakah tua? "

Aku menjawab, " Hmmm, kalau sakit-sakit rasalah diri ni dah tua. Tapi kalau boleh buat apa yang nak buat setiap hari rasa macam muda saja. Tak ingatpun umur dah tua!"

" Sebenarnya mak masih muda!" tegas Zed. " Tengoklah tok tu, dah berumur 85 tahun baru je kebelakangan ni dia kurang sihat."

Betul juga apa yang Zed kata tu. Ibuku hanya kebelakangan ni uzur. Sewaktu dia berumur seperti umurku dia ligat bergerak kesana kemari. Selang sebulan dua, dia akan berada di rumah anak-anaknya di Shah Alam. Dari sembilan orang anaknya, 5 orang bermastautin di Shah Alam. Jadi dia akan terbang pergi balik bersendirian dari Alor Setar ke sini tiap kali hatinya tergerak nak bersama anak-cucunya.

Beberapa bulan yang lalu ibu jatuh sakit. Dia telah memanggil semua anak-anaknya pulang. Kamipun rasa cemas dan telah mengelilinginya di hospital. Kami sangka dia akan pergi. Kebetulan pada waktu yang sama Abang Long juga sakit dan diwadkan di bilik selang beberapa pintu dari bilik ibu. Seminggu kemudian kami berasa lega apabila ibu pulih dan keluar dari hospital. Kamu lupa bertanya hal Abang Long kerana menyangka dia demam biasa sahaja juga kerana Abang Long sebelum ini tidak pernah sakit.

Sehari selepas ibu keluar dari hospital, aku terkejut menerima panggilan yang keadaan Abang Long merosot teruk. Dia mengalami kidney failure serta tidak lagi boleh bercakap. Keadaan Abang Long amat menyedihkan! Tidak dapat aku ceritakan disini. Kami adik-beradik berkumpul semula membincangkan apa yang harus kami lakukan. Kami dapati doktor yang merawat abang long di hospital swasta itu cuai dan lembap.

Kami segera memindahkan Abang Long ke Hospital Besar Alor Setar. Kami berpuashati dengan layanan dan treatment yang di beri oleh para doktor dan kaki-tangan Hospital tersebut. Namun sedihnya di hospital Besar itu alat mesin dialysis tidak mencukupi. Para pesakit termasuk Abang Long terpaksa menunggu lama untuk giliran menggunakan alat tersebut. Seminggu Abang Long berada di Hospital itu, setelah dapat membuat dialysis yang terakhir dia tidur dengan tenang dan tersedar dari itu dia bercakap seperti dalam keadaan orang yang pulih dari sakit, boleh bercakap-cakap bersama anak-anaknya selama 2 jam. Kemudian dia tertidur semula dan terus keadaan coma. Keesokkan harinya pada sebelum masuk waktu 'Asr beliau kembali ke Rahmatullah! Inna Lillahi wainna ilaihiroojiuunn! Aku sangat bersedih atas pemergian Abang Long. Dia telah menjaga kami adik-beradik menggantikan ayahku yang telah meninggal sewaktu umurku 12 tahun. Umurnya pada masa itu baru 21 tahun.

Hari demi hari telah berlalu, sudah 2 bulan Abang Long meninggalkan kami!

Tuesday 24 June 2008

Di Pagi Selasa

Assalamualaikum!

Hari ini hari Selasa, bangun pagi selepas solat subuh, selepas anak-anak semua dah keluar ke sekolah dan keluar kerja fikiranku mula berputar. " Aapakah jadual aku hari ini? " Mula-mula sekali aku sudah tahu aku nak ke pasar, kemudian aku ada kelas English jam 9.45 hingga 10.45. Kemudian aku ada tugas besar aku nak kena buat. Apakah tugasku itu?

Semalam aku terbaca dalam akhbar harga kertas akan naik 50%. Jadi tugas aku hari ini adalah untuk membeli seberapa banyak kertas dan buku-buku latihan yang kami perlu . Aku hendak pergi ke Kedai pemborong alat-tulis yang terbesar di Shah Alam. Berdebar juga hati, mungkinkah aku akan dapat harga lama atau seperti beras juga, mereka akan naikkan harga itu dengan bersegera kerana hendak mengaut keuntungan!

