Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Monday, 14 September 2009

Hari Ke 24 Ramadhan

Assalamualaikum!

Hanya tinggal 2 hari lagi sebelum anak-anak Tahfiz mula bercuti untuk menyambut Aidilfitri. Lusa mereka akan berangkat pulang. Legalahlah mak teh dan Pak Haji dapat bercuti selama 12 hari!

Pagi tadi mak teh ada kelas BM dengan tingakatan 2. Nampaknya pelajar-pelajar sudah dalam mood bercuti. Ada yang kelihatan fikiran mereka melayang jauh. Ada juga yang tersengguk-sengguk mengantuk. Aku telah berusaha menarik perhatian mereka dengan meninggikan suaraku. Terasa letihlah pula hari ini.

Supaya tidak mahu keletihan lagi aku tidak akan masak banyak hari ini untuk berbuka puasa. Aku akan masak mee goreng mamak sahaja. Selainnya akan ku angkut dari kedai yang menjual beraneka juadah berbuka puasa. Bajetku rm 50 rasanya dah lebih dari cukup. Ringkas dan menjimatkan masa dan tenaga. Tambahan pula 2 orang anak daraku yang baru pulang dari kampung telah membuat laporan bahawa mereka telah makan berbagai juadah di kampung. Jadi tak payah lah nak susah payah nak masak spesial untuk mereka. Hehehe!

Sekian dulu untuk hari ini. Insya-Allah esok kami akan adakan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih bersama anak-anak Tahfiz dan doa selamat untuk Kin . ( Maaf tak jemput sahabat-sahabat sebab mak teh tidak mempunyai pembantu. Pembantu mak teh balik kampung untuk bercuti Lebaran ). Salam ceria dari mak teh untuk semua.

Saturday, 12 September 2009

Fasa ke 3, 10 Hari Terakhir Ramadhan

Assalamualaikum !

Alhamdulillah, kita sudah sampai ke kemuncak ibadah di bulan Ramadhan. Kalau ada rezeki kita akan bertemu dengan Lailatulqadar atau malam seribu bulan. Di malam yang mulia ini segala ibadah kita akan di beri pahala seolah-olah kita beribadah 1000 bulan. Maka ramailah para malikat yang di tugaskan turun ke dunia ini membawa rahmat di malam tersebut. ( Surah Qadr ). Kejadian Lailatulqadr di percayai berlaku pada salah satu malam 10 hari terakhir Ramadhan.

Cuaca di pagi hari ini agak redup. Maka terkenang aku akan kata-kata Ibu sewaktu aku kecil dahulu, " Kalau dimalamnya terjadinya Lailatulqadar, maka di pagi harinya akan sejuk dan redup. Ini di sebabkan cahaya matahari pagi di lindung oleh sayap-sayap malaikat yang naik semula ke langit." Ramai di antara kita yang tertanya-tanya, Malam manakah akan berlakunya Lailatulqadar ?

Apapun sejak kecil kami di ajar mengejar Lailatulqadar dengan beribadah bersungguh-sungguh 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Tak kiralah malam yang mana akan terjadinya Lailatulqadar itu. Berpuasa dan beribadah di 10 hari terakhir bulan Ramadhan juga di janjikan Allah kita dilindungi dari dimasukkan ke dalam Neraka.

Mendapat bertemu malam Lailatulqadar ini adalah rezeki yang di beri oleh Allah. Tentu sekali orang yang mendapat kemuliaan sebegitu adalah di kalangan orang-orang yang kuat beribadah, iaitu orang-orang ahli ibadah. Oleh itu kita usahakanlah menjadi orang yang tergolong kuat beribadah kalau ingin bertemu keajaiban itu.

Ada orang merungut bahawa susah menyuruh anak-anaknya berpuasa dan menunaikan solat 5waktu. Pendedahan kepada anak-anak sewaktu mereka kecil lagi akan hal-hal agama dan kebaikan beribadah akan mempermudahkan urusan anda mendidik anak-anak berbuat demikian. Insya-Allah lebih mudah kerja anda kalau anak-anak itu di masukan ke sekolah agama. Ini kerana mereka akan di didik lebih awal untuk memahami selok-belok agama dan melakukan ibadah.

