Tuesday 29 December 2009

Ilmu Tadika

Assalamualaikum !

Mak teh nak menceritakan kisah ini supaya kita dapat berfikir dan berhibur dengannya. Kisah ini berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu di sebuah kampung di Negeri Kedah.

Seorang anak buahku ( kita namakan dia Ali ) sangat cerdik dan mudah mempelajari sesuatu perkara. Semasa dia berumur 5 tahun dia telah di hantar ke sebuah Tadika. Dia amat seronok dapat belajar membaca dan mempelajari perkataan-perkataan baru setiap hari. Suatu hari, di Tadika dia telah belajar bahawa buah nyiur itu di sebut sebagai kelapa dalam bukunya. Sebagai yang umum tahu buah kelapa orang Kedah sebut " Nyiok " Maka berlarilah dia pulang amat teruja untuk memberitahu orang lain perkara baru yang di pelajarinya.

Alkisah Ali ada seorang bapa saudara ( dia panggil Pak Lang ) yang selalu melayan kepetahannya. Mereka berdua selalu buat teka-teki. Jadi pada hari itu, Ali rasa dia akan kenakan Pak Lang dengan sebuah teka-teki. Pada sangkaannya tentu Pak Lang tidak boleh menjawab teka-teki ini.

Ali berkata, " Pak Lang, ini ada satu teka-teki best. Cuba jawab! "

Pak Langpun berlagak kehairanan, " Apakah teka-teki itu. Tentu susah nak jawab ! "

Ali berkata, " Dia bulat. Pokok dia tinggi. Daun dia macam ni, macam ni, ( sambil menggayakan dengan tangannya bentuk daun kelapa ). Ada orang panggil dia kelapa. Buah apa ? "

Pak lang yang hendak tertawa, melenyapkan senyumannya, lalu berpura-pura cemas. " Isy ! Isy ! Isy ! Susah sungguh nak jawab teka-teki ini. Haaa.....Pak Lang tahu, Buah durian !" teka Pak Lang.

Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, Ali berkata, " Bukaaan ! "

Kata Pak Lang lagi, " Buah cempedak....." Maka banyaklah lagi nama buah-buahan tekaan Pak Lang.

Kepada semua jawapan itu Ali menggeleng-gelengkan kepalanya dan berkata " Bukaaan ! "

Akhirnya sambil tersenyum kemenangan Ali berkata, " Buah nyiok !! "

Di kalangan ahli keluarga kami menyimpan kisah ini untuk di ceritakan dan berderailah gelak-tawa mengenangkan telatah si kecil yang petah itu.

Sekarang Ali adalah seorang jurutera dan bekerja sebagai Konsultan Pakar IT dengan pendapatan yang amat lumayan. Alhamdulillah !

Pada masa kini, sesekali Ali menghantar SMS kepadaku nasihat-nasihat agama dari ilmu yang di pelajarinya. Untuk mengeluarkan pendapat dalam perkara-perkara agama sudah tentu Ali memastikan ilmunya tidak secetek ilmu Tadika !

Monday 28 December 2009

Keceriaan Menyambut Tahun Baru

Assalamualaikum!

Hari ini kepenatan amat terasa, namun hati mak teh dan Pak haji ada keceriaan. Seronok dan teruja melakukan kerja-kerja berkaitan pembukaan sekolah sesi 2010. Bermula awal pagi kami telah ke Pasar basah Seksyen 6, kemudian ke kelang membeli barang kering keperluan dapur. Nasib baik urusan membeli buku-buku dan kitab-kitab telah selesai minggu lepas.

Anak-anak Tahfiz senior telah mula menghafal dan mengulang bersama Ustaz Nizam semalam. Sedapnya mendengar Ustaz Nizam mengajar mereka sambil bertaranaum. Hari ini ada seorang Ustaz baru berkelulusan Universiti Madinah, mula mengajar anak-anak Tahfiz Bahasa Arab Tinggi. Malam ini, Tn Haji Razif atau panggilan mesra Uncle Razif oleh anak-anak Tahfiz, mengajar tuition Maths. Nampaknya tak sabar-sabar dia hendak mendidik anak-anak Tahfiz subjek Maths iaitu bidang kepakarannya.

Kesibukan hari ini juga kerana mak teh dan Pak haji menerima ramai tetamu dan pengunjung. Ada ibubapa datang mendaftar anak mereka, ada orang yang datang bertanya mengenai sekolah dan ada juga dermawan yang berkunjung untuk menghulurkan sumbangan. Kemudian ada 2 orang guru baru datang berbincang dengan Pak haji.

Persediaan untuk tahun baru termasuk memasang bendera baru untuk asrama yang telah di lakukan oleh Aizad dan Jurulatih Syah dan mengecat bahagian depan asrama ( belum siap ). Insya-Allah Sekolah Rendah Tahfiz Al Hanna juga akan mendapat wajah baru apabila Papan tandanya siap nanti.

Semoga tahun baru 2010 akan membawa lebih kejayaan kepada MTAQSA dan adiknya Sekolah Rendah Tahfiz Al Hanna serta semua warganya. Ameen!

Sekian Wassalam.

Sunday 27 December 2009

MTAQSA Menghadapi 2010

Assalamualaikum !

Semalam pelajar-pelajar senior mula masuk asrama. Kedengaran suara-suara keriangan mereka bertemu semula selepas cuti yang agak panjang. Maka itu petanda bermulanya kesibukan kami.

Tujuan kami meminta anak-anak Tahfiz senior pulang seminggu lebih awal adalah untuk menyediakan mereka untuk pertandingan tilawah hafazan yang akan berlangsung awal Febuary 2010. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 juga di minta masuk asrama awal lebih sebab kelas akan di mulakan dengan segera. Kami menyediakankan buku-buka dan guru-guru. Namun barisan tutor khas untuk subjek Maths, Add Maths, Physics dan Chemistry, di sediakan oleh ibubapa yang berkhidmat secara sukarela. Jazakallah dan Syabas di ucapkan kepada mereka !

Ahlan Wasahlan kepada Pelajar-pelajar Baru! Pelajar-pelajar baru akan daftar masuk pada 2 January. Pelajar-pelajar lain akan masuk pada 3 January. Untuk tahun ini kami menghadkan bilangan pelajar baru kepada 20 orang sahaja. Matlamat sekolah ini adalah untuk mengeluarkan ' quality students ' sahaja. Saringan untuk menerima pelajar baru di lakukan sewaktu temuduga pelajar dan ibubapa. Alhamdulillah, nampaknya pelajar-pelajar yang kami terima amat berpotensi.

Kami menerima berbagai sumbangan dari para dermawan. Dari Tanah Suci, kami menerima, sehelai permaidani baru untuk dewan solat asrama lelaki. Kami juga menerima satu set alat-alat power point iaitu sebuah laptop, projector dan skrin dan 4 buah komputer. Kerja-kerja naik taraf dewan makan asrama lelaki juga akan dilakukan. Begitulah rezeki yang di limpahkan Allah kepada sekolah ini. Alhamdulillah !

Menubuh serta menjalankan sebuah Maahad Tahfiz seperti ini bukanlah satu kerja yang mudah. Tambahan pula program yang di sediakan adalah sebuah program yang mengintegrasikan 3 aliran. Ianya memerlukan pelajar-pelajar dan ibubapa dan guru-guru yang amat committed. Mak teh dan Pak haji hanya menjalankan tugas-tugas kami sedaya kami sahaja. Perkara-perkara selainnya kami hanya berserah kepada Allah. Kami juga sedar yang mana kerja Allah dan yang mana kerja kami. Dengan itu kami menerima apa-apa yang di takhdirkan Allah. Sesungguhnya kami sedar bahawa masuk atau keluarnya pelajar dari sekolah ini adalah kerja Allah.

Kami sentiasa berdoa agar kami dapat melakukan yang terbaik. Kami juga sentiasa berdoa hanya orang-orang yang faham dan ikhlas terhadap perjuangan kami sahaja dapat bersama-sama membina sekolah ini dan akhirnya akan menikmati bersama kejayaan perjuangan ini. Ameen!

Sekian, Wassalam !

Monday 21 December 2009

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Assalamualaikum !

Selamat menyambut tahun baru 1431 hijriah kepada semua pembaca blog mak teh. Seperti biasa kami penduduk Shah Alam menyambut tahun baru ini dengan mengadakan bacaan Surah Yassin, beristighfar dan membaca doa akhir tahun dan awal tahun di Masjid Negeri. Ada juga jemaah yang telah berpuasa sunat pada hari itu. Pada tahun ini, selepas solat Isya di adakan majlis Ceramah Perdana.

Majlis seperti ini biasa di jalankan di Negara kita yang berpegang kepada mazhab Syafie. Perkara ini tidak di lakukan di Negara-negara yang berpegang kepada pendapat Wahabi. Kalau ada orang berkata kepada mak teh, " Kenapa mak teh menghadiri majlis sebegini? " Mak teh akan menjawab yang mak teh mengikut apa yang alim ulama kita sarankan baik untuk kita melakukannya. Para alim ulama kita telah mengkaji segala nas-nas yang membolehkan atau tidak mengharamkan kita melaku sesuatu perkara.

Kita tinggal di Negara ini yang sudah lama menegakkan agama Islam dengan pegangan mazhab Syafie. Jadi usahlah kita memecah-belahkan rakyat umat Islam ( terutama orang Melayu ) dengan mengemukakan pendapat sesetengah orang yang mengatakan itu tidak boleh dan ini tidak boleh. Kata mereka perkara yang kita buat itu semuanya adalah bidaah kerana tidak dilakukan oleh Rasullallah !

Pertama, perkataan " bidaah " itu sendiri mengundang perbahasan yang panjang lebar. Kita orang biasa tidak mampu mengenal samaada sesuatu perkara itu bidaah atau tidak. Kedua perkataan " bidaah " itu bukan satu perkataan yang negatif. Bidaah bererti perkara-perkara baru. Ada bidaah yang di katakan bidaah baik yang di terima mengikut ijma' ulama' ( consensus ) Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mak teh orang biasa tidak mampu membahaskan perkara ini. Maka biarlah para alim ulama yang membahaskannya. Sebagai orang kebanyakan, mak teh hanya mampu mengikut sahaja. Mak teh telah di ajar, dalam beragama kita harus berpegang kepada satu mazhab sahaja, tidak boleh berubah-ubah mengikut angin. Kalau kita berpegang kepada Mazhab Syafie, maka kita hendaklah melihat apa kata alim ulama mazhab itu dalam sesuatu masaalah atau perkara. Kita tidak boleh mengeluarkan pendapat sendiri.

Lainlah kalau kita memang pakar agama, dan kita ada pendapat sendiri, maka bolehlah kita lakukan apa yang kita fikir betul. Itupun kita tidak boleh mengajak orang lain mengikut kita. Mak teh teringat kepada nenek-saudaraku, seorang Tok Guru, ulama yang dihormati. Pada satu ketika ( puluhan tahun yang lalu ) Kerajaan telah mengumumkan bahawa hari raya aidil fitri jatuh pada hari esoknya, sedangkan mengikut ilmunya, beliau berpendapat belum masuk 1Syawal pada hari esoknya itu. Murid-muridnya datang bertanya masaalah itu, maka beliau berkata rakyat wajiblah mengikut pengumuman Kerajaan. Aku dapat tahu dari ibuku Tok Guru tidak berhari raya pada hari yang di umumkan itu tetapi beliau melakukannya seorang diri secara diam dan tidak menghebahkannya.

Ada orang cuba menuduh sesetengah pendakwah membawa hadith yang daif ( lemah )dalam satu saluran TV yang popular . Mak teh tertanya-tanya, " Tahukah dia bahawa sesebuah hadith itu daif atau tidak ? " Seeloknya, biarlah alim ulama sahaja yang mengatakannya. Sebab itu di syaratkan seseorang yang hendak bercakap dan berdakwah pasal agama mesti mempunyai tauliah. Sebenarnya kita orang biasa tidak ada ilmu begitu mendalam. Seseorang pengkaji dan penghafaz hadith telah mengkaji dan menghafaz beribu-ribu hadith. Mereka juga mengkaji Al-Quran dan tafsirnya. Jadi hujah-hujah mengenai agama, biarlah pakar dalam bidang Al-Quran & hadith yang menentukannya betul atau salah. Kita yang ada sedikit ilmu peganglah kepada pepatah ini, " Kalau kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam ! "

Jangan lah kita dalam hal agama jadi seumpama kisah 5 orang buta yang pegang gajah. Si buta yang pertama telah memegang badan gajah lalu berkata " Aku tahu gajah ini seperti dinding ". Si buta yang kedua pegang telinga gajah lalu berkata, " Gajah ini seperti kipas yang besar" . Sibuta yang ketiga pegang kaki gajah dan berkata, " Gajah seperti tiang rumah " . Manakala Si buta keempat yang memegang gading berkata, " Gajah tajam seperti tombak " . Si buta yang kelima pegang belalai gajah sambil berkata " Kamu semua salah, gajah adalah seperti ular yang besar dan panjang." Maka bertengkarlah 5 orang buta itu masing-masing berkata dia yang betul dan orang lain itu salah.

Jadi janganlah kita bertengkar akan perkara yang kita bukanlah seorang pakar di dalam bidang itu. Kalau kita baru tahu sedikit tentang bidaah janganlah semudah itu kita hendak memberi pendapat bahawa orang lain itu buat bidaah dan akan masuk Neraka! Perkara agama bukanla semudah 2+2 jadi 4. Tidak semudah itu kita memasukkan orang ke dalam Neraka. Renungkanlah !

Sekian, Wassalam !

Wednesday 16 December 2009

Bersihkan Hati

Assalamualaikum !

Tujuan Allah menjadikan manusia di bumi ini ialah untuk manusia menjadi hamba kepada Allah, untuk menyembah Allah. Dunia adalah sebagai sebuah pentas, tempat manusia mengambil peranan masing-masing. Maka nampaklah kita manusia itu sebagai seorang pelakon, melakonkan watak masing-masing yang dipilihnya.

Dalam Al-Quran telah menyebut bahawa syaitan itu adalah musuh manusia yang nyata. Syaitan mahu mengheret manusia ke neraka bersama-samanya. Maka apa-apa watak baik yang kita cuba lakukan di pentas dinia ini, syaitan sentiasa mengambil peranannya untuk menggangu orang yang berbuat baik itu. Kadang-kadang syaitan itu tidak dapat mengggangu atau mempengaruhi seseorang manusia yang berhati ikhlas, dia akan mencucuk orang lain untuk jadi dalangnya mengganggu orang yang sedang buat sesuatu kebaikan. Oleh itu hati-hatilah supaya kita jangan di pergunakan oleh syaitan.