Hai, kalau nak mengeluh dah boleh sangat! Bagaimanakah kami akan menangani kenaikkan harga barang-barang ini. Nak sumpah seranahpun tak guna nanti takut dapat dosa pula. Maka kenalah cekalkan hati untuk menempuh hari-hari yang mendatang, seribu doa ku luahkan, sebesar dulang tangan di tadahkan dan segunung harapan ku sematkan dihati. Semoga semangat juang yang ada pada kami tidak mudah tergoncang oleh keadaan yang melanda.

Entahlah! sekarang aku hendak pergi kepasar dahulu mencari bahan makanan untuk keperluan kami dan warga sekolah. Tiap kali pergi ke pasar kepalaku tidak boleh bajet lagi. Sangat memeningkan. Harga ikan sudahlah terlalu mahal, harga ayampun sudah naik ke rm 6.50 sekilo dan khabarnya akan naik lagi, harga santan dan lain-lain keperluan semuanya meningkat. Penangan kenaikkan harga minyak belum melanda sepenuhnya lagi. Mungkinkah tidak ada penghujungnya dalam perkara kenaikkan harga barang ini?

Sedih melihat keadaan dan kami hanya boleh mengadu kepada yang Maha Berkuasa. Ya Allah kami pohon supaya perjalanan sekolah ini tidak terjejas. Ameen, Ameen Ya Robbul'aalameen!

Saturday 21 June 2008

Bagaimana Masa Depan Anak-Anak ?

Assalamualaikum!

Semua orang sibuk menjalani kehidupan setiap hari sehingga kita terlupa untuk berfikir sejenak tentang masa depan anak-anak kita. Kita sibuk cari duit dan melakukan tugas-tugas seharian. Apabila kita pulang anak-anak sudahpun tidur atau tertidur didepan TV. Diri kitapun sangat keletihan dan akan masuk tidur sebentar lagi. Sempatkah kita bertanya kepada bibik apakah yang telah anak-anak lalui siang hari tadi? Kita tidak sempat berfikir bagaimanakah masa depan anak-anak kita? Kita hanya mengikut arus dan hanya berharap masa depan kesemua anak-anak kita akan jadi baik-baik belaka.

Semalam Mak teh bertemu sepasang ibubapa muda. Mak teh kasihan melihat keadaan mereka walaupun mereka kelihatan dari gulungan agak berada. Mereka membawa seorang anak lelaki yang mereka ingin di masukkan kesekolah mak teh. Pak haji bertanya,

" Kenapa datang lewat nak masuk sini? Sebelum ini belajar dimana?"

" Sebelum ni, mula-mula saya masukkan anak saya ni ke sebuah Madrasah Al-Quran nak buat Tahfiz sahaja di Perlis. Dia duduk di situ 4 bulan. Kemudian saya bawa keluar." jawab si ayah.

" Kenapa?"

" Guru yang mengajar dia di sekolah rendah beri tahu saya rugi hantar anak ke sekolah yang tidak ada akademik sedangkan katanya anak saya seorang murid yang berpotensi. Sayapun rasa serba salah. Sebab tu saya keluarkan dia dan kemudian saya bawa dia ke Kelantan. Ada kawan beritahu boleh masukkan ke Maahad Tahfiz Pulai Condong.Dia nak tolong kirakan."

" Bolehkah masuk Pulai Condong tu sedangkan setahu saya bukanlan semudah itu." kata Pak haji.

" Belum sempat buat apapun budak ni kata tak mau dok kat kelantan tu , katanya jauh sangat. Lepas tu kamipun baliklah."

" Memang tak akan dapat masukpun. Kalau kat Pulai condong kalau tak dapat 4 atau 5A, borang permohonanpun tak akana dapat." kata Pak haji.

