Friday 16 December 2011

Best Lepak-Lepak

Assalamualaikum !

Bangun pagi terasa lapang, boleh santai pergi makan breakfast di restoran yang baru diubahsuai di seksyen 8. Aku order soto dan pak haji makan roti canai. Beli paper baca puas-puas kemudian balik rumah relax. Tak perlu kejar-kejar pergi pasar sebab anak-anak tahfiz tak ada dan tukang masakpun dah balik kampung. Kemudian Pak haji ajak kami kemas bangunan Al Hanna. Oleh kerana bangunan itu kosong dan sunyi berbeza dari keadaan hari-hari persekolahan aku tersa relax di Al Hanna itu seperti berada di sebuah rumah holiday home. Maka akupun bersantailah disitu untuk beberapa ketika.

Makanan tengah hari Huda sudah pergi beli dari favourite restoran. Aku malaslah nak masak apabila tidak ada pembantu. Lagipun dah penat masak saban hari. Aku juga kurang pandai masak untuk portion yang sedikit. Anak-anakku mengelarkan aku Master Chef Kawah sebab aku hanya pandai masak untuk ramai orang, menggunakan kuali besar hampir sebesar anak kawah seperti orang kampung masak untuk buat kenduri. Jadi kalau ada program astro Master Chef Kawah aku boleh masuklah!

Sekarang aku nak makan tengah hari dan teruskan lepak-lepak lagi. Bestkan!

Sehingga berjumpa lagi, Wassallam !

Thursday 15 December 2011

Kami Bercuti Hujung Tahun

Assalamualaikum,

Hari ini baru rasa percutian kami bermula. Suasana dirumah sangat sunyi dan tenang. Pagi tadi pergi hantar pambantu rumah berlepas balik ke negara mereka. Mereka berdua telah sama-sama bertongkoslomos menyediakan makanan untuk anak-anak tahfiz setiap hari. Tanpa mereka aku tidak akan dapat melakukan kerja-kerja menjaga anak-anak tahfiz. Mereka pulang bercuti selama 2 minggu, mereka juga memerlukan rehat. Terima kasih kami ucapkan kepada mereka.

Hari Sabtu ini aku dan Pak haji akan bercuti di utara sambil menjenguk anak kami Lia. Lia yang sedang menjalankan housemanship di hospital kerajaan itu kadang-kadang mengalami stress pekerjaan. Zaman aku dahulu jadi pegawai kerajaan, pegawai muda yang baru masuk melaporkan diri bekerja sangat seronok dan teruja. Tak tahulah mungkin peredaran masa atau jenis pekerjaan yang berbeza, mendapati pengalaman Lia berbeza dariku. Nasihat kami kepadanya banyak bersabar dan kuatkan semangat dalam menghadapi ketentuan Allah. Maklumlah dia bertugas di bahagian O&G, tempat orang beranak siang dan malam. Tempat menyaksikan kelahiran manusia dan kadang-kadang Allah ambil semula nyawa yang diberikan itu. Lia kena belajar menerima takdir Allah setelah melakukan tugasnya dengan baik.

Kami bercadang nak bawa Lia bercuti ke Perlis dan Padang Besar Thailand. Kemungkinan juga akan bermalam di resort di Gunung Jerai untuk merehatkan diri. Aku juga bercadang nak rekki untuk membawa anak-anak tahfiz melancong ke tempat-tempat ini di bulan February 2012 nanti.

Alhamdulillah, permohonan dan pengambilan pelajar baru berjalan lancar. Tahun ini pelajar perempuan sama banyak dengan pelajar lelaki. Jumlah yang kami telah terima hampir memenuhi jumlah pengambilan yang kami cadangkan. Ternyata kami akan memerlukan sebuah unit banglo lagi. Ingin sahaja aku bertanya rumah yang bersebelahan untuh disewa. Namun kami kena bersabar sehingga tuan rumah itu melekatkan iklan rumah untuk disewa. Bermula dengan sebuah rumah, insyaallah tahun hadapan MTAQSA akan beroperasi di 4 buah rumah banglo.

Tahun 2012, MTAQSA akan menggunakan perkhidmatan bas untuk mengangkut anak-anak tahfiz ke masjid Negeri, perpustakaan dan kegelanggang Equine (setiap minggu) dan restoran sarapan pagi (sekali-sekala). Permulaan tahun kami akan menyewa bas untuk tujuan itu sementara menunggu untuk membelinya. Kami berdoa dapat sumbangan untuk membelinya.

Pelajar Tingkatan 5 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Orientasi akan pulang ke asrama pada 31 Disember 2011. Pelajar-pelajar baru akan melaporkan diri pada 1 January 2012 jam 8.30 pagi. Lain-lain pelajar dikehedaki pulang ke asrama pada 4 january 2012 jam 3 petang. Namun sesiapa yang tinggal di luar Selangor dan adiknya melaporkan diri sebagai pelajar baru bolehlah balik keasrama pada tarikh 1 January bersama-sama adiknya.Kelonggaran ini dibuat supaya tidak menyusahkan ibubapa anak-anak tahfiz.

Sekian, terima kasih! Wassallam.

Sunday 27 November 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Assalamualaikum!

Semalam jam 6.00 petang kami beserta anak-anak tahfiz telah pergi ke masjid negeri Shah Alam untuk menyambut tahun baru hijrah 1433. Di masjid ada ceramah, tazkirah oleh tokoh-tokoh agama yang di kenali. Bersemangat Imam Besar Sahibulfadhilah Ustaz Mustaffa memberi kata-kata perangsang untuk tahun baru sambil membawa ramai-ramai jemaah melafazkah kalimah " Laailahaillallah " Teruja aku melihat ramai jemaah yang hadir terutama kaum wanita. Ruang wanita padat hampir-hampir seperti keadaan dibulan Ramadhan.

Sejurus sebelum azan maghrib berkumandang, kami semua mengaminkan doa akhir tahun dan awal tahun yang telah dibaca oleh seorang Imam. Selepas azan berkumandang jemaah mengaminkan doa awal tahun diikuti dengan solat maghrib.Seronok melihat suasana di dalam masjid Negri. Makanan ringan juga ada disediakan untuk para jemaah.

Berita Mtaqsa: Anak-anak tahfiz sedang tekun mengulang kaji mata pelajaran agama. Besok mereka akan mulakan last lap of the exam iaitu 15 mata pelajaran agama. Sebelum ini mereka telahpun tamat mendudukki peperiksaan al-Quran dan akademik. Kesian tengok mereka dah letih study tambahan pula virus flu sedang melanda asrama lelaki. Jadi ramai dah yang terkena jangkitan virus itu. Mereka telah dibenarkan pulang untuk dirawat oleh keluarga masing-masing. Oleh kerana esok ada exam paper, dijangka mereka akan kembali semula ke asrama petang ini.

Hujan sedang mencurah dengan lebatnya. Suasana yang sejuk mengingatkan aku kepada Kundasang dan Cameron Highlands. Kami bercadang akan membawa anak-anak tahfiz naik Gunung Jerai dan Cameron Highlands pada awal tahun 2012. Di awal tahun ini Mtaqsa telah menawan Gunung Kinabalu. Insyaallah tahun ini kami bercadang menawan Gunung Jerai Kedah dan Gunung Berincang, Cameron Highlands.

Berita Keluarga: Alhamdulillah cucuku Amir semakin besar walaupun baru berumur 2 bulan. Nampaknya dia sesuai tinggal di Kedah bersama ibu dan ayahnya. Cucuku Ammar pula akan menyambut hari lahirnya yang ke2 pada 5 Disember ini. Dia juga seorang yang bertubuh besar. Nampaknya cucu-cucuku mewarisi moyang mereka sebelah Pak Haji.

Next Berita Keluaga: Dr Aliaa dah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan housemannya. Lega sikit hati kami sebagai ibubapa mendengar perkembangan itu. Dia kalut dalan department O&G. Aku berdoa dia dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan sentiasa mendapat sokongan kawan-kawan dan ketua-ketuanya. Secara peribada aku suka kalau dia menjadi pakar O&G apabila mengenagkanpakar bidan aku dahulu seorang lelaki.

Lagi Berita Keluarga: Anak bertuahku Adlan telah di terima masuk fakulti Musik UiTM. Alhamdulillah. Dia telah menunggu selama 2 tahun untuk berjaya diterima. Namun sementara itu dia telah mendapat certificate in Music dan telah bersama menjayakan persembahan ochestra di UKM.

Sekian dahulu coretan untuk kali ini sehingga kita bertemu lagi. Wassalam!

Saturday 19 November 2011

Banyak Cerita

Assalamualikum!

Terlalu banyak cerita nak diupdatekan kerana telah lama aku tidak mencoretkan sesuatu di ruang ini. Jadi sebelum ada orang sms aku mengapa tak update blog ini, aku buatlah entry ini. Maaf ye Pak Uneng dan pengikut-pengikut setia yang lain. Kesibukan dan kesuntukan masa mengakibatkan situasi ini.

Big story yang pertama ialah aku telah mendapat cucu yang kedua seorang pahlawan bernama Mohammad Amir. Sekarang umurnya 2 bulan. Ingat tak dia ada cousin bernama Mohammad Ammar berumur hampir 2 tahun. Alhamdulillah, aku sudah ada 2 orang cucu!Mohammad Amir telah berpantang di Kuala Kangsar dan sekarang dalam perjalanan balik ke Alor Setar mengikut ayahnya yang bekerja dengan Insaniah.Rancangan Amir akan berada di sana selama sebulan sebelum ibunya balik bertugas di UiTM, Kuala Pilah. Kesian Amir! Mailah balik dok Shah Alam dengan maktok. Kalau dok dengan maktok belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab!