Penghujung hidup semua manusia ialah mati. Sebagai orang Islam kita berdoa dan mengharapkan penghujung hidup kita ialah yang baik ia-itu Husnul Khatimah. Insya-Allah, kita akan mendapat husnul khatimah kalau dalam hidup kita hati sentiasa baik dan ikhlas serta tidak melakukan apa-apa yang di larang Allah. Kita akan dapat di sebaliknya kalau hati kita hasad dengki, riak, sombong dan ujub, Nauzubillah ! Jadi kita hendaklah belajar membersihkan hati kita. Kalau kita tidak tahu untuk membuat perkara-perkara kebaikan, usahlah kita mendengki hamba Allah yang cuba melakukannya. Biarlah orang itu buat apa yang dia tahu membuatnya.

Mungkin orang yang masih muda ingat dia masih jauh dari kematian. Hakikatnya ramai orang mati semasa umurnya masih muda. Oleh itu kita cubalah perbaiki diri sendiri tanpa mengganggu orang lain. Kalau kita fikir seseorang itu melakukan sesuatu, tetapi tidak berapa bagus, maka buatlah azam kita akan melakukan seseuatu yang baik itu lebih bagus dimasa hadapan. Buat masa ini timbalah ilmu dahulu sebanyak mungkin. Dunia ini luas, tepuk dada tanya selera, " Aku nak ambil peranan atau watak apa di atas pentas dunia ini? "

Ada orang berwajah manusia tetapi orang lain boleh lihat tanduk syaitan itu ada di kepala seseorang yang diperkudakan oleh syaitan tanpa orang itu menyedarinya. Kasihan kepada orang seperti itu. Semoga Allah memelihara kita dari fitnah syaitan. Ameen !

Wassalam !

Tuesday 15 December 2009

Majlis Kenduri Aqikah

Assalamualaikum !

Mak teh agak sibuk hari ini. Kami sedang membuat persediaan untuk mengadakan majlis kenduri aqikah untuk cucu. Insyaallah majlis akan berlangsung pada 20 hb Disember ini. Berkesempatan dengan itu kami juga menyambut 33 tahun hari ulangtahun perkahwinan mak teh dan Pak haji. Alhamdulillah !

Maka ramailah sanak-saudara yang di jemput. Kami mengharapkan kedatangan mereka , jiran-jiran dan sahabat-handai untuk meraikan majlis ini. Majlis akan di mulakan dengan bacaan yassin dan doa selamat. Kemudian makanan akan di sajikan bermula jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang. Kawan-kawan dan saudara-mara yang tidak dapat sms jemputan sila telefon mak teh dan bolehlah datang.

Sekian, terima kasih sehingga kita berjumpa lagi.

Wassalam !

Saturday 12 December 2009

Kurniaan Mu !

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah Tuhan sekelian alam ! Kesyukuran yang aku rasakan kerana nikmat yang dilimpahkan Allah kepada aku dan keluarga.

Allah telah kurniakan kepadaku seorang cucu pewaris keluarga ini. Semoga dia di pelihara dan di lindungi Allah sentiasa. Allah juga telah memberi kepadaku Hidayah yang Taufik. Tidak dapat aku ceritakan disini apakah perkara itu. Yang penting aku rasa lebih tenang dan lebih dekat denganNYA.

Aku juga rasa tahap kesedaranku kepada alam sekeliling lebih tinggi. Umpamanya pagi-pagi ini aku telah mendengar kicauan burung yang jawab-menjawab seolah-olah sedang berbual dengan penuh irama. Aku nampak daun-daun pokok segar menghijau. Aku lihat warna langit membiru. Aku juga nampak indahnya daun-daun palma melenggok-lengok dalam irama angin ynag menhembus perlahan. Masya-Allah sebutku perlahan. Subhanallah... semua adalah kurnia dariMu dan bukti KeagonganMu kepada sesiapa yang dapat melihatnya.

Alhamdulillah !

Thursday 10 December 2009

Sunday 6 December 2009

Dah Jadi Nenek !

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, mak teh dah jadi nenek. Gelaran terbaru bagi mak teh dan Pak haji ialah Mak tok dan Tok wan. Seronoknya perasaan jadi nenek lain sedikit dari seronok jadi parents dahulu. Sekarang mak teh bolehlah join kelab Sarina. Hehe!

Baby boy selamat di lahirkan petang semalam dengan weight 3.98 kg. Masya-Allah! Namanya belum lagi di umumkan oleh parents dia. Namun sebelum nama itu di umumkan mestilah mendapat kelulusan cop sirim Tok Wan dahulu. Hehehe!

Insya-Allah dalam doa Tok Wan dan Mak tok kali ini akan termsuklah doa untuk cucunda agar menjadi seorang yang soleh dan seorang ulamak di masa hadapan. Ameen!

Sudah tentu mak teh akan dodoikannya dengan
lagu :

Timang Tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.

Mak Tok akan agah dia dengan rangkap begini:

Tumbuk-tumbuk emping, ( jari akan mencucuk tapak tangannya )
Emping dalam gantang,
Mana tikus keting,
Lari bawah ketiak ! ( sambil jari akan menggeletek ketiaknya, hehehe! )

Macam-macam lagilah perkara yang akan Mak tok lakukan bersama cucunda. Tidak lupa Mak tok akan ceritakan sejarah bangsa dan keluarga kita. Insya-Allah akan ku hidupkan segala budaya warisan kita selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat agama.

Selamat sejahtera cucuku !

Tuesday 1 December 2009

Bahasa Ibunda

Assalamualaikum !

Ibuku seorang Melayu, jadi bahasa ibundaku ialah Bahasa Melayu. ( Moyangku pula dari kedua belah ibu dan bapaku adalah campuran dari benua lain ). Namun orang yang sangat berpengaruh keatas kami mengenai bahasa ialah nenek sebelah ibuku. Percakapan nenekku penuh dengan kiasan dan peribahasa. Nasihat dan arahan-arahan selalu di kaitkan dengan cerita-cerita rakyat penuh dengan pedoman dan panduan.

Dari kecil kami dinyanyikan dengan lagu-lagu seperti ini :

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.

Buai laju-laju ,
Sampai balik sana,
Apa dalam baju ,
Sekuntum bunga Cina.

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor,
Apa salah kami,
Lalu tidak tegur.

Cak cekur, udang gamit,
Minta kapur, beri kunyit.

Masak pulut manis,
Santan kelapa muda,
Adik jangan menangis,
Emak nak buat kerja.

Apabila kami sudah besar sudah boleh bermain dengan kanak-kanak lain kami nyanyikan lagu-lagu seperti berikut :

Sik, sik, batang pinang,
Siapa bisik dia nak tunang!

( Macam-macam lagi lagu seperti dalam film P. Ramlee tu kami nyanyikan. Tak tahulah kami terpengaruh dengan P. Ramlee atau dia yang menceduk dari kami. )

Meningkat umur remaja sudah banyak cerita rakyat yang kami tahu, seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Nakhoda Tenggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Batu Belah Batu Bertangkup. Penggunaan Bahasa seharian kami berbunga dan berperibahasa, subur dan meluas.

Kami tahu siapa dia di dalam kampung kami yang di gelar " tangkai jering " dan kenapa. Kami tahu siapa yang " hidung belang " dan siapa yang " mata keranjang"! Kami tahu siapa yang " kaki bangku " dan siapa pula yang " kaki wayang ". Kami tahu perbezaan " kaki lima " dan " buku lima ". Kami juga tahu siapa yang " buku bertemu ruas ". Kamai juga tahu pasangan pengantin mana yang di katakan seperti " pinang di belah dua ".

Jadi amat hairanlah aku, apabila aku mengajar matapelajaran Bahasa Melayu, anak-anak muridku tidak pernah dengar peribahasa digunakan di rumah. Akupun telah berkata kepada mereka, " Balik rumah gunakanlah peribahasa ini dalam percakapan seharian ! Kalau emak tak tahu peribahasa ini ajarkan emak ! "

Wahai ibubapa muda ( anak-anak masih kecil ) bertuturlah dengan anak-anak menggunakan Bahasa Ibunda, jangan asyik nak cakap bahasa orang putih saja dengan anak-anak. Nanti orang lain dapat Matapelajaran Bahasa Melayu SPM A1, anak kita belum tentu boleh lulus! Ha! Siapa yang malu ?

Apabila anak-anak dah masuk sekolah menengah bolehlah bertutur dalam bahasa kedua atau ketiga, tiada masaalah.

Saturday 28 November 2009

Jangan Perasan !

Assalamualaikum !

Dalam hidup kita seharian kita akan berhadapan dengan berbagai perkara yang menjadi persoalan. Haruskah kita buat begitu atau haruskah kita buat begini dalam sesuatu keadaan. Kadang-kadang perkara itu amatlah kecil tetapi sebenarnya adalah sesuatu yang besar.Kadang-kadang pula ada perkara yang nampak besar tetapi sebenarnya kecil sahaja.

Apakah yang mak teh nak cakap pagi-pagi ini? Macam-macamlah yang nak mak teh cakapkan. Pertama mak teh risau melihat keadaan yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Orang-orang kita tidak dapat membezakan apa isu yang besar dan apa pula isu yang kecil.

Misalnya isu imam solat baca panjang-panjang , isu besarkah itu? ( Lagipun berapa orang sangat imam yang baca panjang-panjang ? Waktu mana yang dia baca panjang-panjang ? )Isu orang buat filem untuk melambangkan orang baik-baik pakai jubah, berjanggut dan bertasbih, isu besarkah itu ? Kata nak buat perubahan, kenalah tahu sudut mana kita nak buat perubahan.

Masyarakat kita bukan masyarakat yang baru masuk Islam. Ada orang yang dah bagus pegangan agama dan tidak salah akidahnya, biarlah dia nak solat atau doa panjang-panjangpun. Ada orang tak mau doa panjang-panjang biarkanlah dia. Jadi orang yang tak mau doa panjang-panjang ni janganlah gusar pulak kalau orang lain nak doa panjang-panjang. Atau kalau dia tak mahu pakai jubah jangan risaulah kalau orang lain nak pakai jubah. Itu bagi mak teh adalah perkara yang remeh-temeh.

Apakah perkara yang besar yang sepatutnya orang itu risaukan? Sepatutnya dia risau orang-orang Islam yang semakin lemah akidah atau orang-orang Islam yang terpesong akidahnya. Inilah yang sepatutnya menjadi isu besar, bukan nak gaduh orang lain solat panjang sangat atau doa berlebih-lebih. Atau perkara pakaian nak lambangkan Islam tak perlu pakai jubah, pakailah kot dan nektai. Ini perkara terlalu remehlah!

Kita janganlah perasan atau syok sendiri. Umpamanya, orang tidak kata kita handsome atau di sebaliknya. Tetapi kita yang ingat orang kata kita tu handsom atau di sebaliknya. Begitu juga didalam keadaan lain, umpamanya, orang tidak kata diri kita berpengetahuan tinggi dan luas tetapi kita yang ingat diri kita lebih berpengetahuan lebih advance dalam ilmu itu dari orang lain. Ini boleh di ibaratkan orang yang pegang lampu tetapi dia buta, dia buta kerana pandangannya tersilau oleh cahaya lampu yang di peganganya. Lagipun orang lain dah pakai lampu letrik yang menyuluh seleruh kawasan sedangkan dia masih pegang lampu pelita !

Begitu juga kalau kita membuat penampilan diri, seperti seorang model. Kitapun ingat dalam diri, sudah tentu orang nampak aku cantik. Padahal orang tidak nampak dia seperti yang dia sangka. So janganlah kita syok sendiri, membuat andaian sendiri! Bahaya, kalau bawa kereta sudah tertu boleh terbabas !

Sekian, Wassalam !

Thursday 26 November 2009

Perjumpaan Keluarga Besar Satu Moyang

Assalamualaikum !

Apa rancangan mak teh untuk cuti Hari Raya Aidil Adha ?

Sekolah kami bercuti 4 hari ( Hari khamis hingga Ahad ). Pada Hari raya ke 2, Aidil Adha keluarga besar sebelah ibuku akan mengadakan perjumpaan keluarga. Hatiku ingin balik turut serta tetapi keadaan mungkin tidak mengizinkan. Maka akupun telah berdoa kepada Allah demi sillaturrahim, kalau elok aku balik menyertai perjumpaan itu, izinkanlah aku balik.

Dari pihak keluarga ibuku, nampaknya ramai yang tidak dapat hadir ( macam-macam sebab, abang sulungku dah meninggal, abang ke2 sedang menunaikan ibadah Haji, kakakku, anak-anak tak dapat cuti, adikku, anak sedang SPM dan seorang lagi adik sedang dlam kesibukan bekerja ).

Kalau dipanjangkan umur ibuku yang merupakan anak tunggal nenekku akan turut serta perhimpunan itu. Insya-Allah, ibuku akan menjadi the Star or the gathering sebab dia adalah waris yang tertua masih hidup dari keturunan moyang kami Haji Salleh dan Umi kalsom.

Kepada sepupu- sepupu ibuku yang seangkatan sepermainan denganku pada zaman kita muda-muda dahulu, aku masih merindui kalian. Jadi, Pak Uneng, Mak Tam, Mak Long Nor, Pak Anjang, Mak Andak Solehah, Mak lang, Mak Cik Zah, sorilah kalau kami tak dapat balik. Kita hanya merancang Allah yang menentukan!

Kepada saudara-saudaraku dari satu moyang, bersyukurlah kita semua diatas kejayaan anak cucu Haji Salleh ! Janganlah kita mengukur kejayaan itu dari segi keduniaan sahaja. Akhir kata, berilah nasihat kepada anak-anak cucu kita agar mereka sedar dan beringat-ingat bahawa kita adalah dari keturunan orang alim, tok guru, pendakwah dan ketua masyarakat. Oleh itu hendaklah segala tindak-tanduk kita mengembirakan arwah nenek moyang kita tersebut. Walaupun kata orang, keimanan & ketakwaan tidak boleh di peturunkan, kita mengharapkan berkat doa tok-nenek kita untuk anak-cucu mereka, kita semua menjadi orang yang beriman dan bertakwa.

Semoga kita semua di rahmati Allah SWT. Ameen!

Sekian, Wassalam !

Wednesday 25 November 2009

Ibubapa Di Temuduga

Assalamualaikum !

Kami ada a set of questions untuk parents yang nak mohon anak mereka masuk ke sekolah ini. Antaranya : " Dah berapa lama tuanpuan terfikir untuk anak ini nak di masukkan ke aliran Tahfiz ini? "

Ada yang jawab, " Barulah juga ", ada yang jawab " Dah lama dah " dan ada juga yang jawab " sejak anak itu lahir saya dah niat nak bawa dia ke jalan ini. "

Ada parents yang suka di temuduga dan dengan ceria menjawab soalan-soalan yang di ajukan. Ada parents yang tidak selesa menjawab soalan-soalan tersebut. Apapun kami mesti ajukan mereka soalan-soalan tersebut. Dari jawapan mereka dapat kami menggagak samaada mereka sirius dan faham apa sebenarnya aliran Tahfiz ini. Kami cuba mencungkil rahsia mereka yang inginkan aliran ini untuk anak-anak mereka. Adakah mereka telah lama menyediakan anak mereka itu ke jalan ini atau hanya baru terkejut dari mimpi.

