Showing posts with label My story. Show all posts
Showing posts with label My story. Show all posts

Tuesday, 29 December 2009

Ilmu Tadika

Assalamualaikum !

Mak teh nak menceritakan kisah ini supaya kita dapat berfikir dan berhibur dengannya. Kisah ini berlaku kira-kira 30 tahun yang lalu di sebuah kampung di Negeri Kedah.

Seorang anak buahku ( kita namakan dia Ali ) sangat cerdik dan mudah mempelajari sesuatu perkara. Semasa dia berumur 5 tahun dia telah di hantar ke sebuah Tadika. Dia amat seronok dapat belajar membaca dan mempelajari perkataan-perkataan baru setiap hari. Suatu hari, di Tadika dia telah belajar bahawa buah nyiur itu di sebut sebagai kelapa dalam bukunya. Sebagai yang umum tahu buah kelapa orang Kedah sebut " Nyiok " Maka berlarilah dia pulang amat teruja untuk memberitahu orang lain perkara baru yang di pelajarinya.

Alkisah Ali ada seorang bapa saudara ( dia panggil Pak Lang ) yang selalu melayan kepetahannya. Mereka berdua selalu buat teka-teki. Jadi pada hari itu, Ali rasa dia akan kenakan Pak Lang dengan sebuah teka-teki. Pada sangkaannya tentu Pak Lang tidak boleh menjawab teka-teki ini.

Ali berkata, " Pak Lang, ini ada satu teka-teki best. Cuba jawab! "

Pak Langpun berlagak kehairanan, " Apakah teka-teki itu. Tentu susah nak jawab ! "

Ali berkata, " Dia bulat. Pokok dia tinggi. Daun dia macam ni, macam ni, ( sambil menggayakan dengan tangannya bentuk daun kelapa ). Ada orang panggil dia kelapa. Buah apa ? "

Pak lang yang hendak tertawa, melenyapkan senyumannya, lalu berpura-pura cemas. " Isy ! Isy ! Isy ! Susah sungguh nak jawab teka-teki ini. Haaa.....Pak Lang tahu, Buah durian !" teka Pak Lang.

Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, Ali berkata, " Bukaaan ! "

Kata Pak Lang lagi, " Buah cempedak....." Maka banyaklah lagi nama buah-buahan tekaan Pak Lang.

Kepada semua jawapan itu Ali menggeleng-gelengkan kepalanya dan berkata " Bukaaan ! "

Akhirnya sambil tersenyum kemenangan Ali berkata, " Buah nyiok !! "

Di kalangan ahli keluarga kami menyimpan kisah ini untuk di ceritakan dan berderailah gelak-tawa mengenangkan telatah si kecil yang petah itu.

Sekarang Ali adalah seorang jurutera dan bekerja sebagai Konsultan Pakar IT dengan pendapatan yang amat lumayan. Alhamdulillah !

Pada masa kini, sesekali Ali menghantar SMS kepadaku nasihat-nasihat agama dari ilmu yang di pelajarinya. Untuk mengeluarkan pendapat dalam perkara-perkara agama sudah tentu Ali memastikan ilmunya tidak secetek ilmu Tadika !

Tuesday, 1 December 2009

Bahasa Ibunda

Assalamualaikum !

Ibuku seorang Melayu, jadi bahasa ibundaku ialah Bahasa Melayu. ( Moyangku pula dari kedua belah ibu dan bapaku adalah campuran dari benua lain ). Namun orang yang sangat berpengaruh keatas kami mengenai bahasa ialah nenek sebelah ibuku. Percakapan nenekku penuh dengan kiasan dan peribahasa. Nasihat dan arahan-arahan selalu di kaitkan dengan cerita-cerita rakyat penuh dengan pedoman dan panduan.

Dari kecil kami dinyanyikan dengan lagu-lagu seperti ini :

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.

Buai laju-laju ,
Sampai balik sana,
Apa dalam baju ,
Sekuntum bunga Cina.

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor,
Apa salah kami,
Lalu tidak tegur.

Cak cekur, udang gamit,
Minta kapur, beri kunyit.

Masak pulut manis,
Santan kelapa muda,
Adik jangan menangis,
Emak nak buat kerja.

Apabila kami sudah besar sudah boleh bermain dengan kanak-kanak lain kami nyanyikan lagu-lagu seperti berikut :

Sik, sik, batang pinang,
Siapa bisik dia nak tunang!

( Macam-macam lagi lagu seperti dalam film P. Ramlee tu kami nyanyikan. Tak tahulah kami terpengaruh dengan P. Ramlee atau dia yang menceduk dari kami. )

Meningkat umur remaja sudah banyak cerita rakyat yang kami tahu, seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Nakhoda Tenggang, Bawang Putih Bawang Merah dan Batu Belah Batu Bertangkup. Penggunaan Bahasa seharian kami berbunga dan berperibahasa, subur dan meluas.

Kami tahu siapa dia di dalam kampung kami yang di gelar " tangkai jering " dan kenapa. Kami tahu siapa yang " hidung belang " dan siapa yang " mata keranjang"! Kami tahu siapa yang " kaki bangku " dan siapa pula yang " kaki wayang ". Kami tahu perbezaan " kaki lima " dan " buku lima ". Kami juga tahu siapa yang " buku bertemu ruas ". Kamai juga tahu pasangan pengantin mana yang di katakan seperti " pinang di belah dua ".

Jadi amat hairanlah aku, apabila aku mengajar matapelajaran Bahasa Melayu, anak-anak muridku tidak pernah dengar peribahasa digunakan di rumah. Akupun telah berkata kepada mereka, " Balik rumah gunakanlah peribahasa ini dalam percakapan seharian ! Kalau emak tak tahu peribahasa ini ajarkan emak ! "

Wahai ibubapa muda ( anak-anak masih kecil ) bertuturlah dengan anak-anak menggunakan Bahasa Ibunda, jangan asyik nak cakap bahasa orang putih saja dengan anak-anak. Nanti orang lain dapat Matapelajaran Bahasa Melayu SPM A1, anak kita belum tentu boleh lulus! Ha! Siapa yang malu ?

Apabila anak-anak dah masuk sekolah menengah bolehlah bertutur dalam bahasa kedua atau ketiga, tiada masaalah.

Thursday, 26 November 2009

Perjumpaan Keluarga Besar Satu Moyang

Assalamualaikum !

Apa rancangan mak teh untuk cuti Hari Raya Aidil Adha ?

Sekolah kami bercuti 4 hari ( Hari khamis hingga Ahad ). Pada Hari raya ke 2, Aidil Adha keluarga besar sebelah ibuku akan mengadakan perjumpaan keluarga. Hatiku ingin balik turut serta tetapi keadaan mungkin tidak mengizinkan. Maka akupun telah berdoa kepada Allah demi sillaturrahim, kalau elok aku balik menyertai perjumpaan itu, izinkanlah aku balik.

Dari pihak keluarga ibuku, nampaknya ramai yang tidak dapat hadir ( macam-macam sebab, abang sulungku dah meninggal, abang ke2 sedang menunaikan ibadah Haji, kakakku, anak-anak tak dapat cuti, adikku, anak sedang SPM dan seorang lagi adik sedang dlam kesibukan bekerja ).

Kalau dipanjangkan umur ibuku yang merupakan anak tunggal nenekku akan turut serta perhimpunan itu. Insya-Allah, ibuku akan menjadi the Star or the gathering sebab dia adalah waris yang tertua masih hidup dari keturunan moyang kami Haji Salleh dan Umi kalsom.

Kepada sepupu- sepupu ibuku yang seangkatan sepermainan denganku pada zaman kita muda-muda dahulu, aku masih merindui kalian. Jadi, Pak Uneng, Mak Tam, Mak Long Nor, Pak Anjang, Mak Andak Solehah, Mak lang, Mak Cik Zah, sorilah kalau kami tak dapat balik. Kita hanya merancang Allah yang menentukan!