" Lepas tu saya bawa pergi ke Maktab Mahmud. Depa tak terimalah sebab dia tak buat peperiksaan Entrance dulu. Dah terlepaslah pulak! Kemudian saya bawa dia balik ke tempat kami semula dan masukkan ke dalam sekolah menengah kebangsaan. Nak masuk tupun susahlah juga mujur ada guru yang saya kenal dan dia tolongkan"

" Kesian budak ini, awak bawa dia rata-rata. Pening kepala dia. Ni kes silap perancangan kerana tak rancang dan fikir betul-betul mana jalan nak bawa anak." kata mak teh.

" Kita kenalah rancang 2 tahun sebelum anak naik ke sekolah menengah mana jalan kita nak bawa dia dan kena beritahu dia awal-awal lagi!" celah Pak haji.

Si ayah dan si ibu mengagguk-ngangguk. " Memang silap kami! Lepas tu dia merajuk kerana nak sekolah al-quran dan agama juga. Petang-petang dia pergi termenung kat hutan dekat rumah, dia beritahu tokwan dia dah nasib dia nak buat macam mana, ayah dah tark dia balik masuk sekolah kebangsaan! Dah dengar tu sayapun cerita hal ni kat kawan saya bapa si X (pelajar kami). Bapa si X beritahu saya mengenai sekolah ini. Tu yang kami mai ni." Si ayah bercerita.

Aku meneruskan temuduga. Anak ini mendapat keputusan UPSR yang tidak cemerlang tetapi ada syarat minima yang boleh diterima. Seterusnya mak teh test bacaan Al Qurannya. Mak teh dapati bacaannya tidak lancar, dia hanya mengenal huruf, sebutan tidak tepat dan tajuidnya lintang-pukang. Agak mengecewakan, jadi mak tehpun bertanya kepada kedua-dua ibubapa muda itu.

" Sejak bila ingat atau terniat nak menghantar anak itu ke sekolah Tahfiz?

" Sejak dia dalam darjah 4 lagi. Kemudian saya telah pergi Umrah dan berniat depan Kaabah hendak membawa anak ini ke jalan Tahfiz."

" Maaf ye! tetapi kenapa anak ini tidak lancar bacaan al-Qurannya. Kalau nak hantar ke jalan ini Al- Qurannya mestilah khatam atau sekurang-kurangnya lancar bacaannya."

" Itulah kami tidak dapat ustaz untuk mengajarnya. Kami cari orang nak bayar datang ajar kat rumah tetapi tak ada. Kami nak hantar kepada seorang ustaz itu terlalu jauh dari rumah kami. Tempat kami tinggal tidak ada guru al-Quran."

" Kenapa maknya atau ayahnya tidak ajar sendiri." mak teh bertanya.

" Ayahnya bekerja shift selalunya sampai malam. Saya tidak ada masa kerana saya juga berniaga." kata Si ibu.

Mendengar itu tak terkatalah lagi mak teh ni. Terdiam sebentar.

" Ada berapa orang anak lagi selain anak ini?"

" Dia ni anak ke dua, kakak dia dah masuk Maktab Mahmud. Adik dia ada 2 orang lagi, darjah 5 dan lapan bulan."

" Apakah cadangan puan untuk anak-anak yang dua lagi tu?" tanya mak teh.

" Tak taulah! nak bawa jalan ni juga rasanya."

" Kena mula dari sekaranglah? Didikan agama dan tekanan pada Al- Quran." sambung mak teh.

" Kami ni orang biasa-biasa saja dari segi agama, tetapi ingin anak-anak buat tahfiz dan agama." kata Si ibu.

" Ya lah kita memang orang biasa-biasa tetapi kalau dah nak menghantar anak ke jalan ini tak bolehlah biasa-biasa saje, kita kenalah lebih sikit dari biasa-biasa. Anak-anak kena di didik agama dan Al-Quran dari kecil lagi."

Ibu itu tersenyum dan mak teh pun tersenyum hambar......

Mak teh terpaksa berfikir lebih mendalam, " Patutkah aku terima anak ini?"