Tentulah anda boleh agak ibubapa jenis mana yang anak mereka kami sedia menerima untuk masuk sekolah ini.

Sekian dulu, Wassalam !

Monday 23 November 2009

Masih Belum Terlewat

Assalamualaikum !

Anak-anak Tahfiz tenang menjalakan peperiksaan mereka setiap hari. Tiap kali mereka pulang dari sekolah aku akan bertanya, " Macam mana, boleh buat ? "

Sambil tersenyum mereka menjawab, " Boleh ! ". Itu jawapan anak-anak Tahfiz perempuan.

Anak-anak Tahfiz lelaki aku belum bertanya. Aku mendoa dan mengharapkan mereka juga boleh menjawab soalan-soalan perperiksaan mereka. Melainkan beberapa orang, kebanyakkan anak-anak Tahfiz lelaki tidak "pulun " atau bersungguh-sungguh menghadapi peperiksaan. Aku perhatikan perkara ini sejak dahulu. Kematangan anak-anak Tahfiz perempuan dan kesungguhan mereka menuntut ilmu berbanding dengan anak-anak Tahfiz lelaki amat ketara. Begitu juga dalam usaha kami membentuk perwatakan mereka. Pendek kata anak-anak Tahfiz perempuan lebih mudah di didik dan di bentuk.

Malangnya, bagi orang-orang kita mereka lebih suka menghantar anak-anak lelaki ke sekolah Tahfiz berbanding anak-anak perempuan. Persepsi mereka, adalah anak lelaki perlu menjadi imam sedangkan anak perempuan tidak akan memainkan peranan besar sebagai ketua keluarga atau masyarakat. Ini adalah satu persepsi yang salah. Sekiranya kita mendidik seorang anak lelaki maka kita mendidik dia seorang, tetepi sekiranya kita mendidik seorang anak perempuan, maka kita mendidik sebuah keluarga kerana anak perempuan itu akan menjadi ibu yang akan mendidik keluarganya !

Lihatlah keadaan masyarakat kita sekarang ini. Masaalah sosial yang kita hadapi amat membimbangkan. Sebagai ibubapa kita bertanggung-jawab mendidik anak-anak kita. Bertanyalah kepada diri sendiri, adakah kita telah berbuat atau berusaha tahap maksima dalam peranan kita untuk mendidik anak-anak sebagai ibubapa ? Mahukah kita menyesal 10, 20 tahun nanti. Maka pada waktu itu sudah amat terlambat.

Ini ada satu kisah benar: Seorang wanita mengunjungi kami sewaktu anak-anak Tahfiz sedang menghafaz Al-Quran dalam surau sekolah. Dia berbual dengan beberapa orang anak-anak itu sambil membelek-belek buku tulisan tangan ayat-ayat al-Quran anak-anak tersebut. Kemudian kelihatan dia menangis.

Mak teh bertanya, " Kenapa puan menangis ? "

Dia menjawab sambil mengesat air matanya, " Saya sudah tua, terlalu lewat untuk belajar menghafaz, apalagi untuk menulis al-Quran seperti anak-anak ini. Anak-anak saya juga semua sudah dewasa, tidak ada lagi yang saya boleh hantar ke sekolah ini. Saya amat sedih, saya berasa saya adalah seorang yang amat rugi! "

" Puan belum terlambat lagi. Puan boleh mula belajar menghafaz ayat-ayat lazim dan di masa lapang boleh menulis ayat-ayat suci itu sedikit demi sedikit."

Mendengar itu wajahnya kelihatan cerah, " Bolehkah ? Bolehkah Mak aji bantu saya? "

Susahlah untukku menjawabnya. Aku cuma tersenyum. Terkenang juga pepatah kita " Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu daleh ". Atau di sebaliknya kalau kita tidak mahu melakukan sesuat ada pepatah Inggeris berbunyi, " Any excuse is a good excuse! "

Wassalam !

Saturday 21 November 2009

Dapat 5 A, Nak Hantar Sekolah Tahfiz ?

Assalamualaikum !

Selepas keputusan UPSR di umumkan, boleh dikatakan telefon kami tak putus-putus berdering. Mulalah ibubapa meraba-raba kat mana nak hantar anak-anak mereka bersekolah menengah. Kami juga di kunjung oleh ibubapa serta keluarga mereka yang ingin mengambil tahu lebih dekat mengenai sekolah kami.

Ibubapa yang lebih advance, telahpun bertanya dan berkenalan dengan kami awal-awal lagi. Jadi mereka telah di beri tarikh untuk datang temuduga. Ada yang telahpun datang temuduga dan daftar anak mereka seminggu-dua yang lalu.

Sekarang giliran kami pula bertanya ibubapa, " Kenapa nak menghantar anak ke sekolah Tahfiz ? " Maka macam-macam jawapanlah yang kami perolehi. Jawapan mereka akan menentukan samaada kami akan memilih anak mereka untuk masuk sekolah ini atau tidak. Sebenarnya kejayaan seseorang anak di sekolah ini akan bergantung kepada attitude ibubapa. Pengajian aliran ini tidak boleh di ambil remeh oleh ibubapa.

Mungkin ada yang berkata, " Kenapa eksyen sangat mak teh ? Orang dah minta, terima sajalah ! "

Mak teh susah nak jawab panjang-panjang di sini. Ringkasnya bolehlah mak teh katakan pengalaman ( pahit ) telah mematangkan kami. Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali, atau pepatah Inggeris berbunyi, " Once beaten, twice shy " . Insya-Allah dengan pengalaman kami, di harap akan kuranglah kesilapan memilih calon pelajar dan keluarga mereka.

Wassalam !

Thursday 19 November 2009

Ibadah Haji

Assalamualaikum !

Khabarnya hari ini abangku akan berangkat bersama isterinya ke Tanah Suci untuk menunaikan Ibadah Haji. Mereka akan terbang dari Alor Setar ke Subang naik kelip-kelip dan akan di tempatkan di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya sebelum berangkat malam nanti. Aku bercadang untuk menjenguk mereka di Kelana Jaya sebelum mereka berangkat ke KLIA.

Ini adalah kali kedua bagi abangku menunaikan ibadah Haji. Beberapa tahun yang lalu dia telah pergi bersendirian tanpa isteri. Kali ini lebih kepada untuk menemani isterinya. Aku doakan mereka selamat pergi dan kembali. Semoga mereka mendapat Haji Mabrur !

Bercakap pasal haji, terkenang juga kisah aku dan Pak haji menunaikan ibadah itu 20 tahun yang lalu. Masa itu kami masih muda, umurku baru 37 tahun dan Pak haji 43 tahun. Bagaimana pula kami tergerak hati untuk menunaikan ibadah haji sewaktu umur masih muda ? Padahal masa itu kami bertungkuslumus dalam hal-hal duniawi.( pada zaman itu agak kurang orang menunaikan haji di umur muda ) Ceritanya panjang, cuma bolehlah dipendekkan kepada Taufik Hidayah dari Allah SWT. Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang telah merahmati kami dengan menarik perhatian kami ke hala agama.

Alhamdulillah! Berkat menuanaikan Haji di umur muda, kami dapat memperbaiki diri dalam menjalankan kehidupan seharian. Sejak itu kami lebih cenderung ke jalan agama. Perjalanan hidup kami itu, kalau di umpamakan membawa kereta, kami beloklah sedikit, tidaklah koner baring.

Seronoknya melakukan ibadah Haji sewaktu muda kerana badan kita masih kuat dan sihat. Kesihatan yang baik dan tenaga atau kudrat orang muda, membantu kami melaksanakan ibadah tersebut dengan rancak dan sempurna.

Maka dari pengalamanku itu, mak teh sarankan kepada adik-adik yang masih muda, pergilah menunaikan umrah dan Haji semasa umur masih muda. Insya-Allah ia akan memantapkan keimanan anda dan anda akan mendapat panduan dan pegangan hidup yang kukuh di umur yang masih muda.

Jika di pandang ke belakang, aku amat bersyukur telah melakukan Ibadah Haji. Kalau kami hendak melakukannya sekarang, mungkin kesihatan atau keewangan akan jadi penghalang.

Alhamdulillah !

Wednesday 18 November 2009

Dalam Dakapan Kesunyian

Assalamualaikum!

Hujan sedang turun membasahi balkoniku. Angin agak kuat meniup masuk ke ruang ini. Pohon-pohon di hadapan dan di sisi rumahku bergoyang. Keadaan sekeliling dan dalam rumah sepi. Aku tinggal kesaorangan. Kenapa ? Kemana semua penghuni ?

Pak haji keluar ada urusan. Huda keluar ke Kelab Ekuin STC. Oleh kerana cuaca sejuk, Jat yang kurang sihat berkurung dalam bilik.( Kemungkinan sudah belayar ke pulau dudur i.e tidur ) Anak bertuah aku entah dimana ( mungkin di bilik laudry, sedang membuat laundry ) Kesunyian juga di sebabkan sekarang adalah waktu mengumpul tenaga ( waktu tidur ) bagi semua anak-anak Tahfiz termasuk anak-anak Tahfiz kecil ( hari ini Cikgu Wani lebihkan masa tidur mereka, kerana mereka dah habis exam ).

Kadang-kadang bila aku tinggal kesaorangan mulalah aku membilang dan mengira-ngira mana lagi anak-anakku. Ok, besar kemungkinan Yanna dan Aly sedang mengikuti kuliah mereka di Cairo, Mesir. Lia pula baru saja sms menyatakan akan masuk untuk peperiksaan praktikal di Irbid, Jordan. Kin sudah tentu sedang mengharungi cuaca sejuk di London. Seorang lagi anak dan menantuku sedang bekerja di pejabat mereka di Kuala Lumpur. Polly burung kakaktua peliharaanku juga senyap, tiada mengeluarkan bunyi. Dia juga seolah-olah mengerti masa begini elok dikekalkan suasana sepi.

Jadi, apa yang aku nak buat selepas ini ? I will make myself a cup of Earl Grey tea and eat some biscuits, sementara menunggu azan asar. Bukan mudah aku nak dapat kesunyian dan keamanan begini . Hehehe !

Tuesday 17 November 2009

Pertanyaan Dan Jawapan

Assalamualaikum !

Mak teh telah mendapat berbagai soalan dari ibubapa. Diantaranya adalah seperti berikut :

Ibubapa : Patutkah saya menghantar anak saya ke sekolah aliran Tahfiz atau aliran akademik ( biasa ) ?

Mak Teh : Tepuk dada tanya selera.

Ibubapa : Apakah jenis program yang di ajar di sekolah mak teh?

Mak teh : Kami adalah sebuah sekolah tahfiz yang menggabungkan 3 kurikulum.

Ibubapa : Apakah maksud gabungan 3 kurikulum itu ?

Mak teh : Integrasi mata-pelajaran dari 3 bidang. Pertama Al-Quran dan hafazan, kedua 13 mata-pelajaran agama dan 5 mata-pelajaran akademik mengikut KBSM.

Ibubapa : Bolehkah mereka membawa begitu banyak mata-pelajaran ?

Mak Teh : Insya-Allah, sekiranya mereka berminat dan mempunyai tahap kecerdasan minda yang normal.

Ibubapa : Berapa lama mereka dapat menghafaz 30 juzu'?

Mak teh : Mengikut silibus kami, mereka di kehendakki menghafaz 6 juzu' di tahun pertama, 8 juzu' di tahun kedua, ketiga dan keeempat. Namun kalau pelajar yang rajin dan pintar dia dapat menghabiskan 30 juzu' di penghujung tahun 3.

Ibubapa : Adakah pelajar yang boleh menghafaz 30 juzu' dalam masa 2 tahun ?

Mak teh : Ada. Selalunya pelajar-pelajar yang tidak membuat subjek-subjek lain. Mereka hanya membuat hafazan Al-Quran sahaja. ( Ini berlaku di sekolah-sekolah lain )

Ibubapa : Apakah faedah memberikan anak-anak pembelajaran sekolah aliran tahfiz berbanding dengan sekolah aliran akademik ?

Mak teh : Memberi anak pembelajaran agama yang mendalam dan mendidik mereka untuk mendapat perwatakan unggul seorang muslim. Faedah-faedah yang lain dari segi agama dan yang di janjikan oleh Allah SWT tuanpuan bolehlah bertanya kepada ustaz atau imam.

Ibubapa : Kenapa mereka masih memerlukan subjek akademik ?

Mak teh : Supaya mereka boleh mengambil peperiksaan SPM yang akan melayakkan mereka untuk memohon ke Institutsi pengajian Tinggi untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Ibubapa : Akhirnya kemanakah anak ini boleh pergi dan apakah yang dia boleh lakukan dari aspek pekerjaan ?

Mak teh : Mereka boleh membuat pilihan aliran mana yang mereka lebih berminat setelah menaikki Tingkatan 4. Pilihan subjek yang mereka ambil di Tingkatan 4 & 5 adalah subjek yang relevan untuk memilih jurusan di Universiti kelak. Segala pilihan ini akan terpulang kepada apakah cita-cita mereka akhirnya atau bidang profesyen manakah yang mereka mahu ceburi.

Ada lagi soalan ?

Sekian, terima kasih !

Wassalam !

Monday 16 November 2009

Peperiksaan Bermula

Salam Semua !

Hari ini peperiksaan bermula dengan peperiksaan syafawi ( oral exam )Al-Quran. Anak-anak Tahfiz Puteri telah bersedia untuk ke sekolah sebelum jam 7.00 a.m. Alhamdulillah, mereka kelihatan sihat, bersedia dan tenang ! Mereka telah di hantar dengan van ( seperti kebiasaannya ) ke sekolah yang terletak 400 meter dari asrama. Bagi anak-anak Tahfiz lelaki mereka berjalan ke sekolah yang hanya terletak di seberang jalan dari asrama mereka.

Setelah selesai peperiksaan syafawi hari ini, esok mereka akan menduduki peperiksaan thariri ( bertulis ) Al-Quran. Kemudian mereka akan berehat 4 hari sebelum menduduki peperiksaan untuk semua mata pelajaran ia-itu, 13 mata pelajaran agama dan 5 mata pelajaran akademik. Insya-Allah mereka akan dapat mencapai tahap kejayaan yang cemerlang.

