Showing posts with label Aktiviti Anak-anak Tahfiz. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti Anak-anak Tahfiz. Show all posts

Saturday, 14 November 2009

Ceramah Bimbingan Kerjaya

Assalamualaikum !

Cuaca kelihatan mendung, menandakan hujan akan turun pagi ini. Angin sejuk bertiup masuk kedalam ruang tempat aku sedang berada. Hari Sabtu selalunya hari yang agak tenang bagiku kerana tiada kelas dan purchasing barang-barang keperluan telah dibuat semalam. Oleh itu kami selalunya memetapkan hari Sabtu untuk interview. Hari ini ada 3 pemohon akan hadir untuk temuduga.

Petang semalam kami mendengar ceramah mengenai karier seorang pilot, Encik Wan ( bapa kepada seorang pelajar kami ). Sangatlah menarik ' sembangnya ' itu hingga semua pasang telinga dan terpaku di tempat duduk sepanjang ceramah tersebut. Kami mula Jam 6, rehat untuk maghrib kemudian sambung lagi hingga jam 8.30 malam. Ini merupakan permulaan dari siri-siri ceramah karier yang akan kami adakan sepanjang tahun di mana orang professional akan di jemput berceramah mengenai bidang pekerjaan masing-masing.

Dengan adanya ceramah-ceramah seperti ini, anak-anak Tahfiz kami akan mendapat informasi yang padat dan tepat dan Insya-allah akan menjadikan mereka lebih luas pengetahuan dan lebih matang.

_____________________________



MARI BELAJAR BAHASA KEDAH


Perkataan-perkataan


Langsiagh : langsiur ( sejenis hantu yang terbang dengan ususnya terburai)

Besiagh : selalu membuang air kecil

Lesiagh : rata ( untuk pinggan atau bentuk muka seseorang )

Hebiagh : mulut hebiagh ( mulut celupar )

Ketegagh : degil

Loklagh : tidak sopan, perangai tidak senonoh



Perkataan Berganda

Manis-meleceh ( makanan )

Masin-pahit ( makanan )

Sejuk-gedi ( makanan )

tawagh-hebiagh ( tawar, makanan )

Kegheh-kong ( keras, makanan )

Kecik-tet ( terlalu kecil, barangan atau orang )

Sikit-cet ( terlalu sedikit )

Kasagh-gedegagh ( kasar, bagi kelakuan seseorang )


Sekian dulu untuk hari ini.

Wassallam !

Wednesday, 4 November 2009

Hujan Hingga Petang

Assalamualaikum !

Hujan turun dari tengah hari tadi belum berhenti. Maka tringatlah mak teh akan lagu Melayu Asli yang bertajuk 'Hujan turun ' Diantara liriknya berbunyi begini :

Hujan turun dari pagi tiada henti,

Ku duduk termenung seorang diri,

Hingga petang Kau ku tunggu tiada datang,

Mungkin putus sudah kasih dan sayang,

Tapi bila hujan reda, alam sunyi sepi...

..............................??

Ku tiada berteman seorang diri.....

Hanya bintang-bintang sebagai pengganti.

Rasanya dah tak betul lirik lagu itu kerana mak teh dah tak berapa ingat. Dulu semasa di kampus mak teh suka menyanyi. Tetapi mak teh tidak menyanyi atas pentas macam arwah Sudirman ( Dia kawan mak teh, 1 year junior ) Mak teh hanya menyanyi kalau masuk bilik air sewaktu mandi. ( seronoknya mak teh menyanyi tak terkira.. lepaskan geram!! ) Mak teh ni walaupun tidak mendapat suara seperti Sharifah Aini suka sangat menyanyi yang melalak lalak tu. Cuma suara itu hanya dapat di dengar sewaktu mak teh masuk bilik air nak mandi. Besstlah apabila dapat menyanyi ....pada zaman itu lah! Dah lama mak teh tak nyanyi camtu ! Hehehe!

Huda sedang berada di Trengganu kerana menjadi sebahgian dari team mengendalikan events berkuda yang di sedang berjalan di Terangganu. Kan ada iklan dalam akhbar " Kuda Sokmo...." Huda telah SMS aku tengah hari tadi, " Sini hujang Sokmo... huhuhu ! "

Aku balas balik , " Duduklah dalang hotel oder nasi ikang boleh makang..." Hehehe!

Kejap tadi ada orang datang bawa 2 karton air mineral untuk anak-anak Tahfiz buat bacaan Yassin dan doa untuk anaknya yang nak ambil peperiksaan SPM tak lama lagi. Insya-Allah kami akan lakukannya esok malam. Baru aku sedar musim peperiksaan sudah hampir tiba!!!

Sebenarnya anak-anak Tahfiz kamipun sedang on study leave. Mereka juga akan menempuh peperiksaan seminggu lagi. Nampaknya anak-anak Tahfiz berlumba-lumba study terutama yang Puteri. Ada yang tak tidur jam 3.00 hingga 4.00 petang ( mengikut jadual ) dan malam mereka hanya masuk tidur jam 11.30 malam. Syabas mak teh ucapkan kepada mereka. Tidak syak lagi merekalah anak-anak yang akan mendapat kejayaan cemerlang kelak ! Insya-Allah ! Kami akan usaha sedaya upaya agar mereka mencapai ' string of A's semasa SPM kelak seperti yang mereka idamkan !

Ingatkah anda peribahasa dan pepatah Inggeris di bawah ini: Renungilah !

Belakang parang sekalipun kalau di asah akan menjadi tajam ( Inikan pula anak-anak Tahfiz yang setiap hari menghafal ayat-ayat suci )

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna ( Ada orang yang akan sesal kemudian )

Berakit-rakit kehulu , berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.

Kalau tidak di pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Hanya jauhari mengenal manikam.

Water finds its own level.

A rolling stone gathers no moss.

The grass looks greener on the other side of the fence.

Time and tide wait for no men !

A stich in time saves nine !

Sekian dulu, terima kasih !

Friday, 30 October 2009

Kisah Di Pagi Jumaat

Assalamualaikum!

Pagi Jumaat ini suasana amatlah tenang. Kedengaran kicauan burung-burung dari pokok-pokok di hadapan dan sisi rumahku. Oh, ada lagi kedengaran suara ceria anak-anak tahfiz yang sedang membasuh van sekolah. Hari ini hari mereka mengemas dan mencuci asrama dan kawasan asrama.

Anak-anak tahfiz sudah bersarapan setelah pulang dari masjid. Sarapan mereka hari ini ialah susu segar, kepingan bijirin, roti, mentega, kaya dan teh. Sebagai menganti senaman mereka menolong membasuh van sekolah secara sukarela.