Big story kedua adalah kisah Lia, anakku yang kelima, telah bergelar Dr Aliaa. Beliau telah mendapat posting nun di utara tempat lubuk asal kami dekat dengan rumah neneknya. Dia masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan kehidupan seorang houseman. Berita darinya setiap hari ialah tak ada rehat, tak cukup tidur dan tak sempat makan, membuatkan kami sebagai ibubapanya tak senang hati mendengarnya. Nasib dia telah memdapat department O&G sebagai permulaan kerja menjadikan dia sedikit huruhara. Keterujaan yang dia ceritakan adalah apabila dia menyambut kelahiran seorang baby boy arab dan seorang cina dari China yang mana ibu-ibu tersebut tidak pandai berbahasa Inggeris, jadi dia teruja dapat menggunakan bahasa Arab berkomunikasi dengan mereka.

Kisah anak-anak tahfiz pula, mereka sedang menduduki peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan akademik dan al-quran telah selesai dan mereka sedang menduduki peperiksaan subjek-subjek agama. Ada juga yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Sebulan lalu anak-anak tahfiz ting 4 telah menduduki peperiksaan SMTQ ( Sijil menengah tahfiz Quran ). Puteri-puteri kami merupakan calon smtq yang pertama dalam sejarah. Insyaallah kami yakin mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang.

Hari akhir sesi tahun ini adalah pada 10 Disember ini. Di hari itu juga akan di adakan perjumpaan ibubapa dengan guru-guru dan ibubapa akan diberi taklimat sebelum bercuti oleh Pak Haji. Ini merupakan peluang ibubapa beramah mesra dengan guru-guru dan bertanyakan mengenai prestasi anak-anak mereka.

Hari ini merupakan hari pertama kami menemuduga calon-calon yang memohon untuk memasuki sekkolah ini bagi sesi 2012. Tarikh temuduga seterusnya adalah pada 26 dan 27 november. Nampaknya minat terhadap sekolah ini semakin bertambah. Rencana dan iklan bagi MTAQSA ada terbit dalam majalah Asuh November 2011 ( m.s. 36). Insyallah, kami bercadang untuk mengambil 20 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan.

Sekian dulu buat kali ini. Selamat menjalankan tugas masing-masing. Wassallam!

Tuesday 6 September 2011

Cuti Aidil Fitri

Assalamualaikum!

Semalam kami baru pulang dari bercuti 3 hari di Terangganu. Insyaallah, esok sebelum subuh kami akan bertolak ke Kedah. Kami pulang untuk melawat bondaku yang uzur sakit tua. Kami bercadang akan berada di sini sehari sebelun anak-anak tahfiz balik ke asrama pada 10 september. Anak-anak tahfiz junior sudah bersekolah kerana takwim persekolahan sekolah rendah kami mengikut sekolah kebangsaan.

Kami tidak boleh berada di kampong lama sebab anak-anak tahfiz akan pulang ke asrama hujung minggu ini. Anakku Yana yang sedang bercuti disini akan berangkat pulang ke Mesir pada 15 September. Kemudian kami akan adakan majlis menyambut hari raya Aidil Fitri pada 17 september setelah warga Mtaqsa berpuasa sunat 6 hari.Majlis kali ini agak besar sedikit kerana semua ibubapa dan keluarga anak-anak tahfiz dijemput.

Sekembalinya dari cuti aidil Fitri ini anak-anak tahfiz akan sibuk untuk membuat persediaan peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan akhir tahun bagi pelajar-pelajar tingkatan 3 akan menentukan jurusan atau aliran yang mereka akan ambil seterusnya, sains atau sastera/agama. Bagi pelajar-pelajar tingkatan 2 pula mereka hendaklahlah menunjukan keputusan yang baik untuk menunjukkan kesungguhan mereka belajar di Mtaqsa. Pelajar-pelajar tingkatan 4 akan menghadapi peperiksaan SMTQ dan pelajar tingkatan 5 akan memduduki SPM.

Saturday 13 August 2011

Anak-anak Tahfiz Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum!

Kehidupan anak-anak Tahfiz di bulan Ramadhan penuh dengan aktiviti beribadah disamping mengikuti pelajaran sekolah seperti hari-hari biasa. Cuma setiap kelas dipendekkan 15 minit supaya mereka boleh pulang ke asrama jam 1.30 tengah hari.

Rutin harian anak-anak tahfiz di bulan ramadhan adalah bangun seawal 4.50 am untuk bersahur, kemudian mereka lakukan kiamullail dan menghafal al Quran sehingga azan Subuh berkumandang. Setelah selesai solat subuh mereka bersiap untuk ke kelas. Kelas berjalan seperti biasa dari jam 7.30 am sehingga jam 1.30 tengah hari. Setelah solat zohor ia-itu pada jam 2 pm mereka tidur sehingga jam 4 petang. Setelah solat 'asar mereka menulis al quran. Kemudian bersedia untuk ke masjid. Jam 6 petang bas akan membawa mereka ke Masjid Negeri.

Sementara menunggu berbuka mereka bertaddarus. Mereka akan berada di masjid sehingga selesai solat tarawih. Mereka menghafal al Quran di antara Maghrib dan Isya. Jam 10.45 malam mereka menaikki bas untuk pulang ke asrama. Kadang-kadang ada makanan istimewa di sediakan untuk mereka makan supper. Mereka tidur pada jam 11.30 malam dan akan di kejutkan untuk sahur nanti.

Pada bulan Ramadhan anak-anak tahfiz amat murah rezeki. Mereka telah di raikan dengan majlis berbuka puasa oleh sebuah hotel 5 bintang, Majlis Perbandaran Shah Alam, dan di sediakan makanan Arab oleh sebuah Restoran Arab yang terkenal di Shah Alam sebanyak 3 hari. Hari ini merupakan kali ke 3 mereka mendapat makanan dari Restoran Arab itu. Mereka juga telah mendapat makanan malam merupakan capatti istimewa dan roti telor masing-masing dari restoran terkemuka. Ada juga keewangan yang di sedekahkan oleh dermawan termasuk ibubapa untuk di gunakan pada bulan Ramadhan. Jadi aku gunakan untuk menyediakan makanan luxury untuk mereka seperti aiskrim float, buah-buahan dalam tin satay dan pizza. Ada yang sudah kami hidangkan dan ada yang akan di hidangkan, Insya-Allah. Alhamdulillah, begitulah murahnya rezeki anak-anak tahfiz di bulan Ramadhan.

Anak-anak tahfiz akan berada di asrama sehingga 26 Ogos. Mereka akan bercuti Aidil Fitri sehingga 10 September. Sekembalinya mereka nanti mereka akan melakukan puasa sunat 6 hari. Kami bercadang untuk mengadakan majlis Hari Raya pada 17 september.

Thursday 21 July 2011

Adab Di Masjid

Assalamualaikum!

Hari ini Mak teh nak terangkan mengenai adab di masjid termasuk perkara yang perlu kita lakukan sebelum ke masjid.

Pertama, kita hendaklah mengambil wudhuk sebelum melangkah ke masjid. ( Mandi serta bersihkan diri, berus gigi, memakai pakaian yang bersih dan bagus adalah diantara perkara yang disarankan. Bagi orang lelaki mereka di galakkan memakai wangi-wangian.)

Semasa dalam perjalanan ke masjid elok membaca doa " Allahummaj'al fi khalbi nurron, wafii lisaani nurron, waj'alfi sam'ii nurron, waj'alfii basori nurron, waj'almin kholfi nurron, wamin amaami nurron, waj'almin fauqi nurron, wamin tahti nurron. Allahumma a'thini nurron. " yang bermaksud, " Ya Allah nyalakanlah dalam hatiku suatu cahaya, pada lisanku suatu cahaya, pada pendengaranku suatu cahaya, pada pandanganku suatu cahaya, dari arah belakangku suatu cahaya, dari arah depanku suatu cahaya, nyalakanlah dari arah atasku suatu cahaya, dari arah bawahku suatu cahaya. Ya Allah limpahkanlah cahaya kepadaku.

Apabila masuk ke masjid hendaklah membaca doa, "Allahumaftahli abwaaba rohmatik " yang bermaksud " Ya Allah bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untukku."

Apabila melangkah masuk kedalam masjid hendaklah mendahulukan dengan kaki kanan.

Apabila sudah berada di dalam masjid hendaklah terus melakukan solat sunat Tahiyatul Masjid sebelum kita membuat perkara lain seperti duduk beriktikaf atau berzikir.

Hendaklah kita niat beriktikaf apabila duduk dalam masjid sambil berdiam diri mengingati Allah.

Apabila selesai muazzin melaungkan azan dirikan solat sunat sebelum solat fardhu.

Apabila orang sudah bersedia hendak menunaikan solat berjemaah hendaklah mengambil tempat dalam saf bergerak ke kanan untuk merapatkan saf, Hendahlah melangkah ke saf hadapan jika nampak ada kekosongan.

Apabila solat berjemaah, hendaklah mengikuti pergerakan Imam tanpa mendahuluinya, seeloknya beberapa saat selepas Imam melakukan pergerakan itu.

Selepas selesai solat, bolehlah berdoa dan berzikir bersama-sama Imam.

Bolehlah melakukan solat sunat selepas solat fardhu ( melainkan pada waktu asar dan waktu subuh )

Apabila melangkah keluar masjid hendaklah membaca doa, " Allahummainni asaluka fadhlik " yang bermaksud Ya Allah sesungguhnya aku memohon kurniaMu.

Semoga anak-anak buah Mak teh mendapat faedah dari keterangan di atas.

Wednesday 20 July 2011

Adab Di Masjid ( Negatif )

Assalamualaikum!

Setiap kali Ramadhan tiba, ramai orang mengunjungi masjid untuk mendapat pahala bersolat terawih. Kadangkala ada saja perkara yang aku ternampak yang ingin aku beri sedikit teguran terutama untuk kaum wanita.

Ada anak-anak remaja dan gadis pergi ke masjid dengan pakaian tak sesuai. Aku pernah lihat ada yang memakai baju bertangan pendek, ada baju yang nipis, ada yang memakai baju rumah ( housecoat ), baju & seluar tidur dan ada juga yang memakai seluar jeans yang ketat. Apabila berpakaian begitu dan mereka tidak mengenakan telekung yang penuh maka kelihatan amat tak elok.

