Monday 29 June 2009

Oh Kome Deghoyen Dah Berbunge !

Salam Semua!

Cahaya mentari yang tadinya terik sudah mula redup dan kedengaran sayup-sayup bunyi guruh. Petang ini anak-anak Tahfiz tidak ada aktiviti di padang kerana mereka berpuasa. Pembantuku sedang bersilat di dapur menyediakan makanan berbuka puasa kami. Nanti selepas asar aku akan masuk dapur memasak hidangan istimewa untuk hari ini.

Malam tadi, Pak haji pergi ambil durian dari dusun kami di Ulu Langat. Dapatlah dalam 40 biji cukup untuk beri makan anak-anak Tahfiz selepas mereka berbuka nanti. Alhamdulillah ! Itu adalah rezeki mereka. Kami telah membeli dusun ini berpuluh-puluh tahun dahulu semasa kami masih muda dan anak-anak masih kecil. Dulu rajinlah kami pergi berhujung minggu di dusun yang terletak tidak jauh dari Air Terjun Sungai Gabai. Sekarang dah tidak ada masa lagi dan tenagapun sudah kurang.

Apabila diberitahu kisah durian sudah luruh, anak-anak Tahfizpun teruja nak pergi camping di dusun. ( Dalam tahun 2007 kami telah membawa mereka berkhemah di sana )Pak haji sudah bersetuju bahawa mereka boleh pergi camping apabila Aly pulang kelak, dijangka hujung bulan July. Kalau hujung July, durian sudah tiada, kemungkinan yang ada hanya manggis dan rambai serta rambutan. Apapun anak-anak itu sudah sibuk set up committee merancangkan perkhemahan itu. Di antara aktiviti yang menarik nanti ialah BBQ ayam, menanam pokok-pokok baru, main sungai yang mengalir dalam dusun itu dan merentas desa di malam hari.

Untuk adik-adik di rumah yang ingin nak makan durian, datanglah kerumah mak teh dihujung minggu. Kalau ada rezeki dapatlah makan durian atau bubur durian sahaja. Ada yang ingin ikut berkhemah? Boleh je, tetapi ibubapa adik-adik hendaklah bertanggungjawab keatas keselamatan adik-adik. Maksudnya mereka hendaklah turut sama dalam program perkhemahan itu. Hehehe! Mahukah mereka??

Menu kami hari ini ialah rendang ayam, sotong masak tomato cili dan sayur campur. Hidangan istimewa ialah mee goreng basah, durian dan air sirap bandung. Hehehe, jangan teliur, kami hanya menyediakan a balanced diet !!



Tersenyum Anak-anak Tahfiz Puteri di hadapan Asrama mereka, sudah siap untuk turun ke Padang.

Sunday 28 June 2009

Lagi Seorang Pelajar Baru

Salam Semua!

Hari Ahad sebelah pagi hingga tengah hari adalah di antara waktu yang paling sibuk bagi mak teh. Seperti biasa pergi ke pasar, masak dan mengajar 2 period untuk BM Ting 1 dan Ting 3. Kadang-kadang hingga tak sempat nak melayan kalau ada saudara-mara yang menjenguk kerumah.

Pagi ini kesibukan itu bertambah lagi dengan kunjungan 2 keluarga yang ingin memasukkan anak mereka ke sekolah kami. Jadi di celah-celah kesibukan itu sempat juga menginterview seorang pelajar baru dan melayan pertanyaan keluarga yang datang jauh dari Perak yang berminat terhadap sekolah kami.

Setelah menjalankan interview dan test bacaan Al-Quran kepada pemohon itu serta sedikit sebanyak menyoal latarbelakang dan minat ibubapa, kami menerima masuk pelajar baru itu. Insya-Allah kami cuba sedaya upaya untuk menerima pemohon-pemohon yang betul-betul berminat dan berkelayakan.

Malangnya pemohon yang kedua kami tidak dapat menerima kerana mengikut umur dia sepatutnya sudah berada dalam Ting 4. Kami cuma dapat memberi nasihat kepada keluarga itu bagaimana untuk menyediakan anak-anak mereka yang masih di sekolah rendah agar dapat memohon masuk sekolah kami di masa hadapan.