Ada permintaan untuk anak-anak Tahfiz puteri, menghadiri majlis kuliah-kuliah agama wanita di syarikaat gergasi berdekatan. Kami telah mempersetujuinya dengan harapan dapat memperkenalkan sekolah kami dan orang awam dapat mengetahui bagaimana kami mendidik dan membentuk anak-anak Tahfiz. Anak-anak tahfiz akan emperdengarkan bacaan surah ( hafazan ) dan juga nasyid-nasyid berunsur agama. Sesungguhnya anak-anak Tahfiz Puteri kami menarik perhatian di setiap majlis yang kami bawa mereka hadiri.

Malam ini kami akan adakan satu majlis membaca doa selamat untuk bakal-bakal haji iaitu seorang pelajar dan keluarganya dan sepasang ibubapa kepada pelajar kami dan keluarganya. Majlis skan diadakan pada jam 9.00 malam di rumah Pengetua.

Seperti biasa sebelum mak teh berundur renungilah kata-kata ini:

Jadilah orang yang suka membina dan janganlah jadi orang yang suka meroboh.

Jangan mendengar apa yang orang kata, lihatlah siapa yang berkata ( baru dengar )

Birds of a feather flock together ( jadi hati-hatilah, semoga kita ketahui dan sedar kita dalam golongan yang mana??)

Jangan memandang rendah seseorang itu kerana kekurangan harta dunianya, kemungkinan orang itu lebih mulia dari kamu di sisiNYA.

Kalau kamu meminta harta dunia, Allah boleh memberinya, namun kalau kamu inginkan syurga hendaklah ikhlas mengusahakannya.

Dalam mengharungi kehidupan, lidah janganlah bercabang dan talam janganlah dua muka.

Sesungguhnya Allah amat mengetahui isi hati seseorang, dan Allah memilih kepada siapa yang akan di beri ganjaran yang besar ia-itu sebuah Mahkota yang gemerlapan cahaya batu permata! Tersenyumlah ketika anda mendapatnya nanti.

Sekian, Wassalam !

Thursday, 29 October 2009

Ke KLIA Menghantar Aly

Salam Semua !

Pada hari Selasa malam Rabu kami pergi ke KLIA menghantar Aly balek ke Mesir. Atas permintaan anak-anak Tahfiz kami buat rombongan ke KLIA dengan menyewa Bas Lan ( Bas yang selalu kami sewa untuk membawa kami ke mana saja, tuanpunya bernama Lan dan dia juga pemandu ).

Kami bertolak jam 6.00 petang dan tiba di KLIA tepat waktu maghrib. Setelah menunaikan solat maghrib anak-anak Tahfiz di benarkan bebas berjalan dalam kumpulan sesuka hati mereka. Maka dengan wajah ceria, berkeliaran lah mereka pergi membeli-belah di kedai-kedai yang terdapat di situ. Mereka di bekalkan sandwich dan minuman kerana mereka belum makan malam. Nasi goreng, makanan malam mereka ada di dalam bas. Mereka akan makan dalam perjalanan pulang nanti.

Alhamdulillah berkat asuhan kami, mereka berkelakuan baik dan pandai membawa diri. Oleh kerana mereka memakai pakaian outing sekolah kami maka kemana saja mereka pergi berderet-deret, mereka menarik perhatian orang ramai. Ada orang yang bertanya kepadaku, siapakah mereka ini dan mereka nak berlepas ke mana?. Sehingga ada seorang mak cik yang mengikuti mereka kesana-sini untuk bertanya macam-macam soalan kepada mereka. Aku melihat saja semua adegan itu tanpa masuk campur. Aku pandang sahaja dari jauh.

Cerita anak-anak Tahfiz kepadaku kemudian bahawa mak cik itu bertanya adakah mereka hendak berlepas ke Mesir untuk melajutkan pelajaran di Al Azhar? Mereka telah menjawab " Insya-Allah dalam 3 tahun lagi!" Mula-mula mak cik itu memang menyangka mereka akan berlepas ke Mesir malam itu bersama Aly. Hehehe!

Sementara menunggu kaunter buka, kami bergambar beramai-ramai dengan pelbagai posing. Jam 10.00 barang-barang Aly sudah di check-in, kamipun menyuruh anak-anak Tahfiz pulang dengan bas sedangkan mak teh dan Pak haji terus menunggu sehingga Aly masuk ke balai berlepas. Menghantar anak-anak kami ke Lapangan terbang KLIA, sudah merupakan perkara rutin bagi Mak teh dan Pak haji kerana dalam masa sebulan lebih ini telah 4 kali kami berbuat demikian!

Sekian dulu nanti akan di update lagi dengan gambar-gambar.

Wednesday, 7 October 2009

Anak-anak Tahfiz Berpuasa Enam

Salam semua !

Alhamdulillah, hari ini sudah 3 hari warga MTAQSA menjalankan ibadah berpuasa sunat 6 dalam bulan syawal. Fadilatnya adalah kalau kita berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan di ikuti dengan berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal, kita akan dapat ganjaran pahala seolah-olah kita bepuasa sepanjang tahun! Kami melatih anak-anak Tahfiz berpuasa sunat 6, setiap tahun.

Apabila selesai berpuasa sunat 6, iaitu pada hari Sabtu ini, kami akan mengadakan Majlis Raya pada malam itu. Kami juga telah menjemput guru-guru dsn ibubapa bersama terutama yang tinggal di Shah Alam untuk bersama-sama meraikannya. Dengan ini, Mamalisa yang ingin membawa Alisa beraya ke rumah mak teh di jemput hadir pada malam itu. Makanan untuk majlis ini akan kami order sebahgiannya dari katerer dan signature dish kami akan kami sediakan. Insya-Allah. Sanak-saudara kalau terbaca blog ini dan belum dapat jemputan tetapi ingin menghadiri sila msej mak teh. ( Saja tak jemput semua orang sebab kami tak cadang buat besar-besaran ) Maafkan Daku ! Hehehe!

Sekian dahulu untuk hari ini, mak teh nak pergi ke pejabat sebuah majalah terkenal kerana mereka bercadang memuatkan sebuah rencana mengenai sekolah kami. Kalau anda berminat mengenai sekolah kami, anda boleh layari www.mtaqsa.com atau www.mtaqsa.net.

Terima kasih!

Tuesday, 29 September 2009

Anak-anak Tahfiz Pulang Ke Asrama

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, anak-anak Tahfiz telah kembali ke asrama pada petang ahad lalu. Hanya seorang belum kembali kerana di serang penyakit di percayai adik-beradik A (HINI). Kami semua berdoa agar dia cepat sembuh.