Kebiasaanya memang dah reject. Namun ada sesuatu mengenai anak itu yang membuat mak teh kasihan padanya. Pertama mak teh kasihan perihal dia telah di bawa kesana-sini, berpusing-pusing kerana kesilapan ibubapanya merancang. Mereka mungkin telah mengambil terlalu mudah perkara ini. " Kalau aku tak ambil apa akan jadi pada budak ini?"

" Awak sukakah bidang Al-Quran dan tahfiz ini?" mak teh telah bertanya awal tadi.

" Suka " pantas jawapannya sambil tersenyum.

" Nanti berpisah dengan mak, macam mana?"

Dia tersenyum tanpa berkata apa-apa. Sebelum ni kami dah ada kes anak yang terlalu manja hingga tidak dapat berpisah dengan ibunya, asyik menangis sahaja, akhirnya balik semula kepada ibunya walaupun dia seorang yang boleh menghafal al-Quran dan akademiknya juga baik.

" Boleh! Di sekolah yang dulupun dia boleh duduk." sampok si ibu.

Aku lihat perawakan anak ini menarik suka tersenyum dan dari air mukanya nampak cerdik. Dari gerak-gerinya nampak perangainya boleh dibentuk. Pada keseluruhannya aku tidak teragak boleh mengambil anak ini sebagai anak angkatku.

Begitulah perhitunganku apabila hendak menerima seseorang pelajar masuk ke sekolah kami. Samaada ibubapa mereka sedar atau tidak sememangnya anak-anak ini apabila masuk kesekolah kami, akan kami pelihara dan didik seperti anak-anak kami sendiri.

Thursday 19 June 2008

Menyambut Tetamu

Assalamualaikum!

Beberapa hari lepas mak teh , pak haji, anak-anak dan warga sekolah kami sangat sibuk membuat persiapan menyambut tetamu dari negara jiran Singapura. Sibuklah anak-anak tahfiz mengemas asrama mereka, mengecat pintu pagar dan merancangkan aturcara untuk meraikan tetamu yang bakal kunjung.

Semalam jam 9.30 pagi mereka sampai 2 bas kesemuanya 90 orang termasuk para pelajar lelaki dan perempuan guru-guru, waris-waris dan ada juga adik-adik kecil. Mereka datang dari sebuah Pusat Tahfiz Singapura. Semasa mereka sampai awan mendung seperti akan mencurah hujannya bila-bila masa sahaja. Namun berkat doa kami semua dan solat hajat anak-anak tahfiz malam sebelumnya, Allah Maha Pengasih, Maha Mengetahui hajat hambanya, telah mengalih awan hujan itu ketempat lain ( petang baru hujan mencurah disini ). Alhamdulillah! Maka lancarlah perjalanan aturcara yang telah dirancangkan itu. Selepas ucapan alu-aluan dan taklimat Pengetua, ucapan balas dari wakil pihak tetamu, ucapan Ustaz Nidzom, kedua belah pihak menayangkan video perihal aktiviti sekolah masing-masing dan saling bertukar cenderahati. Kemudian tetamu di bawa menyaksikan kehebatan memanah anak-anak tahfiz kami di padang. Para tetamu kelihatan kagum dengan pertunjukan itu.

Hampir jam 11.30 pagi barulah mereka beredar ke asrama dimana mak teh dan anak-anak serta ahli jawatan-kuasa biro makan menyambut tetamu itu. Mak teh terlebih dahulu bersama pembantu dan anak-anak tahfiz banat (perempuan ) telah menyediakan hidangan tersebut. Menu termasuk nasi lemak, bihun goreng dan roti jala bersama kari ayam spesial dan kuih serimuka pulut hitam (order je melalui guru sains kami). ( Penatnya tak terkira, sebabtu lah mak teh tak dapat menyambut tetamu masa merka mula-mula mereka tiba tadi ). Mereka menjamu selera sambil berbual mesra terutama Mudir dan tenaga pengajar kedua-dua sekolah. Kemesraan yang ikhlas dan sepontan menambat hati masing-masing. Itulah ukhwah di antara saudara sesama Islam yang berjuang dalam satu bidang terjalin dengan mudahnya walaupun belum pernah bertemu sebelum ini.