Kisah pelajar-pelajar dari luar negara pula, perubahan perangai dan sikap mereka bertambah baik. Perkara ini mengembirakan kami dan ibubapa mereka. Mereka sudah mula dapat di terapkan mengikut acuan yang kami sediakan dan sudah faham budaya kita sedikit-sedikit. Mereka tidak lagi bercakap bersuara tinggi, sudah boleh berinteraksi dengan anak-anak Tahfiz kita dan sudah mahu memakan segala makanan yang di sediakan. Aku juga telah mengajar mereka maksud pepatah Inggeris " When in Rome do as the Romans do " dan peribahasa kita, " Masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek " Aku adakan kelas khas BM untuk mereka pada petang Jumaat apabila anak-anak Tahfiz pergi ke perpustakaan. Aku mulakan dengan buku-buku latihan BM bagi tahap 3. Alhamdulillah cepat mereka memahami asas-asa yang aku ajarkan membuatkan mereka sudah boleh mengeja dan menulis perkataan-perkataan yang aku sebutkan.

Berita untuk adik-adik di rumah, hari ini abang-abang dan kakak-kakak ada aktiviti berkawad. Nampaknya mereka sangat teruja dengan aktiviti berkawad dan suka mengenakan pakaian seragam kadet tahfiz yang menampakkan mereka smart, anggun dan bergaya. Lapuran dari Pak haji menceritakan bahawa semasa latihan kawad petang tadi ramai ibubapa dan orang luar yang datang melihat Kadet Tahfiz kita berkawad dan membuat formasi. Kata Pak haji lagi, " Mereka nampaknya kagum dan terpukau dengan kecantikan formasi kadet Tahfiz kita. I am proud of them " . Nanti adik-adik dan keluarga akan di jemput untuk menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan pada awal bulan Ogos. Adik-adik bersedialah dengan kamera masing-masing ok ?

Menu makan malam hari ini ialah, ayam goreng bersalut tepung rangup, udang masak cili dan sayur kangkung. Minuman mereka ialah sirap oren. Esok abang-abang dan kakak-kakak akan berpuasa sunat hari Isnin. Bolehlah adik-adik ikut sama berpuasa kalau rasa terdaya.

Sekian dulu untuk hari ini dan lapuran seterusnya akan di sambung esok, Insya-Allah. Sebelum itu tidak lupa mak teh mengucapkan Jazakallahu khairan kepada semua penderma-penderma yang telah menyumbang kepada kami. Semoga Allah sentiasa memberkati usaha anda dan merahmati keluarga anda.

Saturday 27 June 2009

Islamkah Dia ?

Salam Semua !

Pagi semalam Aizad buat announcement kepada the girls mengenai kematian penghibur terkenal Michael Jackson. Personally mak teh tak terasa sangat atas berita itu cuma kesian je kepada MJ kehidupannya tidaklah begitu bahagia. Lepastu teringat juga kalau berita dia memeluk agama Islam itu betul, siapa akan mengambil tanggung-jawab nak uruskan pengkebumiannya secara Islam.

Berkaitan dengan cerita ini aku teringat kisah seseorang di kampungku. Ada seorang lelaki Cina penjual ikan, suka sangat beramah-mesra dengan orang-orang kampung. Apabila berbual dan bergurau senda dengan sahabat-sahabat Melayu, dia suka melafazkan, " Laailahaillallah! ". Maka suatu hari dia jatuh sakit, kawan-kawan Melayu diapun pergi melawatnya termasuklah saudaraku Tok Cik Sepiah.

Apabila Tok Cik Sepiah pulang dari melawat Apek Ikan, dia memberitahu ibuku, " Apek sedang nazak, bila aku pergi melawatnya, matanya sentiasa memandangku dan mulutnya bergerak-gerak seolah-olah meminta aku sesuatu. Aku takut dan segera beredar dari sisinya.