Kepada saudara-saudaraku dari satu moyang, bersyukurlah kita semua diatas kejayaan anak cucu Haji Salleh ! Janganlah kita mengukur kejayaan itu dari segi keduniaan sahaja. Akhir kata, berilah nasihat kepada anak-anak cucu kita agar mereka sedar dan beringat-ingat bahawa kita adalah dari keturunan orang alim, tok guru, pendakwah dan ketua masyarakat. Oleh itu hendaklah segala tindak-tanduk kita mengembirakan arwah nenek moyang kita tersebut. Walaupun kata orang, keimanan & ketakwaan tidak boleh di peturunkan, kita mengharapkan berkat doa tok-nenek kita untuk anak-cucu mereka, kita semua menjadi orang yang beriman dan bertakwa.

Semoga kita semua di rahmati Allah SWT. Ameen!

Sekian, Wassalam !

Thursday, 19 November 2009

Ibadah Haji

Assalamualaikum !

Khabarnya hari ini abangku akan berangkat bersama isterinya ke Tanah Suci untuk menunaikan Ibadah Haji. Mereka akan terbang dari Alor Setar ke Subang naik kelip-kelip dan akan di tempatkan di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya sebelum berangkat malam nanti. Aku bercadang untuk menjenguk mereka di Kelana Jaya sebelum mereka berangkat ke KLIA.

Ini adalah kali kedua bagi abangku menunaikan ibadah Haji. Beberapa tahun yang lalu dia telah pergi bersendirian tanpa isteri. Kali ini lebih kepada untuk menemani isterinya. Aku doakan mereka selamat pergi dan kembali. Semoga mereka mendapat Haji Mabrur !

Bercakap pasal haji, terkenang juga kisah aku dan Pak haji menunaikan ibadah itu 20 tahun yang lalu. Masa itu kami masih muda, umurku baru 37 tahun dan Pak haji 43 tahun. Bagaimana pula kami tergerak hati untuk menunaikan ibadah haji sewaktu umur masih muda ? Padahal masa itu kami bertungkuslumus dalam hal-hal duniawi.( pada zaman itu agak kurang orang menunaikan haji di umur muda ) Ceritanya panjang, cuma bolehlah dipendekkan kepada Taufik Hidayah dari Allah SWT. Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang telah merahmati kami dengan menarik perhatian kami ke hala agama.

Alhamdulillah! Berkat menuanaikan Haji di umur muda, kami dapat memperbaiki diri dalam menjalankan kehidupan seharian. Sejak itu kami lebih cenderung ke jalan agama. Perjalanan hidup kami itu, kalau di umpamakan membawa kereta, kami beloklah sedikit, tidaklah koner baring.

Seronoknya melakukan ibadah Haji sewaktu muda kerana badan kita masih kuat dan sihat. Kesihatan yang baik dan tenaga atau kudrat orang muda, membantu kami melaksanakan ibadah tersebut dengan rancak dan sempurna.

Maka dari pengalamanku itu, mak teh sarankan kepada adik-adik yang masih muda, pergilah menunaikan umrah dan Haji semasa umur masih muda. Insya-Allah ia akan memantapkan keimanan anda dan anda akan mendapat panduan dan pegangan hidup yang kukuh di umur yang masih muda.

Jika di pandang ke belakang, aku amat bersyukur telah melakukan Ibadah Haji. Kalau kami hendak melakukannya sekarang, mungkin kesihatan atau keewangan akan jadi penghalang.

Alhamdulillah !

Sunday, 8 November 2009

Wahai Ibu

Assalamualaikum !

Semalam kami pergi tengok Dr Farah, anak bisan baru melahirhankan anak ke duanya. Alhamdulillah, bayi perempuan itu comel dan sihat. Setelah bertanya khabar, aku mengangkat bayi. Sudah lama aku tak pegang baby jadi aku cubalah teka weight bayi itu. " Tak sampai 3 kg " kataku.

Si ibu tersenyum sambil berkata " 2.95 Kg " . Hehe ! pandai juga aku mengagak !

Sambil berbual dengan Si ibu, aku terkenang peristiwa aku mengandung 10 kali dan melahirkan 9 orang anak. Satu kandungan keguguran. Kalau aku buat flashback semua saat-saat melahirkan amat jelas terpahat dalam memoriku, tetapi malaslah nak mengenangkan kembali setiap detik itu. Ia adalah seperti melihat sebuah filem suspense, pernafasanku akan terasa sesak kembali. Akan terbayang juga muka Dr. Mc Coy yang telah menjadi hero dalam filem-filem tersebut. Alhamdulillah kesemua anak-anakku telah di lahirkan secara normal tanpa pill induce dan tanpa menggunakan banyak drugs sewaktu saat-saat genting.

" Anti passlah pengalaman anti dan beri nasihat pada ... ( adiknya, menantuku yang due date bersalinnya tak lama lagi )" kata Dr. Farah.

" Anti tak mahu banyak cerita, nanti takut pulak dia! " memang susah juga aku nak cakapkan hal-hal seperti itu pada menanatu.

Anyway, balik dari hospital, dengan tidak sengaja aku terbayang semua peristiwa yang berlalu. Tak dapat tidak di samping saat-saat kebahgiaan, ada juga terkenang saat-saat yang memilukan. Susah payah mengandung, melahirkan, membesarkan, mendidik, menyekolahkan anak-anak hanya tinggal dalam kenangan sendiri. Tidak dapat di perkatakan setiap butirnya.

Sekarang aku faham perasaan seorang ibu. Si ibu akan mudah berasa sayu atas perkara-perkara ( kadang-kadang nampak kecil )yang berlaku diantarnya dengan anak-anak tanpa dapat menyatakan kepada anak-anak perkara itu. Si ibu akan terasa terguris di dalam hatinya, namun menyedari peranannya sebagai ibu akan memaafkan segala kesilapan anak-anaknya. Di samping itu Si ibu akan selalu mendoakan kebahgiaan, keselamatan dan kejayaan anak-anaknya.

Aku juga selalu terkenang pada ibuku yang telah banyak berbuat jasa kepada kami. ( Ibu telah membesarkan 9 orang anak sebagai seorang ibu tunggal kerana ayahku meninggal dunia semasa kami masih kecil ) Ibuku yang sekarang udzur kerana usia yang lanjut sedang berada di rumahnya di kampung. Aku tidak dapat selalu menjenguknya. Aku hanya sentiasa berdoa akan kesejahteraannya dan semoga Allah mengampunkan segala dosanya.

Bak kata pepatah , " Seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. " Semoga ibuku memaafkan dosa-dosaku terhadapnya dan sentiasa mendoakan kebaikkan terhadapku. Ameen !

Syurga itu di bawah tapak kaki ibu !

Wahai ibu aku juga mengimpikan syurga !

Sekian , Wassalam !

Wednesday, 1 July 2009

Tetamu Istimewa

Salam Semua !

Semalam sehari suntuk mak teh sangat sibuk. Apa yang mak teh buat dah tak ingat. Yang ingat ada 2 perkara penting telah berlaku. Pertama, ada tetamu dari jauh datang berkunjung ke rumah mak teh. Siapakah tetamu istimewa yang datang tu ? Haa, tak lain tak bukan bloggermate mak teh Puan Neeza sekeluarga !