Kami mendoakan kejayaan mereka dan sudah tentu ibubapa juga mendoakan kejayaan mereka. Namun yang lebih penting bukanlah kejayaan markah di atas kertas tetapi kejayaan pembentukan akhlak dan perwatakan unggul sebagai seorang muslim yang kami terapkan setiap hari.

Untuk mencapai matlamat itu sekolah ini meletakkan tahap disiplin yang tinggi. Untuk mendidik anak-anak menjadi seorang Hafiz atau Hafizoh seperti ini bukanlah satu perkara yang mudah. Selain dari usaha pihak pengurusan sekolah ia-nya memerlukan sokongan padu dari ibubapa. Ibubapa hendaklah memahami matlamat program ini dan menghendaki pembelajaran dan pendidikan anak mereka sedemikian rupa serta memainkan peranan mereka.

Syabas diucapkan kepada ibubapa anak-anak Tahfiz kami. Anda ( seperti juga ibubapa para Huffaz yang lain ) sebenarnya telah dipilih oleh Allah SWT untuk mendapat ganjaran yang besar. Namun, Insya-Allah, kesejahteraan di dunia juga akan anda nikmati.

SYABAS !!

Saturday 14 November 2009

Ceramah Bimbingan Kerjaya

Assalamualaikum !

Cuaca kelihatan mendung, menandakan hujan akan turun pagi ini. Angin sejuk bertiup masuk kedalam ruang tempat aku sedang berada. Hari Sabtu selalunya hari yang agak tenang bagiku kerana tiada kelas dan purchasing barang-barang keperluan telah dibuat semalam. Oleh itu kami selalunya memetapkan hari Sabtu untuk interview. Hari ini ada 3 pemohon akan hadir untuk temuduga.

Petang semalam kami mendengar ceramah mengenai karier seorang pilot, Encik Wan ( bapa kepada seorang pelajar kami ). Sangatlah menarik ' sembangnya ' itu hingga semua pasang telinga dan terpaku di tempat duduk sepanjang ceramah tersebut. Kami mula Jam 6, rehat untuk maghrib kemudian sambung lagi hingga jam 8.30 malam. Ini merupakan permulaan dari siri-siri ceramah karier yang akan kami adakan sepanjang tahun di mana orang professional akan di jemput berceramah mengenai bidang pekerjaan masing-masing.

Dengan adanya ceramah-ceramah seperti ini, anak-anak Tahfiz kami akan mendapat informasi yang padat dan tepat dan Insya-allah akan menjadikan mereka lebih luas pengetahuan dan lebih matang.

_____________________________



MARI BELAJAR BAHASA KEDAH


Perkataan-perkataan


Langsiagh : langsiur ( sejenis hantu yang terbang dengan ususnya terburai)

Besiagh : selalu membuang air kecil

Lesiagh : rata ( untuk pinggan atau bentuk muka seseorang )

Hebiagh : mulut hebiagh ( mulut celupar )

Ketegagh : degil

Loklagh : tidak sopan, perangai tidak senonoh



Perkataan Berganda

Manis-meleceh ( makanan )

Masin-pahit ( makanan )

Sejuk-gedi ( makanan )

tawagh-hebiagh ( tawar, makanan )

Kegheh-kong ( keras, makanan )

Kecik-tet ( terlalu kecil, barangan atau orang )

Sikit-cet ( terlalu sedikit )

Kasagh-gedegagh ( kasar, bagi kelakuan seseorang )


Sekian dulu untuk hari ini.

Wassallam !

Tuesday 10 November 2009

MTAQSA Sesi 2010

Assalamualaikum !

Anak-anak Tahfiz kecil ( Sekolah Rendah Tahfiz Al Hanna ) telah memulakan peperiksaan bertulis mereka hari ini.Minggu lepas mereka telah membuat peperiksaan Hafazan Al-Quran mereka. Puas hatiku melihat mereka di bawah asuhan dan didikan Cikgu Wani. Prestasi dan kebolehan mereka dalan bacaan dan hafazan Al-Quran, akademik dan agama nampak begitu ketara. Kami tidak mengiklankan sekolah kami. Jadi perkembangan sekolah dari segi bilangan murid tidak akan mendadak. Namun hatiku gembira kerana ibubapa anak-anak yang ada sekarang sangat berpuas hati dengan kami dan ada yang akan mendaftar anak-anak yang lain di sekolah sini.

Anak-anak Tahfiz MTAQSA, sedang mengulangkaji pelajaran mereka kerana mereka dalam study leave sehingga 14 November ini. Mereka nampaknya sedang tekun mengulangkaji dan bersedia menghadapi peperiksaan bermula 15 November ini.

Alhamdulillah, proses pendaftaran untuk pengambilan 2010 telah bermula. Sesi untuk tahun hadapan akan bermula pada 2 Jan 2010 bagi MTAQSA. Allah telah menghantar kepada kami ibubapa dan anak-anak yang mantap, merupakan calon yang terpilih untuk menjadi warga MTAQSA. Dari pengalaman, kami sangat hati-hati membuat pilihan dan ibubapa di temuduga terlebih dahulu sebelum kami menemuduga anak. Ini adalah proses saringan untuk memilih ibubapa yang telah bersedia untuk anaknya mengambil jurusan Tahfiz ini dan memahami matlamat dan perisian program sekolah ini. Polisi kami, biar sedikit tetapi berkualiti. Insya-Allah barisan ibubapa yang ada sekarang dan yang akan kami ambil adalah dari kalangan mereka yang memberi sokongan yang mantap dan padu kepada kami dan sekolah ini.

Malah ada satu keluarga yang bilangan anak-anaknya 4 orang, 3 orang sudah menjadi pelajar kami, anak keempat akan jadi pelajar sekolah kami pada 2 Jan nanti. Begitulah kuatnya kepercayaan dan sokongan mereka terhadap kami dan MTAQSA.Jadi kalau anda ingin tahu kebaikan atau kelebihan sekolah ini bolehlah bertanya pada ibubapa dari keluarga ini. ( Anda telefon kami akan beri nombor kontek itu )

Kata-kata Pujangga : Anak itu adalah seperti sehelai kain putih maka terpulang kepada ibubapalah untuk mencorakkannya. Kalau pandai ibubapa mencorakkanya maka akan cantiklah jadi anak itu.

Sekian, Wassalam !

Monday 9 November 2009

Baru Aku Tahu !

Assalamualaikum !

Hari sabtu lalu Pak haji balek dari mendengar tazkirah di Masjid Negeri yang di adakan tiap-tiap Sabtu jam 7.00 pagi ( Majlis Agama bernama Addin ). Seperti biasa Pak haji akan terus memberi tazkirah padaku apa-apa piont yang telah di pelajarinya dari majlis-majlis agama yang di hadirinya.

Kata Pak haji, " Apabila seseorang itu bangun malam untuk bersolat Tahhajud adalah kerana Allah telah memilihnya untuk berbuat demikian. Allah akan mengarah malaikat untuk mengejutkan sesiapa yang dipilihNYA untuk menunaikan solat Tahhajud pada malam itu mengikut waktunya."

Tercengang aku lalu berkata, " Jadi kalau orang itu bangun bersolat Tahajjud, bukan kerana dia hendak melakukannya, tetapi kerana telah di pilih Allah ? Wow ! Istimewanya hamba itu .... menyembah Allah kerana di pilihNYA ! "

" Betul tu ! " kata Pak haji sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

" Masya-Allah ! Baru aku tahu ........ " terdetik dalam hatiku sambil berfikir lebih dalam perkara-perkara berkaitan dengan point ini.

" Orang itu juga tidak boleh bercerita atau memberitahu kepada orang lain yang dia telah bangun melakukan solat Tahajjud ...... habis pahalanya kalau berbuat demikian. " sambung Pak haji.

( Alhamdulillah, mengenai point ini aku dah tahu ! )

Kebanyakan amalan sunat kita tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau menghebahkan kepada orang kerana bukan saja akan hilang pahalanya kalau berbuat demikian, malah akan mendapat dosa sekiranya perbuatan itu dikira riak atau ujub !

Sekian dulu, itu saja yang dapat mak teh kongsikan dengan anda pada pagi ini. Semoga mendapat manafaat.

Wassalam !

Sunday 8 November 2009

Wahai Ibu

Assalamualaikum !

Semalam kami pergi tengok Dr Farah, anak bisan baru melahirhankan anak ke duanya. Alhamdulillah, bayi perempuan itu comel dan sihat. Setelah bertanya khabar, aku mengangkat bayi. Sudah lama aku tak pegang baby jadi aku cubalah teka weight bayi itu. " Tak sampai 3 kg " kataku.

Si ibu tersenyum sambil berkata " 2.95 Kg " . Hehe ! pandai juga aku mengagak !

Sambil berbual dengan Si ibu, aku terkenang peristiwa aku mengandung 10 kali dan melahirkan 9 orang anak. Satu kandungan keguguran. Kalau aku buat flashback semua saat-saat melahirkan amat jelas terpahat dalam memoriku, tetapi malaslah nak mengenangkan kembali setiap detik itu. Ia adalah seperti melihat sebuah filem suspense, pernafasanku akan terasa sesak kembali. Akan terbayang juga muka Dr. Mc Coy yang telah menjadi hero dalam filem-filem tersebut. Alhamdulillah kesemua anak-anakku telah di lahirkan secara normal tanpa pill induce dan tanpa menggunakan banyak drugs sewaktu saat-saat genting.

" Anti passlah pengalaman anti dan beri nasihat pada ... ( adiknya, menantuku yang due date bersalinnya tak lama lagi )" kata Dr. Farah.

" Anti tak mahu banyak cerita, nanti takut pulak dia! " memang susah juga aku nak cakapkan hal-hal seperti itu pada menanatu.

Anyway, balik dari hospital, dengan tidak sengaja aku terbayang semua peristiwa yang berlalu. Tak dapat tidak di samping saat-saat kebahgiaan, ada juga terkenang saat-saat yang memilukan. Susah payah mengandung, melahirkan, membesarkan, mendidik, menyekolahkan anak-anak hanya tinggal dalam kenangan sendiri. Tidak dapat di perkatakan setiap butirnya.

Sekarang aku faham perasaan seorang ibu. Si ibu akan mudah berasa sayu atas perkara-perkara ( kadang-kadang nampak kecil )yang berlaku diantarnya dengan anak-anak tanpa dapat menyatakan kepada anak-anak perkara itu. Si ibu akan terasa terguris di dalam hatinya, namun menyedari peranannya sebagai ibu akan memaafkan segala kesilapan anak-anaknya. Di samping itu Si ibu akan selalu mendoakan kebahgiaan, keselamatan dan kejayaan anak-anaknya.

Aku juga selalu terkenang pada ibuku yang telah banyak berbuat jasa kepada kami. ( Ibu telah membesarkan 9 orang anak sebagai seorang ibu tunggal kerana ayahku meninggal dunia semasa kami masih kecil ) Ibuku yang sekarang udzur kerana usia yang lanjut sedang berada di rumahnya di kampung. Aku tidak dapat selalu menjenguknya. Aku hanya sentiasa berdoa akan kesejahteraannya dan semoga Allah mengampunkan segala dosanya.

Bak kata pepatah , " Seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. " Semoga ibuku memaafkan dosa-dosaku terhadapnya dan sentiasa mendoakan kebaikkan terhadapku. Ameen !

Syurga itu di bawah tapak kaki ibu !

Wahai ibu aku juga mengimpikan syurga !

Sekian , Wassalam !

Friday 6 November 2009

Ku Pujuk Diriku

Assalamualaikum !

Selepas pulang dari masjid kami ambil sedikit sarapan. Kemudian Mak teh dan Pak haji pergi berjalan-jalan buat exercise, morning walk. Ni baru saja pulang dari berjalan itu, terasa panas dan berpeluh-peluh !

Sejak meningkat usia keemasaan sekarang ini mak teh terpaksa memujuk diri. Pertama, mak teh memujuk diri untuk minum susu untuk mencegah aestoporasis tu. Mak teh memang jenis tak suka minum susu, tetapi kalau susu asli, susu segar atau susu dalam kotak boleh lah tahan juga. Ini susu untuk warga emas, memanglah bukan susupun ( di campur bahan-bahan terutama kalsium )Jadi setiap kali nak minum mak teh baca Bismillah kemudian ingat dalam hati 'ini ubat yang tak pahit boleh di minum '. So dapatlah mak teh menelannya secawan setiap pagi.

Kedua mak teh perlu memujuk diri untuk buat exercise. Oleh kerana pak haji tak mahu membelikan mak teh alat senaman seperti ' basikal bodoh ', mak teh terpaksalah berjalan perlahan-lahan di jalan hadapan rumah ! Nak pergi buat exercise kat tepi tasikpun tak ada kawan dan masa.

Perkara ketiga yang mak teh kena pujuk diri ini ialah makan semua ubat yang di beri doktor dan vitamin tambahan yang di beli. Kalau tidak berbuat semua ini maka pada malam hari akan terbitlah dari mulutku " Aduh letihnye...! Kaki lenguh seperti menggigit-gigit ! " Ha ! sedar tak sedar aku telah mewarisi perkataan yang pernah di keluarkan oleh ibu dahulu !

Mungkin ada orang akan berkata, " Sedarpun diri dah tua ! "

Sebenarnya aku dah sedar dah lama dah. Aku sedar apabila melihat wajah tidak bercalit make-up dan lipstik lagi. Aku sedar apabila kasutku tidak bertumit tinggi lagi. Aku sedar apabila baju dan pakaianku satu pesen saja ! Aku sedar apabila pakaianku terutama pakaian dalam tidak berjenama lagi.

Hehehe! Adakah anda ingat aku tak sedar diri?? Bukan tak sedarkan diri cuma kadangkala terlupa sekejap.

Terlebih lagi aku sedar apabila anak-anak sudah di peringkat mendirikan rumah tangga masing-masing. Terlebih-lebih lagi aku sedar apabila aka akan mendapat cucu tidak lama lagi !! ( Insya-Allah ! )

Oleh kerana mak teh amat mencintai Bahasa Ibunda maka di bawah ini adalah perkataan-perkataan yang selalu di guna oleh masyarakat pertanian di Negeri Kedah yang mungkin anda jarang dengar :

Buang busuk : buah yang gugur sebelum musim atau masanya, selalunya buah itu busuk

Tanah rang : tanah yang kurang mendapat hasil apabila di tanam padi

Balogh liat : Orang yang pemalas

Besar gajah Tok Mia : Orang yang berbadan besar, atau anak remaja yang hampir dewasa

Tarik muka 14 relong : Orang membuat mukanya masam teramat kerana merajuk atau tidak sukakan seseorang.