Otak anak-anak kecil adalah sererti sponge, akan menyerap dengan pantas apa saja yang di ajar. Maka apakah yang lebih elok anak-anak itu serapkan ke otaknya dari kecil kalau tidak perkara-perkara agama? Ada ibubapa membelikan anak-anaknya apa saja yang di kehendaki seperti laptop, tv screen besar dinding, alat-alat permainan yang mahal-mahal, segala cd cerita kartun atau lebih dahsyat cd filem-filem barat sehingga anak-anak kecil itu sudah pandai mencarut-marut seperti orang barat. Astaghfirullah! Janganlah hendaknya perkara begini berlaku kepada anak-anak kita.

Di dalam kekalutan kita mencari nafkah setiap hari janganlah kita lupa akan tanggungjawab kita yang utama, iaitu mendidik anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan manusia yang berguna di hari muka. Luangkanlah juga masa untuk kita beribadat agar di hari tua kita tidak menyesal. Hari tua akan datang tidaklah lama lagi. Sedar-sedar kita sudah menghadapi hari-hari senja.

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca tazkirah Mak Teh!

Thursday, 10 September 2009

Hari Ke 20 Berpuasa

Salam Semua !

Hari ini adalah hari ke 20 kita berpuasa. Hanya ada 10 hari lagi sebelum Ramadhan melabuhkan tabirnya. Kita hanya ada 10 hari sahaja lagi untuk merebut pahala-pahala di bulan Ramadhan yang di janjikan Allah SWT.

Dalam bulan Ramadhan ini di umpamakan sebuah kapal yang besar datang berlabuh untuk memberi barangan yang bagus-bagus ( ganjaran )kepada kita. Maka inilah peluang untuk kita merebut ganjaran itu. Bagaimanakah caranya kita dapat merebut ganjaran istimewa itu ? Caranya ialah selain berpuasa ( wajib ), kita hendaklah melakukan ibdah-ibadah sunat seperti berzikir, membaca al-Quran ( bertaddarus ), melakukan solat sunat Tarawih dan solat-solat sunat malam ( Qiamullail ), bersedekah, memberi makan orang-orang yang berpuasa, membantu fakir miskin dan berbagai amalan-amalan yang baik semuanya mendapat ganjaran yang banyak.

Apabila berakhir Ramadhan maka kapal besar itupun akan berangkat dari pelabuhan kita dan belayar jauh sehingga timbul bulan Ramadhan tahun hadapan barulah ia muncul semula. Maka seharusnya berdoalah kita agar umur kita dipanjangkan Allah supaya dapat bertemu Ramadhan tahun hadapan.

Saya terkejut apabila mendengar seseorang berkata ( dalam sebuah rancangan tv ) " Di dalam bulan Ramadhan ini hendaklah kita merebut peluang membuat banyak duit ......"

Astaghfirullah! Nampak sangat orang itu bermata duitan dan kurang pengetahuannya tentang agama. Sedangkan ada ustaz yang bertazkirah berkata, " Rebutlah peluang membuat ibadah dalam bulan Ramadhan, kuih rayapun tak usah buat beli sahaja supaya masa terluang itu digunakan untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin "

Ada pula seorang kawan yang tidak dapat beserta untuk bertaddarus dengan alasan gerainya menghasilkan beribu-ribu ringgit dalam bulan Ramadhan. Katanya " Kalau tak tunggu gerai itu, siapa nak beri kita duit yang sebanyak itu??" Tak dapatlah aku menjawabnya, cuma di dalam hatiku berkata, " Semua rezeki datang dari Allah. Ada rezeki membawa berkat dan ada rezeki yang tidak berkat "

Sekian dulu Tazkirahku di pagi ini. Tazkirah ini adalah untuk diriku dan kawan-kawan yang mahu membacanya. Semoga kita semua di beri Hidayah olehNYA.

Saturday, 5 September 2009

Hari Ke 15 Ramadhan

Assalamualaikum!