Alhamdulillah ! Kami telah mendapat dua orang tenaga pengajar baru yang telah melaporkan diri. Kelegaan bagi kami yang sangat memerlukan tenaga pengajar tambahan. Di harap dengan adanya mereka ini akan bertambah mantaplah sekolah kami. Dari satu sudut yang yang lain keadaan kami sedikit kalam-kabut, kerana tidak ada pekerja pembantu. Pembantu kami yang telah pergi bercuti Liburan di jangka akan kembali bertugas minggu hadapan, Insya-Allah. Namun berkat kecekapan Pak Haji yang beraksi seperti seorang General dalam peperangan, semua perkara berjalan seperti biasa. Apapun sesaklah juga nafasku !

Berita daripada anak-anak di luar Negara di terima setiap malam sebelum aku masuk tidur. Lia sibuk dengan pengajiannya sedangkan Kin telah berpindah ke rumah yang lebih sesuai. Kin akan mula berkuliah hari ini. Mak teh dan Pak haji sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaan mereka.

Permohonan untuk kemasukan tahun 210 telah bermula. Kami akan mula menemuduga pemohon pada hari ahad ini. Kami akan menemuduga pemohon-pemohon yang berminat yang mendapat 4 atau 5 A dalam peperiksaan percubaan UPSR mereka. Permohonan untuk anak-anak sekolah rendah masuk asramapun ada. Buat masa ini kami tidak bercadang amabil anak-anak kecil masuk asrama. Kemungkinan di masa hadapan kami akan ambil anak-anak darjah 5 & 6 masuk asrama akan di pertimbangkan. Memandangkan cabaran yang ibubapa hadapi di zaman sekarang dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, kami sanggup menyediakan kemudahan pembelajaran berasrama di peringkat sekolah rendah itu.

Kepada yang berminat sila hubungi kami telefon 03- 55139880. Insya-Allah kami akan menjawab semua pertanyaan. Ingatlah pepatah Melayu ;

Malu bertanya sesat jalan !

Hendak melentur buluh, mestilah dari rebungnya !

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya !

Tepuk dada tanya selera !

Sekian dahulu, terima kasih!

Wednesday, 16 September 2009

Hari Ke 26 Ramadhan

Assalamualaikum !

Semalam kami telah berbuka puasa bersama-sama anak-anak Tahfiz di rumahku. Lapang hati melihat anak-anak Tahfiz sudah boleh membantu mengemas dan menyediakan makanan tambahan untuk majlis tersebut. Kami telah pesan makanan dari katerer, menunya nasi beriyani. Walaupun nasi beriyani itu di sertai lauk ayam, darca dan acar, seorang dermawan telah menambah order semata lauk daging merah untuk kami. Perbelanjaan makanan itu telah di sedekahkan oleh seorang jiran. Maka kami hanya menambah menu ayam goreng, kentang putar, dan coleslaw. Hidangan kuih-kuih pula telah di sedekahkan oleh seorang ibu dermawan dan juga kuih sumbangan jiran sebelah rumah yang sangat baik hati. Aku hanya menambah lagi dengan membeli 3 batang lemang dan buah tembikai. Alhamdulillah, melempah-ruahlah hidangan atas meja kami berbuka malam tadi. Itulah yang di katakan rezeki anak-anak Tahfiz yang di kasihi Allah ( dan juga di sayangi masyarakat setempat ).

Majlis kami bermula pada jam 6.30 petang dengan bacaan Yasin dan doa selamat untuk Kin dan untuk kelahiran bakal cucu sulungku. Setelah azan berkumandang kami berbuka ringan dan terus menunaikan solat Maghrib dan solat Hajat memohon keselamatan dan kejayaan untuk Kin dan keselamatan untuk bakal insan yang akan di lahirkan. Ameen!

Setelah itu kami menghadapi makanan yang di sediakan. Seronok tengok anak-anak Tahfiz dan tetamu ( beberapa orang sahaja sebab kami tak jemput ramai orang ) makan dengan penuh berselera. Ramai yang memuji keenakan ayam goreng, kentang putar dan coleslaw yang telah di sediakan oleh Ustazah Hanna dengan bantuan anak-anak Tahfiz Puteri. Selesai berbuka puasa kami menunaikat solat Isya dan Tarawih di imamkan oleh seorang anak Tahfiz kami.


Hari ini adalah hari berkemas asrama dan pulang ke kampung masing-masing. Pagi-pagi lagi anak Sarawak sudah berangkat ke lapangan terbang. Yang lainnya akan berkemas asrama sehingga jam 11.00 pagi. Selepas itu ibubapa akan datang menjemput anak-anak mereka pulang. Maka di harap mak teh dan Pak haji akan dapat berehat dan menikmati ketenangan untuk sementara waktu. Namun kami juga sedia menghadapi kenyataan bahawa kesunyian akan menyelubungi kami sehingga anak-anak Tahfiz masuk semula pada 27 september selepas bercuti selama 12 hari. Akan bertambah sunyi lagi apabila anak-anak kami berangkat kembali ke luar Negara selepas Raya nanti.

Nota kepada ibubapa anak-anak Tahfiz: Wahai ibubapa anak-anak Tahfiz, anak-anak anda balik berbekalkan kerja-kerja sekolah yang telah diberikan dan jadual membaca dan menghafaz al-Quran adalah seperti biasa ia-itu selepas setiap solat 5 waktu. Mereka juga telah di beritahu tarikh peperikasaan akhir tahun. Mereka bukan balik bercuti tanpa buku, mereka seharusnya menyediakan diri untuk peperiksaan tersebut. Mereka juga telah di nasihatkan supaya meneruskan apa jua aktiviti ibadah Ramadhan seperti yang mereka lakukan di seni setiap hari. Gerak-laku dan perwatakan mereka seharusnya mencerminkan mereka seorang penghafaz Al- Quran ( seperti yang telah kami didikan ). Insya-Allah, Tuanpuan perhatikanlah nanti. Semoga akan menyenangkan dan mengembirakan hati Tuanpuan.

Sekian dulu, Selamat berpuasa 4 hari sahaja lagi!

Saturday, 5 September 2009

Hari Ke 15 Ramadhan

Assalamualaikum!

Kicauan burung-burung di luar rumah memecah keheningan pagi. Suasana pada pagi hari ke 15 Ramadhan memberikan ketenteraman jiwa padaku. Terkenang juga kampung halaman di utara di mana aku telah di besarkan. Terbayang juga wajah tua ibuku. Bagaimanalah keadaan dia berpuasa dalam keuzurannya. Dulu semasa muda dia amat kuat melakukan solat sunat Tarawih dan bertaddarus dalam bulan Ramadhan.

