Showing posts with label Keluargaku. Show all posts
Showing posts with label Keluargaku. Show all posts

Tuesday, 15 March 2011

Bersantai Di Rumah

Assalamualaikum! Cuaca nampak gelap seperti nak hujan. Aku tidak aktif hari ini, hanya bersantai di rumah. Rumahku sunyi sebab anak-anak tahfiz pulang bercuti sejak hari Jumaat lepas.Bagus juga begini kerana fikiranku mula ditumpukan kepada buku baru yang Zai ( seorang kawan editor publisher yang telah keluarkan bukuku dahulu )minta aku tuliskan. Semua benda nak tulis sudah lama ada dalam kepala. Masaalanya aku nak tulis dalam bentuk apa ya? Zai minta aku tuliskan pengalamanku mendidik dan membesarkan 9 orang anak. Katanya buku macamtu akan memberi panduan kepada ibu-ibu muda.

Betul juga kata Zai tu. Ramai ibu-ibu telah bertanyakan aku bagaimana dalam kesibukan berkarier aku dan suami dapat mendidik dan membesarkan anak-anak yang 9 orang itu. Dari sudut mana ye aku nak mulakan? Kesihatan dan pemakanan mereka, pendidikan ilmu dunia dan akhirat, tertib dan adab sopan, atau penekanan disiplin? Sebenarnya bila difikirkan semuanya ada hubungkaitnya, mendidik dan membesarkan anak-anak merangkumi kesemua itu.

Seperti yang mungkin anda pernah dengar, mendidik anak bermula dari dalam perut. Apa yang telah aku lakukan semasa mengandung? Pertama aku buat appoinment untuk mendapatkan khidmat Doktor Pakar Bidan (Gynie) yang terbaik pada waktu itu. Aku jaga kesihatan dengan makan makanan yang baik-baik termasuk segala vitamin dan zat galian yang di beri doktor. Aku jaga makan benda-benda yang aku pasti halal sahaja, sehingga kalau nak rasa buah yang akan ku beli aku akan minta izin dari penjualnya terlebih dahula. Benda-benda yang mungkin memudaratkan kandungan juga aku tidak akan makan.Aku juga akan jaga tingkah laku dan perkataan, takut terkenan pada kandungan. Sekiranya ternampak insan-insan yang cacat aku akan beristighfar dan mengalihkan pandangan kelain tempat kerana takut terkenan pada baby. Untuk menjaga keselamatan kandungan, aku tidak di benarkan mengangkat barang-barang berat. Semua pekerjaan rumah mesti di buat dengan duduk bertimpuh elok-elok. Selain dari itu ibadah sangat di beratkan dan bila ada kesempatan aku membaca Al-Quran, terutama surah-surah yang di sarankan ibu-ibu mengandung membacanya ( Surah Maryam, Surah Annisa', Surah Yusuf, Surah Luqman )

Sekian dulu, dah azan Asr. Insyaallah akan ku sambungkan esok.

Sunday, 8 November 2009

Wahai Ibu

Assalamualaikum !

Semalam kami pergi tengok Dr Farah, anak bisan baru melahirhankan anak ke duanya. Alhamdulillah, bayi perempuan itu comel dan sihat. Setelah bertanya khabar, aku mengangkat bayi. Sudah lama aku tak pegang baby jadi aku cubalah teka weight bayi itu. " Tak sampai 3 kg " kataku.

Si ibu tersenyum sambil berkata " 2.95 Kg " . Hehe ! pandai juga aku mengagak !

Sambil berbual dengan Si ibu, aku terkenang peristiwa aku mengandung 10 kali dan melahirkan 9 orang anak. Satu kandungan keguguran. Kalau aku buat flashback semua saat-saat melahirkan amat jelas terpahat dalam memoriku, tetapi malaslah nak mengenangkan kembali setiap detik itu. Ia adalah seperti melihat sebuah filem suspense, pernafasanku akan terasa sesak kembali. Akan terbayang juga muka Dr. Mc Coy yang telah menjadi hero dalam filem-filem tersebut. Alhamdulillah kesemua anak-anakku telah di lahirkan secara normal tanpa pill induce dan tanpa menggunakan banyak drugs sewaktu saat-saat genting.