Mereka berangkat pulang pada jam 1.00 tengah hari dengan lambaian selamat tinggal kepada kami saudara yang baru bertemu tadi. Mereka telah berjanji akan menghantar sekumpulan pelajar-pelajar mereka untuk menghadiri Summer Camps di sekolah kami setiap musim cuti. Alhamdulillah kami juga bersedia menerima mereka untuk tujuan tersebut. Ada di antara waris yang datang bersama-sama rombongan menyatakan minat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah kami. Alhamdulillah! kami berasa puas hati dengan usaha kami menyambut tetamu dan perjalanan aturcara keseluruhannya.

Kami amat bersyukur! Semua yang baik datangnya dari Allah SWT.

Monday 16 June 2008

Adab Masuk Masjid

Assalamualaikum!

Hari ini mak teh nak beritahu sedikit tentang adab masuk masjid. Ramai orang kita terutama di kalangan wanita kurang tahu adab apabila memasukki masjid. Bacalah yang berikut ini sebagai panduan terutama untuk wanita muda seperti anak-anak buah mak teh.

1) Pakaian hendaklah sopan dan menutupi aurat.

2) Wanita mesti suci dari haid dan nifas. Wanita yang dalam keadaan haid dan nifas tidak boleh masuk ke dalam masjid, walaupun anda yakin tidak kebocoran.

3) Sesudah berwudhu, apabila hendak masuk pintu masjid hendaklah memberi salam kepada malaikat penjaga masjid.

4) Bacalah doa " Ya Allah aku memohon rahmat darimu." sambil berjalan memasukki masjid.

5) Lakukan solat sunat tahiyatul masjid 2 rakaat.

6) Tidak boleh bercakap-cakap ketika didalam masjid menuggu waktu. ( Orang yang masuk kedalam masjid malaikat berselawat ke atasnya selagi dia tidak besuara atau bercakap-cakap )

7) Apabila selesai solat sunat hendaklah berdiam diri atau berdoa atau berzikir atau membaca al-quran. Ketika brdiam diri eloklah niat iktiqaf dalam rumah Allah (mendapar pahala mudah )

8) Kemudian anda hendak masuk baris atau saf untuk rsolat berjemaah, hendaklah masuk baris dari kiri saf dan naik ke kanan untuk merapatkan saf.

9) Lakukan solat berjemaah dengan tertib melakukan pergerakkan mengikut imam beberapa saat selepas dia melakukan pergerakan tersebut tidak boleh mendahuluinya.

10) Bacaan anda tidaklah boleh kuat hanya perlu dengar ketelinga anda sahaja. Tidak boleh kuat mengganggu makmum lain.

11) Seeloknya tidak boleh keluar dari tempat duduk sehingga imam selesai membaca doa.

12) Tidak boleh berniaga atau membincangkan hal bisness didalam masjid. Jika anda berniaga dalam masjid ada hadith mengatakan di jamin anda akan kerugian.

13) Berdoalah agar kita akan selalu suka datang ke masjid, " Ya Allah sangkutkanlah hatiku di rumahmu ini."

14) Ketika melangkah keluar hendaklah berdoa, " Ya Allah aku mengharap rahmatMu"

Sekian di harap mendapat faedah dari tulisan ini. Wassallam!

Thursday 12 June 2008

Tazkirah Pagi Khamis

Assalamualaikum,

Di dalam kesibukan kita menjalani kehidupan setiap hari, kita selalunya melakukan ibadah solat secara tergesa-gesa serta sukar melakukannya dengan khusyu'. Selesai memberi salam kitapun terus bangun hendak menyambungkan tugas atau kerja yang kita tinggalkan tadi atau terus tergesa-gesa hendak keluar mencari duit, atau hendak pergi berhibur dan sebagainya. Dalam keadaan begitu kita lupa atau tak sempat hendak berzikir atau berdoa.