Anak dara mulut ceh : seseorang gadis yang cakap berlebihan, terlalu 'outspoken'

Anak dara cedeh : Seseorang gadis yang suka keluar rumah tak tentu - terlalu 'outgoing'

Contoh penggunaan perkataan :

Buang busuk - Haji Ahmad amat mengharapkan hasil dari dusun duriannya yang mula berbuah tahun ini. Malangnya banyak buah gugur sebelum masak kerana buang busuk. Namun Haji Ahmad dapati, walaupun hasil tanamannya tidak seberapa, kualiti buahnya adalah yang terbaik.

Sekian, terima kasih !

Wassalam !

Thursday 5 November 2009

Bacalah Majalah Asuh November 09

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, ramailah juga orang bertanya mengenai sekolah kami. Ada sedikit iklan yang telah di muatkan dalam Majallah Asuh bulan November 09. Berikutan dari itu ramai pemanggil ingin tahu perihal sekolah kami.

Ada yang bertanyakan sekolah menengah ( MTAQSA ), ada juga yang bertanyakan sekolah rendah. Segala pertanyaan pemanggil kami jawablah. Lepas tu mereka akan datang sendiri bertemu kami. Kalau mereka berminat kami akan beri tarikh untuk temuduga. Selepas temuduga, sekiranya kami memberi tawaran, mereka di beri masa untuk berbincang dengan keluarga mereka samaada mereka betul serius hendak mengikuti program kami. Kemudian baru mereka boleh isikan borang pendaftaran.

Ada beberapa orang ingin membuat anak angkat anak-anak Tahfiz kami. Mereka menyuarakan hasrat mereka dan kami akan memberitahu ibubapa anak berkenaan. Sekiraya ibubapa berseuju bolehlah orang itu mengambil anak angkat itu. Selalunya ibubapa angkat akan memberi sumbangan sukarela kepada perbelanjaan anak itu.

Kepada adik-adik pengikut blog ini, kakak-kakak dan abang-abang sedang sibuk mengulang pelajaran. Makanan mereka seperti biasa adalah menu best, kegemaran mereka. Semalam mereka makan mee kuah bandung dan hari ini nasi goreng kampung untuk rehat jam 10.30. Untuk makan malam semalam udang cili dan daging beefstik. Menu hari ini rendang ayam dan telur.

Peperiksaan mereka akan bermula pada 15 Oktober dan tamat pada 3 Disember. Selepas itu akan di adakan lawatan sambil beljar ke Negeri lain.

Sekian dulu Wassalam !

Wednesday 4 November 2009

Hujan Hingga Petang

Assalamualaikum !

Hujan turun dari tengah hari tadi belum berhenti. Maka tringatlah mak teh akan lagu Melayu Asli yang bertajuk 'Hujan turun ' Diantara liriknya berbunyi begini :

Hujan turun dari pagi tiada henti,

Ku duduk termenung seorang diri,

Hingga petang Kau ku tunggu tiada datang,

Mungkin putus sudah kasih dan sayang,

Tapi bila hujan reda, alam sunyi sepi...

..............................??

Ku tiada berteman seorang diri.....

Hanya bintang-bintang sebagai pengganti.

Rasanya dah tak betul lirik lagu itu kerana mak teh dah tak berapa ingat. Dulu semasa di kampus mak teh suka menyanyi. Tetapi mak teh tidak menyanyi atas pentas macam arwah Sudirman ( Dia kawan mak teh, 1 year junior ) Mak teh hanya menyanyi kalau masuk bilik air sewaktu mandi. ( seronoknya mak teh menyanyi tak terkira.. lepaskan geram!! ) Mak teh ni walaupun tidak mendapat suara seperti Sharifah Aini suka sangat menyanyi yang melalak lalak tu. Cuma suara itu hanya dapat di dengar sewaktu mak teh masuk bilik air nak mandi. Besstlah apabila dapat menyanyi ....pada zaman itu lah! Dah lama mak teh tak nyanyi camtu ! Hehehe!

Huda sedang berada di Trengganu kerana menjadi sebahgian dari team mengendalikan events berkuda yang di sedang berjalan di Terangganu. Kan ada iklan dalam akhbar " Kuda Sokmo...." Huda telah SMS aku tengah hari tadi, " Sini hujang Sokmo... huhuhu ! "

Aku balas balik , " Duduklah dalang hotel oder nasi ikang boleh makang..." Hehehe!

Kejap tadi ada orang datang bawa 2 karton air mineral untuk anak-anak Tahfiz buat bacaan Yassin dan doa untuk anaknya yang nak ambil peperiksaan SPM tak lama lagi. Insya-Allah kami akan lakukannya esok malam. Baru aku sedar musim peperiksaan sudah hampir tiba!!!

Sebenarnya anak-anak Tahfiz kamipun sedang on study leave. Mereka juga akan menempuh peperiksaan seminggu lagi. Nampaknya anak-anak Tahfiz berlumba-lumba study terutama yang Puteri. Ada yang tak tidur jam 3.00 hingga 4.00 petang ( mengikut jadual ) dan malam mereka hanya masuk tidur jam 11.30 malam. Syabas mak teh ucapkan kepada mereka. Tidak syak lagi merekalah anak-anak yang akan mendapat kejayaan cemerlang kelak ! Insya-Allah ! Kami akan usaha sedaya upaya agar mereka mencapai ' string of A's semasa SPM kelak seperti yang mereka idamkan !

Ingatkah anda peribahasa dan pepatah Inggeris di bawah ini: Renungilah !

Belakang parang sekalipun kalau di asah akan menjadi tajam ( Inikan pula anak-anak Tahfiz yang setiap hari menghafal ayat-ayat suci )

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna ( Ada orang yang akan sesal kemudian )

Berakit-rakit kehulu , berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.

Kalau tidak di pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Hanya jauhari mengenal manikam.

Water finds its own level.

A rolling stone gathers no moss.

The grass looks greener on the other side of the fence.

Time and tide wait for no men !

A stich in time saves nine !

Sekian dulu, terima kasih !

Tuesday 3 November 2009

Bersihnya Rumah Dia !

Assalamualaikum !

Semalam mak teh pergi ke rumah Mak long. Mak long tinggal kesaorangan kerana gadis yang menyewa rumahnya sudah berpindah ke kondo sendiri. Maka untuk menunaikan solat maghrib mak long bawalah aku naik ke bilik di tingkat atas dahulunya di huni oleh si tenant.

Maka aku terperasan betapa bersihnya rumah mak long, sedikit habukpun tidak kelihatan. Di rumah mak long lipas, cicak semut dan lalat tidak pernah kelihatan. Lalu aku bertanya, " Mak long, you cuci dan kemas rumah berapa kali seminggu?"

Jawab Mak long, " Selang sehari dari lepas subuh sehingga jam 10.00 pagi"

Tercengang aku mendengarnya. Terasa malu sendiri kerana aku jarang sekali mencuci rumahku. Adalah maid kemas rumah setiap hari tetapi tak samalah kalau tuan rumah yang rajin tu buat sendiri. Bagiku banyak lagi perkara yang aku nak buat setiap kali terfikir nak mengemas rumah. Aku akan baca buku dan majallah, tonton tv seperti national geographic, tulis blog, tulis buku, plan projek, kutip bekalan yang nak di bawa sedikit-sedikit ataupun sekurang-kurangnya berSMS dengan anak-anak. Hehehe!

Setahu aku mak long yang tinggal bersoarangan sejak kematian Pak long 2 tahun yang lalu tidak banyak hobi. Selain mengemas rumah dia tengok t.v., dengar radio dan buat sudoku. Mak long juga jarang memasak sebab katanya tidak ada orang yang nak makan. Jadi sebab itulah rumah Mak long bersih berkilat seperti sebuah muzium.

Syabas Mak long boleh tinggal bersendirian dan happy !

Bagi ku rasanya aku tidak boleh tinggal bersendirian. Aku dan Pak haji hidup bersama macam pasangan Swan. Kami tidak akan happy kalau partner tak ada bersama. Semoga Allah SWT panjangkan umur mak teh bersama Pak haji. Ameen!

Saturday 31 October 2009

Hujan di Pagi Sabtu

Assalamualaikum kepada pengikut blog mak teh !

Dari pagi tadi cuaca mendung dan hujan turun sederhana lebatnya. Mak teh baru pulang dari pasar. Mula-mula mak teh pergi ke Kelang mebeli barang-barang keperluan dapor. Kemudian pergi ke Pasar Seksyen 6 untuk barang-barang segar. Badan terasa letih dan pernafasan sedikit tercunggap. Tidak mengapa asalkan kerja-kerja yang perlu di buat dapat di lakukan.

Ada orang bertanya, " Tidakkah mak teh dan Pak haji mahu berehat setelah menjadi warga emas dan mencapai umur pencen ini? "

Jawapannya: " Kami ingin melakukan kerja-kerja ini kerana ingin mendidik anak-anak bangsa di jalan ini kerana Allah. Setidak-tidaknya, kami akan mengurangkan jumlah anak-anak bangsa yang hidup terbuang terjebak dalam dadah dan kancah maksiat yang lain." Semoga di berkatiNYA.

Ada lagi yang berkata, " Kami tak sangguplah melakukan kerja seperti ini. Buat projek lain kan lebih senang. Kalau berjaya dapat banyak duit! Boleh enjoy !"

Betul tu ! Mak tehpun pernah terfikir begitu terutama apabila mengharungi dugaan. Namun Alhamdulillah di beri hidayah oleh Allah dan hati akan berbisik seperti ini, " Kalau aku berkebun di sini aku akan dapat hasil segera di sini. Namun kalau kami buat kerja yang kami lakukan ini, kami berharap untuk menuai hasil di sana ". Sebenarnya semua ganjaran akan di beri oleh Allah. Kita hanya berusaha sahaja, semoga di rahmatiNYA dunia dan akhirat.

Hakikatnya kita tidak akan bertahan lama di dunia ini. Oleh itu tak perlulah menginginkan nama kita terkenal di dunia ini. Lebih penting kalau kita usahakan sesuatu yang ganjarannya di perolehi di alam yang berkekalan.

Semoga Allah SWT menganugrahkan Hidayah Taufik kepada kita semua. Alhamdulillah ! Hari ini ada 2 orang yang akan mendaftarkan untuk kemasukan tahun 2010 dan ada 3 pemohon untuk temuduga. Insya-Allah kami akan hanya memilih keluarga yang faham matlamat perjuangan kami ini dan ingin berjuang bersama-sama kami di jalan ini.

Memberi anak-anak ilmu agama terutama Al-Quran dan menuntut ilmu agama terutama menghafaz Al-Quran adalah satu perjuangan! Dan percayalah perjuangan ini bukanlah mudah !

Friday 30 October 2009

Kisah Di Pagi Jumaat

Assalamualaikum!

Pagi Jumaat ini suasana amatlah tenang. Kedengaran kicauan burung-burung dari pokok-pokok di hadapan dan sisi rumahku. Oh, ada lagi kedengaran suara ceria anak-anak tahfiz yang sedang membasuh van sekolah. Hari ini hari mereka mengemas dan mencuci asrama dan kawasan asrama.

Anak-anak tahfiz sudah bersarapan setelah pulang dari masjid. Sarapan mereka hari ini ialah susu segar, kepingan bijirin, roti, mentega, kaya dan teh. Sebagai menganti senaman mereka menolong membasuh van sekolah secara sukarela.

Ada permintaan untuk anak-anak Tahfiz puteri, menghadiri majlis kuliah-kuliah agama wanita di syarikaat gergasi berdekatan. Kami telah mempersetujuinya dengan harapan dapat memperkenalkan sekolah kami dan orang awam dapat mengetahui bagaimana kami mendidik dan membentuk anak-anak Tahfiz. Anak-anak tahfiz akan emperdengarkan bacaan surah ( hafazan ) dan juga nasyid-nasyid berunsur agama. Sesungguhnya anak-anak Tahfiz Puteri kami menarik perhatian di setiap majlis yang kami bawa mereka hadiri.

Malam ini kami akan adakan satu majlis membaca doa selamat untuk bakal-bakal haji iaitu seorang pelajar dan keluarganya dan sepasang ibubapa kepada pelajar kami dan keluarganya. Majlis skan diadakan pada jam 9.00 malam di rumah Pengetua.

Seperti biasa sebelum mak teh berundur renungilah kata-kata ini:

Jadilah orang yang suka membina dan janganlah jadi orang yang suka meroboh.

Jangan mendengar apa yang orang kata, lihatlah siapa yang berkata ( baru dengar )

Birds of a feather flock together ( jadi hati-hatilah, semoga kita ketahui dan sedar kita dalam golongan yang mana??)

Jangan memandang rendah seseorang itu kerana kekurangan harta dunianya, kemungkinan orang itu lebih mulia dari kamu di sisiNYA.

Kalau kamu meminta harta dunia, Allah boleh memberinya, namun kalau kamu inginkan syurga hendaklah ikhlas mengusahakannya.

Dalam mengharungi kehidupan, lidah janganlah bercabang dan talam janganlah dua muka.

Sesungguhnya Allah amat mengetahui isi hati seseorang, dan Allah memilih kepada siapa yang akan di beri ganjaran yang besar ia-itu sebuah Mahkota yang gemerlapan cahaya batu permata! Tersenyumlah ketika anda mendapatnya nanti.

Sekian, Wassalam !

Thursday 29 October 2009

Ke KLIA Menghantar Aly

Salam Semua !

Pada hari Selasa malam Rabu kami pergi ke KLIA menghantar Aly balek ke Mesir. Atas permintaan anak-anak Tahfiz kami buat rombongan ke KLIA dengan menyewa Bas Lan ( Bas yang selalu kami sewa untuk membawa kami ke mana saja, tuanpunya bernama Lan dan dia juga pemandu ).

Kami bertolak jam 6.00 petang dan tiba di KLIA tepat waktu maghrib. Setelah menunaikan solat maghrib anak-anak Tahfiz di benarkan bebas berjalan dalam kumpulan sesuka hati mereka. Maka dengan wajah ceria, berkeliaran lah mereka pergi membeli-belah di kedai-kedai yang terdapat di situ. Mereka di bekalkan sandwich dan minuman kerana mereka belum makan malam. Nasi goreng, makanan malam mereka ada di dalam bas. Mereka akan makan dalam perjalanan pulang nanti.

Alhamdulillah berkat asuhan kami, mereka berkelakuan baik dan pandai membawa diri. Oleh kerana mereka memakai pakaian outing sekolah kami maka kemana saja mereka pergi berderet-deret, mereka menarik perhatian orang ramai. Ada orang yang bertanya kepadaku, siapakah mereka ini dan mereka nak berlepas ke mana?. Sehingga ada seorang mak cik yang mengikuti mereka kesana-sini untuk bertanya macam-macam soalan kepada mereka. Aku melihat saja semua adegan itu tanpa masuk campur. Aku pandang sahaja dari jauh.