Tetamu sampai dirumah mak teh selepas tengah hari. Oleh kerana sejak dah lama Neeza mengidam nak makan koay teow mak teh, maka mak tehpun sediakanlah untuknya. Namun tak jadi sedap manapun sebab terlalu nak buat yang sedap sangat hingga ada bahan yang mak teh terlupa masukkan. Alhamdulillah, tetamu yang pandai ambil hati berkata " sedap ! " Takpalah pasal makan itu. Kami bersembang lama juga sebab ada bersama OO dan turut serta bersama Neeza lagi seorang bloggermate PB. Anak-anak Neeza yang comel-comel tu macam selesa saja bermain di rumah mak teh. Hampir asar barulah mereka beredar. ( Terima kasih Neeza kerana sudi datang ke rumah mak teh )

Selepas itu mak teh berehat sebentar. Selepas maghrib anak mak teh datang untuk dinner. Jam 9.30 kami bertolak ke airport KLIA untuk menjemput anakku Yanna pulang dari Mesir. Alhamdulillah, Yanna selamat sampai dan kami tiba di rumah jam 12.00 malam.

Petang tadi anak-anak Tahfiz telah membuat latihan kawad sesama mereka untuk memantapkan kawad beruniform mereka hari Ahad depan. Sesiapa dari kalangan ibubapa dan keluarga yang ingin menyaksikannya sila datang jam 5.00 petang Ahad ini. Pasti anda akan teruja melihat aksi kawad mereka. Kalau semasa mula daftar di MTAQSA dulu anak anda lembek sekarang anda akan kagum melihat anak anda yang tough dan kebolehan berkawad.

Esok petang anak-anak Tahfiz Ting 3 akan ke Kelab Ekuin. Latihan asas mereka mengenai pengurusan kuda akan bermula esok. Bagi latihan asas semua pelajar Ting 3 akan di dedahkan kepada aktiviti Ekuin. Namun untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi hanya pelajar-pelajar yang berminat sahaja akan dipilih. Perbelanjaan untuk aktiviti berkuda adalah mahal. Maka kami akan mendapatkan bantuan Majlis Ekuin Negara dari segi menampung sebahgian kosnya.

Apa yang mak teh dengar tu ? Adik-adik ingin naik kuda juga ? Boleh je, nantilah bila MTAQSA membuka stable ( kandang ) kudanya sendiri, adik-adik boleh turut serta mendaftarkan diri sebagai ahli kelab Ekuin MTAQSA.

Menu kami hari ini ialah daging masak kicap, kentang goreng ikan bilis dan sayur kangkong. Minuman sirap oren.



Aizad sedang menunggang kuda di Kelab Ekuin ( walaupun gambar menunjukkan Aizad berkuda, orang yang akan menjadi Stable Manager dan Instructor di Kelab Ekuin MTAQSA nanti adalah Huda adik kepada Aizad )

Saturday, 27 June 2009

Islamkah Dia ?

Salam Semua !

Pagi semalam Aizad buat announcement kepada the girls mengenai kematian penghibur terkenal Michael Jackson. Personally mak teh tak terasa sangat atas berita itu cuma kesian je kepada MJ kehidupannya tidaklah begitu bahagia. Lepastu teringat juga kalau berita dia memeluk agama Islam itu betul, siapa akan mengambil tanggung-jawab nak uruskan pengkebumiannya secara Islam.

Berkaitan dengan cerita ini aku teringat kisah seseorang di kampungku. Ada seorang lelaki Cina penjual ikan, suka sangat beramah-mesra dengan orang-orang kampung. Apabila berbual dan bergurau senda dengan sahabat-sahabat Melayu, dia suka melafazkan, " Laailahaillallah! ". Maka suatu hari dia jatuh sakit, kawan-kawan Melayu diapun pergi melawatnya termasuklah saudaraku Tok Cik Sepiah.

Apabila Tok Cik Sepiah pulang dari melawat Apek Ikan, dia memberitahu ibuku, " Apek sedang nazak, bila aku pergi melawatnya, matanya sentiasa memandangku dan mulutnya bergerak-gerak seolah-olah meminta aku sesuatu. Aku takut dan segera beredar dari sisinya.

Kata ibuku, " Apa yang Mak Cik takutkan ? "

Jawab Tok Cik Sepiah, " Aku takut melihat matanya seolah-olah meminta aku membimbingnya melafaz Kalimah Syahadah. Kan dia selalu bersembang dengan kita, mulutnya tidak putus-putus sebut ' Laailahailllah '! "

Kata ibuku, " Haa ! Kenapa Mak Cik tak tolong bimbing dia mengucap dah kawantu dah nazak ? "

" Issyy ! Takutlah aku, nanti aku yang bertanggung-jawab nak kata dia Islam, nak kebumikan dia cara Islam. Nak mampus aku kena lawan dengan keluarga dia pula! Itulah, dari dulu orang kampung suruh dia masuk Islam, dia hanya tersenyum sahaja." kata Tok Cik sepiah.

Selang 3 hari dari perbualan itu Apek Ikan meninggal dunia.

Sekarang kisah MJ pulak. Sesiapa yang mengaku tahu dia telah memeluk agama Islam, kenalah bertanggung-jawab menguruskan mayatnya secara Islam.

Sunday, 3 May 2009

DipermudahkanNya

Salam semua!

Hari ini aku telah pergi ke pasar awal pagi untuk membeli 6 ekor ayam segar, 2.5 kilo udang dan 1.5 kilo kacang buncis. Bahan-bahan ini adalah untuk memasak makanan tengah hari ini untuk anak-anak Tahfiz kami. Menunya ialah ayam goreng bersalut tepung berempah spesial, sayur kacang buncis masak lemak kuning bercampur udang segar saiz sedang dan sambal belacan. Masakan hari ini adalah sedekah dari kakakku kerana kesyukuran. Alhamdulillah selamat semuanya !

Begitulah selalunya ada-ada saja orang yang datang bersedekah kepada kami kerana bersyukur di atas sesuatu perkara. Ada juga datang memberi sedekah atau derma ikhlas kerana merasakan amat bersyukur diatas rezeki yang di kurniakan Allah SWT kepada mereka. Alhamdulillah kami amat bersyukur menerima bantuan walaupun sebanyak mana. Maha Kaya Allah SWT segala rezeki adalah dariNYA.

Pagi ini anak-anak Ting 2 & 3 telah pergi ke Majlis Sepagi Bersama Nik Nur Madihah di Perpustakaan Negeri dari 8.30 hingga 11.30 pagi. Apabila mereka pulang dari sesi itu aku telah berkata kepada mereka, " Pada tahun 2012 nanti nama yang mengganti Nik Nur Madihah hendaklah salah seorang dari kamu "

Tersenyum mereka mendengarnya seraya menyambut, " Insya-Allah! "

Melihat dari wajah mereka yang menampakkan keazaman dan keyakinan aku rasa perkara itu tidak mustahil.

Di persekitaran rumahku amatlah bersepah-sepah. Ini disebabkan pengubahsuaian yang sedang kami lakukan belum siap. Kami tambah " wing " di sisi rumahku untuk menempatkan Asrama Puteri. Nampanya lagi 1 minggu siaplah bahagian ini. Emak Ai sudah datang mengambil ukuran untuk menempah tirai tingkap-tingkap yang ada. Keluarganya yang akan sedekahkan tirai itu kepada Asrama Puteri. Emak As pula akan memanggil kontraktornya untuk memasangkan besi tirai itu. Khabarnya bapa Adz akan menanggung kos mengecat dinding. Dengan ada pertolongan-pertolongan sebegini ringanlah sedikit tanggungan kami. Alhamdulillah semuanya rahmat dari Allah!





Tersenyum gembira. Anak siapa ni?






Tekun menulis Al-Quran selepas solat asar

Friday, 24 April 2009

Ada Kematian Dan Kawan Lama

Salam semua!

Hari ini keletihan yang amat sangat. Hampir maghrib baru sampai rumah dari K.L. Aku pergi ke PWTC siang tadi untuk melakukan dua perkara, sambil selam sambil minum air. Pertama aku nak pergi beli beberapa buah buku yang aku tak sempat beli hari yang kami pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Sabtu lalu. Kedua aku nak jumpa kawan lama aku Datuk K ( tidak ada kena mengena dengan orang lain punye Datuk K ).