Seharusnya kita hendaklah beristighfar dan berzikir, Astaghfirullahhalazeem 3kali kemudian zikir Suhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahuakbar 33 kali. Kemudian kita baca doa umpamanya,1) Robbana aatinaafiddunya hasanah wa filaakhirati hasanah wakhinaa 'azaabannar. 2) Allahumma 'ainni 'alaazikrika wasyukrika wahusna ibaadatika, 3) Allahumma inni 'aauzubikaminalhammi walhusni wa 'aauzubikaminal 'ajziwalkasal wa 'aauzubikaminal jubni walbukhli wa'aauzubikamin ghalabbatiddaini wakhohrirrijal. 4) Doa untuk kedua ibubapa dan lain-lain doa

Salah satu gulungan manusia yang Malaikat mendo'akan keatasnya ialah orang yang masih di atas tempat soalatnya (berzikir & berdoa ) untuk beberapaa ketika setelah selesai solat. Kalau selepas solat sunat malam seeloknya kita beristighfar 100 kali dan bersolawatlah 100 kali. InsyaAllah kita akan mendapat hidayah dari Allah SWT dan Allah akan memelihara kita.

Semoga Allah akan menyeru kita di akhir hayat kita dengan seruan, " Yaa iayatuhannafsul mutdhmainnah, irjii' ilaarobbiki roodiyatammardhiyah. Fadhkhulii fiiibaadi. Wadhkhulii jannati." Ayat 3 terakhir surah Fajr. yang bermaksud, " Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Robbmu (Allah )dalam keadaan engkau suka dan Dia meredhaimu. Masuklah dalam gulungan hambaku. Dan masukaklah ke dalam Syurgaku."

Tuesday 10 June 2008

Cerita Ceria Dan Harapan Kami

Assalamualaikum! The last few days kurang mood nak buat entry! Faham-faham je lah suasana keseluruhan sekarang ini membuat ramai orang jadi moody. Jadi di pagi ini aku akan cuba memberi sedikit keceriaan dengan menceritakan topik lain sikit dari kisah semasa.

Pertama, semalam kami dapat surat dari syarikat yang kami telah pohon sumbangan Van tu, berita gembira menyatakan kelulusan dari pihak syarikat mereka. Sekarang dalam proses pengecualian cukai. Insya-Allah hujung bulan dapatlah kut van yang di nanti-nantikan tu.

Kedua, malam ahad lalu kami telah mengadakan sedikit majlis kesyukuran sempena kepulangan Lia bercuti, kerana Lia dan Yana Najjah (naik kelas ) dalam peperiksaan yang baru mereka lalui, kerana menyambut Bakal Menantu , dan juga sempena Zed berjaya mendapat MBAnya ( kebetulan keputusan tu baru 3 hari keluar ). Jadi majlis ini dibuat dengan niat kesyukuran dan juga sillaturrahim. Kami membjempuat anak-anak tahfiz kami, guru-guru, jiran terdekat, dan saudara-mara yang terdekat dan tinggal berdekatan. Doa kesyukuran telah di baca oleh Ustaz Nizam dan di sertai anak-anak tahfiz dan para tetamu. Alhamdulillah majlis berjalan dengan sempurna. Nampaknya makanan yang di sediakan memuaskan hati para tetamu. Syukurlah kami di atas segala rahmat yang Allah limpahkan keatas kami sekeluarga.

Ketiga, Pak haji akan mula buat rundingan untuk membeli Lot tanah tapak kompleks MTAQSA di Shah Alam. Sekiranya berjaya Kelab Ekuin kita akan bertapak disitu terlebih dahulu. Sememangnya besar perancangan Pak haji dan harapan kami untuk MTAQSA. Kami berdoa setiap hari, semoga Allah akan memakhbulkannya. Ameen!