Kata ibuku, " Apa yang Mak Cik takutkan ? "

Jawab Tok Cik Sepiah, " Aku takut melihat matanya seolah-olah meminta aku membimbingnya melafaz Kalimah Syahadah. Kan dia selalu bersembang dengan kita, mulutnya tidak putus-putus sebut ' Laailahailllah '! "

Kata ibuku, " Haa ! Kenapa Mak Cik tak tolong bimbing dia mengucap dah kawantu dah nazak ? "

" Issyy ! Takutlah aku, nanti aku yang bertanggung-jawab nak kata dia Islam, nak kebumikan dia cara Islam. Nak mampus aku kena lawan dengan keluarga dia pula! Itulah, dari dulu orang kampung suruh dia masuk Islam, dia hanya tersenyum sahaja." kata Tok Cik sepiah.

Selang 3 hari dari perbualan itu Apek Ikan meninggal dunia.

Sekarang kisah MJ pulak. Sesiapa yang mengaku tahu dia telah memeluk agama Islam, kenalah bertanggung-jawab menguruskan mayatnya secara Islam.

Tuesday 23 June 2009

Kisah Pelajar-pelajar Luar Negara

Salam Semua !

Mula-mula mak teh nak minta maaf kepada pembaca blog ini kerana buat masa ini mak teh tidak dapat membuat entry setiap hari. Mak teh sentiasa teringat akan adik-adik di rumah yang setiap malam menunggu cerita semasa mengenai kakak-kakak dan abang-abang mereka.

Hari ini kita beri laluan kepada berita untuk adik-adik dirumah dahulu. Malam tadi mak teh beri kepada abang-abang di asrama tu jamuan Pizza. Itu kerana niat mak teh nak berikan mereka makan Pizza sebab anak mak teh dapat masuk UiTM. Selepas berbuka puasa dengan hidangan istimewa mereka dapat pula makan Pizza walaupun hanya seorang sepotong sahaja.

Hari ini anak-anak Tahfiz perempuan tak jadi pergi berenang kerana kolam renang ada kerosakkan. Kesian ! Semalam mereka tidak jadi berkawad kerana hujan. Petang ini anak-anak Tahfiz lelaki bermain bola.

Baru saja aku sedang buat entry ini ada orang SMS bertanyakan mengapa lama tak update. Dia ingin mengetahui kisah selanjutnya pelajar-pelajar dari luar Negara itu. Ok, salah satu sebab mengapa aku tidak update ialah seminggu kami pening menangani hal budak Luar itu. Oleh kerana latar belakang dan budaya mereka berbeza dari kita mereka mengambil masa untuk settle down. Letih dan pening jugalah kami dibuatnya. Pertama mereka jenis cakap tak henti-henti dan mengeluarkan suara yang kuat dan suka berkumpul sesama mereka walaupun Pak haji telah mengasingkan mereka. Kedua mereka lambat atau enggan menerima arahan. Ketiga mereka tidak mahu memakan makanan kita.

Selepas beberapa hari mereka berada bersama kami, aku telah memanggil ibu-ibu mereka. Aku menerangkan kesusahan kami menjaga budak-budak ini dan menyuruh mereka membawa keluar anak mereka ke sekolah lain. Kami menerangkan keadaan dan apa yang telah berlaku. Maka kecewalah ibu-ibu itu lalu merayu agar kami bersabar dan minta diberi peluang kepada anak-anak mereka. Mereka mengaku dan faham apa yang kami komplenkan mengenai anak-anak mereka.

Selepas itu mereka dibenarkan berjumpa anak-anak mereka. Sambil mereka marah, dan memberi amaran kepada anak-anak mereka dalam bahasa mereka dan bahasa Inggeris si ibu menangis. Dapatlah aku faham sikit-sikit butir percakapan mereka. Sambil ibu yang menagis memarahi anaknya ada juga anak yang menangis menerangkan kedudukan mereka. Mereka tidak mahu anak-anak mereka keluar dari sekolah kami dan anak-anak merekapun menyatakan mereka suka tinggal di asrama dan belajar di sekolah kami.

Sebelum ibu-ibu itu pulang aku telah memberi amaran keras akan memanggil mereka ambil anak-anak mereka sekiranya anak-anak itu tidak berubah atau tidak mahu mengikut arahan kami. Kami telah letih dengan kerenah mereka!