Apabila anak-anak Tahfiz Puteri dengar aku nak ke PWTC, merekapun merayu nak ikut sama. Mereka menyatakan ada beberapa buku yang mereka tak sempat beli hari itu. Kami bertolak jam 3.00 pm dan sampai jam 4.00 pm. Aku terus pergi mencari buku yang aku hendak beli sambil membeli 3 naskah bukuku yang nampaknya ada beberapa naskah sahaja lagi. Kemudian aku mendapat panggilan dari Datuk K memberitahu dia sedang menungguku di Riverside Cafe.

Sebaik bertemu kawan lamaku ini, kamipun berpeluk-pelukan ( kami sama-sama perempuanlah ! Hehehe ). Memang rindu sangat dan suka sangat dapat bertemu kawan lama. Di kampus dulu, Datuk K macam aku juga naik motor kesana kemari. Apa lagi bertemu kawan seperjuangan yang dah lama sangat tak jumpa ( hampir 30 tahun kami tak pernah berjumpa, telefon pernah le masa dulu-dulu dah lama dah kami tak berhubung )maka bersembanglah kami mengenai segala perkara.

Punya seronok bersembang tak rasapun jam dah 5.30 p.m. Tadi dah janji nak jumpa anak-anak yang mengekor tu jam 5.30 untuk pulang. So akupun minta diri untuk berpisah dengan sahabatku itu. Ok, it was a pleasant meeting, Datuk belanja minum dan makan kami tadi dan aku telah hadiahkan dia senaskah bukuku. Aku harap dia ada masa nak membacanya.

Eh, bukan sebab tu saja yang mak teh menjadi letih. Awal pagi bangun jam 4.00. Bersiap untuk ke Masjid Negeri membawa bersama anak-anak Tahfiz kami. Solat subuh berjemaah di masjid disubuh Jumaat di kira sangat spesial sebab ada sujud Sajaddah. ( Dulu mak teh dah pernah tuliskan mengenai sujud sajaddah ).

Selesai solat subuh kami ke rumah seorang jiran kerana ibunya telah meninggal dunia semalam. Anak-anak Tahfiz membaca Yassin dan Tahlil untuk arwah. Sejuk hati melihat dan mendengar anak-anak Tahfiz kami membaca sebagai sumbangan mereka kepada masyarakat. ( sebelum kami buka sekolah ini kalau nak mencari orang untuk bertahlil agak susah )

Selepas itu aku menyuarakan kepada tuan rumah yang aku boleh membantu cari caterer menyediakan makanan untuk ahli keluarga dia yang ramai datang dari jauh. Malangnya apabila aku kontek caterer tidak ada yang sanggup nak menyediakan makanan itu dalam masa yang begitu singkat. Jadi tanpa lengah aku terus ke pasar. Akhirnya aku dan pembantu memasakkan separu makanan itu dan jiran sebelah rumahku yang baik hati memasakkan sebahgian besar dari menu yang kami sediakan. Jam 11.30 makanan tersebut telah kami hantrkan kerumah jiran sebelah rumah yang ada kematian itu.

Itulah cara kami berjiran kawasan kami ini, apabila ada kematian jiran-jiran akan membantu menyediakan makanan dan makanan itu akan di hidangkan di rumah jiran sebelah. Setidak-tidaknya tuan rumah diringankan bebannya untuk memikirkan hal makanan dan saudara-mara yang datang berkunjung tidak kelaparan setelah pulang dari pengkebumian. ( Setahu aku ada larangan memasak dan memakan di rumah orang yang ada kematian )

Alhamdulillah ! Semuanya berjalan dengan baik hari ini. Aku rasa bahagia walaupun sangat keletihan kerana kami dapat menyumbangkan sedikit tenaga dan dapat memainkan peranan dalam masyarakat. Ameen!



Sejambak bunga untuk kawanku Datuk K....( Ni bunga Pak Haji tanam di taman Asrama )





Anak-anak Tahfiz semasa ada jamuan di rumahku






Anak-anak Tahfiz Puteri di malam jamuan di rumahku

Wednesday, 22 April 2009

Habis Licin Semuanya !

Salam Semua!

Semalam mak teh sudah beli bahan nak buat laksa untuk makanan rehat jam 10.30 anak-anak Tahfiz. Kebanyakkan bahan-bahan untuk menbuat laksa seperti bihun laksa 24 peket 500 gm, ikan kembung 3.5 kg, timun, daun salad, daun kesum, kunyit hidup, serai, lengkuas dan limau kasturi sudah di beli semalam.

Jadi pagi tadi mak teh pergi ke pasar untuk membeli santan segar, satu lagi bahan penting untuk membuat laksa. Mungkin ada yang bertanya, " Laksa apa ni pakai santan ? "

Haa! mak teh nak masak laksa Kedah kuah lemak, yang mana lebih sedap kalau pakai santan segar. Kami jarang-jarang sajikan menu laksa ini kepada anak-anak Tahfiz kerana pembantuku kata ianya kerja yang leceh. Dia merungut kerana banyak bahan yang perlu disediakannya. Kuahnya akulah yang kena masakkan, pembantu tak berani nak buat kuah laksa ini. Kalau aku suruh juga dia buat dia akan berkata, " Tak mahu nanti tak sedap ibu marah!" Begitulah juga untuk masakan jenis berkuah yang lainpun akulah yang terpaksa menyinsing lengan baju.

Nasib baik hari ini kelas aku bermula jam 11.00pagi. So sempatlah aku memasak kuah laksa yang istimewa ini. Sementara kuah nak mendidih, bau semerbak menjalar hingga ke porch rumah di mana anak-anak Tahfiz junior sedang belajar. Oleh kerana rehat mereka jam 9.30 masuklah Ilai Ketua Pengawas Junior, bertanyakan apa yang kami sedang masak. Kesian! dah laparlah tu, jam 9.45 barulah makanan untuk mereka di hidangkan.

( Warning : Read this at your own risk!....Harap orang yang membaca kisah ini yang di Jordan, Cairo, Cardiff dan lain-lain tempat tidaklah terlalu kecur airliur hingga termimpi-mimpi nak makan laksa pula )

Aku sampai di sekolah jam 10.30, anak-anak Tahfiz sedang beratur untuk mengambil makanan mereka. Seperti biasa akupun berpesan jangan ambil berlebih-lebihan. Beberapa minit kemudian, sedang aku duduk berbual dengan guru-guru datanglah seorang anak Tahfiz melaporkan, " Mak Aji! makanan tidak cukup! Habis licin semuanya ! " Ini laporan yang biasa aku dengar kalau buat hidagan yang istimewa sikit.

" Berapa orang tak dapat? " tanyaku

" 4 orang termasuk saya. Bihun laksa ada sikit, kuah dah habis!" katanya.

Kasihan! Bukan makanan tak cukup, aku dah lebihkan semasa mengira masuk dalam bekas tadi. Ada yang ambil berlebihanlah tu. Selalunya begitulah jadinya. " Ambil laksa itu dan pergi pada kawan-kawan yang mangkuknya bergenang dengan kuah. Pergi syer dengan mereka. Mereka yang ambil bahagian kamu." kataku.

Waktu rehat sudah hampir tamat lalu aku melangkah nak pergi ke kelas. Sambil itu aku menjenguk tong-tong makanan tadi. Memang betul habis licin semuanya. Mereka yang lapur tak dapat tadi sedang makan bersama kawan-kawan lain.

" Sedaplah Mak Aji ! Rasa nak lagi! " kata salah seorang dari mereka.

Aku tersenyum, " Boleh! Nanti kita buka katin noo.....! Siapa yang nak lebih boleh beli lagi semangkuk! hehehe ...." .

Aku masih tersenyum sambil menapak anak-anak tangga naik ke kelas di tingkat 3. Aku merasakan sesuatu kepuasan, rasa berbaloi bertungkus-lumus menyediakan makanan untuk mereka setiap hari.