Ibu mempunyai dua orang dayang-dayang ( bibik ) menjaganya. Seorang menjaga keperluan dirinya dan seorang lagi mejaga kebersihan rumahnya. Ibu amat bernasib baik kerana di usia tuanya ada anaknya yang mampu mengadakan 2 bibik khas untuknya. Inilah di antara nikmat hidup yang di kurnia Allah SWT kepadanya.

Sahur tadi kami telah menghidangkan roti crussoint dan tuna sandwich berserta cereal dan susu segar. Kelainan menu sahur kami adalah untuk mengelak anak-anak Tahfiz jemu dengan menu nasi sebagai kebiasaan kita. Di harap mereka dapat menyesuaikan perut puasa mereka dengan bersahur makanan sebegini.

Pagi ini, hanya Elite Group Memanah sahaja yang turun ke padang untuk berlatih. Anak-anak tahfiz lain membuat hafazan mereka atau kerja-kerja sekolah. Anak-anak Tahfiz Puteri akan membuat biskut raya dan akan belajar membuat sesuatu resepi baru. ( Aizad yang mengajar mereka sebab aku tidak pandai hal baking )

Katerer kami, Maria akan menyediakan makanan berbuka puasa kami untuk hari ini. Anak-anak Tahfiz tidak akan berbuka di Masjid Negeri pada hari ini kerana ada jamuan berbuka puasa besar besaran di sana. Kami tidak mahu menyusahkan anak-anak Tahfiz kami untuk berebut tempat. ( Dari pengalaman tahun lepas anak-anak Tahfiz terpaksa tunggu lama sebelum waktu berbuka untuk mendapat tempat kerana tidak di berikan tempat khas )

Sekian dulu untuk hari ini. Selamat Menjalankan Ibadah Berpuasa dan Ibadah Sunat !

Friday, 4 September 2009

Hari Ke 14 Berpuasa

Assalamualaikum !

Hari ini dah hari ke 14 kita berpuasa! Cepat sungguh masa berlalu. Ada orang lain dah sembang-sembang nak balik kampung beraya. Kami ni masih tenggelam dengan kisah anak-anak Tahfiz.

Untuk makanan sahur tadi kami telah menghidangkan roti telur dan roti canai, seketul ayam dan teh tarik. Makanan tersebut telah kami pesan dari restoran berdekatan. Ini bertujuan memberi sedikit kelainan untuk anak-anak Tahfiz menikmati makanan sahur. Ada 1 sahur lagi kami akan beri makanan ala-ala barat.

Kami ada 12 hari saja lagi sebelum sekolah kami bercuti. Selepas anak-anak Tahfiz bercuti, mereka akan kembali semula pada 27 september. Kami rancang akan adakan lawatan sambil belajar ke utara tanah air pada minggu pertama mereka kembali. Hanya mereka yang tekun membuat hafazan di waktu bercuti sahaja akan di bawa menyertai lawatan tersebut. ( merka mesti mencapai sekurang-kurangnya 70% dari jadual hafazan yang di kehendaki di buat dalam masa cuti nanti )

Alhamdulillah, laporan kesihatan anak-anak Tahfiz di bulan Ramadhan pada keseluruhannya adalah baik. Begitu juga kesihatan mak teh dan Pak haji. Semoga Allah sentiasa memelihara kami semua. Ameen !

Wednesday, 2 September 2009

Hari Ke 12 Berpuasa

Assalamualaikum !

Hari ini merupakan hari ke 12 kita berpuasa. Best ye! Sedar tak sedar sudah hampir setengah bulan kita berpuasa!

Hari ini juga sekolah kami maju setapak lagi, kami telah mula membuat laundry sendiri. ( Lepas ini tak payah bergaduh lagi dengan makcik-makcik kedai dobi lagi, kain yang di hantar hilanglah, kain yang dicuci tak bersihlah, bill yang di kenakan tinggi sangatlah dan macam-macam lagi ). Mesin pembasuh kain jenama Electrolux Komersial muatan 13 KG yang kami beli, telah mula beroperasi. Jadi mulai hari ini kami tidak lagi akan menggunakan perkhidmatan kedai dobi. Dapatlah kami berjimat sedikit. Sekarang kami menghadapi pula satu lagi masaalah. selagi kami tidak membeli mesin penggering kain kami tidak ada tempat jemuran yang sesuai. Perlahan-lahan lah, Insya-Allah kami akan usahakan membelinya. Apa pun kami bersyukur setakat apa yang ada.

Malam tadi kami makan sahur yang disedekahkan oleh kedai makan berdekatan. Esok kami akan order makanan sahur yang ada sedikit kelainan. Malam akhir sebelum bercuti, kami akan adakan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih di asrama perempuan. Kami juga akan adakan doa selamat untuk Kin yang akan berangkat ke London melanjutkan pelajarannya 3 hari sebelum Hari Raya.

Pada hujung minggu ini, anak-anak Tahfiz Puteri akan membuat kuih-kuih raya untuk di bawa pulang sebekas seorang. Mereka sudah pandai buat muffin, tarts dan cream puff. Ini adalah untuk menggalakan mereka pandai dan suka akan perkara-perkara berkaitan domestic science.

( Sila beri laluan kepada iklan. Hehehe! )Kami berharap semoga anak-anak didik kami akan pandai dalam semua perkara. Kami menberikan mereka pendidikan yang mantap bak kata orang putih " an all rounded education " Jadi sesiapa yang berkenan nak menghantar anak-anak ke sekolah kami silalah membuat pertanyaan lebih awal supaya anda tidak kecewa nanti kerana tempat adalah terhad! Jangan hanya dengar khabar-khabar angin, marilah lihat dengan mata sendiri!

Tuesday, 1 September 2009

Fasa Ke 2 Bulan Ramadhan

Assalamualaikum !

Hari ini telah 11 hari kita berpuasa. Alhamdulillah kita telah selamat menjalankan ibadah berpuasa untuk fasa pertama ( hari pertama hingga hari ke 10 ) di mana Allah SWT menjanjikan Rahmat bagi orang-orang yang berpuasa. Sekarang kita sedang menjalankan ibadah berpuasa untuk fasa ke 2 ( hari ke 11 hingga hari 20 ) kita di janjikan pengampunan oleh Allah SWT.

Anak-anak Tahfiz tekun menjalankan ibadah mereka ( berpuasa, melakukan solat Tarawih hingga 20 rakaat, bertaddarus di malam hari ). Kehadiran mereka dalam asrama hampir penuh apabila beberapa orang yang sakit di jangkiti demam selsema telah sihat dan kembali semula ke asrama.