Ada orang yang suka berebut saf hadapan sedangkan bagi wanita saf yang belakang lebih mendapat banyak pahala.

Ada orang yang suka berbual apabila sudah masuk saf sementara menunggu untuk menunaikan solat. ( Ada-ada saja topik perbualannya dari kisah anak cucu hingga ke gosip panas )

Ada orang suka membiarkan saf renggang, iaitu tidak merapatkan saf dengan cara bergerak rapat ke kanan.

Ada orang memakai hiasan yang berlebihan merupakan barang kemas ditangan dan pernah aku ternampak seorang makcik yang memakai diluar telekungnya rantai emas dan loket yang besar.

Ada orang yang memakai makeup dan wangian yang berlebihan.

Ada orang yang membunyikan bacaan dalam solatnya terlebih kuat sehingga mengaggu jemaah lain.

Ada orang yang bawa ke masjid anak kecil yang tak boleh dikawal sehingga mengganggu jemaah lain.

Ada orang yang membawa anak yang belum mumaiyyiz meletakkan anaknya solat dalam saf diantara orang dewasa. Seeloknya letakkan mereka dihujung saf atau di saf kanak-kanak di belakang supaya saf tidak dikira terputus.

Ada orang yang membawa barang untuk di jual didalam masjid. Hukumnya haram dan perniagaan di jamin rugi. Aku pernah tengok orang jual handphone dalam masjid.

Ada orang bersolat sunat ( selain dari sunat tahiyatul masjid ) apabila orang sedang memberi tazkirah.

Ada orang makmum yang mendahului pergerakan Imam. Seelok-eloknya tunggulah sesaat dua sebelum melakukan pergerakan mengikut Imam.

Ada orang tergesa-gesa melakukan solat tahiyatul masjid apabila azan sedang berkumandang.

Ada orang yang telah memakan makanan yang busuk seperti petai, durian atau bawang putih kemudian datang bersolat berjemaah di masjid.

Ada orang yang tidak memakai stokin kaki, kemudian kainya singkat menampakkan kaki apabila dia sujud.

Ada orang yang memakai anak telekung yang berhias manik dan renda hingga menutup dahi.

Ada orang yang melangkah dihadapan orang yang sedang solat.

Ada orang yang suka mencelah ke saf yang hadapan walaupun saf dah penuh dan sempit.

Itulah di antara perkara-perkara yang mengundang teguranku untuk perhatian kita bersama. Esok aku akan senaraikan Adab di Masjid perkara positif. Sekian, terima kasih.

Monday 18 July 2011

Adab Makan Di Majlis Jamuan

Assalamualaikum!

Hari ini anak-anak tahfiz puasa sunat. Ada 3 orang yang tak berpuasa kerana demam.
Demam selsema dan sakit tekak melanda sekolah kami. Mungkin juga kerana keadaan cuaca yang panas dan berjerebu. Mereka sudah di beri ubat dan makanan tengah hari. Sebenarnya mak tehpun kena penyakit ini. Dah 2 hari mengalami selsema, sakit tekak dan sakit kepala.Dah makan panadol, dapatlah sedikit kelegaan.

Tengah hari tadi aku masak sphagetti untuk anak-anak tahfiz Junior. Nak beri mereka rasa masakan itu kerana pada majlis kenduri hari sabtu lalu, kami tidak menjemput mereka secara resmi. Anak-anak tahfiz junior, tidak tinggal di asrama, mereka dikira sekolah harian, jadi hujung minggu mereka tidak bersama kami.Namun begitu untuk majlis-majlis yang spesial seperti Majlis Hari Raya Puasa Enam, setiap tahun mereka dan keluarga di jemput bersama.

Seronoklah menjamu anak-anak tahfiz kami, mereka akan menikmati makanan dan tidak akan membazir. Mereka semua telah kami latih supaya beragak mengambil makanan dan sekiranya mereka mengambil makanan itu mereka mesti habiskan. Oleh itu, pada setiap majlis jamuan pinggan mereka akan licin. Pak haji telah menekankan adab makan kepada anak-anak tahfiz terutama dalam majlis buffet, ambil sedikit makanan dahulu kalau rasa sedap bolehlah pergi ulang mengambilnya. Jangan di timbunkan makanan dalam pinggan. Jangan masukkan semua makanan dalam satu pinggan. Ada pinggan dessert untuk meletakan pencuci mulut atau dessert. Oleh kerana sudah biasa dengan keadaan begini aku jadi upset apabila melihat pinggan orang yang menghadiri jamuan bertimbun dengan sisa-sisa makanan.

Baru-baru ini di rumah adikku yang mengadakan majlis hari jadi, aku ternampak pembaziran makanan oleh anak-anak sekolah berumur diantara 9 ke 14 tahun. Bayangkan ketulan ayam yang besar hanya di makan sedikit kemudian disisakan. Aku ke pasar setiap hari membeli ayam yang harganya RM 8 sekilo. Aku jadi marah (upset) melihat pembaziran itu. Maka secara tak disedari, aku terus menegur anak-anak itu supaya makanan yang di ambil hendaklah dihabiskan. Terbeliak mata seorang anak yang berumur 14 tahun melihat pinggannya yang bertimbun dengan makanan yang terpaksa dihabiskannya apabila mendengar teguranku. Kebetulan juga ada seorang bapa yang datang bersama anak-anaknya, aku ternampak dia kemudian menghabiskan makanan yang di sisa oleh anak-anaknya. Rasa serba salah pula kerana aku telah membuat teguran itu. Anyway rasa bagus juga kerana tidak ada lagi sisa makanan terbuang selepas teguran itu.

Untuk juadah berbuka hari ini, kami akan hidangkan, buah kurma, nasi putih, ayam masak merah, telur mata kerbau berbawang kicap, sayur sawi manis, koay teow spesial, buah tembikai dan teh tarik.

Nota: Ada orang tanya kenapa aku sekejap jadi mak teh dan sekejap jadi mak aji? Explaination: Mak aji kerana aku isteri Pak aji. Jadi warga Mtaqsa dan keluarga mereka dan orang di pasar menyebut dan mengenali aku sebagai Mak aji. Mak teh ialah kerana aku berpangkat Mak teh dalam keluarga besar kami. Anak buah memanggil aku Mak teh. Mak teh kurang di senangi kerana selalu menegur kesilapan anak buah. Minta maaf kepada anak buah mak teh kerana terpaksa tolerate your mak teh yang laser! ( Tapi selalunya ada kebenaran dalam teguran itukan? He,he! )

Terima kasih kepada pengikut blog mak teh yang budiman. Salah perkataan dan silap teguran harap di maafkan. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarrak !

Sunday 17 July 2011

Dari Satu Majlis Ke Satu Majlis

Assalamualaikum!

Alhamdulillah, selesai kami buat kenduri kesyukuran, tahlil dan menyambut Ramadhan. Jemputan yang datang tidaklah 100% tetapi bilangannya sudah cukup untuk mejayakan majlis kami. Pak haji sangat berpuashati dengan majlis yang telah berjalan lancar.

Perkara yang aku tidak jangka ialah hampir semua makanan licin. Sphagetti mendapat sambutan hingga tetamu yang datang lewat tidak dapat merasanya. ( Minta maaf ye, lainkali Mak aji akan sediakan lebih.) Pajeri nenas juga habis dan kebanyakan tetamu memuji keenakannya. Tak sangka pula kerana dah lama tak membuatnya tetapi seronoklah apa yang dimasak mendapat sambutan. Alhamdulillah!

Kesibukan anak tahfiz sangat ketara kerana pada malam itu mereka di jemput mengikuti Forum Perdana di Masjid Negeri.Di majlis itu ada anak tahfiz kita yang mendapat hadiah kerana berjaya menjawab soalan kuiz. Selepas tamat Forum, mereka di jamu dengan sedikit makanan.

Majlis yang sudah tertera di kalendar kami termasuk Majlis tahlil & menyambut Ramadan pada hari sabtu depan dan jemputan berbuka puasa di Hotel pada 2 Ramadhan. Jazakallah!

Persiapan untuk Ramadhan, kami dah konfem menyewa Bas Lan untuk membawa anak-anak tahfiz ke Masjid. Jubah baru untuk ke Masjid dan baju Melayu untuk majlis Khatam al-Quran di Istana, pada bulan Ramadhan sudah ditempah tetapi belum siap. Makanan untuk anak-anak tahfiz berbuka puasa di Masjid telah di rundingkan dengan pihak Masjid.

Ada lagi persediaan menyambut Ramadhan yang perlu dilakukan mengikut apa yang di tazkirahkan pada Forum Perdana itu, iaitu banyak-banyak beristighfar dan berzikir sementara menunggu Ramadhan tiba.

Alhamdulillah, nampaknya untuk menyambut Ramadhan pada tahun ini kami telah membuat persediaan awal.

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarrak ! Semoga kita diberi kesihatan supaya dapat sama-sama merebut ganjaran pahala yang banyak yang di sediakaNya pada bulan Ramadhan.

Friday 15 July 2011

Apa Menu Spesial ?

Assalamualaikum!

Ada orang bertanya apa menu spesial Mak Aji untuk jamuan majlis esok hari. Mak Aji nak masak nasi putih sahaja kali ini. Jadi lauknya kena spesiallah sikit. Cadang nak masak pajeri nenas, darca, daging masak hitam, ayam goreng bersalut tepung. Tak ketinggalan sambal belacan out of this world punya dan ulam-ulam kampong. Lain-lain dish ada sphgetti ala malaysia( sambal belacan add on kalau suka ), kentang lenyek, coleslaw ( sayur mentah ala mat salleh ), kuih-muih dan buah-buahan.