Cerita anak-anak Tahfiz kepadaku kemudian bahawa mak cik itu bertanya adakah mereka hendak berlepas ke Mesir untuk melajutkan pelajaran di Al Azhar? Mereka telah menjawab " Insya-Allah dalam 3 tahun lagi!" Mula-mula mak cik itu memang menyangka mereka akan berlepas ke Mesir malam itu bersama Aly. Hehehe!

Sementara menunggu kaunter buka, kami bergambar beramai-ramai dengan pelbagai posing. Jam 10.00 barang-barang Aly sudah di check-in, kamipun menyuruh anak-anak Tahfiz pulang dengan bas sedangkan mak teh dan Pak haji terus menunggu sehingga Aly masuk ke balai berlepas. Menghantar anak-anak kami ke Lapangan terbang KLIA, sudah merupakan perkara rutin bagi Mak teh dan Pak haji kerana dalam masa sebulan lebih ini telah 4 kali kami berbuat demikian!

Sekian dulu nanti akan di update lagi dengan gambar-gambar.

Monday 26 October 2009

Malam Anugerah Cemerlang MTAQSA

Salam Semua !

Malam tadi kami telah mengadakan satu majlis ia-itu Majlis Anugerah Cemerlang MTAQSA. Oleh kerana majlis ini simple dan ringkas kami hanya menjemput ibubapa yang tinggal berdekatan di Lembah Kelang sahaja.

Majlis dimula dengan bacaan Surah Al-Quran secara bertaranaum oleh seorang pelajar senior. Seterusnya hadirin semua di minta bangun untuk menyanyikan sebuah lagu ' Sudahkah Kau Lupa' bersama-sama anak-anak Tahfiz. Bergema suara kami semua mendendangkan lagu tersebut dengan penuh semangat. Kemudian Penolong Kanan di jemput untuk memberi ucapan di ikuti dengan ucapan seorang bapa pelajar sebagai wakil Ibubapa dan sererusnya ucapan oleh Pengetua Mtaqsa. Semua ucapan ini memberi ikrar untuk melakukan segalanya agar Mtaqsa menjadi sebuah sekolah terbilang di masa hadapan. Semangat juga diberi kepada anak-anak Tahfiz agar belajar bersungguh-sungguh ilmu yang di sampaikan terutama memahatkan di dalam hati ayat-ayat suci yang telah di hafaz.

Di majlis ini Pengetua telah menyampaikan beberapa jenis sijil dan trofi kepada pelajar-pelajar, misalnya ada sijil anugerah pelajar terbaik, pelajar harapan, pengawas, kadet tahfiz terbaik dan kadet tahfiz harapan serta pemenang Gerak Gempur. Tersenyum pelajar-pelajar yang menerima anugerah ketika bergambar bersama-sama keluarga mereka sewaktu sesi fotografi. Anak-anak Tahfiz juga telah bergambar bersama-sama guru Maths dan guru tuition Maths mereka.

Selesai acara penyampaian anugerah, kami di tayangkan gambar-gambar perkhemahan Tabrani yang telah diadakan beberapa bulan yang lalu. Amat menghiburkan melihat aksi kadet-kadet tahfiz berada dalam ' hutan' sewaktu perkhemahan itu.

Walaupun majlis ini simple dan ringkas amatlah teratur dan berjalan dengan lancar. Tahniah di ucapkan kepada Ustaz yang telah merancang dan menjayakan majlis ini. Mak teh juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan ibubapa yang telah memberi sokongan padu mereka kepada kami untuk menjayakan sekolah ini. Mak teh terasa amat berpuas hati setelah majlis tamat pada malam tadi. (Insya-Allah gambar-gambar akan di masukan kemudian )

Sebelum mak teh mengundur diri hayatilah kata-kata ini: " Don't ask what your country can do for you, ask what can you do for your country."

Kadang-kadang sifat sesetengah manusia ini selfish ia-itu mementingkan diri sendiri , mereka sentiasa menyoal apakah yang mereka boleh dapat untung dalam satu situasi ( selalunya untung yang mereka sudah dapat mereka tidak akan nampak ) tanpa menyoal apakah sumbangan mereka dalam sesuatu perjuangan. Memberi ilmu agama kepada anak-anak dan menuntut ilmu agama terutama ilmu al-quran adalah satu perjuangan. Dan dalam usaha kita untuk mencapai matlamat sesuatu perjuangan kita tidak boleh lemah semangat !

Wassalam !

Saturday 24 October 2009

Majlis Perjumpaan Bekas Pelajar SAS

Assalamualaikum!

Maaf! Sudah agak lama mak teh tidak menulis. Rupa-rupanya apabila lama mak teh tidak menulis blog, rasa amat malas nak meninggalkan jejak disini. Alhamdulillah, hari ini hati mak teh terbuka untuk berkata-kata. Banyak cerita yang mak teh nak ceritakan dan banyak juga cerita yang mak teh tidak mahu ceritakan.

Pertama mak teh nak ceritakan keseronokan yang amat mak teh rasakan semalam apabila mak teh menghadiri Majils ' sembang-sembang ' reunion bekas pelajar sekolah mak teh, sebuah sekolah menengah perempuan yang terkenal di bandar Alor Setar tu. Rasanya semua orang kenal sekolah kami ini yang merupakan sekolah perempuan tertua di Malaysia. Hehehe! Jadi apalagi kami yang datangpun kebanyakan warga emas dan berlianlah. Kami berkumpul di sebuah hotel di PJ bermula jam 11.00 pagi hari jumaat lalu.Punyalah seronok semua orang di majlis itu kerana berjumpa kawan-kawan lama hingga suasana menjadi gamat. Apalagi riuh rendahlah berpeluk cium dan punya sembang sakan sampai MC cakappun tak dengar. ( Maaflah cikgu, kami nak buat bising! )

Anyway, majlis di mulakan dengan doa dan ucapan seorang bekas guru besar yang sangat di hormati dan disayangi. Dalam sebak ucapannya dia memberitahu akan 2 orang bekas guru yang telah kembali kerahmatullah. Majlis mendoakan semoga roh mereka di rahmati Allah SWT. Selepas doa kami semua menyanyi lagu ' Warisan ' dan di ikuti dengan lagu sekolah dengan penuh semangat.

Sambil makan dan bersembang tak henti-henti, kami di hiburkan dengan tarian dan nyanyian oleh ahli-ahli persatuan. Bayangkanlah orang-orang lama menyanyi dan menari. Hehehe! Seronoknya kami dapat berjumpa kawan-kawan lama hingga tidak dapat nak mak teh ceritakan. Terasa lebih mesra dan seronok apabila kami dapat memanggil nama kawan-kawan sekelas seperti di zaman persekolahan walaupun mereka sudan ada gelaran, Datuk, Datin, Puan Sri dan sebagainya.

Tahniah mak teh ucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa yang telah menjayakan majlis tersebut. Mak teh harap mereka akan mengadakan majlis sebegini lagi di Lembah Kelang di masa hadapan. Mak teh nak ucapkan " Terima kasih cikgu ! Kami sangat sayang dan terhutang budi pada Cikgu! "

Kepada kawan-kawan sekelas mak teh, rasa kemesraan persahabatan dan kasih sayang tidak berubah seperti semasa kita di zaman persekolahan dari tahun 1964 ( Special Malay Class 1 hingga tahun 1971 ( Upper Six ) dahulu. Semoga persahabatan kita berpanjangan hingga ke akhir hayat. Yang lebih penting sekarang ini, di zaman senja kita ini, dapat membuat bekalan untuk alam yang kekal abadi walaupun apa jua aktiviti kita. Semoga kita di beri taufik dan hidayah dan dirahmatiNYA. Ameen!

Wednesday 7 October 2009

Anak-anak Tahfiz Berpuasa Enam

Salam semua !

Alhamdulillah, hari ini sudah 3 hari warga MTAQSA menjalankan ibadah berpuasa sunat 6 dalam bulan syawal. Fadilatnya adalah kalau kita berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan di ikuti dengan berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal, kita akan dapat ganjaran pahala seolah-olah kita bepuasa sepanjang tahun! Kami melatih anak-anak Tahfiz berpuasa sunat 6, setiap tahun.

Apabila selesai berpuasa sunat 6, iaitu pada hari Sabtu ini, kami akan mengadakan Majlis Raya pada malam itu. Kami juga telah menjemput guru-guru dsn ibubapa bersama terutama yang tinggal di Shah Alam untuk bersama-sama meraikannya. Dengan ini, Mamalisa yang ingin membawa Alisa beraya ke rumah mak teh di jemput hadir pada malam itu. Makanan untuk majlis ini akan kami order sebahgiannya dari katerer dan signature dish kami akan kami sediakan. Insya-Allah. Sanak-saudara kalau terbaca blog ini dan belum dapat jemputan tetapi ingin menghadiri sila msej mak teh. ( Saja tak jemput semua orang sebab kami tak cadang buat besar-besaran ) Maafkan Daku ! Hehehe!

Sekian dahulu untuk hari ini, mak teh nak pergi ke pejabat sebuah majalah terkenal kerana mereka bercadang memuatkan sebuah rencana mengenai sekolah kami. Kalau anda berminat mengenai sekolah kami, anda boleh layari www.mtaqsa.com atau www.mtaqsa.net.

Terima kasih!

Sunday 4 October 2009

Katerer Baru Bagus !

Alhamdulillah! Allah memberi pertolongan kepada kami. Betullah janjiNya dalam Surah Al-Insyirah: Dalam kesusahan ada kesenangan. Dalam kesusahan ada kesenangan Memang kami dalam kesusahan untuk menyediakan makanan kepada anak-anak Tahfiz kerana ketiadaan pembantu.

Maka seperti yang aku ceritakan semalam, aku telah menghubungi dan membuat order dari katerer baru. Sebelum ini aku telah pernah order makanan untuk keluargaku darinya dan masakannya sedap. Jadi kami telah berbincang dan dia mahu memasak untuk anak-anak Tahfiz. Hari ini dengan bujet yang aku sebutkan, dia akan menyediakan makanan berbuka lengkap. Perbelanjaan yang lebih adalah khairat darinya. Alhamdulullah! Lega rasanya hatiku yang kegusaran beberapa hari ini. Jadi kalau dia mahu aku akan terus memesan makanan seharian anak-anak Tahfiz darinya sehingga pembantuku kembali. Tengoklah keadaan, Insya-Allah di tahun hadapan kami akan mengambilnya sebagai katerer tetap kami.

Untuk ibubapa anak-anak Tahfiz yang mengikuti blog ini, Alhamdulillah anak-anak anda sedang tenang menghadapi pelajaran. Insya-Allah sekolah akan bertambah kukuh dengan kerjasama tuanpuan dan semua pihak. Tuanpuan sentiasa boleh menghubungi kami untuk mengetahui perkembangan anak-anak dan jika ada apa-apa kemusykilan yang timbul. Kami telah melantik 3 pasang ibubapa untuk bersama anak-anak 2 minggu sekali pada malam minggu supaya anak-anak merasakan ibubapa sentiasa berada bersama mereka dalam perjuangan ini. ( Menimba ilmu untuk menjadi seorang Tahfiz dan ilmuan adalah satu perjuangan yang bukan mudah ) Kebaikan untuk anak-anak dan kesejahteraan mereka, kita utamakan!

Nota untuk ibubapa anak-anak Tahfiz: Kami mula berpuasa Enam hari ini dan akan membuat Majlis Hari Raya pada hari Sabtu ini. Tuanpuan di jemput hadir bersama ke Majlis tersebut. Tuanpuan boleh mesej mak aji kalau nak datang ok ?

Sebelum mak teh mengundur diri inilah pepatah Melayu yang kita boleh hayati:


Kalau tidak di pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.


Belakang parang kalau di asah lagikan tajam ( Inikan pula anak-anak kita yang pandai dan tekun menghafaz al-Quran )


Berakit-rakit ke hulu, berenang-renag ke tepian,

Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.


Semoga usaha kita semua di berkati Allah SWT. Ameen!

Friday 2 October 2009

Katerer Baru

Salam Semua !

Pembantuku belum telefon bila dia akan sampai ke sini. Katerer Maria tadi telah memberitahu aku bahawa dia tidak larat lagi nak masak makan tengah hari dan makan malam setiap hari. Aku memujuk dia dengan berkata sehari saja lagi nak suruh dia masak 2 kali sehari. Hari ahad kami semua akan mula berpuasa Enam. Jadi Maria akan hanya supply makanan sahur sahaja.

Itu kataku pada Maria, tapi sebenarnya keadaan kami bagaimana? Otakku telah berpusing ligat. Sementara memujuk maria aku telah buat rancangan segera dalam kepala. Pertama aku harap pembantu aku akan pulang dalam satu, dua hari sahaja lagi. Kedua makanan berbuka aku akan minta Katerer Hjh Gayah memasakkannya. Katerer Hjh Gayah adalah kawan Pak haji semasa mereka sama-sama bekerja sebagai pensyarah sekarang dah jadi buisness woman yang berjaya. Kami pernah berbincang sebelum ini, cuma sebutharganya agak mahal sedikit jadi aku tangguhkan membuat order kepadanya. Tetapi dalam keadaan begini aku tidak ada pilihan lain. Aku berharap dia akan beri portion yang anak-anak Tahfiz biasa makan. Kalau dia beri portion yang kecil susahlah kami nak terus berurusan dengannya. Untuk menjimatkan perbelanjaan, nasi putih dan air kami akan sediakan sendiri. Ni baru nak pi cakap dengan Pn Hjh Gayah tu nak buat order.

Untuk jam 10.30 pagi tadi kami makan pulut kuning gulai ayam. Insya-Allah esok kami makan bihun goreng. Aku order makanan ini dari kawanku Zan. Nasib baik dia mahu membuatnya. Kalau aku order roti canai lagi tentu anak-anak Tahfiz tak mahu makan, nampaknya mereka dah muak makan roti canai dan roti telur dah seminggu. Hehehe, akupun naik muak, hari-hari roti canai!

Thursday 1 October 2009

Selepas Raya

Assalamualaikum !

Mak teh dan Pak haji telah balik ke kampong selama 2 hari pada hari raya ke 6 . Kami bergegas pulang semula kerana anak-anak Tahfiz masuk asrama pada hari Ahad lepas. Anak-anak Tahfiz sudah mula menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan. Nampaknya mereka semakin tekun mengulangkaji dan membuat kerja-kerja sekolah yang di beri guru.