Kicauan burung-burung di luar rumah memecah keheningan pagi. Suasana pada pagi hari ke 15 Ramadhan memberikan ketenteraman jiwa padaku. Terkenang juga kampung halaman di utara di mana aku telah di besarkan. Terbayang juga wajah tua ibuku. Bagaimanalah keadaan dia berpuasa dalam keuzurannya. Dulu semasa muda dia amat kuat melakukan solat sunat Tarawih dan bertaddarus dalam bulan Ramadhan.

Ibu mempunyai dua orang dayang-dayang ( bibik ) menjaganya. Seorang menjaga keperluan dirinya dan seorang lagi mejaga kebersihan rumahnya. Ibu amat bernasib baik kerana di usia tuanya ada anaknya yang mampu mengadakan 2 bibik khas untuknya. Inilah di antara nikmat hidup yang di kurnia Allah SWT kepadanya.

Sahur tadi kami telah menghidangkan roti crussoint dan tuna sandwich berserta cereal dan susu segar. Kelainan menu sahur kami adalah untuk mengelak anak-anak Tahfiz jemu dengan menu nasi sebagai kebiasaan kita. Di harap mereka dapat menyesuaikan perut puasa mereka dengan bersahur makanan sebegini.

Pagi ini, hanya Elite Group Memanah sahaja yang turun ke padang untuk berlatih. Anak-anak tahfiz lain membuat hafazan mereka atau kerja-kerja sekolah. Anak-anak Tahfiz Puteri akan membuat biskut raya dan akan belajar membuat sesuatu resepi baru. ( Aizad yang mengajar mereka sebab aku tidak pandai hal baking )

Katerer kami, Maria akan menyediakan makanan berbuka puasa kami untuk hari ini. Anak-anak Tahfiz tidak akan berbuka di Masjid Negeri pada hari ini kerana ada jamuan berbuka puasa besar besaran di sana. Kami tidak mahu menyusahkan anak-anak Tahfiz kami untuk berebut tempat. ( Dari pengalaman tahun lepas anak-anak Tahfiz terpaksa tunggu lama sebelum waktu berbuka untuk mendapat tempat kerana tidak di berikan tempat khas )

Sekian dulu untuk hari ini. Selamat Menjalankan Ibadah Berpuasa dan Ibadah Sunat !

Friday, 4 September 2009

Hari Ke 14 Berpuasa

Assalamualaikum !

Hari ini dah hari ke 14 kita berpuasa! Cepat sungguh masa berlalu. Ada orang lain dah sembang-sembang nak balik kampung beraya. Kami ni masih tenggelam dengan kisah anak-anak Tahfiz.

Untuk makanan sahur tadi kami telah menghidangkan roti telur dan roti canai, seketul ayam dan teh tarik. Makanan tersebut telah kami pesan dari restoran berdekatan. Ini bertujuan memberi sedikit kelainan untuk anak-anak Tahfiz menikmati makanan sahur. Ada 1 sahur lagi kami akan beri makanan ala-ala barat.

Kami ada 12 hari saja lagi sebelum sekolah kami bercuti. Selepas anak-anak Tahfiz bercuti, mereka akan kembali semula pada 27 september. Kami rancang akan adakan lawatan sambil belajar ke utara tanah air pada minggu pertama mereka kembali. Hanya mereka yang tekun membuat hafazan di waktu bercuti sahaja akan di bawa menyertai lawatan tersebut. ( merka mesti mencapai sekurang-kurangnya 70% dari jadual hafazan yang di kehendaki di buat dalam masa cuti nanti )

Alhamdulillah, laporan kesihatan anak-anak Tahfiz di bulan Ramadhan pada keseluruhannya adalah baik. Begitu juga kesihatan mak teh dan Pak haji. Semoga Allah sentiasa memelihara kami semua. Ameen !

Wednesday, 2 September 2009

Hari Ke 12 Berpuasa

Assalamualaikum !

Hari ini merupakan hari ke 12 kita berpuasa. Best ye! Sedar tak sedar sudah hampir setengah bulan kita berpuasa!