Dah lama aku tak masak pajeri nenas. Jadi nak kena buat revision dulu dan akan memasaknya petang nanti. Kata orang sedap kalau pajeri di masak sehari sebelum dihidangkan. Darca pula lebih enak kalau dimasak awal padi esok. Begitu juga sphgetti. Kebiasaannya sphgetti yang ku masak laris. Minta-minta kali inipun laris juga.

Kami tak jemput semua parents, tetapi sesiapa yang ingin menghadiri bersama anak-anak di majlis ini kami welcome sahaja. Tidak ada masaalah, selalunya makanan ada banyak kerana ada jiran dan parents yang datang tidak kosong tangan. Tak payahlah nak bawa apa-apa, Insyaallah ada rezeki. Kata orang Kedah " Silalah mai noo! "

Thursday 14 July 2011

Sibuk Dengan Aktiviti

Assalamualaikum!

Hujung minggu lepas hingga hujung minggu ini kami memang sibuk. Bermula pada hari Sabtu kami warga MTAQSA telah menyambut dan meraikan rombongan pelajar dari Kelab Tahfiz SMK seksyen 10, Kota Damansara. Nampaknya mereka yang datang mengunjung dan mereka yang menerima kunjunganpun sangat gembira. Puas hati Pak haji melihat anak-anak didiknya pandai meraikan tetamu.

Mula-mula, Anak-anak tahfiz MTAQSA membuat persembahan kawad dan memanah. Selepas itu kami adakan sedikit majlis menyambut mereka dengan kata alu-aluan dan persembahan. Kemudian ramai-ramai bersama tetamu melagukan Asmaulhusna & Surahtulfil Quran sebelum di jemput menikmati hidangan. Selepas makan ada persembahan bacaan al-quran mengikut beberapa riwayat qiraat dan bacaan bertaranum oleh 2 orang pelajar kami. Diikuti dengan acara anak-anak tahfiz menunjukkan cara menulis al-quran dan khat. Kemudian anak-anak tahfiz mengiring tetamu bersolat di Masjid Negeri. Selepas pulang dari masjid ada jamuan makan tengah hari sebelum majlis perpisahan pada jam 2.30 petang. Kelihatan pelajar yang datang berkunjung dan anak-anak tahfiz bermesra mengikat silaturrahim. Acara perpisahan semua orang berselawat sambil bersalam-salaman dan akhir sekali bergambar beramai-ramai.

Pada hari Ahad pula anak-anak tahfiz dibawa mengunjungi pameran yang sedang berlangsung di bangunan Yayasan Restu. Anak-anak tahfiz menyertai seminar, menyertai pertandingan menulis khat dan kuiz yang telah dianjurkan oleh Yayasan Restu. Hampir satu hari mereka berada di situ.

Hari Isnin lalu, ahli keluargaku menyambut kepulangan anakku Lia dari Jordan. Hampir satu hari pula kami di Klia kerana menemani Lia yang sampai awal tanpa begasinya yang sampai dengan flight yang lewat petang. Anyway kami amat bersyukur dan gembira kerana Lia sudah selamat pulang ke pangkuan keluarga. Sementara Lia bercuti ini, dia akan ditugaskan untuk mengajar subjek Biology & Add Maths di sekolah kami. Dia juga akan cek kesihatan anak-anak tahfiz dan memberi penerangan First Aid.

Hari Sabtu ini, kami akan adakan majlis kesyukuran, tahlil dan menyambut Ramadhan. Seperti tahun-tahun yang lalu kami menjemput seluruh warga Mtaqsa, jiran-jiran, saudara-mara dan sahabat handai. Ibubapa anak-anak Tahfiz yang ada mengikuti blog ini di jemput juga kalau ingin bersama anak-anak. Majlis bermula jam 9.30 pagi. Kami berdoa semuanya akan berjalan lancar.

Thursday 7 July 2011

Khasiat Biji Buah Pala

Assalamualaikum!

Pagi tadi aku pergi jenguk sekolah rendah kami. Nampak muka salah seorang pelajar lebam, lalu aku bertanya, " Luqman, apa kena muka kamu?"

" Terantuk dinding " jawab Luqman.

" Kamu bergaduh ke? "

" Bukan, kena sendiri"

" Bila kena, di rumah atau di sekolah?"

" Di sekolah semalam "

" Mak dah tahu ?"

" Dah!"

" Mak tak bubuh ubat? "

" Tak! "

Aku agak semalam lebam dimuka Luqman itu belum kelihatan, sebab itu ibunya tak ambil pusing. Harini dah nampak kehijauan dan kehitaman iaitu lebam di muka Luqman tu. Lalu akupun telefon Pak haji minta dia bawakan biji buah pala dan pasu tempat mengasahnya untuk dibuat ubat dibubuh ke muka Luqman yang lebam itu.

Aku menerangkan kepada ustazah, " Pecahkan kulit keras biji buah pala, ambil biji yang didalamnya, asah diatas permukaan pasu yang kesat, letakkan sedikit air, asah hingga menjadi pes. Itulah ubat yang kami aplikasikan kepada anak-anak kami apabila mereka luka atau lebam kerana jatuh atau sebagainya. Ianya sangatlah mujarab, tak lama lebam akan hilang atau bahagian luka akan segera kering jadi kulit keras yang akan mengelupas keluar dalam sehari dua. Aplikasikannya setiap selepas mandi, Insya-Allah kulit akan sembuh tanpa meninggalkan parut".

Ustazah kehairanan mendengar peneranganku mengenai khasiat biji buah pala dan bagaimana cara untuk mengaplikasikannya. Ustazah membelek-belek dan mencium biji buah pala itu, lalu bertanya dimana boleh membelinya. Aku menerangkan biji buah pala itu boleh didapati di mana-mana kedai runcit atau kedai yang jual bahan-bahan buat kek, kerana ia bahan popular dalam masakan. Bukankah ia sejenis spice atau rempah ratus yang menjadi barang rebutan ahli perdagangan zaman dahulu sehingga mengakibatkan rantau ini di jajah orang ?

Pernah anakku Alan kemalangan jatuh basikal semasa berumur 10 tahun, mukanya di sayat batu jalan dan simen longkang. Seluruh muka merah berdarah tanpa kulit seolah telah di sagat. Abang-abangnya berteriak untuk segera dibawakan ke hospital. Pak haji tenang menunaikan solat dahulu sebab kebetulan pada masa itu dia baru nak hendak angkat takbir. Maka melompat-lompatlah siabang yang tak sanggup melihat keadaan adiknya. Dipendekkan cerita setelah pulang dari hospital Pak haji mengambil biji buah pala yang di asah jadikan pes disapukan keseluruh muka Alan. Dalam masa seminggu sedikit demi sedikit kulit muka Alan berkerak kemudian mengelupas tanpa meninggalkan parut.

Dirumah kami sentiasa ada menyimpan biji buah pala dan tempat mengasahnya. Dengan ramainya anak-anak kecil yang lasak ( beberapa tahun yang lalu ), kami tidak tahu bila masa kami akan memerlukannya.Itu hanyalah salah satu khasiat biji buah pala. Ada banyak lagi nanti di lain masa aku boleh ceritakan.

Wednesday 6 July 2011

Minta Maaf !

Assalamualaikum!

Semalam ada 3 orang telefon menjemput anak-anak tahfiz ke majlis kenduri di rumah mereka. Dengan perasaan serba salah kami terpaksa menolak 2 dari jemputan tersebut. Satu jemputan untuk kenduri majlis tahlil, satu lagi jemputan untuk kenduri kesyukuran masuk rumah baru yang terletak luar Shah Alam. Terpaksalah Pak haji menjelaskan dengan panjang lebar kenapa kami tidak dapat memenuhi undangan itu. Kami memohan banyak maaf kepada mereka. Kami hanya menerima jemputan yang ketiga.

Seperti yang aku terangkan dahulu, kalau kami menerima semua jemputan anak-anak tahfiz tidak ada masa untuk menghafal Al-Quran. Petang hari selepas asar mereka menulis ayat-ayat al-quran yang mereka akan menghafalnya malam nanti. Dimalam hari mereka diwajibkan menghafal 1 atau 2 muka ayat-ayat suci itu mengikut kemampuan mereka.

Jadi orang mungkin bertanya, jemputan bagaimana yang kami terima? Kami menerima jemputan dari Masjid Negeri, jemputan dari Istana, dari SUK, dari keluarga pelajar, penderma-penderma yang sedia menderma dan penduduk di kejiranan kami. Ada satu lagi jemputan yang kami sedia terima setiap tahun pada bulan Ramadhan ia-itu jemputan dari sebuah hotel 5 bintang di Shah Alam. Hotel tersebut telah meraikan anak-anak tahfiz kami dengan jamuan yang mewah dan paket duit raya setiap tahun. Anak-anak tahfiz amat suka dan menunggu jemputan ini. Kebiasaannya untuk majlis di hotel tersebut anak-anak tahfiz akan di jemput dengan kenderaan hotel pada jam 6 petang. Majlis bermula dengan bacaan surah Yassin dan doa selamat. Kemudian apabila masuk waktu maghrib, kami di hidangkan sedikit juadah dan air untuk berbuka puasa. Kemudian kami menunaikan solat maghrib ( disertai bersama kakitangan hotel dan sebahgian pelanggan ). Selepas solat kami di jemput makan di dewan makan. Selepas itu kami menunaikan solat Isya dan seterusnya solat Terawih. Setelah solat Terawih kami akan di jemput makan sekali lagi. Sukacita kami telah mendapat jemputan dari hotel itu semalam dan telapun menyatakan kesudian kami. Bak kata pepatah, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan! Terima kasih, terima kasih banyak-banyak!

Namun begitu kami bersedia menerima permohonan untuk membaca tahlil, doa selamat dan solat hajat yang kami lakukan di asrama setiap malam jumaat. Selalulah kami menerima permintaan seperti itu dan anak-anak tahfiz sentiasa melakukannya. Kata orang-orang yang pernah meminta anak-anak tahfiz mendoakan untuk mereka, doa anak-anak tahfiz berkat dimakhbulkan Allah. Begitulah yang mereka ceritakan kepadaku. Wallahua'lam!