" Anti passlah pengalaman anti dan beri nasihat pada ... ( adiknya, menantuku yang due date bersalinnya tak lama lagi )" kata Dr. Farah.

" Anti tak mahu banyak cerita, nanti takut pulak dia! " memang susah juga aku nak cakapkan hal-hal seperti itu pada menanatu.

Anyway, balik dari hospital, dengan tidak sengaja aku terbayang semua peristiwa yang berlalu. Tak dapat tidak di samping saat-saat kebahgiaan, ada juga terkenang saat-saat yang memilukan. Susah payah mengandung, melahirkan, membesarkan, mendidik, menyekolahkan anak-anak hanya tinggal dalam kenangan sendiri. Tidak dapat di perkatakan setiap butirnya.

Sekarang aku faham perasaan seorang ibu. Si ibu akan mudah berasa sayu atas perkara-perkara ( kadang-kadang nampak kecil )yang berlaku diantarnya dengan anak-anak tanpa dapat menyatakan kepada anak-anak perkara itu. Si ibu akan terasa terguris di dalam hatinya, namun menyedari peranannya sebagai ibu akan memaafkan segala kesilapan anak-anaknya. Di samping itu Si ibu akan selalu mendoakan kebahgiaan, keselamatan dan kejayaan anak-anaknya.

Aku juga selalu terkenang pada ibuku yang telah banyak berbuat jasa kepada kami. ( Ibu telah membesarkan 9 orang anak sebagai seorang ibu tunggal kerana ayahku meninggal dunia semasa kami masih kecil ) Ibuku yang sekarang udzur kerana usia yang lanjut sedang berada di rumahnya di kampung. Aku tidak dapat selalu menjenguknya. Aku hanya sentiasa berdoa akan kesejahteraannya dan semoga Allah mengampunkan segala dosanya.

Bak kata pepatah , " Seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. " Semoga ibuku memaafkan dosa-dosaku terhadapnya dan sentiasa mendoakan kebaikkan terhadapku. Ameen !

Syurga itu di bawah tapak kaki ibu !

Wahai ibu aku juga mengimpikan syurga !

Sekian , Wassalam !

Thursday, 29 October 2009

Ke KLIA Menghantar Aly

Salam Semua !

Pada hari Selasa malam Rabu kami pergi ke KLIA menghantar Aly balek ke Mesir. Atas permintaan anak-anak Tahfiz kami buat rombongan ke KLIA dengan menyewa Bas Lan ( Bas yang selalu kami sewa untuk membawa kami ke mana saja, tuanpunya bernama Lan dan dia juga pemandu ).

Kami bertolak jam 6.00 petang dan tiba di KLIA tepat waktu maghrib. Setelah menunaikan solat maghrib anak-anak Tahfiz di benarkan bebas berjalan dalam kumpulan sesuka hati mereka. Maka dengan wajah ceria, berkeliaran lah mereka pergi membeli-belah di kedai-kedai yang terdapat di situ. Mereka di bekalkan sandwich dan minuman kerana mereka belum makan malam. Nasi goreng, makanan malam mereka ada di dalam bas. Mereka akan makan dalam perjalanan pulang nanti.

Alhamdulillah berkat asuhan kami, mereka berkelakuan baik dan pandai membawa diri. Oleh kerana mereka memakai pakaian outing sekolah kami maka kemana saja mereka pergi berderet-deret, mereka menarik perhatian orang ramai. Ada orang yang bertanya kepadaku, siapakah mereka ini dan mereka nak berlepas ke mana?. Sehingga ada seorang mak cik yang mengikuti mereka kesana-sini untuk bertanya macam-macam soalan kepada mereka. Aku melihat saja semua adegan itu tanpa masuk campur. Aku pandang sahaja dari jauh.