Lagi satu berita gembira mengenai sekolah ia-lah kami akan mendapat seorang guru baru sepenuh masa untuk mengajar mata-pelajaran sain dan matematik pada hujung bulan ini. Kami mengalu-alukan kemasukkan beliau sebagai guru sepenuh masa. Semoga beliau akan bahagia berkhidmat bersama kami sebagai warga MTAQSA. Kami juga akan mendapat seorang lagi Ustaz Al-Quran kelulusan Syubro, Al Azhar. Lagi berita gembira, seorang kawanku, guru pakar Bahasa Melayu, bernama Cik Diah yang bersara sebagai pensyarah UiTM ( nama samaran ikut Cowrie Emas ) bersetuju nak datang mengajar part-time. Insya-Allah semakin mantaplah MTAQSA. Setakat ini sudah ramailah sahabat-handai, kenalan dan saudara-mara yang telah membantu kami dalam usaha kami mendirikan sekolah ini. Terima Kasih kepada semua yang membantu kami dalam pelbagai urusan dan moral support dan keewangan. Jazakallah!

Friday 6 June 2008

Menempuh Zaman Payah

Assalamualaikum! Sekarang kita sedang menempuh zaman payah didalam Negara yang agak mewah. Sepatutnya kita tidak susah sangat kerana negara kita sebuah negara yang mewah. Allah Maha Pemurah, Dia kurniakan bumi kita sumber tenaga iaitu petroleum. Sumber yang keluar dari bumi sesebuah negara itu adalah untuk rakyaatnya. Maka kitapun sedutlah pemberian Allah itu tetapi yang kaya ialah sebuah Syarikat kepunyaan Negara kita. Kemudian harga petrol dunia di pengaruhi oleh pasaran Antarabangsa.Di peringkat antarabangsa penyangak-penyangak telah beli kaut semua komoditi ini menyebabkan harga petroleum melonjak tinggi. Mereka telah menyebabkan keaadaan kekurangan petroleum yang " false " ia itu bukan sebenarnya. Kita masih mampu beri pada rakyat kita petrol dengan harga yang murah tetapi kita nak samakan dengan harga dunia . Oleh itu Kerajaan menarik balik subsidi harga petrol yang diberi kepada rakyat. Maka jadilah keadaan sekarang diman harga petrol kita naik ke rm 2.70 seliter.

Pak haji telah memberi contoh untuk menerangkan apa maksud subsidi harga petrol yang di beri oleh kerajaan, supaya orang biasa faham. Pak haji ada ladang durian. Dia jual pada kaum keluarga dia dengan harga rendah tidak sama dengan harga yang dipasarkan kepada orang luar. Kemudian harga durian naik tinggi berlipat ganda, Pak haji terpaksa juga jual duriaduriannya kepada keluarga, tetapi tidak sanggup melepaskan keuntungan sekiranya dia jual pada orang lain. Jadi Pak haji kata pada anak-buah dia bahawa dia tak mahu subsidise lagi harga durian yang mereka beli iaitu RM 2 sebiji sebab kalau jual kepada orang lain dapat RM 10 sebiji. Dia tidak sanggup mengalami ( kerugian ?) itu. Jadi Pak Haji naikkan harga dari RM 2 kepada RM 8. So sekarang kalau kalau anak buah bising dia akan berkata, " Awak masih untung dapat beli dengan haraga RM 8 jika awak bandingkan dengan jiran awak dia membeli durian dengan harga rm 10."

Itulah contoh yang senang untuk anda fahamkan. Apabila harga petrol naik maka harga barang-barang lain tentunya akan ikut sekali. Oleh itu bersedialah kita rakyat jelata akan mengalami zaman kepayahan! Apakah yang harus anda lakukan?

Renungilah sejarah Tamaddun yang lalu. Kenapa Incas civilisation Hancur? Kenapa Mayans civilasation leyap dari muka bumi ini? Kenapa Angkor Watt di tinggal sepi? Semua ada sebabnya, apabila kebajikan rakyat di abaikan, maka lenyaplah sesebuah ketamadunan itu. Di manakah anak-cucu kita 100 tahun lagi ? Masih akan berkumandangkah lagu Negaraku?

Sunday 1 June 2008

Jangan Mudah Kabur Mata

Assalamualaikum!