Tuesday 5 July 2011

Hujung Minggu Yang Akan Sibuk

Assalamualaikm!

Hujung minggu ini dijangka akan menjadi sibuk bagiku dan warga MTAQSA. Pertama, kami akan menerima 20 orang tetamu pelajar-pelajar dari Kelab Tahfiz Sekolah Menengah Kota Damansara. Program untuk menyambut mereka sedang diatur. Kedua ada 3 orang wakil sekolah kami akan memasuki pertandingan tulisan Khat. Ketiga pelajar-pelajar kami yang akan mengambil Peperiksaan Sijil Menengah Tahfiz Al Quran ( SMTQ ) akan bertolak ke Kelantan untuk menghadiri kem motivasi.

Berita baru yang kami terima ialah, hanya pelajar lelaki yang di jemput ke kem motivasi di Kelantan. Agaknya pihak Penganjur belum bersedia menerima kehadiran pelajar perempuan kerana pelajar-pelajar kami merupakan kumpulan pelajar perempuan pertama yang akan mengambil peperiksaan ini. Syabas MTAQSA !

Berita ini tentu sekali akan mengecewakan anak-anak tahfiz perempuan berkenaan kerana mereka sudah bersedia untuk berangkat hari Jumaat ini. Apapun kami akan menghantar anak-anak tahfiz lelaki diiringi oleh seorang ustaz.

Saturday 2 July 2011

Hari Outing

Assalamualaikun!

Hari ini hari Outing bagi anak-anak tahfiz. Mengikut takwim MTAQSA dalam masa 5 atau 6 minggu anak-anak tahfiz belajar, mereka diberi 1 hari keluar bersama ibubapa atau waris. Ini yang kami namakan hari Outing, selalunya jatuh pada hari Sabtu. Ibubapa boleh mengambil anak-anak mereka bawa keluar dari jam 11.00 pagi hingga 6.30 petang.

Mulai jam 10.00 pagi kereta ibubapa sudah mula berderet depan asrama. Terpaksalah ibubapa menunggu kerana anak-anak mereka sedang mengikuti kelas maths.Jam 10.30 sudah ada ibubapa yang menunggu hendak berjumpa Pak haji. Perjumpaan dengan Pak haji diaturkan untuk ibubapa yang anak-anaknya ada masaalah disiplin atau prestasi pembelajaran. Mak ajipun ada bersama untuk berbincang dengan ibubapa mengenai anak-anak.Hari ini kami bejumpa dengan berbelas pasang ibubapa. Hampir jam 1.00 tengah hari barulah selesai perjumpaan tersebut.

Keletihan bagi Pak haji dan Mak aji amatlah terasa pada hari ini. Agaknya faktor usia menyebabkan kami berasa demikian. Selepas makan dapatlah kami berehat sehingga anak-anak tahfiz kembali ke asrama jam 6.30 nanti.

Jam 6.00 petang, anak-anak mula kembali ke asrama. Telefonpun mula berdering, panggilan dari ibubapa yang menyatakan mereka tidak sempat hantar anak sebelum maghrib. Begitu juga handphone buzzing dengan mesej ibubapa meminta kebenaran menghantar anak lewat sedikit. Kisah beginilah yang selalunya berlaku apabila mereka keluar Outing. Ada ibu yang telefon meminta anak-anak tahfiz diberi cuti lebih. Mahu saja aku menuruti permintaannya kerana akupun berasa amat keletihan. Nantilah aku akan usul perkara ini di mesyuarat akan datang. Aku akan usulkan kepada Pk Haji agar hari Outing dilanjut supaya anak-anak tahfiz pulang ke asrama pada petang keesokkannya! Apa pendapat anda? Adakah Pk haji akan bersetuju?

Friday 1 July 2011

Jadi Tetamu Dan Ada Tetamu

Assalamualaikum!

Semalam seorang wakil Masjid Negeri telah telefon menjemput anak-anak tahfiz menghadiri kenduri aqiqah yang diadakan di Masjid. Keluarga kakitangan masjid telah mendapat seramai 6 orang bayi (baru dilahirkan ). Sukacitalah warga Mtaqsa menerima jemputan itu kerana kami dikira sebagai keluarga Masjid juga. Aktiviti seperti ini akan mengeratkan masyarakat dengan anak-anak tahfiz dan anak-anak tahfiz pula akan belajar mengendalikan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.Pak haji rasa besar hati melihat anak-anak didiknya diraikan dan dijemput duduk di belakang Imam dan untuk sama-sama berdoa dan bersolawat ke atas Nabi Junjungan (S.A.W ) Mereka di perkenalkan kepada bayi-bayi tersebut dan mereka mendapat buah tangan setangkai bunga telur. Setelah itu mereka dijemput menikmati jamuan bersama tetamu-tetamu lain.

Selalu juga anak-anak tahfiz menerima jemputan ke majlis-majlis perkahwinan, aqiqah, tahlil, tazkirah, doa selamat dan berbagai lagi. Pak haji terpaksa menapis jemputan-jemputan kerana kalau kami menerima semua jemputan, maka anak-anak tahfiz akan menjadi terlalu sibuk hingga mereka tidak akan ada masa untuk menghafal Al quran dan mengulangkaji pelajaran mereka. Seperti yang anda telah maklum anak-anak tahfiz kami mempunyai jadual waktu yang sangat padat setiap hari.

Pagi tadi kami menyambut kedatangan tetamu istimewa. Ada 2 orang pegawai bank mengunjungi kami dari sebuah bank yang berdekatan. Mereka datang membawa rezeki kepada kami iaitu merupakan sekeping cek zakat perniagaan mereka. Sudah tentulah kami mengalu-alukan kedatangan mereka dengan senyum lebar dan sedikit juadah yang disediakan. Tahun ini merupakan tahun ketiga mereka menyumbang zakat kepada kami. Zakat di terima diiringi doa agar mereka mendapat keberkatan dalam usaha perniagaan mereka. Jazakallah!

Minggu hadapan kami ada lagi tetamu. Kami akan dikunjungi oleh sekumpulan pelajar-pelajar dari sebuah sekolah menengah kebangsaan di Lembah Kelang. Mereka ingin melihat cara anak-anak tahfiz MTAQSA menghafaz Al qurqn dan menjalani aktiviti harian. Mereka juga ingin melihat ko-kurikulum yang kami kendalikan terutama aktiviti memanah. Insyaalah kami akan menyambut kedatangan mereka dan akan meraikan mereka yang sudi untuk menjenguk kami. Selamat Datang wahai tetamu-tetamu kami. See You next week !

Wednesday 29 June 2011

Anak-anak Tahfiz Baru

Assalamualaikum!

Alhamdulillah, minggu ini kami mendapat 3 orang anak-anak tahfiz baru. Semuanya lelaki berbadan tegap dan besar.Mereka ni telah mendapat pangkat 4 & 5A UPSR tetapi telah di masukkan ke sekolah tahfiz tanpa akademik. Jadi bagi minggu pertama ini nampaklah mereka agak terpinga-pinga di dalam kelas. Keadaan ini tidak merisaukan kami kerana dari pengalaman kami, mereka akan dapat mengikuti pelajaran dan bersaing dengan rakan sekelas tidak lama lagi.

Dengan kemasukkan terbaru ini, membuatkan Asrama Putra penuh 100%. Oleh itu buat masa ini kami tak dapat menerima mana-mana permohonan masuk lagi. Sekarang masih ada pertanyaan serta permohonan untuk masuk yang kami terpaksa bekukan untuk sementara waktu. Apabila ada calon yang baik yang memohon masuk ke sekolah ini dan keadaan tidak membenarkan kami menerimanya, maka aku dan Pak haji akan merasa terkilan. Kami terkilan kerana tidak dapat membantu anak-anak tersebut menjalani zaman persekolahan yang mantap dan indah seperti yang kami sediakan.

Perhatian kami sekarang tertumpu kepada perkarangan bersebelahan yang telah di pelawa untuk kami membelinya. Bagi kami ini adalah perkara yang sangat besar untuk diusahakan. Kamipun berdoa dan terus berdoa sambil berusaha. Insyaallah sekiranya dapat hajat kami, anak-anak tahfiz akan mendapat ruang yang lebih luas. Semuga kami diberikan rezeki dan dipermudahkan urusan kami. Ameen!

Tuesday 28 June 2011

Doktor Nurul Aliaa Mohammad Bokhari



Aliaa dan seorang sahabat yang meraikan konvokesyennya.

Friday 24 June 2011

Bersyukurlah Anakku !

Assalamualaikum!

Hari ini hari konvokesyen anakku Lia di Jordan University of science & Technology, Irbid Jordan. Aku dan Pak Haji tidak dapat pergi ke Jordan untuk bersama-sama Lia di hari kegembiraannya ini. Dahulunya kami memang bercadang untuk pergi tetapi takdir telah menentukan. Pak haji baru pulih dari pembedahan yang agak major sedangkan tahap kesihatan aku sejak 2 tahun kebelakangan ini sekadar boleh bertahan sahaja.

Harapanku, anakku Lia akan melalui majlis konvokesyennya dengan perasaan tenang dan bersyukur. Aku berharap dia tidak akan bersedih tanpa kehadiran ibubapanya di hari ini.Kepada Aliaa aku berkata, " Bersyukurlah kepada Allah di atas kejayaan yang di kurniakanNya. Pujuklah dirimu untuk bergembira bersama ibubapa kawan-kawan yang hadir di sana.Jangan bawa perasaan sedih atau envy terhadap kawan-kawan yang ada ibubapa bersama mereka. Tiap insan ada kelebihannya. Ingat perkara lebih yang Allah beri padamu dan bersyukur!"