Hari ini juga sekolah kami maju setapak lagi, kami telah mula membuat laundry sendiri. ( Lepas ini tak payah bergaduh lagi dengan makcik-makcik kedai dobi lagi, kain yang di hantar hilanglah, kain yang dicuci tak bersihlah, bill yang di kenakan tinggi sangatlah dan macam-macam lagi ). Mesin pembasuh kain jenama Electrolux Komersial muatan 13 KG yang kami beli, telah mula beroperasi. Jadi mulai hari ini kami tidak lagi akan menggunakan perkhidmatan kedai dobi. Dapatlah kami berjimat sedikit. Sekarang kami menghadapi pula satu lagi masaalah. selagi kami tidak membeli mesin penggering kain kami tidak ada tempat jemuran yang sesuai. Perlahan-lahan lah, Insya-Allah kami akan usahakan membelinya. Apa pun kami bersyukur setakat apa yang ada.

Malam tadi kami makan sahur yang disedekahkan oleh kedai makan berdekatan. Esok kami akan order makanan sahur yang ada sedikit kelainan. Malam akhir sebelum bercuti, kami akan adakan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih di asrama perempuan. Kami juga akan adakan doa selamat untuk Kin yang akan berangkat ke London melanjutkan pelajarannya 3 hari sebelum Hari Raya.

Pada hujung minggu ini, anak-anak Tahfiz Puteri akan membuat kuih-kuih raya untuk di bawa pulang sebekas seorang. Mereka sudah pandai buat muffin, tarts dan cream puff. Ini adalah untuk menggalakan mereka pandai dan suka akan perkara-perkara berkaitan domestic science.

( Sila beri laluan kepada iklan. Hehehe! )Kami berharap semoga anak-anak didik kami akan pandai dalam semua perkara. Kami menberikan mereka pendidikan yang mantap bak kata orang putih " an all rounded education " Jadi sesiapa yang berkenan nak menghantar anak-anak ke sekolah kami silalah membuat pertanyaan lebih awal supaya anda tidak kecewa nanti kerana tempat adalah terhad! Jangan hanya dengar khabar-khabar angin, marilah lihat dengan mata sendiri!

Tuesday, 1 September 2009

Fasa Ke 2 Bulan Ramadhan

Assalamualaikum !

Hari ini telah 11 hari kita berpuasa. Alhamdulillah kita telah selamat menjalankan ibadah berpuasa untuk fasa pertama ( hari pertama hingga hari ke 10 ) di mana Allah SWT menjanjikan Rahmat bagi orang-orang yang berpuasa. Sekarang kita sedang menjalankan ibadah berpuasa untuk fasa ke 2 ( hari ke 11 hingga hari 20 ) kita di janjikan pengampunan oleh Allah SWT.

Anak-anak Tahfiz tekun menjalankan ibadah mereka ( berpuasa, melakukan solat Tarawih hingga 20 rakaat, bertaddarus di malam hari ). Kehadiran mereka dalam asrama hampir penuh apabila beberapa orang yang sakit di jangkiti demam selsema telah sihat dan kembali semula ke asrama.

Alhamdulillah, anak-anak Tahfiz yang lain kelihatan sihat dan ceria walaupun mereka berpuasa. Setiap malam kami beri mereka minuman tambahan seperti minuman isotonik, jus kurma dan susu untuk menguatkan sistem immuniti mereka. Namun mereka juga tidak sabar untuk pulang bercuti untuk bersama-sama keluarga mereka. Di atas whiteboard mereka sudah tertera berapa hari lagi untuk pulang bercuti yang mereka pangkah setiap hari. Sekolah kami akan mula bercuti pada 16 September ini. ( Untuk perhatian ibubapa pada entry yang dahulu mak teh silap letak tarikh cuti bermula ).