Cerita anak-anak Tahfiz kepadaku kemudian bahawa mak cik itu bertanya adakah mereka hendak berlepas ke Mesir untuk melajutkan pelajaran di Al Azhar? Mereka telah menjawab " Insya-Allah dalam 3 tahun lagi!" Mula-mula mak cik itu memang menyangka mereka akan berlepas ke Mesir malam itu bersama Aly. Hehehe!

Sementara menunggu kaunter buka, kami bergambar beramai-ramai dengan pelbagai posing. Jam 10.00 barang-barang Aly sudah di check-in, kamipun menyuruh anak-anak Tahfiz pulang dengan bas sedangkan mak teh dan Pak haji terus menunggu sehingga Aly masuk ke balai berlepas. Menghantar anak-anak kami ke Lapangan terbang KLIA, sudah merupakan perkara rutin bagi Mak teh dan Pak haji kerana dalam masa sebulan lebih ini telah 4 kali kami berbuat demikian!

Sekian dulu nanti akan di update lagi dengan gambar-gambar.

Thursday, 1 October 2009

Selepas Raya

Assalamualaikum !

Mak teh dan Pak haji telah balik ke kampong selama 2 hari pada hari raya ke 6 . Kami bergegas pulang semula kerana anak-anak Tahfiz masuk asrama pada hari Ahad lepas. Anak-anak Tahfiz sudah mula menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan. Nampaknya mereka semakin tekun mengulangkaji dan membuat kerja-kerja sekolah yang di beri guru.

Kesusahan yang amat kami rasakan sekarang ialah kerja-kerja menyediakan makanan menyelenggarakan rumah serta premis asrama kerana pembantuku belum pulang. Sementara menunggu kepulangannya kami semua membuat kerja-kerja tersebut. Sarapan pagi kami sediakan alakadar sahaja. Makanan tengah hari dan makanan malam di sediakan oleh Maria, katerer kami. ( sebelum ini Maria hanya sediakan makan tengah hari sahaja ). Makanan jam 9.30 pagi untuk anak-anak sekolah rendah dan 10.30 pagi untuk sekolah menengah amat sukar untukku menyediakannya. Jadi aku order saja roti canai dari restoran sahabat kami. Aku rasa kasihan pula, takkan nak beri anak-anak Tahfiz makan roti canai setiap hari! Makanan petang anak-anak sekolan rendah aku sediakan susu segar dan bijirin sahaja.

Nasib baik kain untuk laundry di uruskan oleh Alan. Pak haji yang supervise kerja-kerja Alan setiap hari. Masakan untuk makanan kami di rumah, Yanna yang melakukannya kalau dia ada kesempatan kerana Yanna juga mengajar sambilan. Nak harap aku boleh lakukan kesemuanya ? Tak boleh, pagi tadi kepala aku jadi pening dan badan rasa nak tergolek ! Aly pula banyak membantu kami di sekolah. Sekarang Pak haji tidak terlalu tertekan kerana ada 2 orang guru baru. Aku masih mengajar English dan Bahasa setiap hari. Anda tentu hairan kenapa aku jarang menceritakan Aizad dalam cerita sekolah kami. Sebenarnya Aizad sekarang telah bekerja sebagai pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi berhampiran. Untuk mengisi kekosongan Aizad kami telah menyuruh Huda meletakan jawatannya sebagai arkitek ( interior ) agar dia dapat membantu kami. Disamping itu Huda juga akan memulakan latihan-latihan perlu untuk mendapat pengalaman untuk membuka Kelah Ekuin kami kelak. Huda anak keempat merupakan seorang penunggang yang cekap dan pernah memasuki pertandingan-pertandingn berkuda.

Sebelum mak teh mengundur diri mak teh nak berpantun sedikit yang ada kena mengena dengan pengalaman mak teh hari ini dan juga pernah berlaku sebelum ini:


Banyak udang banyak garam,

Banyak orang, banyak ragam !


Sewaktu berjalan terhuyung-hayang,

Membakar sate guna arang,

Anak didik anak di sayang,

Apakan daya anak orang!


Di tepi jalan ada perigi,

Dalam perigi ada ikan,

Ingatlah anak yang telah pergi,

Ajaran kami jangan di abaikan !