Sedang tekun belajar dalam kelas

Monday, 20 April 2009

Cerita Biasa-biasa Sahaja

Salam semua!

Hari ini hari Isnin, seperti biasa anak-anak Tahfiz berpuasa sunat. Tiap kali mereka berpusa sunat pening juga kepalaku memikirkan apakah juadah istimewa untuk mereka berbuka nanti. Fikir punya fikir hari ini mak teh buatkan mereka mee kuah muar. Air untuk berbuka pula kami sediakan sirap bandung. Dah kira ok lah tu!

Aku sudah peka, tiap kali hari berpuasa sunat ada-ada saja anak tahfiz lelaki yang jatuh sakit. Bila di selidik, mereka ini sebenarnya yang malas bangun makan sahur. Jadi di siang hari orang lain berpuasa mereka akan demam atau sakit kepala dan sebagainya. Pagi tadi ada seorang yang mengadu lelah kami bawakan ke kelinik. Pada luarannya aku tengok dia tak apa-apapun. Kadang-kadang masa-masa beginilah aku mendambakan seorang doktor di kalangan kami. ( Kami menanti Dr. Lia pulang )

Mungkin anda masih ingat di tahun lalu aku ada menceritakan kisah seorang anak tahfiz yang pada mula masuk sekolah kami selalu mengatakan " Kamek nak balik! " . Selama 2 bulan pertama dia bersama kami hampir setiap hari dia berkata begitu kepadaku. Selepas itu dia tidak mengadu mahu balik ke kampungnya lagi.

Alhamdulillah, sekarang ini anak itu sudah dalam Tingkatan 2. Hafazan Al-Qurannya walaupun lambat sedikit dia telah berjaya menghafaz beberapa juzu'. Pencapaiannya dalam matapelajaran akademik adalah baik dan dalam matapelajara agama boleh dikatakan ok. Tetapi apa yang membanggakan kami seni tulisan khatnya amat berpotensi. Ibubapanya yang sangat bangga di atas pencapaiannya akan membawanya melakukan ibadah umrah bulan hadapan.





" Hey Kapten Izz ! Kamu nak belayar balik Sarawakkah? " Jawab Izz, " Tidak, kamek suka tinggal sini! " Inilah orangnya dulu cakap " Kamek nak balik!"





Pokok bunga di dalam kawasan asrama... hasil peluh Pak haji dan Anak-anak Tahfiz





Ini adalah usaha dan kebanggaan Pak haji





Sebuah bas idaman kami ( gambar hiasan sahaja )

Friday, 10 April 2009

Celoteh Di Pagi Jumaat

Hari ini pagi Jumaat, cuaca terang-benderang setakat pagi ini lah. Mungkin juga panas tidak akan sampai ke petang, hujan turun di tengah hari. Ada orang mungkin sedang meraikan kemenangannya, ada orang mungkin baru naik pangkat. Tetapi kalaulah mereka jenis beringat, apa yang mereka baru dapat ini hanyalah sementara.

Mak teh ada kaum puak yang naik pangkat bukan mainlah tinggi. Masa mula nak naik pangkat tu mereka perlulah kehadiran mak teh dan Pak haji, tetapi selepas itu kami langsung di pinggirkan. Dengar kata kerana Pak haji suka pakai ketayap putih dan menyimpan janggut. Kemungkinan cara penampilan begini merosakan majlis mereka.

Maka sudah lamalah kami tidak nampak kelibat mereka yang dah tinggi kedudukan ini. Malahan masa Pak haji sakit bertarung nyawapun aku tidak nampak kelibat mereka. kalaulah selepas ini mereka turun pangkat ada kemungkinankah mereka mahu berkawan semula dengan kami? Dibuatnya pula kalau kami yang naik pangkat. Hehe! macam mana? Kami tak kawan nanti mereka kata kami sombong. Hai, susah juga ni! tambahan pula Pak haji tak suka berkroni-kroni, tentulah akan dicap sebagai sombong. Hehehe! Acah aje kami tak minat politikpun!

Petang semalam, semasa cuaca amat gelap macam nak hujan ribut aku teringat pada Mak Long.( Mak Long ialah isteri Pak Long sepupu emak. Walaupun dia 7 tahun lebih senior dari aku, kami telah lama menjadi kawan baik ).

Lalu aku call dia, " Assalamualaiku Mak Long ! "

" Waalaikumusalam! Oh, ..... ( nama yang dia panggil aku )"

" Sana hujankah? "

" Baru gelap, hujan belum turun "

" You tinggal dengan sapa?"

" Soranglah !"

" You dok buat apa?"

" Dengar lagu-lagu kelasik "

Kesian Mak Long dia tinggal sorang di rumahnya di P.J. sejak Pak Long meninggal dunia 2 tahun yang lalu. Dia tidak suka keluar rumah. Kalau aku ajak datang ke rumahku dia tak mahu. Kalau anak-anak ajak dia pergi kerumah mereka, dia hanya mahu pergi waktu mereka memerlukannya sahaja. Selain dari itu dia sanggup tinggal di rumahnya bersendirian.

Hobi Mak Long ialah mendengar lagu-lagu kelasik dari radio, main sudoku baca surat khabar, menonton tv dan kemas rumah. Dia tidak suka keluar shopping, tak suka baca buku dan tak keluar ke mana-mana dan dia juga tak tahu nak berblogging. Dia suka nak menziarah saudara-mara tetapi dia tidak boleh berbuat demikian. Walaupun Mak Long tahu memandu dia tidak tahu jalan, maksudku dia tidak tahu the route ke sesuatu tempat dan jalan untuk pulang.

Setiap kali cuaca bertukar gelap dan hujan turun aku akan teringat akan Mak Long. Mak long tidak suka pada cuaca mendung yang akan membuatkan dia murung dan resah. Walaupun Mak Long suka tinggal bersendirian dirumahnya kalau kami tidak datang menjengukuya sekali dalam seminggu, dia akan merasa kesepian dan adakala darah tingginya akan naik memuncak. Kami tidak dapat selalu menjenguk Mak Long kerana kami sangat sibuk sejak membuka sekolah.

Aku hanya dapat berkata, " Kesian Mak Long!"

Tuesday, 7 April 2009

Hadiah Tasbih Bilangan Seribu

Assalamualaikum!

Sekarang ini musim orang pergi menunaikan Umrah. Di kalangan pelajar-pelajar kami sahaja 4 orang telah pergi dan 2 orang lagi akan berangkat tidak lama lagi. Daripada 3 orang yang dah kembali itu mak teh dan Pak haji mendapat berbagai cenderahati. Ada satu hadiah yang mak teh agak tergamam menerimanya ialah tasbih bilangan 1000. Pak haji juga menerima sekalung tasbih bilangan seribu itu.

Pak haji tersenyum menerima hadiah tersebut dan cuba menggunakannya. Aku pula belum berani memegang tasbih itu kerana tidak percaya aku mampu berzikir bilangan 1000 dalam masa sekali duduk ataupun sekali baring pasti aku akan terlena. Aku amat berbesar hati menerim hadiah itu tetapi ia masih tersimpan di dalam almari buku.

Aku tahu berzikir itu amat digalakkan kerana pahala dan fadilatnya amat besar. Setakat ini aku hanya berani menggunakan tasbih biasa bilangan 100. Itupun kalau aku berzikir sambil berbaring sebelum tidur, maka cepatlah aku tertidur dengan tasbih ditangan dan mimpi-mimpi menarik segera membuaikan tidurku.

Kalau di fikirkan berzikir amatlah mudah dilakukan tetapi kenapa berat mulut kita untuk melakukannya. Kalau kita lakukannya dari umur yang masih muda maka dengan tidak kita sedari kita mula mengutip pahala-pahala yang amat mudah diperolehi. Apa yang kita kutip ini akan kekal hak milik kita hingga ke akhirat nanti.