Ada sedikit pengumuman kepada ibubapa : Ibubapa boleh mengambil anak-anak pada hari Rabu 16 September selepas jam 11.00 pagi . Sekolah akan bercuti sehingga Ahad 27 September ( Kami lewatkan 1 hari dari tarikh asal ). Jadi ibubapa hendaklah menghantar anak-anak pulang ke asrama pada hari Ahad sebelum jam 6.00 petang. Bagi anak-anak yang terlibat dengan bertaddarus Di Istana mereka akan pulang bercuti lewat sedikit kerana akan menghadiri Majlis Khatam Al Quran Di Istana nanti dimana mereka akan diraikan dan di kurniakan hadiah saguhati.

Sekian, Selamat menjalankan ibadah extra dalam bulan Ramadhan yang mulia ini untuk merebut ganjaran yang banyak.

Saturday, 29 August 2009

Dugaan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum!

Sedar tak sedar hari ini sudah hari ke 7 kita berpuasa. Ramadhan tahun ini mendapati aku tidak lagi muda atau kuat. Namun aku bersyukur kerana dapat melakukan ibadah solat tarawih walaupun setakat ini belum sampai 20 rakaat.

Dugaan di bulan ramadhan tahun ini berat juga tetapi kami menghadapinya dengan sabar dan redha. Anak-anakku dan anak-anak tahfiz bersilih ganti demam selsema ( demam selsema yang tidak bahaya )Maka kami menjaga pesakit setiap hari apabila virus selsema yang melanda ini amat mudah dijangkiti. Kami amat risau akan wabak selsema babi yang sedang melanda. Jadi kami telah mengambil langkah-langkah pencegahan terlebih dahulu. Anak-anak Tahfiz telah membuat solat hajat dan berdoa agar Allah SWT melindungi kami semua dari penyakit tersebut. Di samping itu kami telah memberi mereka semua minum air rendaman habbatussaudak, air kelapa, air isotonok, air jus korma dan vitamin C untuk menjaga ketahanan sistem immunniti mereka. Alhamdulillah, setakat ini ramai lagi di antara mereka yang masih bertahan tidak di jangkiti virus selsema ini dan ada juga yang terkena tetapi tidaklah teruk sangat.

Ada lagi dugaan lain yang tidak dapat aku ceritakan di sini. Berat jugalah dugaan yang aku dan Pak haji lalui, namun kami percaya ada hikmahnya. Kami berdoa semoga Allah sentiasa melindungi kami dan memudahkan urusan kami. Setiap pengalaman pahit yang menimpa kami adalah satu pengajaran untuk kami. ( Pembaca blog ini dari kalangan kawan-kawan yang rapat bolehlah menelefon mak teh kalau nak tahu lebih lanjut ).

Mak teh mohon maaf kepada kawan-kawan tuan punya blog yang selalu mak teh lawati. Kebelakangan ini kerana sesuatu perkara teknikal ( yang mak teh sendiri tak faham) , mak teh tidak berjaya untuk publishkan komen dalam blog anda. Nak selidik puncanyapun mak teh sedang menghadapi perkara yang lebih penting. ( terutama blog Sarina, sudah banyak kali mak teh cuba )

Dalam bulan Ramadhan ini anak-anak Tahfiz tidak melakukan aktiviti ko-kurikulum seperti biasa. Namun untuk menjaga kesihatan mereka, mereka bersenam dan berkawad selepas subuh. Hanya pasukan elite memanah melakukan latihan hujung minggu seperti biasa kerana kami menyediakan mereka untuk pertandingan akan datang.

Anak-anak Tahfiz akan bersama kami berbuka puasa hingga 16 september. ( Hari akhir mereka sebelum bercuti ialah 17 september ). Insya-Allah, kami akan adakan majlis berbuka puasa di asrama pada 15 september sebelum mereka pergi bercuti.

Sekian, Selamat Berbuka Puasa dan melakukan Ibadah Tarawih!

Wednesday, 26 August 2009

Majlis Berbuka Puasa Di Hotel

Salam Semua!

Pada hari ke 3 Ramadhan kami di jemput ke majlis berbuka puasa di sebuah hotel 5 bintang. Jam 6.15 petang anak-anak Tahfiz di jemput oleh 2 van dari Hotel tersebut. Selebihnya pergi menaikki van sekolah kami dan kereta Pak haji. Seramai 60 orang telah di jemput.