Alhamdulillah, anak-anak Tahfiz yang lain kelihatan sihat dan ceria walaupun mereka berpuasa. Setiap malam kami beri mereka minuman tambahan seperti minuman isotonik, jus kurma dan susu untuk menguatkan sistem immuniti mereka. Namun mereka juga tidak sabar untuk pulang bercuti untuk bersama-sama keluarga mereka. Di atas whiteboard mereka sudah tertera berapa hari lagi untuk pulang bercuti yang mereka pangkah setiap hari. Sekolah kami akan mula bercuti pada 16 September ini. ( Untuk perhatian ibubapa pada entry yang dahulu mak teh silap letak tarikh cuti bermula ).

Ada sedikit pengumuman kepada ibubapa : Ibubapa boleh mengambil anak-anak pada hari Rabu 16 September selepas jam 11.00 pagi . Sekolah akan bercuti sehingga Ahad 27 September ( Kami lewatkan 1 hari dari tarikh asal ). Jadi ibubapa hendaklah menghantar anak-anak pulang ke asrama pada hari Ahad sebelum jam 6.00 petang. Bagi anak-anak yang terlibat dengan bertaddarus Di Istana mereka akan pulang bercuti lewat sedikit kerana akan menghadiri Majlis Khatam Al Quran Di Istana nanti dimana mereka akan diraikan dan di kurniakan hadiah saguhati.

Sekian, Selamat menjalankan ibadah extra dalam bulan Ramadhan yang mulia ini untuk merebut ganjaran yang banyak.

Saturday, 29 August 2009

Dugaan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum!

Sedar tak sedar hari ini sudah hari ke 7 kita berpuasa. Ramadhan tahun ini mendapati aku tidak lagi muda atau kuat. Namun aku bersyukur kerana dapat melakukan ibadah solat tarawih walaupun setakat ini belum sampai 20 rakaat.

Dugaan di bulan ramadhan tahun ini berat juga tetapi kami menghadapinya dengan sabar dan redha. Anak-anakku dan anak-anak tahfiz bersilih ganti demam selsema ( demam selsema yang tidak bahaya )Maka kami menjaga pesakit setiap hari apabila virus selsema yang melanda ini amat mudah dijangkiti. Kami amat risau akan wabak selsema babi yang sedang melanda. Jadi kami telah mengambil langkah-langkah pencegahan terlebih dahulu. Anak-anak Tahfiz telah membuat solat hajat dan berdoa agar Allah SWT melindungi kami semua dari penyakit tersebut. Di samping itu kami telah memberi mereka semua minum air rendaman habbatussaudak, air kelapa, air isotonok, air jus korma dan vitamin C untuk menjaga ketahanan sistem immunniti mereka. Alhamdulillah, setakat ini ramai lagi di antara mereka yang masih bertahan tidak di jangkiti virus selsema ini dan ada juga yang terkena tetapi tidaklah teruk sangat.

Ada lagi dugaan lain yang tidak dapat aku ceritakan di sini. Berat jugalah dugaan yang aku dan Pak haji lalui, namun kami percaya ada hikmahnya. Kami berdoa semoga Allah sentiasa melindungi kami dan memudahkan urusan kami. Setiap pengalaman pahit yang menimpa kami adalah satu pengajaran untuk kami. ( Pembaca blog ini dari kalangan kawan-kawan yang rapat bolehlah menelefon mak teh kalau nak tahu lebih lanjut ).

Mak teh mohon maaf kepada kawan-kawan tuan punya blog yang selalu mak teh lawati. Kebelakangan ini kerana sesuatu perkara teknikal ( yang mak teh sendiri tak faham) , mak teh tidak berjaya untuk publishkan komen dalam blog anda. Nak selidik puncanyapun mak teh sedang menghadapi perkara yang lebih penting. ( terutama blog Sarina, sudah banyak kali mak teh cuba )

Dalam bulan Ramadhan ini anak-anak Tahfiz tidak melakukan aktiviti ko-kurikulum seperti biasa. Namun untuk menjaga kesihatan mereka, mereka bersenam dan berkawad selepas subuh. Hanya pasukan elite memanah melakukan latihan hujung minggu seperti biasa kerana kami menyediakan mereka untuk pertandingan akan datang.

Anak-anak Tahfiz akan bersama kami berbuka puasa hingga 16 september. ( Hari akhir mereka sebelum bercuti ialah 17 september ). Insya-Allah, kami akan adakan majlis berbuka puasa di asrama pada 15 september sebelum mereka pergi bercuti.

Sekian, Selamat Berbuka Puasa dan melakukan Ibadah Tarawih!

Wednesday, 26 August 2009

Majlis Berbuka Puasa Di Hotel

Salam Semua!

Pada hari ke 3 Ramadhan kami di jemput ke majlis berbuka puasa di sebuah hotel 5 bintang. Jam 6.15 petang anak-anak Tahfiz di jemput oleh 2 van dari Hotel tersebut. Selebihnya pergi menaikki van sekolah kami dan kereta Pak haji. Seramai 60 orang telah di jemput.

Anak-anak Tahfiz sememangnya menanti-nantikan hari yang istimewa ini. Tiba di pintu Hotel kami di sambut mesra oleh pegawai-pegawai Hotel. Kami di bawa naik ke tingkat 2 di mana sebuah bilik seminar telah di tukarkan menjadi dewan solat. Majlis bermula dengan anak-anak Tahfiz membacakan surah Yassin, surah Waqiaah dan doa selamat. Apabila selesai bacaan masa berbukapun sudah hampir. Azan di laung dan kami berbuka puasa ringkas dengan minuman, buah kurma dan kuih-muih yang disediakan di luar dewan solat.

Kemudian kami menunaikan solat maghrib di imamkan oleh seorang ustaz dari sekolah kami. Selesai solat, kami di jemput turun ke tingkat bawah untuk menikmati juadah berbuka puasa yang telah di sediakan oleh pihak Hotel kepada pelanggan-pelanggannya. Maka hidangan sangatlah banyak jenisnya dan sungguh mewah.

Pak haji telah berpesan kepada anak-anak Tahfiz tentang adap sopan makan. Mereka hendaklah beratur mengambil makanan, mengambil makanan sederhana kuantitinya setiap kali ambil dan menghabiskan semua yang di ambil. Alhamdulillah, anak-anak ini pandai membawa diri di dalam majlis tersebut dan nampaknya mereka telah menikmati makanan-makanan yang berbagai itu sehingga mereka kenyang.