Di tepi sawah ada parit,

Parit bengkok kami luruskan,

Walaupun pengalaman agak perit,

Perjuangan kami tetap di teruskan !


Wassalam !

Tuesday, 29 September 2009

Anak-anak Tahfiz Pulang Ke Asrama

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, anak-anak Tahfiz telah kembali ke asrama pada petang ahad lalu. Hanya seorang belum kembali kerana di serang penyakit di percayai adik-beradik A (HINI). Kami semua berdoa agar dia cepat sembuh.

Alhamdulillah ! Kami telah mendapat dua orang tenaga pengajar baru yang telah melaporkan diri. Kelegaan bagi kami yang sangat memerlukan tenaga pengajar tambahan. Di harap dengan adanya mereka ini akan bertambah mantaplah sekolah kami. Dari satu sudut yang yang lain keadaan kami sedikit kalam-kabut, kerana tidak ada pekerja pembantu. Pembantu kami yang telah pergi bercuti Liburan di jangka akan kembali bertugas minggu hadapan, Insya-Allah. Namun berkat kecekapan Pak Haji yang beraksi seperti seorang General dalam peperangan, semua perkara berjalan seperti biasa. Apapun sesaklah juga nafasku !

Berita daripada anak-anak di luar Negara di terima setiap malam sebelum aku masuk tidur. Lia sibuk dengan pengajiannya sedangkan Kin telah berpindah ke rumah yang lebih sesuai. Kin akan mula berkuliah hari ini. Mak teh dan Pak haji sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaan mereka.

Permohonan untuk kemasukan tahun 210 telah bermula. Kami akan mula menemuduga pemohon pada hari ahad ini. Kami akan menemuduga pemohon-pemohon yang berminat yang mendapat 4 atau 5 A dalam peperiksaan percubaan UPSR mereka. Permohonan untuk anak-anak sekolah rendah masuk asramapun ada. Buat masa ini kami tidak bercadang amabil anak-anak kecil masuk asrama. Kemungkinan di masa hadapan kami akan ambil anak-anak darjah 5 & 6 masuk asrama akan di pertimbangkan. Memandangkan cabaran yang ibubapa hadapi di zaman sekarang dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, kami sanggup menyediakan kemudahan pembelajaran berasrama di peringkat sekolah rendah itu.

Kepada yang berminat sila hubungi kami telefon 03- 55139880. Insya-Allah kami akan menjawab semua pertanyaan. Ingatlah pepatah Melayu ;

Malu bertanya sesat jalan !

Hendak melentur buluh, mestilah dari rebungnya !

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya !

Tepuk dada tanya selera !

Sekian dahulu, terima kasih!

Wednesday, 23 September 2009

Terbanglah Anakku Selamat Ke Destinasi

Assalamualaikum !

Awal pagi aku ke pasar bersama Lia untuk membeli benda-benda yang dia nak bawa balik Jordan. Dia nak serai, daun kunyit, lengkuas, bunga kantan dan daun limau perut. Semua ada kat pasar seksyen 6 tu. Dia request nak makan bihun sup dan soto, maka aku belilah bahan-bahan perlu untuk membuatnya.Tengah hari tadi dah buat bihun sup special request tu. Nasib baik buat banyak, ada tetamu datang dan jadi rezeki di hidangkan kepada mereka.

Lia dah pack semua barang-barang dalam beg besar dan sebuah beg kecil yang akan di bawa sebagai hand luggage. Biasalah apabila anak-anak nak balik semula ke luar Negara, macam-macamlah yang mereka nak bawa balik. Tambahan pula bagi kes Lia ni dia tidak bercadang akan balik di tahun hadapan. Malam ini kami akan hantar Lia ke KLIA.

Selepas ini nak kisah hal Yanna pula yang akan balik ke Mesir. Akhirnya yang ada di rumah nanti tinggal 2 orang anak dan Polly burung parrot peliharaan kami. Anak-anak kucing kepunyaan Kin sudah di beri pada orang. Lapanglah sikit hatiku kerana aku tidak akan hidu bau yang menusuk hidung yang tidak menyenangkan!