Aku telah melalui zaman muda, mengutip macam-macam benda material. Aku telah mengumpul barang-barang kemas dan exccessories, aku telah mengutip barang-barang antiq, batu-batu berharga semi-precious stones, siput-siput laut, dan macam-macam lagi. Namun selepas beberapa lama minat aku terhadap barang-barang itu hilang dan aku tidak mengahargainya lagi. Selalunya barang-barang itupun turut hilang juga apabila minatku terhadapnya hilang. Kesimpulannya aku tidak mendapat apa-apa faedah dari perbuatn aku mengumpul barang-barang material itu.

Kalaulah masa muda dahulu lagi aku banyak beribadah, banyak berzikir, banyak bersedekah tentulah pahala amalan-amalan itu sudah membukit. Pada hari ini umur aku dan yang mereka yang seangkatan dengan aku boleh dikatakan sudah masuk senja. Masa kami tidaklah panjang lagi untuk mengutip pahala-pahala dan melakukan amalan-amalan yang di anjurkan. Sepatutnya kenalah buat banyak amalan marathon, amalan berpanjangan atau sepanjang masa, sepatutnya sudah boleh berzikir menggunakan tasbih bilangan 1000. Alahai........! sepatutnyalahkan??

So yang masih muda itu bolehlah mula dari sekarang ! Mulalah dengan yang sikit-sikit dan mudah-mudah dulu. Kalau umur dah hampir 40 tahun dan anda belum mula apa-apa lagi, susahlah nanti bila umur lebih meningkat tak semudah itu nak lakukan segala ibadah, amalan-amalan sunat seperti berzikir! Lagilah impossible nak gunakan tasbih bilangan 1000. ( Nota: segala amalan sunat kita tidak boleh memberitahu dan sengaja meununjukkannya kepada orang lain )

Insya-Allah segala niat baik anda dan usaha murni anda akan mendapat ganjaran pahala dan kebaikan. Semoga kita semua berjaya mengutip pahala sebanyak mungkin setiap hari selagi kita masih bernafas di atas dunia ini. Ameen!

Monday, 6 April 2009

Kisah Seorang Yang Pemurah

Assalamualaikum!

Sejak kami menubuhkan sekolah ini ramai juga yang datang menghulur derma ikhlas, niat, zakat, sedekah, sumbangan dan sebagainya. Mak teh tak boleh beritahu nama individu-individu tersebut kerana takut kurang pahala mereka. Namun ada satu kisah yang mak teh ingin ceritakan.

Ada seorang hamba Allah ini, beliau telah beberapa kali memberi makan kepada anak-anak tahfiz kami. Apabila memberi makan dia memberi layanan yang agak istemewa. Dia bukan sahaja menghantar makanan yang istimewa malahan makanan itu datang bersama katerer sekali untuk melayan anak-anak tahfiz. Kami tidak perlu sediakan apa-apapun. Selalunya kalau dia ada hajat meminta anak-anak tahfiz doakan sesuatu hajat untuk keluarganya, dia dan kesemua ahli keluarganya akan datang bersolat, berdoa dan makan bersama-sama anak-anak tahfiz kami. Tahun lepas sudah 2 kali dia berbuat demikian.

Beberapa hari yang lalu aku telah mendapat panggilan telefon dari Hamba Allah ini bahawa dia ingin berjumpa denganku. Rupa-rupanya dia sudah berada di depan pintu pagar rumahku. Setelah di jemput masuk dan berbual-bual seketika, dia mengeluarkan satu sampul surat menyatakan dia ingin menyumbang untuk sekolah kami. Kemudian dia teragak-agak dan minta diri untuk keluar sebentar ke keretanya.

Apabila dia duduk semula di sisiku, dia menjelaskan, " Mula saya nak sumbangkan wang ini, saya rasa terlalu sedikit. Saya tengok ramai anak-anak tahfiz yang puan jaga ni!" Dia menunjukkan kepada anak-anak tahfiz junior yang kebetulan waktu itu sedang berkeliaran bermain sesama mereka ( waktu itu mereka rehat selepas minum petang). Sebelum ini dia hanya tahu anak-anak tahfiz kami di asrama putera sahaja.

" Eh, nak beri banyak manapun tak apa! " aku berkata.

" Jadi saya pergi ambil tambahlah sikit lagi." kata Hamba Allah yang pemurah itu sambil menyerahkan sampul surat berisi wang kepadaku.

" Alhamdulillah! Jazakallah, rezeki anak-anak tahfiz" kataku, " Banyak yang puan bagi ni!" sambungku apabila terasa sampul itu agak tebal.

" Saya dah teringat sejah 2 bulan lalu tetapi sengaja saya tunggu sebab nak beri lebih sikit. Saya bersyukur Allah berikan rezeki yang banyak kepada kami sekeluarga. Saya nak share rezeki yang Allah berikan ini dengan orang yang memerlukannya."

" Alhamdulillah! Puan telah mendapat hidayah dariNYA. Hanya orang yang mendapat hidayah faham kenapa dia nak bersedekah ke jalan Allah. Ganjaran yang Allah beri kepada orang yang menginfakkan hartanya kejalan Allah adalah 700 kali ganda, balasannya di dunia dan akhirat." kataku. Aku terus mendoakan untuk kesejahteraan dia dan keluarganya.

Tergamamlah aku menerima pemberian sedekah itu kerana baru pagi hari aku telah kepasar membeli ikan dan bahan lauk pauk lain yang mahal harganya tetapi seperti kebiasaannya aku telah berkata dalam hati " takpe beli jugak lah "

MasyaAllah! Lihatlah apa yang berlaku dalam waktu yang singkat sahaja Allah telah menghantar rezeki kepada anak-anak ini. Perkara-perkara yang berlaku begini ( bukan sekali, malah sudah banyak kali ) meyakinkan aku Allah amat sayang kepada pelajar-pelajar yang menghafaz al-Quran.

Petang keesokkannya aku dan Pak haji pergi ke kedai stationary membeli alat tulis tambahan yang perlu untuk di edarkan kepada anak-anak tahfiz kami.

Semoga Allah merahmati HambaNYA yang pemurah ini dan semoga kami dapat menjalankan tugas-tugas kami. Ameen!

Sunday, 5 April 2009

Fenomena Cuaca Buruk

Salam Semua!

Cuaca sekarang sangat gelap menandakan hujan ribut akan turun tidak lama lagi. Semalam sebelah petang hujan telah turun dengan lebatnya bersama dentuman guruh yang kuat dan kilat sabung menyabung. Keadaan begitu berlarutan hingga ke malam dan kami mengalami blackout. Aku harap keadaan cuaca hari ini tidaklah seburuk semalam.

" Mami! hujan hari ini luar biasalah!" kata Alan, anakku semalam.

" Betul! dah lama dah tak hujan macam ni" sambutku.

" Kenapa mami? "

" Adalah tu yang tak kena yang Allah nak ingatkan kita." kataku. Aku teringat kepada peralihan kuasa yang baru saja berlaku. Semoga negara yang kita cintai ini di peliharakan Allah.

Alan terdiam. Alan seorang anak yang sangat sensitif mengenai keadaan sekeliling.

Hujan dah mula turun, nampaknya pelajar-pelajar kami tidak dapat melakukan latihan kawad yang dijadualkan. Kalau keadaan menjadi lebih buruk akupun tidak dapat meneruskan berblogging ini.

Sekian dulu sampai kita berjumpa lagi.

Sunday, 15 March 2009

Rasa Legaaa!

Assalamualaikum!

Pagi ini cuaca mendung sedikit. Perasaan mak teh dan Pak haji legaa .... kami menghapi hari ini dengan suasana bersantai. Kami tidak lagi terpaksa terburu-buru buat itu buat ini. Kenapa ya ? ... sebab anak-anak tahfiz kami semua dah balik kepangkuan keluarga mereka. Rumah asrama mereka telah dikunci. Bilek-bilek bahagian sebelah rumah kami ( asrama puteri)juga telah di tutup. Cik Su juga telah balik kerumah iaitu berpindah balik ke bileknya di tingkat atas rumah kami.