Setelah hampir masuk waktu Isya, kami semua naik ke tingkat 2 semula untuk menunaikan solat Isya di ikuti dengan solat Tarawih 8 rakaat. Imam-iamam solat Tarawih kami terdiri dari pelajar-pelajar tingkatan 3 sekolah kami. Alhamdulillah, mereka dapat membawa solat Tarawih dengan baik. Ada juga pegawai Hotel dan orang-orang awam yang turut serta menunaikan solat-solat tersebut bersama kami.

Selepas itu anak-anak tahfiz di raikan lagi dengan setiap orang mendapat hadiah sepeket duit raya seorang. Kemudian kami bergambar beramai-ramai dengan General Manager Hotel tersebut. Pada malam itu,di samping kami Hotel itu juga telah meraikan anak-anak yatim dari sebuah rumah anak-anak yantim Selayang.

Kemudian kami di jemput turun lagi sekali ke tingkat bawah untuk menikmati hidangan seterusnya yang di namakan " moreh " iaitu hidangan selepas menunaikan solat Tarawih. Lagi sekali anak-anak Tahfiz kami mengisi perut mereka dengan sepuas-puasnya. Alhamdulillah semua rezeki datang dari Allah SWT dan pihak hotel ini bermurah hati menjemput kami.

Anak-anak Tahfiz di hantar pulang ke asrama pada jam 10.30 malam setelah bersalam-salaman dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai hotel. Ternyata mereka sangat gembira dan kekenyangan. Pada malam itu mereka sangat akif ( kerana terlalu kenyang ) dan hanya masuk tidur pada jam 12.00 malam.

Terima kasih kepada pihak hotel tersebut, kami doakan perhubungan mereka dengan kami berpanjangan. Terima kasih daun keladi, tahun hadapan jemputlah lagi! Hehehe!

Monday, 24 August 2009

Hari Ke 2 Bulan Ramadhan

Salam Semua,

Semalam adalah hari ke 2 bulan Ramadhan. Perjalanan hari ini bagi anak-anak Tahfiz adalah seperti biasa. Semua berjalan dengan lancar.

Ada beberapa orang anak-anak Tahfiz yang di hantar balik kerumah kerana demam selsema biasa. Kami rasa lebih baik ibubapa mereka menjaga mereka dan juga kami tidak mahu selsema itu merebak kepada anak-anak tahfiz lain.

Malam tadi juga bermulanya tugas anak-anak Tahfiz kami bertaddarus di Istana. Mereka berpakaian jubah putih berkasut kulit hitam dan berstokin hitam. Mereka di kehendaki melaporkan diri di Istana jam 9.30 malam. Oleh itu mereka melakukan solat Tarawih 8 rakaat sahaja.

Kalau anda bersolat Tarawih di masjid Negeri anda mungkin ternampak anak-anak Tahfiz kami. Mereka kelihatan kemas, berdisiplin, pakaian seragam putih bersih bersolat dalam 2 baris ( bagi lelaki ). Anak-anak yang senior bersolat di barisan belakang Imam dan yang junior di saf ketiga sebelah kiri. Tujuan Pak haji mengaturkan mereka begitu ialah untuk memberi pendedahan awal kepada mereka akan tugas-tugas Imam.

Bagi anak-anak Tahfiz Puteri pula mereka ambil safpertama kawasan tengah masjid. Mereka berpakaian seragam jubah putih dan bertelekung putih serta berstokin hitam. Mereka di latih tidak berbual-bual di dalam masjid dan sentiasa membaca al-Quran semasa menunggu masuk waktu solat.

Bulan ramadhan ini ada sedikit ketenangan dan keringanan bagi Pak haji dan anak-anakku kerana tidak perlu menjadi pemandu mengambil dan menghantar anak-anak tahfiz ke masjid dan pulang dari masjid. Bas yang kami sewa khas untuk tujuan ini mengangkut anak-anak tersebut saban hari dalam bulan ramadhan. Alhamdulillah! Bas ini dapat kami sewa kerana wang sedekah jariah dan zakat dari pihak-pihak tertentu. Syukran jazeelan kepada pihak berkenaan.

Petang nanti kami akan bersiap-siap untuk pergi berbuka puasa di sebuah hotel lima bintang yang telah bermurah hati menjemput kami. Tahun lalupun kami telah di raikan oleh hotel tersebut . Mengikut pengalaman tahun lalu hidangan berbuka puasa di hotel itu amatlah istimewa dan mewah. Mendengar cerita ini, semua anak-anak tahfiz sangat teruja untuk pergi ke majlis berbuka puasa ini. Ada juga ibubapa dan keluarga anak-anak Tahfiz yang tinggal berdekatan akan ikut sama program ini. ( mereka jadi tetamu hotel bayar sendirilah ). Esok mak teh akan ceritakan berkenaan berbuka puasa ini kepada anda. Selamat berbuka puasa!

Sunday, 23 August 2009

Hari Pertama Bulan Ramadhan

Assalamualaikum !

Semalam, hari pertama Ramadhan. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar. Aku bersyukur kepada Allah kerana Aku dan Pak haji masih diberi peluang dapat bertemu dengan Ramadhan tahun ini.

Anak-anak tahfiz sudah bersedia menyambut bulan Ramadhan ini. Seperti yang di rancang, bas yang kami sewa datang ke asrama sebelum jam 6.15 petang untuk menjemput Anak-anak Tahfiz ke Masjid Negeri. Kelihatan kemas dan segak anak-anak Tahfiz kami dengan pakaian jubah putih mereka yang baru di tempah untuk menyambut Ramadhan dan berserban putih ikatan cara khas sekolah kami.

Anak-anak Tahfiz Puteri pula di hantar ke Masjid Negeri dengan van sekolah kami yang di pandu oleh Jurulatih Syah. Mereka pula berpakaian jubah putih, bertelekung putih dan berstoking hitam. Setiap wajah mereka nampak berseri-seri.

Mereka berbuka puasa di masjid bersama-sama orang ramai tetapi mereka di tempatkan di suatu ruang yang di khaskan untuk mereka. Alhamdulillah ! Mak teh mendapat lapuran bahawa makanan yang di hidangkan sedap dan mengeyangkan mereka. Kami juga telah membekalkan mereka dengan buah kurma untuk berbuka.

Mereka bersolat maghrib, kemudian sambil menunggu solat Isya ada Tazkira. Selain dari itu mereka akan membaca al-Quran masing-masing ( mereka tidak duduk sahaja menunggu waktu ). Kemudian mereka akan menunaikan solat Isya serta solat Tarawih sehingga selesai 20 rakaat dan juga solat witir 3 rakaat bersama-sama jemaah lain.