Walaupun kami tidak dapat datang ke majlis Konvokesyen Lia, aku dapat bayangkan perjalanan majlis itu, Lia memakai topi dan jubah keramat itu. Aku dapat lihat Lia bergaya di majlis itu dengan baju istimewa yang telah aku tempah dan kirimkan melalui Nurazzah mak Asmak. Sedikit hadiah wang saku juga telah di sampaikan melalui Nurazzah. ( Terima kasih Nurazzah!)

So Aliaa, enjoy your celebration day and be Happy! Post the photos soonest possible!

Wednesday 22 June 2011

Hasil Berbudi Kepada Bumi

Assalamualaikum!

Kami ada mengusahakan sebidang tanah lot kosong sebagai kebun untuk melatih anak-anak tahfiz berkebun. Pada mula masuk ke sekolah ini, boleh dikatakan kesemua anak-anak tahfiz tidak tahu cara memegang cangkul, parang, golok atau cop penggali lubang. Mereka tidak mengenal jenis pokok tanaman, buah-buahan ataupun sayura-sayuran. Pendek kata mereka tidak pernah didedahkan kepada ilmu pertanian. Apabila mereka masuk ke sekolah kami, Pak haji mendedahkan mereka kepada ilmu pertanian. Bagi anak-anak tahfiz lelaki,mereka akan melakukan aktiviti berkebun 1 minggu sekali.

Didalam kebun telah di tanam dengan ubikayu, keladi, pokok cilli,terung,pisang, mangga, kantan, serai, kunyit, halia dan berbagai tanaman herba. Sekarang anak-anak tahfiz senior sudah pandai mencanggkul, menebas dan bercucuk tanam. Mereka nampak teruja melakukan aktiviti berkebun. Mereka juga mula berkenalan dengan cacing tanah, anak ular, siput babi,lipan dan bena yang serang pokok tanaman.

Hari ini giliran anak-anak tahfiz perempuan dapat ganjaran hasil dari berbudi kepada bumi. Ada beberapa biji buah mangga yang dipetik dari pohon mangga dari kebun kami. Semalam anak-anak tahfiz lelaki yang berkebun dapat menikmati buah mangga cecah kuah rojak Mak Bee. Hari ini giliran anak-anak tahfiz perempuan pula.Oleh kerana buah mangga kami tak banyak, maka aku belilah sebagai tambahan buah mangga muda dari pasar semalam. Seronoklah mereka sedang menikmatinya sambil bersantai di petang hari . Insya-Allah bulan hadapan kami akan tuai hasil tanaman ubi kayu pula. Pak haji cadangkan untuk menghidangkan kepada mereka ubi kayu bakar bersama kelapa digaul gula. Lebih sedap lagi apabila mereka menikmatinya didalam kebun itu dan membakarnya sendiri. Mereka juga akan menikmati pisang goreng hasil titik peluh mereka. Ada 4 mayang pisang yang sedang menunggu masa matangnya.

Kesimpulannya, tidak rugi berbudi kepada bumi, hasilnya berbaloi-baloi. Aktiviti begini juga membuat anak-anak tahfiz sentiasa sihat, ceria dan teruja.

Tuesday 21 June 2011

Persiapan Untuk Ramadhan

Assalamualaikum!

Semalam aku terima panggilan telefon dari individu yang kami panggil Lan Bas. " Assalamualikum! Ramadhan ni nak guna baskah Mak Aji? "

Mula-mula aku terpinga-pinga, aku terdiam sebentar, " Oh, Lan! Ya, tentu kami perlu bas, tapi kami belum bincang hal ni.Nanti saya panggil balik ye!"

Setiap bulan Ramadhan kami menyewa bas khas untuk membawa anak-anak tahfiz ke masjid. Sudah 3 tahun kami menyewa bas Lan.Ia memudahkan aktiviti bulan Ramadhan kami. Jam 6 petang Lan akan membawa anak-anak tahfiz ke Masjid Negeri. Mereka akan mengambil tempat yang di sediakan khas untuk mereka berbuka puasa. Mereka akan menunaikan solat Fardu dan solat tarawih di Masjid Negeri. Ada juga ibubapa yang turut berbuka bersama anak-anak mereka di Masjid. Jam 10.30 malam Lan akan menjemput anak-anak tahfiz pulang ke asrama. Bermula petang sebelum ramadhan jadual ini berlaku hinggalah hari 25 hari Ramadhan. Selepas itu anak-anak Tahfiz akan pulang bercuti panjang hingga kembali semula selepas 10 hari berhari raya di rumah mereka.

Mungkin ada orang yang berkata, awalnya bercakap mengenai persiapan Ramadahn. Bagi kami sememangnya kena buat persiapan sebegini awal. Seperti yang aku ceritakan tadi Tuanpunya bas mahu confirmation awal untuk booking basnya. Menyewa bas pada bulan Ramadhan sudah menjadi satu keperluan bagi kami. Kami kena siap wang sewa bas bukannya sedikit lebihkurang RM 2500 untuk sewa bas Lan sepanjang Ramadhan. Mana nak cari wang sebanyak ini? Insya-Allah, anak-anak tahfiz selalunya dimurahkan rezeki.

Ada lagi yang kami siapkan awal-awal.Jubah baru untuk pakaian Ramadhan mesti di tempah seawal 1 bulan sebelun Ramadhan. Kalau tempah lewat tailor khas kami tidak dapat menyediakannya.Kami tak benarkan anak-anak tahfiz kami pakai jubah yang dah lusuh untuk ke Masjid atau Majlis-majlis tertentu. Kumpulan yang bertaddarus di Istana juga mesti memakai jubah baru. Mereka juga di kehendakki menempah khas baju melayu warna biru untuk majlis Khatam di Istana nanti. (selalunya berlaku pada malam 25 ramadhan)Pak haji sangat menegaskan perkara sebegini. Maka tak hairanlah kalau anda nampak anak-anak tahfiz kami bersih dan segak apabila di masjid atau di mana-mana majlis.

Perkara yang selain dari itu Pak haji akan memastikan kopiah putih dan serban mereka benar-benar putih dan berseh. Setiap mereka mesti mempuyai bersama mereka, tasbih, minyak wangi dan Al-Quran kecil, buku nota dan pen. Perkara-perkara begini mungkin nampak kecil dan remeh tetapi itulah caranya untuk mendidik mereka berperwatakan kemas dan bersih seperti yang dikehendakki dalam Islam.

Tuesday 14 June 2011

Penggal Kedua Bermula

Assalamualaikum!

Penggal kedua kami telah bermula. Anak-anak tahfiz pulang ke asrama pada petang Sabtu lalu. Alhamdulillah kesemua mereka telah lapor diri melainkan 2 orang yang minta izin masuk lewat. Anak-anak kecil juga masuk pada pagi Isnin semalam. Kesemua mereka kelihatan sihat dan ceria.

Semalam, hari Isnin, anak-anak tahfiz mula berpuasa sunat Rejab.Selepas berbuka ada 2 orang yang muntah-muntah. Aku bertanya apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya mereka muntah akibat makan berlebihan sewaktu berbuka. Biasalah anak-anak ini apabila mula latih berpuasa mereka tak pandai had pengambilan makanan, mungkin ada nafsu gelojoh sedikit.

Petang ini mengikut jadual, anak-anak tahfiz perempuan pergi berenang. Namun Pak Haji membatalkannya. Mereka ada latihan kawad pasukan Kadet Tahfiz. Aku suka melihat mereka berlatih terutama apabila berpakaian unifom lengkap.Bunyi derap but dan kekemasan formasi mereka tatkala berkawad amat menakjubkan. Orang awam yang melihat tidak akan menyangka mereka adalah anak-anak Tahfiz.

Kami sedang mencari premis supaya sekolah dapat berkembang dan dapat menempatkan lebih ramai murid. Namun apakan daya kerana untuk mendapatkan dana bukannya mudah. Setakat ini asrama dan kelas kami kiranya telah maximum capacity.Kepada siapa yang harus kami meminta ? Pusing kiri, pusing kanan maka ternyata sekali hanya kepadaNYA yang kami harus meminta. Kalau ada rezeki kami pohonlah nak hartanah yang berkembar dengan asrama kami sekarang. Setiap malam kami berdoa, membuat permohonan kepada Yang Maha Kaya. Insyaallah sekiranya baik untuk kami Allah akan permudahkan. Ameen!

Friday 3 June 2011

Melentur Buluh Hendaklah Dari Rebungnya

Assalamualaikum!

Sudah seminggu cuti sekolah berlalu, hanya seminggu lagi anak-anak tahfiz akan kembali ke sekolah. Banyak lagi perkara yang aku perlu buat dalam masa cuti ini. Namun perkara jelas yang aku sedang lakukan ialah relax. Apabila sekolah dah dalam sessi, susahlah nak dapat bersenang-senang macam ni.

Keadaan dirumahku sunyi dan tenang. Yang kurang dari segi pendengaranku ialah suara bacaan al-quran anak-anak tahfiz terutama suara anak-anak tahfiz kecil sekolah rendah kami.Aku sangat suka mendengar suara mereka membaca doa selepas sessi al-quran " Allahhummarhamnabil quran " Bunyinya sangat mendayu dari suara suci murni dan naif anak-anak kecil itu.

Walaupun kami sedang bercuti hampir setiap hari ada saja orang datang membuat pertanyaan mengenai sekolah ini. Kebanyakan mereka ingin menghantar anak ke sekolah ini atas alasan perangai anak mereka semakin menjadi teruk, tidak mendengar kata, melawan ibubapa, dan berkawan dengan oranag-orang yang tidak baik akhlak. Pak haji melayan pertanyaan tetamu yang datang dan menerangkan kepada mereka kelayakan pelajar yang di terima masuk ke sekolah ini. Pak haji menerangkan bahawa sekolah kami bukanlah sekolah pulih akhlak tetapi pelajar yang kami terima akan dididik dengan penuh disiplin.Sekurang-kurangnya mereka akan menjadi ahli masyarakat yang berguna dan bukan sampah masyarakat.