Kesusahan yang amat kami rasakan sekarang ialah kerja-kerja menyediakan makanan menyelenggarakan rumah serta premis asrama kerana pembantuku belum pulang. Sementara menunggu kepulangannya kami semua membuat kerja-kerja tersebut. Sarapan pagi kami sediakan alakadar sahaja. Makanan tengah hari dan makanan malam di sediakan oleh Maria, katerer kami. ( sebelum ini Maria hanya sediakan makan tengah hari sahaja ). Makanan jam 9.30 pagi untuk anak-anak sekolah rendah dan 10.30 pagi untuk sekolah menengah amat sukar untukku menyediakannya. Jadi aku order saja roti canai dari restoran sahabat kami. Aku rasa kasihan pula, takkan nak beri anak-anak Tahfiz makan roti canai setiap hari! Makanan petang anak-anak sekolan rendah aku sediakan susu segar dan bijirin sahaja.

Nasib baik kain untuk laundry di uruskan oleh Alan. Pak haji yang supervise kerja-kerja Alan setiap hari. Masakan untuk makanan kami di rumah, Yanna yang melakukannya kalau dia ada kesempatan kerana Yanna juga mengajar sambilan. Nak harap aku boleh lakukan kesemuanya ? Tak boleh, pagi tadi kepala aku jadi pening dan badan rasa nak tergolek ! Aly pula banyak membantu kami di sekolah. Sekarang Pak haji tidak terlalu tertekan kerana ada 2 orang guru baru. Aku masih mengajar English dan Bahasa setiap hari. Anda tentu hairan kenapa aku jarang menceritakan Aizad dalam cerita sekolah kami. Sebenarnya Aizad sekarang telah bekerja sebagai pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi berhampiran. Untuk mengisi kekosongan Aizad kami telah menyuruh Huda meletakan jawatannya sebagai arkitek ( interior ) agar dia dapat membantu kami. Disamping itu Huda juga akan memulakan latihan-latihan perlu untuk mendapat pengalaman untuk membuka Kelah Ekuin kami kelak. Huda anak keempat merupakan seorang penunggang yang cekap dan pernah memasuki pertandingan-pertandingn berkuda.

Sebelum mak teh mengundur diri mak teh nak berpantun sedikit yang ada kena mengena dengan pengalaman mak teh hari ini dan juga pernah berlaku sebelum ini:


Banyak udang banyak garam,

Banyak orang, banyak ragam !


Sewaktu berjalan terhuyung-hayang,

Membakar sate guna arang,

Anak didik anak di sayang,

Apakan daya anak orang!


Di tepi jalan ada perigi,

Dalam perigi ada ikan,

Ingatlah anak yang telah pergi,

Ajaran kami jangan di abaikan !


Di tepi sawah ada parit,

Parit bengkok kami luruskan,

Walaupun pengalaman agak perit,

Perjuangan kami tetap di teruskan !


Wassalam !

Tuesday 29 September 2009

Anak-anak Tahfiz Pulang Ke Asrama

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, anak-anak Tahfiz telah kembali ke asrama pada petang ahad lalu. Hanya seorang belum kembali kerana di serang penyakit di percayai adik-beradik A (HINI). Kami semua berdoa agar dia cepat sembuh.

Alhamdulillah ! Kami telah mendapat dua orang tenaga pengajar baru yang telah melaporkan diri. Kelegaan bagi kami yang sangat memerlukan tenaga pengajar tambahan. Di harap dengan adanya mereka ini akan bertambah mantaplah sekolah kami. Dari satu sudut yang yang lain keadaan kami sedikit kalam-kabut, kerana tidak ada pekerja pembantu. Pembantu kami yang telah pergi bercuti Liburan di jangka akan kembali bertugas minggu hadapan, Insya-Allah. Namun berkat kecekapan Pak Haji yang beraksi seperti seorang General dalam peperangan, semua perkara berjalan seperti biasa. Apapun sesaklah juga nafasku !

Berita daripada anak-anak di luar Negara di terima setiap malam sebelum aku masuk tidur. Lia sibuk dengan pengajiannya sedangkan Kin telah berpindah ke rumah yang lebih sesuai. Kin akan mula berkuliah hari ini. Mak teh dan Pak haji sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaan mereka.

Permohonan untuk kemasukan tahun 210 telah bermula. Kami akan mula menemuduga pemohon pada hari ahad ini. Kami akan menemuduga pemohon-pemohon yang berminat yang mendapat 4 atau 5 A dalam peperiksaan percubaan UPSR mereka. Permohonan untuk anak-anak sekolah rendah masuk asramapun ada. Buat masa ini kami tidak bercadang amabil anak-anak kecil masuk asrama. Kemungkinan di masa hadapan kami akan ambil anak-anak darjah 5 & 6 masuk asrama akan di pertimbangkan. Memandangkan cabaran yang ibubapa hadapi di zaman sekarang dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, kami sanggup menyediakan kemudahan pembelajaran berasrama di peringkat sekolah rendah itu.

Kepada yang berminat sila hubungi kami telefon 03- 55139880. Insya-Allah kami akan menjawab semua pertanyaan. Ingatlah pepatah Melayu ;

Malu bertanya sesat jalan !

Hendak melentur buluh, mestilah dari rebungnya !

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya !

Tepuk dada tanya selera !

Sekian dahulu, terima kasih!

Wednesday 23 September 2009

Terbanglah Anakku Selamat Ke Destinasi

Assalamualaikum !

Awal pagi aku ke pasar bersama Lia untuk membeli benda-benda yang dia nak bawa balik Jordan. Dia nak serai, daun kunyit, lengkuas, bunga kantan dan daun limau perut. Semua ada kat pasar seksyen 6 tu. Dia request nak makan bihun sup dan soto, maka aku belilah bahan-bahan perlu untuk membuatnya.Tengah hari tadi dah buat bihun sup special request tu. Nasib baik buat banyak, ada tetamu datang dan jadi rezeki di hidangkan kepada mereka.

Lia dah pack semua barang-barang dalam beg besar dan sebuah beg kecil yang akan di bawa sebagai hand luggage. Biasalah apabila anak-anak nak balik semula ke luar Negara, macam-macamlah yang mereka nak bawa balik. Tambahan pula bagi kes Lia ni dia tidak bercadang akan balik di tahun hadapan. Malam ini kami akan hantar Lia ke KLIA.

Selepas ini nak kisah hal Yanna pula yang akan balik ke Mesir. Akhirnya yang ada di rumah nanti tinggal 2 orang anak dan Polly burung parrot peliharaan kami. Anak-anak kucing kepunyaan Kin sudah di beri pada orang. Lapanglah sikit hatiku kerana aku tidak akan hidu bau yang menusuk hidung yang tidak menyenangkan!

Alhamdulillah! Nasib mak teh dan Pak haji di kira baik. Walaupun anak-anak sudah tiada di rumah kami ada anak-anak Tahfiz yang akan menceria dan menyibukan hidup kami. Suara hilai tawa anak-anakku di ganti dengan suara mengaji al-Quran anak-anak Tahfiz pula. Rindunya kami pada suara mereka melagukan doa " Allahumarhamna bil Quraan, ................. Ya Robbulalamieen! " setiap kali mereka selesai sesi membaca al-Quran. Hari Ahad 27 September nanti pulanglah mereka. Dan suara mereka akan melenyapkan kesunyian kami.

Alangkah bertuahnya kami! Kesyukuran di panjatkan kepada Allah SWT.

Tuesday 22 September 2009

Hari Raya Ke 3

Assalamualaikum !

Awal pagi ini aku telah ke pasar untuk membeli bahan-bahan segar untuk masakan hari ini. Hanya beberapa gerai yang buka dan pengunjungpun tidaklah ramai. Dapatlah aku membeli ikan dn udang dan juga beberpa jenis sayur-sayuran kegemaran Pak haji.

Aku dan Pak haji menuju ke pusat bandar dan di dapati masih lengang kerana hari ini masih cuti umum lagi. Kemudian kami pergi ke restoran di seksyen 3 untuk membeli sedikit makanan sarapan. Kami dapati ke dua-dua restoran sudah buka dan di penuhi pelanggan. Hampir setengah jam baru aku dapat apa yang aku order.

Kawasan kami masih sunyi kerana beberapa keluarga jiran belum balik dari kampung mereka. Dintara jiran-jiran kami ada yang pulang ke kampungnya di seberang, ada yang balik ke Klate, ada yang balik Ganu, ada juga yang balik ke Utara dan ada juga yang balik ke Selatan. Keluarga kami diantara yang terawal menetap di sini dan kami sudah rasa bahawa di sinilah kampung kami. Namun ramai juga yang seperti kami, tidak pulang ke kampung asal. Jadi pada malam Hari Raya terdapat lebih 40 orang termasuk kanak-kanak dan remaja yang datang bertakbir dari rumah ke rumah. ( Tahun ini yang paling ramai kerana anak-anak yang dahulunya kecil sekarang sudah jadi remaja dan anak-anak kecil adalah dari kalangan cucu-cucu jiran)

Hari ini mak teh akan masak makanan kegemaran Lia sebelum dia berangkat balik Jordan malam esok.

Sunday 20 September 2009

Hari Raya Pertama

Assalamualaikum!

Nampaknya semua orang sedang rancak beraya. Mak teh nak cuba jadi the first to update the blog for Hari Raya, sedangkan orang lain masih sibuk dengan hal raya. Hehehe!

Sekarang sudah menjelang petang Hari Raya Pertama. Hari ini keluarga mak teh sudahpun beraya. Apa yang kami telah buat sejak bangun pagi tadi? Setelah bersarapan spesial, kami bersiap untuk ke Masjid. Kami bertolak ke Masjid Negeri jam 7.30 pagi. Semasa kami tiba orang belum ramai yang datang. Menjelang jam 8.30 masjid menjadi sesak dibanjiri para jemaah terutama dewan solat jemaah lelaki. Bagi jemaah perempuan ada 2 level, ground floor dan 2nd floor, jadi sangat lapang dan selesa untuk jemaah perempuan terutama bersolat di Tingkat 2.

Setelah selesai solat kami bergambar di kawasan Masjid. Kemudian kami pulang menjamu selera makanan hari raya yang telah disediakan dan makanan yang di hantar jiran sebelah yang sangat baik hati. Kami juga membalas pemberian tersebut seperti yang selalu kami lakukan setiap Hari Raya. Yang bagusnya kami telah berbincang sebelum Hari Raya menjelang, apa yang akan kami masakan supaya kami tidak masak menu yang sama.

Sedang kami makan, datang tetamu pertama ia-itu seorang adik Pak haji dan suaminya. Kemudian adikku datang bersama keluarganya di ikuti oleh keluarga besanku dan anak menantunya. Pecah rekodlah tahun ini pertamakali kami menerima ramai tetamu untuk Hari Raya Pertama.

Anak-anak telah menelefon nenek mereka untuk mengucapkan " Selamat Hari Raya ". Kemudian kami dapat panggilan telefon dari Kin dari London memberitahu bahawa dia akan menunaikan solat Aidilfitri di Kedutaan Malaysia.

Selepas mereka pulang, kami makan lagi dan terus melepak sambil menonton tv kerana keletihan dan kekenyangan.

Maka sambil aku berbaring teringat akan pantun Melayu lama seperti berikut:


Gendang gendut tali kecapi,

Kenyang perut senang hati.


Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga,

Hancur badan di kandung tanah,

Budi yang baik di kenang jua.


Kalau ada jarum yang patah,

Jangan di simpan di dalam peti,

Kalau ada silap dan salah,

Jangan di simpan di dalam hati.




Kalau ada sumur di ladang,

Boleh kita menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.


Sekian dulu, Salam Ceria untuk semua dari Mak teh !

Friday 18 September 2009

Hari Ke 28 Ramadhan

Salam Semua!

Nampaknya sudah banyak blog lain sunyi kerana ramai orang sedang sibuk menghadapi kedatangan Aidilfitri. Ada yang dah selamat sampai ke kampung, ada yang sedang membuat kuih raya dan bermacam-macam persiapan lagi. Jadi manalah ada masa nak berblogging !

Semalam keluarga mak teh telah menhantar Kin ke Lapangan Terbang KLIA. Nasib baik kami bertolak ke KLIA awal. Kesesakan lalulintas amatlah ketara. Semua orang berebut-rebut menuju destinasi masing-masing sama seperti the Crazy Ants lari mengikut laluannya dalam documentary National Goegraphic.

Kami sampai KLIA dalam keadaan cuaca gelap-gelita menandakan permulaan ribut yang akan melanda. Segera Kin ke kaunter buat urusan check-in. Alhamdulillah, beg besar selamat masuk. Hanya tinggal satu kotak berisi periok nasi kecil dan seterika tak dapat masuk sebab begpun dah lebih had berat yang dibenarkan. Kemudian Kin telefon kawannya yang akan berlepas ke London pada Hari Raya ke 3 nanti. Alhamdulillah, kawan Kin bersetuju untuk membawa kotak itu bersamanya.

Selesai Kin membuat urusan check-in, waktu berbuka ada 20 minit lagi. Kami telah rancang untuk mengambil tempat berbuka di Burger King. Amal dan Aizad telah pergi terlebih dahulu membuat order makanan dan booking tempat duduk. Maka kami segera ke tempat yang di janjikan. Walaupun sudah ramai orang menunggu saat berbuka, kami sudah ada tempat duduk dan makanan yang di order. Sebaik saja pengemuman berbuka di hebahkan, kami selesa berpuka puasa. Kesian pada masa itu ramai lagi orang yang masih beratur membeli makanan. ( Pengajaran dari didikan Pak haji: Dalam hidup, semua perkara mesti di rancang terlebih dahulu ! )

Seronok pula berbuka sekeluarga di tempat yang berbeza. Terasa sedap makan berbuka semalam walaupun ringkas terasa macam berpiknik. Kami telah bawa bekalan air, kurma dan nasi serta sedikit lauk-pauk bersama. Habis licin bekalan dan makanan yang di order, semuanya berbaloi! Hehehe! ( Terkenang pula kisah dulu-dulu, masa keluarga kami masih muda, selalu juga kami berbuka sekeluarga ala berpiknik begitu. Semasa tu Kin baru masuk asrama UIA. Lama dah tak buat kerja macam ni, sejak kami lebih pentingkan solat Tarawih )

Alhamdulillah! Tadi sewaktu sahur, Kin telah mesej dia sedang transit di Dubai. Hari ini aku akan rehat dan berkemas sedikit sementara menunggu berita Kin selamat sampai ke destinasi. Aku tidak akan ke pasar hari ini untuk membeli barang-barang segar untuk masak makanan pagi hari raya. Aku bercadang akan melakukan perkara itu esok sahaja.