Bagi Mak teh ( aku percaya anak-anak Tahfiz dan jemaah lain juga bersa begitu ) berada di Masjid Negeri melakukan ibadah di bulan Ramadhan amat mengembirakan kerana sangat ramai para jemaah ( terutama diawal bulan Ramadhan penuh sesak ) menimbulkan suasana meriah ( mengimarhkan masjid ) merayakan bulan yang istimewa ini. Keadaan jemaah terkawal dan tertib serta tidak bising.( Malahan kata anak-anakku, masjid ini lebih bagus perlakuan jemaahnya daripada masjid-masjid yang pernah mereka kunjungi di Negara-negara Arab sewaktu bulan Ramadhan )

Bagi diri mak teh dan Pak haji suasana di masjid Negeri tidak dapat di tandingi oleh manan-mana masjid dalam Negara ( kami telah mengalami Ramadhan di negeri lain )ini dan terasa seolah-olah mengingatkan kami kepada Masjid Nabawi, sedikit dapat melepaskan rindu kepada masjid Nabawi. Syabas kepada pihak pengurusan masjid, kerana pada tahun ini keadaan lebih baik, ada pengawal khas kanak-kanak yang bersolat dan ada nurseri di tingkat bawah. Maka kuranglah keriuhan dan gelagat anak-anak yang menganggu solat para jemaah.

Sebenarnya tarikan kami kepada Masjid Negerilah yang membuat Pak haji tidak mahu sekolah kami dibangunkan jauh dari Masjid Negeri. Pernah ada pihak telah mempelawakan cadangan tapak sekolah kami di bangunkan di tempat lain, tetapi telah di tolak oleh Pak haji. ( Bukan itu sahaja sebabnya, berada di tempat sekarang, kami dapat banyak kemudahan-kemudahan untuk sekolah .Ini merupakan kelebihan bagi sekolah kami. Selain dari itu, anak-anak Tahfiz kami yang mendampingi masyarakat dapat menyesuaikan diri kepada keadaan sebenar )

Berbalik kepada cerita bulan Ramadhan, anak-anak Tahfiz yang akan bertaddarus di Istana bermula malam ini. Mereka akan melakukan solat terwih 8 rakaat kemudian bersama seorang ustaz bertolak keIstana untuk bertaddarus. Setelah bertaddarus tamat membaca 1 1/2 Juzu', mereka di hidangkan jamuan istimemewa setiap malam. Maka mereka balik keasrama selalunya kekenyangan.

Anak-anak Tahfiz lain akan di bawa balik ke asrama pada jam 10.45 malam setelah selesai Terawih dan makan moreh di sediakan oleh pihak masjid. Mereka juga pulang kekenyangan. Mereka bertaddarus di asrama sehingga jam 11.45 malam.

Thursday, 20 August 2009

Dua Hari Sebelum Ramadhan

Assalamualaikum !

Hari ini mengikut kiraan, hanya dua hari lagi menjelang 1 Ramadhan. Kesibukan kami warga MTAQSA tersa awal pagi lagi apabila Pak haji memberitahu seorang tetamu istimewa akan melawat sekolah kami.

Maka, pada jam 8.45 pagi, tibalah tetamu tersebut masuk ke surau sekolah bertemu kami sambil melihat perjalanan sekolah kami. Masya-Allah kami di lawati oleh seorang Syeikh ternama dari Khaherah! Apabila beliau menyaksikan anak-anak Tahfiz kami yang sedang tekun mennghafal dan mentasme' beliau terus membaca doa-doa untuk sekolah kami. Beliau gembira bertemu dengan ustaz-ustaz kami yang juga merupakan kenalan atau bekas penuntut beliau.

Hari ini juga ada hamba Allah yang berkunjung ke sekolah kami semata-mata untuk bersedekah dan memberi beras. Rahmat bulan Ramadhan sudah terasa apabila ada orang hamba Allah menegurku sedang aku membeli barang-barang keperluan dipasar. Hamba Allah itu terus menbayar harga barang-barang yang aku beli itu. Alhamdulillah, besarnya rahmat Allah kepada kami, hambanya!

" Ibu apa yang hendak kita masakkan untuk makanan esok hari? " bersuara pembantuku.

" Ya, esok hari sebelum puasa, kau buatlah masakan kegemaran mereka." kataku

" kalau begitu, sarapan saya akan sediakan roti dan tuna, jam 10 saya sediakan koay teow. Ibu kena bahagikan nanti tidak cukup." kata pembantuku.

" Ok, kau lebihkan sedikit makanan itu
dari biasa." jawabku.

Pak haji dan anakku Aly, sedang membuat jadual penghantaran anak-anak Tahfiz ke masjid. Memandangkan kapasiti bas ( yang di sewa kahas untuk tujuan ini )hanya cukup untuk anak-anak Tahfiz lelaki sahaja, anak-anak Tahfiz puteri terpaksalah di hantar dengan van sekolah kami. Jarulatih kami Syah akan di minta bertugas petang sehingga malam sepanjang Ramadhan ini. Jadi Syahlah yang akan di tugaskan menghantar anak-anak Tahfiz Puteri setiap hari sepajang Ramadhan.

Aly pula akan bertugas membawa anak-anak Tahfiz bertaddarus di Istana. Mereka akan melakukan solat Tarawih 8 rakaat dahulu kemudian baru bertolak keistana.

Memgikut program kami, anak-anak Tahfiz akan berbuka di masjid setiap hari. Pada tahun ini ada 2 hari yang kami tidak akan berbuka di masjid. Pertama pada malam kami di jemput berbuka di sebuah hotel. Kedua pada malam ada jamuan besar-besaran di masjid. Ramai orang luar akan berbuka pada malam itu menyebabkan terlalu lama menunggu sebelum berbuka puasa sebab kena booking tempat awll lagi. Alhamdulillah pada tahun ini ada orang akan memberi makan anak-anak tahfiz untuk berbuka pada hari itu. Insya-Allah.

Dari segi ibadah yang akan di lakukan sepanjang hari tidaklah banyak perbezaan untuk anak-anak ini kerana mereka telah di latih melakukannya setiap hari seperti bangun awal sebelum subuh untuk lakukan solat-solat malam. Perkara yang mereka nanti-nantikan ialah melakukan solat Tarawaih dan bertaddarus.

Alhamdulillah, Allah SWT telah panjangkan umur kita dapat bertemu Ramadhan sekali lagi. Selamat Beribadah !

Wednesday, 19 August 2009

Persiapan Menyambut Ramadhan

Assalamualaikum !

Kelibat bulan Ramadhan sudah melambai-lambai kita. Kami telah membuat persiapan awal untuk menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.