Di bawah ini jenis calon pelajar yang kami terima :

Kelayakan keputusan UPSR 5 A, minima 2A, 3B

kelayakan sek Agama PSRA 70 % purata atau Jaid Jiddan

Boleh membaca Al quran dengan baik dan bertajwid

Boleh menulis tulisan jawi

Hendaklah menunjukkan minat yang tinggi untuk menghafaz Al-quran.

Sesiapa yang ada perkara-perkara di atas bolehlah memohon masuk ke sekolah ini.

Namun untuk sekolah rendah kami menerima anak-anak yang berumur 6 tahun, boleh membaca dan menulis ia itu mengenal huruf rumi dan jawi. Mereka sihat fizikal dantidak ada kekurangan seperti down syndrome atau Hyperactive. Lain-lain kami boleh terima malah mengalu-alukan kerana memang benar, sungguh mudah membentuk jiwa anak-anak kecil, seperti kata pepatah melayu " Melentur buluh hendaklah dari rebungnya "

Thursday 2 June 2011

Gulai Ikan Patin Tempoyak

Assalamualaikum!

Beberapa minggu yang lalu aku mengidam gulai ikan patin tempoyak walaupun yang sedang mengandung ialah memantuku. Sebut saja, atau teringat gulai ikan patin tempoyak, terus kecur air liurku ingin memakannya. Aku pernah membeli ikan patin dari pasar tani dan memasknya bersama tempoyak. Rasanya enak tetapi tidak menumpulkan keinginanku nak makan gulai ikan patin tempoyak di Temrloh yang di heboh-hebohkan tersangat enak itu.

Aku sebutkan hal ini pada anak-anak tetapi mereka tidak ada masa untuk melayan kerenahku itu. Kebiasaannya Pak haji akan melayan kerenahku. Sedihnya kali ini Pak haji tak mampu nak drive sejauh itu kerana baru sebulan pulih dari pembedahan yang agak major. Minggu lepas aku sebut lagi akan keinginanku itu lalu anakku Huda mengambil keputusan untuk membawaku ke Temerloh.

Kami bertolak seawal jam 8 pagi hari ahad lepas menuju ke pekan Temerloh.Turut bersama kami Pak haji, Ciksu dan Alan. Jam sepuluh pagi kami selamat tiba ke tempat yang di tuju. Kami mencari pasar minggu yang terletak di tepi sungai tidak jauh dari perhentian bas. Seronoknya aku membeli hasil keluaran kampung tempatan di pasar minggu itu.Kami mengambil masa merayau-rayau membeli-belah sayur-sayuran kampung yang agak susah didapati di bandar. Aku beli tempoyak, durian, terung kampung cili kampung, bunga kantan merah, hanya Rm 1.00 untuk 3 kuntum .Jam 11.30, matahari semakin panas bahangnya dan kami mula terasa lapar dan dahaga.

Lantas kami beredar menuju ke deretan gerai makanan berdekatan kawasan pasar minggu. Kami masuk ke gerai yang ada mengiklan gulai ikan patin yempoyak. Kelihatan di gerai tersebut ramai pelanggan berbanding gerai-gerai lain.So kami order nasi termasuk 2 manggkuk gulai ikan patin tempoyak yang ku idam-idamkan. Sedapnya aku makan nasi berlauk gulai ikan patin tempoyak berserta ulam-ulam kampung sambal tempoyak. Pastinya pada masa itu siapapun yang lalu di belakang aku tidak akan nampak! Hehehe, puasnya!!

Setelah makan kami order 2 paket takeaway untuk dinner malam nanti. Sepeket lagi untuk kawan Huda yang minta semangkuk gulai itu apabila mendapat tahu kami di Temerloh sedang menikmati makanan lazat itu. Malangnya kami tak dapat order itu sebab ikan yang dah masak sudah kehabisan. Itu baru jam 12.00 tengah hari. Sambil mencuci tangan aku bertanyakan tukang masak kat dapur yang sedang mencuci kepala ikan patin untuk di masak seterusnya,

" Berapa ekor masak sehari " Jawabnya, " 700 ekor"
Banyaknya! fikirku. Percayake? Mungkin dia saja cong aku!Mungkin juga dia bercakap benar. Wallahu'alam.

Dalam perjalanan balik, aku tertidur keletihan, kekenyangan dan terasa amat puas. Alhamdulillah! Dihujung telinga terdengar suara Huda berkata, " Mak dah puas dapat makan gulai ikan patin tempoyak. Taklah jauh sangat! Lainkali kita boleh datang lagi". Aku terus terlena tanpa mimpikan ikan patin lagi. Hehehe!

Wednesday 1 June 2011

Best News !

Assalamualaikum!

Hari Isnin lalu, aku berdebar-debar menunggu berita dari tengah hari ia-itu merupakan awal pagi waktu di Jordan.Akhirnya pada waktu malam selepas Isya barulah dapat berita yang dinanti-nanti. Aku mendapat panggilan dari Lia yang menyampaikannya dengan suara penuh emosi, " Mameee! Kaklia lulus!!!"

Itulah Best News yang ku nanti-nantikan setelah bertahun-tahun mengharapkan berita itu.Lia yang belajar di Jordan University Science & Technology dalam bidang kedoktoran akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya.Lantas malam itu aku & suami sujud kesyukuran.

Keesokan hari dapat mesej dari Lia bertanyakan kami akan datang ke Majlis Konvokesyennya atau tidak. Untuk menyenangkan hatinya aku menjawab, " Insyaallah, akan diusahakan! " Dia sangat gembira dengan jawapan itu lalu mesej seterusnya dia minta baju untuk konvo. Ini yang susah sedikit sebab masa terlalu suntuk untuk menempah baju istimewa untuknya.

Walau apapun akan ku cuba memenuhi permintaannya. Ada 20 hari lagi sebelum tiba tarikh majlis seperti yang ditetapkan.Tahniah anakku semoga menjadi insan yang lebih matang dan seorang anak yang soleh!Ameen Ya Robbul Alamin!

Friday 18 March 2011

Menawan Gunung Kinabalu

Assalamualaikum! Tarikh 25 dan 26 Januari 2011, adalah hari bersejarah bagi kami warga MTAQSA. Kami telah berjaya menawan Gunung Kinabalu. Seramai 28 orang Anak-anak Tahfiz, 4 orang guru dan 3 orang bapa pelajar telah berjaya menawan puncak Kinabalu pada hari itu.

Amat teruja dan seronok Anak-anak Tahfiz berlepas dari lapangan terbang LCCT pada hari itu 24 januari 2011 menuju Kota Kinabalu Sabah, negeri di bawah angin itu. Ada diantara Anak-anak Tahfiz yang belum pernah menaikki pesawat dan ada yang belum pernah ke Sabah.Kegembiraan mereka melalui pengalaman itu jelas terpancar pada wajah masing-masing.Rombongan kami seramai 43 orang selain anak-anak tahfiz, 4 orang guru dan ada keluarga pelajar yang ikut serta.

Kami sampai di KK pada hari itu di sambut oleh sahabat kami Tuan Haji Azren. Kemudian kami di bawa dengan bas untuk menginap di Kompleks Sukan Likas.Dua hari kami berada di KK dengan membuat lawatan ke tempat-tempat tarikan pelancong termasuk Pasar Filipin, Kompleks Budaya dan Muzium Negeri serta Muzium Taman Laut.

Pada 24 Januari rombongan kami bertolak ke Kundasang, bahagian tanah tinggi di kaki Kinabalu.Perjalanan kami ke sana mengambil masa 2 jam 30 minit. Semasa bas yang membawa kami naik ke Kundasang ramai ahli rombongan tertidur kerana keletihan. Apabila hampir sampai ke Kundasang pemandangan sangat cantik dan cuaca semakin sejuk. Kami berkampung di Kiram Village, ada chalet-chalet kecil di bina di kaki bukit, berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu yang memukaukan itu.

Pada subuh 25 januari, peserta yang akan mendaki bersiap sedia untuk ke Kinabalu Park, iaitu tempat untuk mendaftar sebagai pendaki dan memulakan pendakian. Kami, kaum ibu dan kanak-kanak yang tidak akan mendaki turut mengahantar peserta pendaki ke Kinabalu Park. Disitu setelah mendaftar, dapat guide dan porter maing-masing, kami dibawa ke tempat pintu permulaan pendakian laluan yang bernama Timpohon. Kumpulam kami berdoa, mendapat taklimat terakhir sebelum mendaki. Dengan perasaan bercampur-campur, cemas, sayu dan teruja kami melepaskan anak-anak dan bapa yang ikut serta. Kami melambaikanan mereka walaupun dalam hati ingin ikut bersama. Dalam hati masing-masing menanamkan azam akan ikut mendaki pada masa akan datang.

Rombongan ibu-ibu dan anak kecil yang tidak mendaki di bawa ke Porim, ada tempat mandi air panas. Sedang kami seronok bemandi-madian, pada jam 2.30 petang kami dapat panggilan talipon memberitahu kumpulan pertama telah sampai ke tempat rehat bernama Gunting La Gadan. Mereka akan rehat, makan dan tidur sebentar sementara menunggu jam 2 pagi untuk meneruskan pendakian ke Puncak. Kumpulan yang akhir iaitu kumpulan Pak haji tiba di Gunting La Gadan sejurus sebelum maghrib. Lega rasa hati kami apabila mendapat berita itu.

Malam itu kami yang bermalam di Kiram Villge rasa sunyi dan agak ketakutan kerana cuaca amat sejuk dan hujan agak lebat serta kedengaran tiupan angin yang kencang. Dalam hati kami berdoa agar pendaki-pendaki anak-anak Tahfiz beserta ahli keluarga kami selamat di Puncak Kinabalu. Keesokan hari kami dapat berita 28 orang daripada mereka telah berjaya menawan puncak Kinabalu dan sedang dalam perjalan turun. Alhamdulillah!