Hari-hari seterusnya menampakkan perubahan kelakuan anak-anak pelajar luar itu. ( Kami tidak menyangka mereka boleh berubah begitu cepat! ) Mereka sudah duduk berasingan seperti arahan Pak haji, mereka tidak lagi bercakap kuat-kuat. Mereka juga telah mula memakan makanan yang disediakan dan menggunakan tangan apabila menyuap nasi. Ok, setakat ini mereka di kira masih boleh tinggal dengan kami dan aku tidak akan memanggil ibu mereka untuk membawa mereka keluar. Namun kalau ada apa-apa yang kami dapati sukar mendidik mereka, maka kami tahu apa tidakan seterusnya.

Perubahan anak-anak pelajar luar itu melegakan kami. Aizad sudah senyum semula dan Pak haji sudah tidak tension lagi kerana mereka dan akupun sudah tidak rasa kurang senang terhadap mereka. Laporan dari anak-anak Tahfiz berkata pelajar-pelajar ini sudah mula menyesuaikan diri denagn mereka. Jadi di harap ibubapa janganlah bimbang kerana ada perkara positif dari kehadiran pelajar-pelajar luar ini. Pertama anak-anak kita telah mula bercakap Bahasa Inggeris dengan pelajar-pelajar luar itu dan juga sesama mereka. Kedua anak-anak Tahfiz kita cuba menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar-pelajar luar ini.

Alhamdulillah! Allah SWT telah mempermudahkan urusan kami. Kami menerima anak-anak pelajar luar ini adalah kerana Allah jua. Mereka datang dari jauh berhijrah ke negara kita semata-mata kerana hendakkan anak-anak mereka dapat menuntut ilmu Agama. Mereka telah merayu untuk kami menerima anak-anak mereka, mereka menyifatkan diri mereka sebagai pelarian orang-orang Muhajirin. Maka kami rasa ianya telah menjadi tugas kami untuk membantu mereka yang ingin belajar ilmu Agama keran Allah jua. Maka siapalah kami untuk menolak permintaan itu ?




Anak-anak Tahfiz Puteri di hadapan Asrama mereka




Di hadapan Dorm baru Asrama Puteri





Pak haji telah melawat Kelab Ekuin untuk menyediakan program Ekuin MTAQSA




Aksi seorang penunggang di Kelab Ekuin tersebut

Wednesday 17 June 2009

Kerenah Pelajar-Pelajar Luar Negara

Salam Semua!

Dari pagi mak teh ligat buat perkara-perkara yang perlu dibuat. Mula pergi tengok ibuku yang nak balek ke Kedah. Kemudian pergi pasar, seterusnya masak makanan untuk 10.30 pagi. Kemudian rehat sebentar sambil baca Readers' Digest.

Belum sempat rehat Pak haji panggil sebab Manager syarikat pengeluar mesin basuh datang. Kami buat bayaran deposit 30% untuk membeli mesin basuh itu. Minggu hadapan mereka akan hantar mesin tersebut. Lepas tu kami tak payahlah hantar kain cucian ke kedai dobi.

Esok kami akan bersihkan kawasan porch depan dorm asrama puteri. Insya-Allah anak-anak Tahfiz Puteri akan dapat menggunakan kawasan tersebut untuk solat dan study. Sekarang mereka mempunyai ruang legar, jadi bolehlah mereka bernafas sedikit.

Anak-anak Tahfiz junior pula yang di bawah jagaan Cikgu Wani sudah masuk ke bilik darjah sendiri. Nampaknya sekarang mereka boleh belajar dalam keadaan lebih selesa dan tenteram. Sedikit demi sedikit kami cuba memperbaiki keadaan.

Cerita mengenai pelajar-pelajar dari luar Negara itu ada sesuatu yang menarik. Pada mulanya mereka tidak mahu memakan makanan sarapan dan makanan jam 10.30 pagi yang di sediakan. Kami tidak melayan permintaan mereka untuk keluar membeli makanan yang secocok dengan selera mereka. Mereka mestilah cuba menyesuaikan diri dengan keadaan tempatan. Hari ini 2 orang diantara mereka telah cuba makan mee kuah yang kami hidangkan.