Mula-mula plan nak ke Kedah esok. Kemudian dapat tahu orang-orang yang nak buat kerja rennovation nak kerja hari ini. Jadi kami kena tunggu mereka mula buat kerja-kerja itu dahulu. Mungkin selepas tiga hari mereka bekerja barulah kami boleh tinggalkan rumah. Ada juga keinginan nak berjalan-jalan ke pantai timur atau ke selatan. Hai dah tua-tua ni hati masih adventourous tetapi daya sudah berkurangan!

Hari Jumaat lepas bawa pak haji check-up ( follow-up )kedua selepas operation. Selain dari cholesterol tinggi sedikit, lain-lain perkara semua beres iaitu in good condition. Pak haji pumya bp naik tetapi itu kami rumuskan kerana sistem di hospital tu teruk. Kami datang awal tetapi terpaksa tunggu kerana mereka yang tidak update file mereka, mereka kata kami masih ada baki tidak buat bayaran. So mereka tahan file pak haji sampai mereka dapat updatekan akaun mereka. Terukk lah! Tu yang pak haji punya bp naik!! Mak teh sememangnya ada love ang hate relationship dengan Hospital Jantung itu. Macam-macam yang mak teh komplenkan hingga dah meluat nak komplen dan mungkin PR mereka yang baik dengan mak teh tu dah meluat tengok mak teh! So yang kali ni depa buat kat kami mak teh dah tak mau pi komplen.

Namun di hari itu ada perkara yang menyelamatkan keadaan. Sejuk jadinya hati mak teh dan Pak haji lalu turunlan bp Pak haji. Apa yang boleh menyebabkan kami suka pula?? Semasa di Hospital Jantung tu teruja dan suka sangat sebab terjumpa kawan-kawan lama kami dari tempat kerja kami yang lama. Al maklumlah semua dah jadi warga emas maka tak sangka pula tempat itu jadi tempat kami berkumpul.

Mula terdengar orang kaunter panggil nama " Dato W... MN..!" hati ku berbisek macam pernah dengar je nama tu lalu aku dongakkan kepala menjeling siapa orang yang dipanggil itu. Namun aku tidak mengenali orang itu, jadi aku tidak endahkan lalu aku teruskan membaca surat khabar. Kemudian Pak haji panggil, " M... mai tengok sapa ni! " Aku bangun mendekati mereka yang sedang berbual, terus memberi salam dan menghulur tangan bersalaman, " Laaa! Tak perasaan you tadi! " Rupa-rupanya Dato itu, senior dan boss aku masa kat service dahulu. Lepas tu kamipun berborak rancaklah. Kisah itu kisah ini , gossip itu gossip ini, apa yang keluar dalam paper, apa yang tak keluar dan aku sendiripun tak pernah tahu selama ini. Hehehhe! macam-macam cerita lah dengar dari dia. Sebenarnya dia ni kawan baik arwah bapa Pak haji, sebab tu dia ingat aku dam masa service dulu kami kawan baik.

Selepas itu kami berlegar di kawasan itu masuk pula Dato H besama suaminya Dato A, juga kawan kami dari perkhidmatan yang sama. Haaa! apa lagi sembanglah lagi. Dah puas sembang-sembang tiba pula Dato A, rancaklah lagi sembang kami. Aku dan Pak haji rasa sangat seronok macam masa kami dalam service dulu-dulu. Yang lebih rasa seronok itu ialah mereka, kawan-kawan kami itu tidak lupa kami dan masih melayan kami seperti kawan-kawan seangkatan walaupun kami telah berpuluh tahun meninggalkan perkhidmatan itu. Oleh kerana aku lebih junior, mereka adalah level boss aku dan @ Dato itu adalah seangkatan dengan Pak haji. Walaupun seronok perjumpaan yang yang tak di sangka-sangka itu ada juga perasaan sayu di hati....entahlah kenapa?

Dari perjumpaan itu, yang lebih mengujakan aku dan Pak haji ialah minat mereka terhadap sekolah kami. Ada yang ingin menghantar anak dan cucu ke tempat kami, ada yang minta untuk masuk belajar semula ( Kelas Dewasa ), ada yang berpesan nak Imam Terawih siap janji imbuhan yang lumayan dan ada yang ingin datang membuat lawatan. Mereka ini telah lama kenal kami, mungkin reaksi mereka begitu kerana mereka boleh mengagak jenis mana sekolah kami ini, walaupun sebuah Maahad Tahfiz.

Sunday, 8 March 2009

Alhamdulillah ! Rezeki Datang Lagi.

Assalamualaikum!

Hari ini hari Ahad, bagi kebanyakan orang merupakan hari cuti hujung minggu. Namun bagi kami hari ini adalah hari pertama minggu ini. Bagi mak teh hari ini adalah hari yang sibuk setelah solat subuh kepala ligat berfikir jadual hari ini.

Awal pagi lagi mak teh telah ke pasar. Mahalnya harga ikan membuatkan mak teh terkedu, tak tahu apa yang hendak dibeli. Maka mak tehpun duduklah berehat seketika di sebuah bangku yang disediakan di pasar itu kerana terasa sakit pula kaki kananku yang sememangnya dok sakit tapi aku buat tak tahu sahaja. Aku tunduk memicit tapak kaki, kelihatan ada bekas sengat terlekat menusuk tapak kaki. Rupan-rupanya rasa bisa itu sebab aku telah terpijak lebah yang banyak bertaburan di lantai rumahku sejak beberapa bulan yang lalu. ( Ada lebah buat sarang di atas pokok tepi rumahku )

" Assalamualaikum ! " satu suara menyapa mak teh.

" Waalaikumusalam " jawabku sambil mendongak kepala melihat orang yang menyapa.

" Hajjah! Berapa orang anak-anak ada belajar dalam madrasah Hajjah? " tanya orang yang menyapaku, seorang pemuda India muslim yang aku amat kenal sebagai tauke sebuah kedai makan tidah jaug dari sekolah kami.

" Ada 60 orang , kenapa? "

" Saya ingat mau kasi makan diorang, mau sedekah hari Khamis atau Jumaat. Nanti saya telefon Hajjah. Hajjah kasi saya nombor telefon "

" Ok !" kataku seraya memberi nombor handphone ku dan dia terus memicit kedalam fonnya.

" Awak fon saya satu hari sebelum ya! " sambungku " supaya hari itu saya tidak masak, kalau tak membazir nanti. "

" Ok , saya fon Hajjah ! Hajjah kenalkah saya ? "

" Mana boleh tak kenal ! Kan kami selalu order banyak ( borong ) roti canai kat kedai awak? "

" Ya, ya, ok nanti saya call. " Pemuda itu tersenyum lalu pergi.

" Alhamdulillah ! " berkata hatiku.

Sakit dan bisa di kaki dah kurang terasa. Akupun bangun segera menjalankan tugasku membeli barang sedar keperluan kami. Allah sentiasa membantu dalam urusan kami setiap hari. Aku tak perlu takut kekurangan wang untuk membeli keperluan anak-anak tahfiz kami. Rezeki mereka sentiasa murah!

Monday, 2 March 2009

Kecil Tapak Tangan Nyiru Kutadahkan !

Salam semua!

Alhamdulillah! Rezeki kami dan anak-anak tahfiz datang sekejap tadi. Ada hamba Allah menjenguk kami serta membawa bersamanya 6 kampit beras. Pucuk dicita ulam mendatang.

Baru sekejap sebelum itu, pembantuku telah memberitahu, " Ibu! beras sudah habis. Besok ibu kena ke Kelang beli beras." Masa tu kami di dapur sedang masak makanan untuk anak-anak berbuka puasa.