Ada sepasang parent yang datang khas dari Shah Alam menyambut anak-anak yang turun dari gunung. Jam 4 petang kami mula dapat berita bahawa kumpulan pertama telah selamat sampaidi Kinabalu Park.Kemudian kami tunggu berita mengenai kumpulan lain yang dan sampai, namun kumpulan Pak Haji belum tiba. Kami berasa cemas kerana hari hampir senja. Alhamdulillah kumpulan Pak haji selamat sampai jam 8 malam di Kinabalu Park dan pada jam 9 malam kami menyambut mereka di Kiram Village. Maka pada saat itu gembira dan lapanglah dadaku.

Sebenarnya perancangan untuk menjelajah dan menawan Kinabalu bermula 7 bulan sebelumnya, pada pertengahan tahun 2010. Berikutan itu persediaan rapi dan latihan perlu telah dilakukan. Pertama kami book tiket kapalterbang awal-awal lagi supaya kami dapat harga tiket yang murah. Kedua kami kontek orang yang telah berpengalaman untuk menasihati dan memberi panduan. Kemudian kami book penginapan dan pakej perjalanan di Sabah dan pakej mendaki gunung tersebut. Sambil itu kami tingkatkan ketahanan badan dengan pemakanan dan exercise.Peralatan-peralatan perlu ( seperti baju sejuk, baju mendaki, kasut mendaki, sarung tangan, baju hujan, head-torch, beg galas, tongkat dll ) untuk pendakian kami sediakan sedikit demi sedikit kerana mahal untuk membeli barang-barang tersebut sekali gus.

Persedian meningkatkan stamina di lakukan dengan exercise setiap hari, pendakian bukit SUK di Shah Alam ( Bukit ini Pak haji namakan Gunung Kalbu ) di hujung minggu. Kemuncak latihan adalah pendakian Gunung Semangkuk berdekatan Fraser's Hill.

Banyak perkara yang telah kami lalui dan banyak perkara yang kami pelajari dari aktiviti tersebut. Walaupun ianya memenatkan, aktiviti kearah menawan Gunung Kinanabalu ini adalah pengalaman yang amat beharga dan tidak akan dilupakan bagi setiap peserta. MTAQSA merupakan Maahad Tahfiz pertama menawan Puncak Kinabalu. Syabas MTAQSA !

Wednesday 16 March 2011

Bersarapan Di Kedai

Assalamualaikum! Cara kami menjaga Anak-anak Tahfiz adalah sama seperti kami menjaga anak-anak kami. Sesekali kami akan membawa anak-anak kami keluar bersarapan di kedai, Begitulah juga yang kami lakukan kepada Anak-anak Tahfiz.

Al-kisah hari Jumaat lepas sebelum mereka balik bercuti kami bawa mereka ke kedai di Seksyen 8 untuk bersarapan. Ini bukan kali pertama kami bersarapan di kedai itu. Selepas solat subuh hari Jumaat di masjid Negeri, mereka dapat 'treat' makan di kedai.Kebiasaannya pada hari Jumaat mereka bangun jam 4.30 pagi untuk bersiap kerana hendak bersolat di Masjid Negeri.Kerana ketabahan, kerajinan dan ketaatan disiplin, kami belanja mereka makan spesial begini kira macam insentiflah untuk mereka. ( Sebulan atau lebih sekali )

Apa jadi pada pagi Jumaat lepas? Aku kelamkabut meyelongkar nak cari cash. Dapatlah sedikit, cukup rasanya tapi agak tak sedap hati sebab wang itu nak di gunakan untuk kepasar nanti. Anyway akupun turut serta anak-anak yang sudah mula makan di kedai itu. Melangkah sahaja aku masuk kedai terdengar namaku di panggil orang. Aku agak pelik sebab itu panggilan namaku di kampus. Segera aku menoleh dan terlihat kawan lama seangkatan iaitu Datuk AN dan bekas Inspektor AZ sedang menikmati makanan di satu sudut. Saat itu juga Pak haji ke sisiku menerangkan bahawa Bekas Inspektor telah membayar harga makanan untuk Anak-anak Tahfiz. Lantas aku tersenyum mendekati 2 sahabat itu lalu menadah tangan dan mengucapkan Jazakallah !

" Small matter!" kata Bekas Inspektor apabila Pak Haji ucapkan terima kasih.

" Small to you but big to us. " kata Pak Haji.

Sesudah berbual sedikit bertanyakan khabar kedua sahabat itupun beredar.

Aku bertanya pada Pak Haji, " Macammana kira sebab kita belum habis makan?"

"Pak haji jawab, " Estimate sahaja nanti selebihnya kita bayar." Sementara itu satu van lagi anak-anak Tahfiz tiba untuk makan bersama kami. Kamipun menjamu selera. Aku dah pesan mereka boleh order 2 roti canai atau 1 roti canai dan 2 biji kuih beserta 1 gelas teh tarik. Sedang mereka makan Pak Haji belegar untuk pastikan apa yang mereka makan supaya kami boleh bayar. Selesai kami semua makan Pak Haji bangun nak bayar tetapi diberi tahu ada orang yang telah bereskan semua bayaran. Pak haji segera bangun nak ucap terima kasih pada orang yang buat bayaran itu tetapi orang itu cepat-cepat meninggalkan kedai tanpa mahu di kenali.

Menyedari apa yang telah berlaku, iaitu makanan sarapan kami pada pagi semua telah orang bayarkan, aku tercengang. " Masyallah! " kataku perlahan. Dalam hati berkata selamatlah duit aku ni nak pergi pasar. Inilah diantara pengajaran yang aku dapat sepanjang menjalankan maahad tahfiz ini: Apabila ikhlas niat nak beri makan Anak-anak Tahfiz, janganlah takut tak cukup kewangan sebab Allah SWT akan sediakan rezeki itu. ( Ini bukan pertama kali perkara seperti ini berlaku pada kami ) Wallahua'lam !

Tuesday 15 March 2011

Bersantai Di Rumah

Assalamualaikum! Cuaca nampak gelap seperti nak hujan. Aku tidak aktif hari ini, hanya bersantai di rumah. Rumahku sunyi sebab anak-anak tahfiz pulang bercuti sejak hari Jumaat lepas.Bagus juga begini kerana fikiranku mula ditumpukan kepada buku baru yang Zai ( seorang kawan editor publisher yang telah keluarkan bukuku dahulu )minta aku tuliskan. Semua benda nak tulis sudah lama ada dalam kepala. Masaalanya aku nak tulis dalam bentuk apa ya? Zai minta aku tuliskan pengalamanku mendidik dan membesarkan 9 orang anak. Katanya buku macamtu akan memberi panduan kepada ibu-ibu muda.

Betul juga kata Zai tu. Ramai ibu-ibu telah bertanyakan aku bagaimana dalam kesibukan berkarier aku dan suami dapat mendidik dan membesarkan anak-anak yang 9 orang itu. Dari sudut mana ye aku nak mulakan? Kesihatan dan pemakanan mereka, pendidikan ilmu dunia dan akhirat, tertib dan adab sopan, atau penekanan disiplin? Sebenarnya bila difikirkan semuanya ada hubungkaitnya, mendidik dan membesarkan anak-anak merangkumi kesemua itu.

Seperti yang mungkin anda pernah dengar, mendidik anak bermula dari dalam perut. Apa yang telah aku lakukan semasa mengandung? Pertama aku buat appoinment untuk mendapatkan khidmat Doktor Pakar Bidan (Gynie) yang terbaik pada waktu itu. Aku jaga kesihatan dengan makan makanan yang baik-baik termasuk segala vitamin dan zat galian yang di beri doktor. Aku jaga makan benda-benda yang aku pasti halal sahaja, sehingga kalau nak rasa buah yang akan ku beli aku akan minta izin dari penjualnya terlebih dahula. Benda-benda yang mungkin memudaratkan kandungan juga aku tidak akan makan.Aku juga akan jaga tingkah laku dan perkataan, takut terkenan pada kandungan. Sekiranya ternampak insan-insan yang cacat aku akan beristighfar dan mengalihkan pandangan kelain tempat kerana takut terkenan pada baby. Untuk menjaga keselamatan kandungan, aku tidak di benarkan mengangkat barang-barang berat. Semua pekerjaan rumah mesti di buat dengan duduk bertimpuh elok-elok. Selain dari itu ibadah sangat di beratkan dan bila ada kesempatan aku membaca Al-Quran, terutama surah-surah yang di sarankan ibu-ibu mengandung membacanya ( Surah Maryam, Surah Annisa', Surah Yusuf, Surah Luqman )

Sekian dulu, dah azan Asr. Insyaallah akan ku sambungkan esok.

Saturday 12 March 2011

Muncul Semula

Assalamualaikum! Sudah lebih setahun mak teh tidak masuk ke alam maya ini. Kenapa lama mak teh menyepikan diri? Pertama faktor kesihatan, kedua kesibukan yang setiap hari mengurus perjalanan maahad tahfiz.

Hari ini tiba-tiba tergerak untuk muncul semula. Kerana rindu untuk menulis dan mencatatkan sesuatu. Terngiang-ngiang suara sms sahabat handai dan sanak saudara yang bertanyakan kenapa mak teh menghilang diri, terutama sms dari Pak Uneng.

Berita utama yang ingin aku sampaikan ialah kisah anak-anakku yang pulang dari Mesir kerana pergolakan disana akan terbang semula ke Mesir pada 20 mac ini. Alhamdulillah, mereka di taja oleh Majlis Agama Wilayah Persekutuan. Kalau tak tentu aku terpaksa korek lebih dalam poket sendiri.

Perkara kedua nak kongsi cerita ialah, cucuku Mohammad Ammar sudah berumur 1 tahun 2 bulan. Dia berbadan besar dan berwajah comel. Perkara ketiga, anakku Jat telah mendirikan rumahtangga dan mungkin cucuku yang ke2 on the way! Alhamdulillah!

sekian, dulu berita-berita utama, kita berihat seketika, Insyaallah esok bertemu semula. Wasallam!