Saturday 24 October 2009

Majlis Perjumpaan Bekas Pelajar SAS

Assalamualaikum!

Maaf! Sudah agak lama mak teh tidak menulis. Rupa-rupanya apabila lama mak teh tidak menulis blog, rasa amat malas nak meninggalkan jejak disini. Alhamdulillah, hari ini hati mak teh terbuka untuk berkata-kata. Banyak cerita yang mak teh nak ceritakan dan banyak juga cerita yang mak teh tidak mahu ceritakan.

Pertama mak teh nak ceritakan keseronokan yang amat mak teh rasakan semalam apabila mak teh menghadiri Majils ' sembang-sembang ' reunion bekas pelajar sekolah mak teh, sebuah sekolah menengah perempuan yang terkenal di bandar Alor Setar tu. Rasanya semua orang kenal sekolah kami ini yang merupakan sekolah perempuan tertua di Malaysia. Hehehe! Jadi apalagi kami yang datangpun kebanyakan warga emas dan berlianlah. Kami berkumpul di sebuah hotel di PJ bermula jam 11.00 pagi hari jumaat lalu.Punyalah seronok semua orang di majlis itu kerana berjumpa kawan-kawan lama hingga suasana menjadi gamat. Apalagi riuh rendahlah berpeluk cium dan punya sembang sakan sampai MC cakappun tak dengar. ( Maaflah cikgu, kami nak buat bising! )

Anyway, majlis di mulakan dengan doa dan ucapan seorang bekas guru besar yang sangat di hormati dan disayangi. Dalam sebak ucapannya dia memberitahu akan 2 orang bekas guru yang telah kembali kerahmatullah. Majlis mendoakan semoga roh mereka di rahmati Allah SWT. Selepas doa kami semua menyanyi lagu ' Warisan ' dan di ikuti dengan lagu sekolah dengan penuh semangat.

Sambil makan dan bersembang tak henti-henti, kami di hiburkan dengan tarian dan nyanyian oleh ahli-ahli persatuan. Bayangkanlah orang-orang lama menyanyi dan menari. Hehehe! Seronoknya kami dapat berjumpa kawan-kawan lama hingga tidak dapat nak mak teh ceritakan. Terasa lebih mesra dan seronok apabila kami dapat memanggil nama kawan-kawan sekelas seperti di zaman persekolahan walaupun mereka sudan ada gelaran, Datuk, Datin, Puan Sri dan sebagainya.

Tahniah mak teh ucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa yang telah menjayakan majlis tersebut. Mak teh harap mereka akan mengadakan majlis sebegini lagi di Lembah Kelang di masa hadapan. Mak teh nak ucapkan " Terima kasih cikgu ! Kami sangat sayang dan terhutang budi pada Cikgu! "

Kepada kawan-kawan sekelas mak teh, rasa kemesraan persahabatan dan kasih sayang tidak berubah seperti semasa kita di zaman persekolahan dari tahun 1964 ( Special Malay Class 1 hingga tahun 1971 ( Upper Six ) dahulu. Semoga persahabatan kita berpanjangan hingga ke akhir hayat. Yang lebih penting sekarang ini, di zaman senja kita ini, dapat membuat bekalan untuk alam yang kekal abadi walaupun apa jua aktiviti kita. Semoga kita di beri taufik dan hidayah dan dirahmatiNYA. Ameen!

2 comments:

  1. salam,

    Memang best dapat jumpa kawan2 lama , yelah masing2 dah berubah wajah dan kehidupan , saya lama dah tak jumpa kawan2 lama , rindu .

    ReplyDelete
  2. Salam Sarina!

    Apabila mak teh tak blog lama, mak teh rindukan kawan-kawan blogger terutama Sarina ! Sepanjang bulan lalu mak teh telah di langgar angin 'puting beliung'. Alhamdulillah sekarang mak teh dan pak haji dah ok. Semunya ada hikmahnya dan adalah ketentuan Allah. Kami redha apa yang berlaku.

    ReplyDelete