Mengenai penyampaian pelajaran pula kami cakap saja dalam English, Bahasa Arab dan Bahasa Melayu. Kami dapati mereka fasih berbahasa Inggeris, tahu sedikit bahasa Arab ( ada seorang boleh berbahasa Arab Fusoh ) dan hanya tahu beberapa patah perkataan Bahasa Melayu. Kami berpendapat lama-kelamaan mereka akan memahami juga bahasa Melayu. Lagipun mereka bercadang untuk menduduki peperiksaan SPM kelak.

Makanan jam 10.30 kami hari ini ialah mee kuah dam menu makan malam kami ialah ikan bawal sweet n sour, sotong masak chili dan sayur bayam. Makan malam kami besok akan di sedekahkan oleh seorang dermawan. Kenyang lagilah anak-anak Tahfiz kami! Alhamdulillah, itulah rezeki mereka !



Mengajar seorang Pak Cik Memanah




Ceria Bersama kawan-kawan

Tuesday 16 June 2009

Masuk Semester Ke-2

Assalamualaikum!

Rasa lama juga mak teh tak buat entry. Kami terlalu sibuk sejak anak-anak Tahfiz masuk semula hari Sabtu lalu. Pada hari Ahad pula kami menerima masuk 4 orang pelajar-pelajar dari luar Negara. Tak payah nak ceritalah semakin kalutnya kami. Susahlah sedikit nak menjaga anak-anak orang luar berbanding menjaga anak-anak kita sendiri. Kebaikan menerima mereka masuk ke sekolah ini, yang jelas sekali ialah anak-anak Tahfiz terpaksa berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris.

Anak-anak Tahfiz Puteri sudah masuk ke Dorm baru, 16 orang kesemuanya. Agak padat juga Dorm itu tetapi nampaknya Anak-anak Tahfiz Puteri selesa kerana mendapat kemudahan yang lebih baik dari sebelum ini. Tirai berwarna sweet purple yang di dermakan oleh emak Ai cantik menghiasi Dorm baru itu.

Anak-anak Tahfiz lelaki pula nampaknya lebih ceria hari ini kerana coach part-time mereka sudah masuk join sekolah ini sebagai tenaga pengajar tetap. Coach Syah akan bertanggung-jawab mengenai semua aktiviti ko-kurikulum, sukan dan pertandingan-pertandingan sukan. Alhamdulillah! Kemasukan coach Syah ini akan meringankan kerja-kerja yang selama ini di tanggung oleh Cikgu Aizad. Tentunya juga ia akan mempertingkatkan tahap sukan sekolah ini terutama di pertandingan dan kejuaraan tertentu. Kita aim untuk cemerlang dalam kejohanan memanah tahun 2010.

Untuk adik-adik di rumah, malam ini Kakak-kakak dapat makan Pizza ( kami order dari kedai yang kita tak boikot tu ). Sorry, abang-abang tu tak dapat Pizza malam ni. Hari lain kita kasi abang pulak ok ?

Esok Mak teh akan sambung cerita. Maaf hari ini tak sempat nak load gambar-gambar. Tunggulah esok mungkin ada gambar. Bye...

Monday 8 June 2009

Majlis Perkahwinan Meriah

Salam Semua !

Semalam kami pergi majlis perkahwinan 2 pupuku di Damansara Utama. Ibuku yang sedikit uzur kerana baru pulih dari sakit pun pergi juga. Seronok di majlis itu kerana dapat berjumpa dengan ramai saudara mara. Tambahan pula pasangan pengantin agak istimewa. Ada 2 pasang pengantin, yang kakak seorang doktor berkahwin dengan mat saleh Irish, yang adik seorang dental surgeon, berkahwin dengan jejaka Indian muslim. Lupa pula aku nak bertanya apa pekerjaan pasangan mereka. Tetapi aku agak dari bidang yang sama.