Alhamdulillah! Nasib mak teh dan Pak haji di kira baik. Walaupun anak-anak sudah tiada di rumah kami ada anak-anak Tahfiz yang akan menceria dan menyibukan hidup kami. Suara hilai tawa anak-anakku di ganti dengan suara mengaji al-Quran anak-anak Tahfiz pula. Rindunya kami pada suara mereka melagukan doa " Allahumarhamna bil Quraan, ................. Ya Robbulalamieen! " setiap kali mereka selesai sesi membaca al-Quran. Hari Ahad 27 September nanti pulanglah mereka. Dan suara mereka akan melenyapkan kesunyian kami.

Alangkah bertuahnya kami! Kesyukuran di panjatkan kepada Allah SWT.

Thursday, 17 September 2009

Berangkat Ke Luar Negara

Salam Semua !

Semalam sekolah kami mula bercuti menyambut Aidilfitri. Ibubapa datang menjemput anak-anak mereka dari jam 11.00 pagi hinggalah jam 6.00 petang. Asrama di tutup jam 12.00 malam kerana kumpulan Taddarus Istana pulang lewat.

Malam tadi di adakan Majlis Khatam al-Quran di Istana Alam Shah, Kelang. Anak-anak tahfiz yang telah bertugas bertaddarus di Istana Kayangan telah di jemput untuk ke Majlis tersebut. Pak haji telah membawa mereka pada jam 6.00 petang ke Istana Kelang. Mereka memakai baju Melayu berwarna biru, bersampin kain songkit dan bersongkok hitam untuk Majlis tersebut. ( Tentu anda dapat bayangkan 'smartnya' mereka ).Majlis itu di hadiri oleh pembesar-pembesar Negeri, ahli-ahli Taddarus kumpulan lain, para jemputan dan kerabat Di Raja.

Selesai Solat Tarawih, Majlis bermula dengan bacaan ayat-ayat suci mengkhatamkan Al-quran. Kemudian ahli-ahli yang bertaddarus menerima hadiah sagu hati berupa satu sampul berisi wang dan sehelai kain songkit. Setelah selesai mereka di raikan dengan jamuan makan. Tentulah anak-anak Tahfiz kami amat teruja menghadiri Majlis tersebut dan sangat gembira menerima hadiah-hadiah yang di beri. Mereka sampai pulang ke asrama jam 11.30 malam.

Hari ini Mak teh dan Pak haji bolehlah relax sedikit. Kami termasuk kesemua anak-anakku akan menghantar anak sulungku, Kin ke lapangan Terbang KLIA, jam 6.00 petang nanti ( Flight 9.30 malam ). Ini adalah keberangkatan ke U.K untuk menyambungkan pelajaran untuk kali ke 2 bagi Kin. Dia mungkin rasa macam balik kampung kat U.K lah kut. Lima tahun yang lalu dia berkampung di Cardiff, tetapi kali ini kat tengah-tengah Kota London pulak. Kami berdoa semoga tidak ada perkara yang tak di ingini yang akan di tempuhnya memandangkan kebelakangan ini di Kota itu ada tunjuk perasaan anti-Islam.

Bagi keluarga kami keberangkatan ahli keluarga keluar Negara untuk menuntut ilmu sudah bermula sejak 14 tahun yang lalu, semasa Amal anak ke2 pergi ke U.K. Selepas itu anak-anak yang lain mengikut jejaknya. Maka sudah menjadi perkara biasalah bagi kami melepaskan anak-anak ke Luar Negara. Perpisahan begini tidak menjadi kesedihan bagiku dan Pak haji.

Nampaknya kami akan berbuka puasa di Lapangan terbanglah. Tak kuasalah aku nak sediakan makanan berbuka puasa dan berangkut-angkut bekalan makanan ke lapangan terbang nanti. Jadi perkara yang paling mudah adalah untuk kami berbuka di fast food outlet kat airport tu. Hehehe! Kalau sesiapa nak join bolehlah!

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pembaca blog mak teh!