Semalam ada seorang anak-buah hantar mesej , menyuarakan dia terkilan sebab mak teh sekeluarga tak balik kampung untuk menyambut Aidilfitri. Mak teh harap dia dan juga orang-orang yang lain yang bersependapat dengannya, faham akan keadaan mak teh. Banyak perkara yang kami terpaksa lalui, nak hantar Kin berlepas dahulu malam tadi, nak hantar Lia pulang ke Jordan pada hari Raya ke 3, nak rehat sebab dah terlalu penat 24 jam menjaga anak-anak Tahfiz. Kami tak mahu terperangkap dengan kesesakan lalu-lintas sebab Mak teh dan Pak haji tidak muda seperti dahulu lagi, keupayaan kami dari banyak segi sudah berkurangan. Kami ingin bersama anak-anak kami berkumpul sekeluarga kerana anak-anak kami sudah besar dan hanya bersama kami beberpa hari sahaja. Lagipun kalau kami balik waktu ini, kesemua bilik di rumah ibu dan bilek hotel tiada yang kosong. Keluarga kami besar dan anak-anak sudah besar tidak boleh melepak-lepak sana sini lagi.


Tak pulang ke kampung bukan bermakna tidak terkenang,
Berjauhan bukan bermakna sudah putus kasih sayang!
Tidak bersetuju dengan cara-cara seseorang bukan bermakna memutuskan silaturrahim!
Hanya Allah yang dapat melihat warna dan corak hati hambanya!


Mak teh ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua, terutama kepada Bonda tersayang, neneknda-neneknda yang di hormati dan di kasihi, Tok Lang dan Tok Su, Mak-mak saudara dan bapa-bapa saudara yang di ingati dan di kasihi, Mak Long, Mak Ngah, Mak Lang, Mak Teh, Mak Tam, Mak Ndak, Mak Cik, Mak Su, Pak Ngah, Pak Andak, Pak Anjang, Pak Uneng, Pak Cik, kakak-kaka ipar yang di kasihi, Kak Long, Liza, kakak-kakak sekampung yang di ingati, Kak Melah, Kak Yah, Kak Siah dan Kak Dara dan kesemua anak-buah mak teh yang dah besar panjang dan senang-lenang.

Kepada anak-anak buah mak teh sempena hari Raya ini mak teh nak minta maaf kalau anda dapati nasihat-nasihat dan komen-komen mak teh kurang anda senangi sebab mulut mak teh ni laser sedikit. Namun percayalah banyak kebenaran kata-kata mak teh itu dan terguran adalah bertujuan untuk kebaikan anda. Hehehe!

Ingatlah juga pepatah Melayu ini:


Buat Baik Berpada-pada,
Buat Jahat Jangan Sekali!


Kera dihutan usah di susukan,
Anak di pangkuan usah di lepaskan!


Lihatlah gajah di depan mata,
Kuman di seberang usah di teropongkan!


Apa yang di tanam,
Itulah yang di tuai!

Akhir kata Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin untuk semua pembaca blog mak teh!

Thursday 17 September 2009

Berangkat Ke Luar Negara

Salam Semua !

Semalam sekolah kami mula bercuti menyambut Aidilfitri. Ibubapa datang menjemput anak-anak mereka dari jam 11.00 pagi hinggalah jam 6.00 petang. Asrama di tutup jam 12.00 malam kerana kumpulan Taddarus Istana pulang lewat.

Malam tadi di adakan Majlis Khatam al-Quran di Istana Alam Shah, Kelang. Anak-anak tahfiz yang telah bertugas bertaddarus di Istana Kayangan telah di jemput untuk ke Majlis tersebut. Pak haji telah membawa mereka pada jam 6.00 petang ke Istana Kelang. Mereka memakai baju Melayu berwarna biru, bersampin kain songkit dan bersongkok hitam untuk Majlis tersebut. ( Tentu anda dapat bayangkan 'smartnya' mereka ).Majlis itu di hadiri oleh pembesar-pembesar Negeri, ahli-ahli Taddarus kumpulan lain, para jemputan dan kerabat Di Raja.

Selesai Solat Tarawih, Majlis bermula dengan bacaan ayat-ayat suci mengkhatamkan Al-quran. Kemudian ahli-ahli yang bertaddarus menerima hadiah sagu hati berupa satu sampul berisi wang dan sehelai kain songkit. Setelah selesai mereka di raikan dengan jamuan makan. Tentulah anak-anak Tahfiz kami amat teruja menghadiri Majlis tersebut dan sangat gembira menerima hadiah-hadiah yang di beri. Mereka sampai pulang ke asrama jam 11.30 malam.

Hari ini Mak teh dan Pak haji bolehlah relax sedikit. Kami termasuk kesemua anak-anakku akan menghantar anak sulungku, Kin ke lapangan Terbang KLIA, jam 6.00 petang nanti ( Flight 9.30 malam ). Ini adalah keberangkatan ke U.K untuk menyambungkan pelajaran untuk kali ke 2 bagi Kin. Dia mungkin rasa macam balik kampung kat U.K lah kut. Lima tahun yang lalu dia berkampung di Cardiff, tetapi kali ini kat tengah-tengah Kota London pulak. Kami berdoa semoga tidak ada perkara yang tak di ingini yang akan di tempuhnya memandangkan kebelakangan ini di Kota itu ada tunjuk perasaan anti-Islam.

Bagi keluarga kami keberangkatan ahli keluarga keluar Negara untuk menuntut ilmu sudah bermula sejak 14 tahun yang lalu, semasa Amal anak ke2 pergi ke U.K. Selepas itu anak-anak yang lain mengikut jejaknya. Maka sudah menjadi perkara biasalah bagi kami melepaskan anak-anak ke Luar Negara. Perpisahan begini tidak menjadi kesedihan bagiku dan Pak haji.

Nampaknya kami akan berbuka puasa di Lapangan terbanglah. Tak kuasalah aku nak sediakan makanan berbuka puasa dan berangkut-angkut bekalan makanan ke lapangan terbang nanti. Jadi perkara yang paling mudah adalah untuk kami berbuka di fast food outlet kat airport tu. Hehehe! Kalau sesiapa nak join bolehlah!

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pembaca blog mak teh!

Wednesday 16 September 2009

Hari Ke 26 Ramadhan

Assalamualaikum !

Semalam kami telah berbuka puasa bersama-sama anak-anak Tahfiz di rumahku. Lapang hati melihat anak-anak Tahfiz sudah boleh membantu mengemas dan menyediakan makanan tambahan untuk majlis tersebut. Kami telah pesan makanan dari katerer, menunya nasi beriyani. Walaupun nasi beriyani itu di sertai lauk ayam, darca dan acar, seorang dermawan telah menambah order semata lauk daging merah untuk kami. Perbelanjaan makanan itu telah di sedekahkan oleh seorang jiran. Maka kami hanya menambah menu ayam goreng, kentang putar, dan coleslaw. Hidangan kuih-kuih pula telah di sedekahkan oleh seorang ibu dermawan dan juga kuih sumbangan jiran sebelah rumah yang sangat baik hati. Aku hanya menambah lagi dengan membeli 3 batang lemang dan buah tembikai. Alhamdulillah, melempah-ruahlah hidangan atas meja kami berbuka malam tadi. Itulah yang di katakan rezeki anak-anak Tahfiz yang di kasihi Allah ( dan juga di sayangi masyarakat setempat ).

Majlis kami bermula pada jam 6.30 petang dengan bacaan Yasin dan doa selamat untuk Kin dan untuk kelahiran bakal cucu sulungku. Setelah azan berkumandang kami berbuka ringan dan terus menunaikan solat Maghrib dan solat Hajat memohon keselamatan dan kejayaan untuk Kin dan keselamatan untuk bakal insan yang akan di lahirkan. Ameen!

Setelah itu kami menghadapi makanan yang di sediakan. Seronok tengok anak-anak Tahfiz dan tetamu ( beberapa orang sahaja sebab kami tak jemput ramai orang ) makan dengan penuh berselera. Ramai yang memuji keenakan ayam goreng, kentang putar dan coleslaw yang telah di sediakan oleh Ustazah Hanna dengan bantuan anak-anak Tahfiz Puteri. Selesai berbuka puasa kami menunaikat solat Isya dan Tarawih di imamkan oleh seorang anak Tahfiz kami.


Hari ini adalah hari berkemas asrama dan pulang ke kampung masing-masing. Pagi-pagi lagi anak Sarawak sudah berangkat ke lapangan terbang. Yang lainnya akan berkemas asrama sehingga jam 11.00 pagi. Selepas itu ibubapa akan datang menjemput anak-anak mereka pulang. Maka di harap mak teh dan Pak haji akan dapat berehat dan menikmati ketenangan untuk sementara waktu. Namun kami juga sedia menghadapi kenyataan bahawa kesunyian akan menyelubungi kami sehingga anak-anak Tahfiz masuk semula pada 27 september selepas bercuti selama 12 hari. Akan bertambah sunyi lagi apabila anak-anak kami berangkat kembali ke luar Negara selepas Raya nanti.

Nota kepada ibubapa anak-anak Tahfiz: Wahai ibubapa anak-anak Tahfiz, anak-anak anda balik berbekalkan kerja-kerja sekolah yang telah diberikan dan jadual membaca dan menghafaz al-Quran adalah seperti biasa ia-itu selepas setiap solat 5 waktu. Mereka juga telah di beritahu tarikh peperikasaan akhir tahun. Mereka bukan balik bercuti tanpa buku, mereka seharusnya menyediakan diri untuk peperiksaan tersebut. Mereka juga telah di nasihatkan supaya meneruskan apa jua aktiviti ibadah Ramadhan seperti yang mereka lakukan di seni setiap hari. Gerak-laku dan perwatakan mereka seharusnya mencerminkan mereka seorang penghafaz Al- Quran ( seperti yang telah kami didikan ). Insya-Allah, Tuanpuan perhatikanlah nanti. Semoga akan menyenangkan dan mengembirakan hati Tuanpuan.

Sekian dulu, Selamat berpuasa 4 hari sahaja lagi!

Monday 14 September 2009

Hari Ke 24 Ramadhan

Assalamualaikum!

Hanya tinggal 2 hari lagi sebelum anak-anak Tahfiz mula bercuti untuk menyambut Aidilfitri. Lusa mereka akan berangkat pulang. Legalahlah mak teh dan Pak Haji dapat bercuti selama 12 hari!

Pagi tadi mak teh ada kelas BM dengan tingakatan 2. Nampaknya pelajar-pelajar sudah dalam mood bercuti. Ada yang kelihatan fikiran mereka melayang jauh. Ada juga yang tersengguk-sengguk mengantuk. Aku telah berusaha menarik perhatian mereka dengan meninggikan suaraku. Terasa letihlah pula hari ini.

Supaya tidak mahu keletihan lagi aku tidak akan masak banyak hari ini untuk berbuka puasa. Aku akan masak mee goreng mamak sahaja. Selainnya akan ku angkut dari kedai yang menjual beraneka juadah berbuka puasa. Bajetku rm 50 rasanya dah lebih dari cukup. Ringkas dan menjimatkan masa dan tenaga. Tambahan pula 2 orang anak daraku yang baru pulang dari kampung telah membuat laporan bahawa mereka telah makan berbagai juadah di kampung. Jadi tak payah lah nak susah payah nak masak spesial untuk mereka. Hehehe!

Sekian dulu untuk hari ini. Insya-Allah esok kami akan adakan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih bersama anak-anak Tahfiz dan doa selamat untuk Kin . ( Maaf tak jemput sahabat-sahabat sebab mak teh tidak mempunyai pembantu. Pembantu mak teh balik kampung untuk bercuti Lebaran ). Salam ceria dari mak teh untuk semua.

Saturday 12 September 2009

Fasa ke 3, 10 Hari Terakhir Ramadhan

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, kita sudah sampai ke kemuncak ibadah di bulan Ramadhan. Kalau ada rezeki kita akan bertemu dengan Lailatulqadar atau malam seribu bulan. Di malam yang mulia ini segala ibadah kita akan di beri pahala seolah-olah kita beribadah 1000 bulan. Maka ramailah para malikat yang di tugaskan turun ke dunia ini membawa rahmat di malam tersebut. ( Surah Qadr ). Kejadian Lailatulqadr di percayai berlaku pada salah satu malam 10 hari terakhir Ramadhan.

Cuaca di pagi hari ini agak redup. Maka terkenang aku akan kata-kata Ibu sewaktu aku kecil dahulu, " Kalau dimalamnya terjadinya Lailatulqadar, maka di pagi harinya akan sejuk dan redup. Ini di sebabkan cahaya matahari pagi di lindung oleh sayap-sayap malaikat yang naik semula ke langit." Ramai di antara kita yang tertanya-tanya, Malam manakah akan berlakunya Lailatulqadar ?

Apapun sejak kecil kami di ajar mengejar Lailatulqadar dengan beribadah bersungguh-sungguh 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Tak kiralah malam yang mana akan terjadinya Lailatulqadar itu. Berpuasa dan beribadah di 10 hari terakhir bulan Ramadhan juga di janjikan Allah kita dilindungi dari dimasukkan ke dalam Neraka.

Mendapat bertemu malam Lailatulqadar ini adalah rezeki yang di beri oleh Allah. Tentu sekali orang yang mendapat kemuliaan sebegitu adalah di kalangan orang-orang yang kuat beribadah, iaitu orang-orang ahli ibadah. Oleh itu kita usahakanlah menjadi orang yang tergolong kuat beribadah kalau ingin bertemu keajaiban itu.

Ada orang merungut bahawa susah menyuruh anak-anaknya berpuasa dan menunaikan solat 5waktu. Pendedahan kepada anak-anak sewaktu mereka kecil lagi akan hal-hal agama dan kebaikan beribadah akan mempermudahkan urusan anda mendidik anak-anak berbuat demikian. Insya-Allah lebih mudah kerja anda kalau anak-anak itu di masukan ke sekolah agama. Ini kerana mereka akan di didik lebih awal untuk memahami selok-belok agama dan melakukan ibadah.

Otak anak-anak kecil adalah sererti sponge, akan menyerap dengan pantas apa saja yang di ajar. Maka apakah yang lebih elok anak-anak itu serapkan ke otaknya dari kecil kalau tidak perkara-perkara agama? Ada ibubapa membelikan anak-anaknya apa saja yang di kehendaki seperti laptop, tv screen besar dinding, alat-alat permainan yang mahal-mahal, segala cd cerita kartun atau lebih dahsyat cd filem-filem barat sehingga anak-anak kecil itu sudah pandai mencarut-marut seperti orang barat. Astaghfirullah! Janganlah hendaknya perkara begini berlaku kepada anak-anak kita.

Di dalam kekalutan kita mencari nafkah setiap hari janganlah kita lupa akan tanggungjawab kita yang utama, iaitu mendidik anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan manusia yang berguna di hari muka. Luangkanlah juga masa untuk kita beribadat agar di hari tua kita tidak menyesal. Hari tua akan datang tidaklah lama lagi. Sedar-sedar kita sudah menghadapi hari-hari senja.

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca tazkirah Mak Teh!