Dalam hidup ini ramai orang ingin mendapat kemewahan, pangkat dan kemudahan. Dalam mencari atau mengejar perkara-perkara duniawi ini janganlah mudah kabur mata atau gelap hati. Kita harus sentiasa berwaspada terhadap tipu helah syaitan dan orang yang bersahabat dengannya. Kita juga harus ada prinsip hidup yang tidak akan mengorbankan agama dan bangsa kita.

Aku teringat kepada cerita ibu semasa aku kecil dahulu, ia-itu diakhir zaman Dajjal akan menjelma di dunia ini, di bahunya di kandarnya disebelah kira neraka dan di sebelah kanan syurga. Sesiapa yang mengikut kata-katanya akan di masukkan ke syurganya dan sesiapa yang menentangnya akan di masukkan ke nerakanya. Maka ramailah manusia yang akan tertipu dengan helah si Dajjal ini melainkan orang-orang yang beriman!

Setelah aku meningkat usia dan mengalami pelbagai asam garam hidup, nampaklah aku akan kebenaran cerita ibu itu. Aku amat berhati-hati dengan tipu helah Dajjal yang rasaku sudahpun menjelma. Pelbagai tipu muslihat Dajjal ada dalam hidup kita setiap hari. Dengan sedikit paparanku disini aku berharap anda juga sentiasa berwaspada.

Kes tipu helah Dajjal yang pertama aku temui ia-lah kalau hendak projek-projek besar hendaklah memberi rasuah. Maka Alhamdulillah tidaklah kami memberi walaupun sepuluh sen. Di sebabkan prinsip kami itu maka tidak dapat projek yang di pohonkan itu.

Pernah orang datang offer kewangan berjuta sekiranya kami melepaskan sesuatu projek yang telah kami pohonkan dan pada dasarnya dapat. Kami tidak menerima tawaran itu dan seterusnya tidaklah keluar surat kelulusan projek itu.

Kedua kalau nak barangan murah boleh pergi beli dari Supermarket Sang Dajjal, maka wang dari keuntungan itu akan di gunakan untuk membunuh orang-orang Islam. Maka tidaklah tergamak aku memijak kaki untuk membeli apa-apa barangan dari tempat itu.

Ketiga, kalau nak pangkat dan title amatlah mudah. Pernah juga kami didatangi ejen yang membawa "watikah" menjenmput minum bersa-sama kononya kenamaan tetapi hendaklah dihulurkan sumbangan puluhan ribu dan kami dijanjikan title yang ramai idamkan. Namu aku dan Pak haji tidak semudah itu di ajak minum dan tidak gila title.

Suatu ketika sebuah projek kami di offer untuk dibeli oleh bangsa asing dengan harga puluhan juta. Namun memandangkan tapak projek kami ada tanah Khas Melayu kami tidak tergerak hati untuk menjualkannya.

Banyak bisness yang boleh kami lakukan yang pulangannya cepat dan lumayan namun bila difikirkan konsep itu akan mengorbankan bangsaku, tidaklah akan aku lakukan. Ramai orang kita yang terpedaya dalam hal ini kerana mereka hanya nampak akan wang yang mereka boleh dapati. Mereka akan memasukki kumpulan jualan langsung yang barang yang dijual itu tidak berkualiti, kegunaannya tidak perlu, dan harganya terlalu mahal. Penggunak barangan ini adalah bangsa kita dan pengeluarnya adalah bangsa asing. Kerana kemewahan yang di kejar kita sanggup mengorbankan bangsa kita!

Dengan segala pengalaman diatas segala apa yang diunjukkan kepadaku sekarang aku mempunyai mata yang terang, tidak kabur kerana wang, mempunyai hati yang tidak gelap, Insya-Allah tidak akan mengorbankan agama dan bangsaku. Semoga kita sentiasa dipelihara Allah dan di beri taufik dan hidayahNYA. Aku tidak mahu masuk ke sangkar Dajjal dan aku juga berdoa semoga anda di pelihara dari mengikuti Dajjal jahanam itu.

Oleh itu berhati-hatilah wahai sahabat-sahabatku!