Nampaknya dah menjadi antrabangsalah keluarga sepupu ibuku ini yang aku panggil Mak Lang. Mak langpun hasil dari campuran yang unik, ibunya keturunan Melayu Sumatera yang moyang kami berdarah arab. Bapa Mak Lang berketurunan Melayu Thailand. So tak dapatlah aku nak bayangkan bagaimana wajah cucu-cucu Mak Lang nanti. Insya-Allah akan mendapat generasi baru yang comel-comel dan bijak. Namu kami doakan semoga akan menjadi orang-orang yang soleh dan solehah.

Nampak kepuasan dan keceriaan diwajah ibuku kerana telah bertemu kebanyakkan sepupunya yang telah lama beliau tidak bersua. Aku juga berasa begitu kerana telah bertemu pupu-poyang yang kami dulunya adalah satu geng berkawan semasa di kampung.Aku telah bertemu Pak Uneng, Pak Anjang, Mak Long, Mak Cik, Mak Teh, Mak Ndak dan ramai lagi. Apa lagi punya seronok bersembang sampai rasa tak mahu beredar dari majlis itu. Oh ya! makanan yang di hidangkanpun sangat sedap dan memuaskan.

Sekian dulu , terima kasih !

Friday 5 June 2009

Nak Kata Rileks Sangat, Tak Juga !

Salam Semua !

Mak teh masih dirumah, kami belum keluar kemana-mana. Pertama nak menunggu sedikit lagi kerja rennovation yang belum siap. Kedua hujung minggu ni ada suku-sakat dan pupu-poyang nak melangsungkan majlis perkahwinan.

Selain ibuku dan bibiknya, berderet-deretlah juga saudara-mara dari kampung datang menjengah kami di bandar ni. Katanya semua hotel di Shah Alam 'fully booked '. Jadi kami pelawalah sesiapa antara saudara-mara yang tiada tempat tinggal tu menginap di ' hotel ' kami iaitu asrama anak-anak Tahfiz yang balik bercuti.

Pagi tadi dah pergi negotiate harga washing machine komersial tu. Tak dapat lebih murah dari harga pakej yang ditawar. Namun Syarikat itu memberikan kelonggaran bayaran 3 kali bayar. Installation free sebab kami sudah sediakan tapak simennya dan wiring serta plumberingnya. Insya-Allah mereka akan installkan hujung bulan ini apabila kami buat bayaran deposit 30 %.

Semalam pergi runding sebuah rumah untuk disewa sebagai persiapan asrama lelaki ke 2. Tuan rumah mahukan sewanya hampir 2 kali ganda harga pasaran. Maka tak jadilah kami menyewa rumah itu. Untuk menampung pelajar-pelajar tambahan yang akan masuk penggal hadapan, nampaknya bolehlah muat asrama sekarang. Kami berusaha dari sekarang untuk kemasukan tahun hadapan.

Pemohon-pemohon untuk kemsukan tahun 2010, telah mula buat panggilan dan pertanyaan. Kami akan mula memproses permohonan untuk tahun hadapan dalam bulan september selepas peperiksaan UPSR. Namun pemohon yang datang lebih awal untuk didaftarkan sebagai pemohon akan mendapat keutamaan apabila di proses nanti.

Pengumuman : Anak-anak Tahfiz Puteri yang tinggal di kawasan Lembah Kelang bolehlah datang tolong mengemaskan asrama baru Puteri. Sila telefon dulu sebelum datang untuk memastikan tarikh yang sesuai.





Sejambak bunga Cempaka Cina atau Desert Rose dari taman Pak haji untuk peminat blog mak teh.

Tuesday 2 June 2009

Sunyi Luar Biasa

Salam Semua !

Suasana sekeliling terasa sunyi luar biasa. Rumahku yang selalunya penuh dengan penghuni, penuh dengan aktiviti, riuh rendah suara anak-anak Tahfiz mengaji, kini sepi sekali. Rumah jiran sekelilingpun sunyi kerana kebanyakan mereka sudah pergi bercuti.

Dua hari cuti berlalu, terasalah badan rehat sedikit. Apakah aktiviti yang aku akan lakukan ? Mula-mula dah rancang nak pergi bercuti esok. Sudah buat booking dan dapat bilek penginapan di Kuala Trengganu. Pagi tadi kami ambil keputusan batalkan dahulu percutian ke Pantai Timur kerana beberapa perkara. Di antara sebab yang utama ialah pekerja-pekerja masih belum habis membuat kerja-kerja rennovation. Bagaimana kami nak tinggalkan rumah ?