" Hmmm Ok ! " kataku, " esok Ibu pergi."

Beberapa minit kemudian, " Maak! Maak!" panggil Cik Su, " Ada orang datang, bawa banyak berass! Lekaslah mak mai kat depan."

Akupun padamkan api dapur dan bergegas ke depan. " Assalamualaikum!" kata tetamu yang datang. " Saya bawa beras ini ada orang sedekah. "

"Alhamdulillah! " kataku sambil tersenyum. " Rezeki kami! baru sekejap tadi kami cakap beras dah habis! Syukur, terima kasih, pucuk di cita ulam mendatang. Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan." kataku.

Friday, 27 February 2009

Celoteh Dipagi Jumaat

Assalamualaikum!

Pagi ini seperti juga di pagi beberapa hari lalu, hujan turun agak lebatnya. Kebiasaannya di Shah Alam hujan turun disebelah petang dan malam. Dengan cuaca sebegini terasa pula macam sedang berada di Kedah.

Aku anak kelahiran Kedah, jadi sudah biasa dengan cuaca sejuk dan hujan dipagi hari. Keaadaan sampai di sekolah basah kuyup itu perkara biasa bagi aku di zaman persekolahan dahulu. Di musim hujan apabila banjir melanda, aku pergi juga ke sekolah dengan berbagai ikhtiar. Beberapakali pernah berenang menyebrangi alur kerana jambatan kayu kami telah di hanyutkan oleh air pasang yang deras. Pakaian dan beg sekolah dimasukkan kedalam besen besar apabila mengharugi banjir. Tiba di seberang kami salin ke pakaian seragam sekolah, kemudian berjalan ke pekan untuk mendapatkan bas ke sekolah.

Inilah nostalgiaku apabila mengalami hujan lebat dipagi hari kebelakangan ini. Sebenarnya aku ke meja komputer ini bukan untuk berblogging. Tujuan aku tadi untuk cuba menaipkan dalam " WORDS " sedikit penulisanku untuk sebuah buku. Buku yang ku janjikan kepada Penerbit, tidak siap sehingga hari ini. Pesta buku " KL International Book Fair " akan berlansung tidak lama lagi ( 17 April ). Aku sangat suka dan menanti-nanti akan pesta buku, tetapi kalau tidak ada buku baru aku yang diterbitkan maka kuranglah keseronokkanku nak berkunjung ke pesta itu. Tak apa, nanti selepas ini aku akan cuba menulis semula.

Pagi ini juga, kelihatan anak-anak tahfiz kami sibuk dengan persiapan menghadapi pertandingan Tilawah Hafazan yang akan berlangsung esok hari sabtu jam 8.00 pagi di Sekolah Rendah Agama, Seksyen 3. Semua warga sekolah kami akan memberi sokongan padu kepada peserta-peserta yang akan bertanding. Kami berdoa dan mengharapkan kejayaan mereka yang akan mencerminkan kejayaan sekolah kami. Selepas ini aku akan pergi mendengar laungan lagu semangat mereka, berbunyi begini:

Kami pelajar MTAQSA,
Rajin usaha untuk berjaya,
Langkah maju setiap masa,
Apa rintangan redah saja,

Tidak malas tidak leka,
Tuntut ilmu jadi perkasa,
Jaga agama jaga bangsa,
Hidup mesti buat jasa!

Hujan sudah berhenti dan mentari sudah menyinari bahagian balkoni rumahku dan tamparan cahayanya menerangi ruang yang aku sedang berada ini. Ok, aku hendak ke pasar dahulu untuk membeli barang makanan segar untuk kegunaan esok. Makanan untuk hari ini sedang disediakan oleh pembantuku yang rajin dan " efisyen ". Menu hari ini untuk makan rihat jam 10.00 pagi, iaitu bihun sup yang pembantu boleh masak jadi aku ada kelapangan sedikit tidak perlu masuk dapur. Hehehhe, baguskan ! Kepada anda mak teh ucapkan selamat bercuti hujung minggu!

Saturday, 28 June 2008

Hari Demi Hari

Assalamualaikum!

Hari demi hari aku meniti hidup ini. Entah berapa jauh lagi aku akan menapak ke hari muka, aku tidak tahu. Orang yang disayangi ada yang telah pergi terlebih dahulu. Ada lagi insan-insan yang ku sayangi masih menemani hidupku. Alhamdulillah! Kalau hidup tanpa mereka tentulah hidupku akan sepi. Aku tidak dapat dan tidak mahu membayangkannya.

Semalam aku duduk diruang tamu sambil memikirkan sesuatu. Zed datang menemanuku lalu bertanya, " Mak rasa diri mak mudakah tua? "

Aku menjawab, " Hmmm, kalau sakit-sakit rasalah diri ni dah tua. Tapi kalau boleh buat apa yang nak buat setiap hari rasa macam muda saja. Tak ingatpun umur dah tua!"

" Sebenarnya mak masih muda!" tegas Zed. " Tengoklah tok tu, dah berumur 85 tahun baru je kebelakangan ni dia kurang sihat."

Betul juga apa yang Zed kata tu. Ibuku hanya kebelakangan ni uzur. Sewaktu dia berumur seperti umurku dia ligat bergerak kesana kemari. Selang sebulan dua, dia akan berada di rumah anak-anaknya di Shah Alam. Dari sembilan orang anaknya, 5 orang bermastautin di Shah Alam. Jadi dia akan terbang pergi balik bersendirian dari Alor Setar ke sini tiap kali hatinya tergerak nak bersama anak-cucunya.

Beberapa bulan yang lalu ibu jatuh sakit. Dia telah memanggil semua anak-anaknya pulang. Kamipun rasa cemas dan telah mengelilinginya di hospital. Kami sangka dia akan pergi. Kebetulan pada waktu yang sama Abang Long juga sakit dan diwadkan di bilik selang beberapa pintu dari bilik ibu. Seminggu kemudian kami berasa lega apabila ibu pulih dan keluar dari hospital. Kamu lupa bertanya hal Abang Long kerana menyangka dia demam biasa sahaja juga kerana Abang Long sebelum ini tidak pernah sakit.

Sehari selepas ibu keluar dari hospital, aku terkejut menerima panggilan yang keadaan Abang Long merosot teruk. Dia mengalami kidney failure serta tidak lagi boleh bercakap. Keadaan Abang Long amat menyedihkan! Tidak dapat aku ceritakan disini. Kami adik-beradik berkumpul semula membincangkan apa yang harus kami lakukan. Kami dapati doktor yang merawat abang long di hospital swasta itu cuai dan lembap.

Kami segera memindahkan Abang Long ke Hospital Besar Alor Setar. Kami berpuashati dengan layanan dan treatment yang di beri oleh para doktor dan kaki-tangan Hospital tersebut. Namun sedihnya di hospital Besar itu alat mesin dialysis tidak mencukupi. Para pesakit termasuk Abang Long terpaksa menunggu lama untuk giliran menggunakan alat tersebut. Seminggu Abang Long berada di Hospital itu, setelah dapat membuat dialysis yang terakhir dia tidur dengan tenang dan tersedar dari itu dia bercakap seperti dalam keadaan orang yang pulih dari sakit, boleh bercakap-cakap bersama anak-anaknya selama 2 jam. Kemudian dia tertidur semula dan terus keadaan coma. Keesokkan harinya pada sebelum masuk waktu 'Asr beliau kembali ke Rahmatullah! Inna Lillahi wainna ilaihiroojiuunn! Aku sangat bersedih atas pemergian Abang Long. Dia telah menjaga kami adik-beradik menggantikan ayahku yang telah meninggal sewaktu umurku 12 tahun. Umurnya pada masa itu baru 21 tahun.

Hari demi hari telah berlalu, sudah 2 bulan Abang Long meninggalkan kami!