Pertama semua jubah putih baru untuk ke masjid yang kami tempah sudahpun siap. Begitu juga baju Melayu untuk pelajar-pelajar yang di pilih untuk bertaddarus di Istana. Kami juga sudah menempah sebuah bas untuk menghantar Anak-anak Tahfiz ke masjid setiap petang dan membawa mereka pulang selepas solat Tarawih setiap malam.

Makanan untuk anak-anak Tahfiz bersahur sudah di tempah dari katerer. Buah kurma untuk berbuka sudahpun di beli dan ada juga yang dermawan hantar ke asrama sedekah. Majlis berbuka puasa istimewa yang di undang oleh sebuah hotel Lima Bintang sudahpun di terima.

Anak-anak Tahfiz akan dikejutkan jam 4.50 pagi setiap hari untuk bersahur. Jadual waktu persekolahan akan di ikuti sepenuhnya dan aktiviti kokurikulum di kurangkan. Mereka akan berbuka puasa di masjid dan akan berada di masjid sehingga jam 10.30 setiap malam selepas selesai solat Tarawih. Anak-anak Tahfiz akan pulang ke asrama dan akan bertaddarus hingga jam 11.30 malam. Kadangkala mereka di hidangkan lagi dengan supper sekiranya ada orang bersedekah.

Mengikut takwim sekolah kami, kami akan mula bercuti pada 23 bulan Ramadhan dan sekolah akan buka balik selepas 1 minggu berhari Raya.

Mak teh mengucapkan Terima Kasih kepada dermawan-dermawan yang menghidangkan kami juadah berbuka puasa pada hari Isnin lalu. Juga tidak lupa mak teh berterima kasih kepada yang menghantar kurma, yang bersedekah jariah ( datang sendiri dan masuk akaun tiap bulan ) dan hamba-hamba Allah yang telah mengeluarkan zakat kepada kami. Jazakallah !

Kepada semua sahabat yang kukasihi dan kepada pembaca blog ini di ucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak, Semoga kita semua dapat melakukan lebih banyak ibadah untuk merebut ganjaran yang di janjikan Allah SWT.

Monday, 17 August 2009

Lagi gambar-gambar sekitar perkhemahan

Salam Semua!



Pasukan pertama siap mendirikan khemah




Memapah kawan yang cedera ( lakunan sahaja ) balik ke Base Camp





Puteri-puteri kami di dalam hutan



Sedapnya makan dusuap oleh kawan



Bermain di Sungai




Inilah yang paling mereka suka bermandi manda dalam sungai



Letih menunggu bas, berbaring atas jalan



Akhirnya bas tiba untuk bawa pulang ( sehingga musim camping tahun hadapan )

Friday, 14 August 2009

Sambungan Kisah Perkhemahan

Salam Semua !

Banyak lagi kisah perkhemahan yanh nak mak teh ceritakan. Yang penting gambar-gambar di bawah ini menunjukkan aktiviti-aktiviti yang anak-anak Tahfiz kami lakukan. Terbuktilah mereka amat seronok melakukannya walaupun ada perkara-perkara yang menyusahkan mereka. Pengalaman ini akan membebtuk jatidiri mereka dan menguatkan semangat ukhwah dan setiakawan di kalangan mereka.




Kadet Tahfiz Puteri baru keluar dari hutan




Sempat berposing pulak tu!




Pasukan ini pula masih merangkak menghendap musuh.




Mencari kayu untuk memberi pertolongan kecemasan kepada kawan yang patah kaki




Puteri-puteri kami di dalam hutan




Mengambil wudhu di sungai berhampiran


Ada aktiviti yang amat mereka suka ia-itu bermandi-mamda di dalam sungai. Adengan ini di tapis menyebabkan gambarnya tidak bolih di siarkan. Hehehe!

Wednesday, 12 August 2009

Hari Ke 2 Perkhemahan

Salam Semua !

Semalam hari ke 2 perkhemahan, kami bertolak dari asrama puteri selepas solat subuh menaiki van dan Hilux. Sarat muatan van dengan anak-anak Tahfiz puteri dan sarat muatan Hilux dengan beg, bekalan makanan dan anak-anakku, Uda, Lia ( baru 1 hari pulang dari Jordan ) dan Yanna yang ikut bersama.

Perjalanan mengambil masa 1 jam lebih kerana tersangkut dalam jam di Federal Highway. Kami sampai di kawasan perkhemahan Hulu Langat jam 8. 10 pagi. Kelihatan kawasan yang berbukit-bukit itu masih lagi dalam dakapan kabus yang tebal. Aku menggigil kesejukkan, nasib baik anakku bekalkan aku sweater.

Tanpa berlengah anak-anak Tahfiz Puteri mengangkat beg dan bekalan di bantu oleh anak-anak Tahfiz lelaki yang sedia menunggu kedatangan kami. Kami tidak perlu memasang khemah kerana kami di tempatkan di khemah musolla.

Selesai meletakkan beg-beg di dalam khemah, anak-anak Tahfiz mendapat arahan bersiap sedia dari Kommander Camp. Kesemua mereka mengambil tempat dan membuat barisan untuk permulaan ' Long March '. Mereka bergerak dalam barisan sebaris yang panjang dan terus keluar dari kawasan Base Camp. Walaupun sayup-sayup sesekali kedengaran suara mereka, hanya 2 jam kemudian mereka sampai semula di Base Camp.

Lihatlah gambar-gambar aktiviti yang mereka lakukan di hari ke 2 dan dari wajah-wajah mereka tentu sekali nampaknya mereka sedang enjoy sangat! Mak teh dan Pak haji enjoy juga, cuma dalam usia emas ini kami tidak dapat turut serta melakukan aktiviti-aktiviti lasak lagi. Walaubagaimanapun mak teh dan Pak haji amat bersyukur Allah SWT kurniakan kami sebidang tanah ini berpuluh tahun yang lalu. Dahulu kami tidak pernah bayangkan kegunaan tanah ini sebegini.



Bergambar semasa baru tiba



Berjalan masuk ke kawasan Tapak Pekhemahan




Permulaan ' Long March ' meredah hutan berdekatan




Long March diikitu dengan barisan Pasukan Kadet Tahfiz Puteri ( yang baju purple tu Lia, merupakan ketua medical Team )




Baru keluar dari Hutan




Merangkak atas tanah kerana sembunyi dari musuh




Berguling-guling turun dari atas bukit supaya tidak dilihat musuh




Ada rakan-rakan yang cedera memerlukan pertolongan cemas




Nasib baik ada doktor turut serta




Berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Base Camp


Ada banyak lagi gambar-gambar yang akan di paparkan kepada anda. Terima Kasih!