Kawasan yang dibena khas untuk laundry telah siap. Esok Pak haji berjanji hendak pergi berjumpa manager syarikat pengeluar mesin basuh komersial yang kami ingin beli itu. Kami nak putuskan harga mesin itu dan nak buat tempahan. Syarikat itu telah beri sebutharga satu pakej sekali dengan mesin penggering. Rasanya kami tak mampu untuk membeli sebagai satu pakej yang telah di tawarkan itu. Sekarang target kami cuma nak beli sebuah mesin pencuci kain dahulu. Jadi kenalah pergi runding harga baru untuk mesin pencuci sahaja. Mesin penggering itu kami tangguhkan pembeliannya.

Dapur kamipun tidak berasap sangat. Kami tidak lagi masak makanan rehat jam 10.30. Persediaan untuk makan tengah hari dan makan malamp kamipun ala kadar sahaja. Maka dapatlah pembantu yang masih setia denganku itu rileks sedikit. Bolehlah dia melakukan kerja kemas-kemas rumah yang sememangnya di abaikan sewaktu kami terlalu sibuk serta tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi.

Sekian dulu cerita untuk hari ini.




Sekuntum bunga ros dari taman Pak haji untuk peminat blog mak teh

Monday 1 June 2009

Hari Pertama Rileks Sedikit

Salam Semua !

Hari ini di kira hari pertama kami mula bercuti. Aaahh, leganya!! Semalam kami berjumpa ibubapa yang datang mengambil anak-anak mereka pulang bermula dari jam 10.00pagi hinggalah 6.30 petang ( ada break sekejap antara jam 2.30 hingga 5.00 petang ). Bayanglah letihnya kami tak perlu nak cerita. Pada malamnya kami terus terbaring, knocked out!

Pagi tadi selepas subuh buatlah apa yang perlu tak terkejar-kejar. Rasa pula lapar teringin nak makan nasi briyani dan kari kambing kedai mamak dekat tu. Maka pergi beli dan makanlah. Ni dah kenyangpun bolehlah nak rehat dan baca paper sebelum masuk waktu zohor.

Ketenangan mula menjelma apabila kawasan dalam dan luar rumah dikemaskan sedikit demi sedikit. Pembantu-pembantu rumah masuk semula ke bilik mereka. Barang-barang peralatan dapur dan stok makanan di masukkan ke dalan setor baru. Peti ais di letakkan di kawasan dapur tambahan ( rennovated ). Dapur lama nampak lebih luas apabila peti ais dan oven serta barang-barang stok makanan di keluarkan. Nanti nak kemaskan lagi dapur supaya dapat jadikan new dining area. Dining area lama nak kemaskan jadi tempat tv.

Kerja-kerja rennovation belum siap, pekerja sedang membuat tempat khas untuk laundry. Kami akan letakkan mesin pembasuh kain baru, mesin penggering dan ironing board apabila dah beli nanti. Kawasan depan dormpun belum siap. Insyaallah, dalam masa cuti sekolah ini siaplah kesemuanya.

Apabila semua dah di kemas dapatlah lounge yang luas sikit untuk melayan tetamu. Dorm baru akan memuatkan 16 orang. Bilik dan kawasan yang mereka kosongkan akan di beri untuk kegunaan anak-anak Tahfiz junior sementara nak dapatkan sebuah bangunan lagi.

Kami bercadang hendak ke Pantai Timur lusa selepas ibuku selamat sampai dari utara. Kami nak bertemu ibuku dahulu, barulah nak mulakan perjalanan pergi bercuti. Namun cuti kami tak boleh lama sebab hujung minggu ada majlis perkahwinan suku-sakat kami di sini.

Sekian dulu, untuk anak-anak Tahfiz yang sedang bercuti jangan abaikan tugas-tugas yang telah di beri oleh Pak haji dan pesanan guru-guru. Di harap kamu semua dapat bermesra dan bergembira disamping keluarga.

Wassallam !




Bunga-bunga di taman asrama kami