Anak-anak Tahfiz sememangnya menanti-nantikan hari yang istimewa ini. Tiba di pintu Hotel kami di sambut mesra oleh pegawai-pegawai Hotel. Kami di bawa naik ke tingkat 2 di mana sebuah bilik seminar telah di tukarkan menjadi dewan solat. Majlis bermula dengan anak-anak Tahfiz membacakan surah Yassin, surah Waqiaah dan doa selamat. Apabila selesai bacaan masa berbukapun sudah hampir. Azan di laung dan kami berbuka puasa ringkas dengan minuman, buah kurma dan kuih-muih yang disediakan di luar dewan solat.

Kemudian kami menunaikan solat maghrib di imamkan oleh seorang ustaz dari sekolah kami. Selesai solat, kami di jemput turun ke tingkat bawah untuk menikmati juadah berbuka puasa yang telah di sediakan oleh pihak Hotel kepada pelanggan-pelanggannya. Maka hidangan sangatlah banyak jenisnya dan sungguh mewah.

Pak haji telah berpesan kepada anak-anak Tahfiz tentang adap sopan makan. Mereka hendaklah beratur mengambil makanan, mengambil makanan sederhana kuantitinya setiap kali ambil dan menghabiskan semua yang di ambil. Alhamdulillah, anak-anak ini pandai membawa diri di dalam majlis tersebut dan nampaknya mereka telah menikmati makanan-makanan yang berbagai itu sehingga mereka kenyang.

Setelah hampir masuk waktu Isya, kami semua naik ke tingkat 2 semula untuk menunaikan solat Isya di ikuti dengan solat Tarawih 8 rakaat. Imam-iamam solat Tarawih kami terdiri dari pelajar-pelajar tingkatan 3 sekolah kami. Alhamdulillah, mereka dapat membawa solat Tarawih dengan baik. Ada juga pegawai Hotel dan orang-orang awam yang turut serta menunaikan solat-solat tersebut bersama kami.

Selepas itu anak-anak tahfiz di raikan lagi dengan setiap orang mendapat hadiah sepeket duit raya seorang. Kemudian kami bergambar beramai-ramai dengan General Manager Hotel tersebut. Pada malam itu,di samping kami Hotel itu juga telah meraikan anak-anak yatim dari sebuah rumah anak-anak yantim Selayang.

Kemudian kami di jemput turun lagi sekali ke tingkat bawah untuk menikmati hidangan seterusnya yang di namakan " moreh " iaitu hidangan selepas menunaikan solat Tarawih. Lagi sekali anak-anak Tahfiz kami mengisi perut mereka dengan sepuas-puasnya. Alhamdulillah semua rezeki datang dari Allah SWT dan pihak hotel ini bermurah hati menjemput kami.

Anak-anak Tahfiz di hantar pulang ke asrama pada jam 10.30 malam setelah bersalam-salaman dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai hotel. Ternyata mereka sangat gembira dan kekenyangan. Pada malam itu mereka sangat akif ( kerana terlalu kenyang ) dan hanya masuk tidur pada jam 12.00 malam.

Terima kasih kepada pihak hotel tersebut, kami doakan perhubungan mereka dengan kami berpanjangan. Terima kasih daun keladi, tahun hadapan jemputlah lagi! Hehehe!

Monday, 24 August 2009

Hari Ke 2 Bulan Ramadhan

Salam Semua,

Semalam adalah hari ke 2 bulan Ramadhan. Perjalanan hari ini bagi anak-anak Tahfiz adalah seperti biasa. Semua berjalan dengan lancar.

Ada beberapa orang anak-anak Tahfiz yang di hantar balik kerumah kerana demam selsema biasa. Kami rasa lebih baik ibubapa mereka menjaga mereka dan juga kami tidak mahu selsema itu merebak kepada anak-anak tahfiz lain.

Malam tadi juga bermulanya tugas anak-anak Tahfiz kami bertaddarus di Istana. Mereka berpakaian jubah putih berkasut kulit hitam dan berstokin hitam. Mereka di kehendaki melaporkan diri di Istana jam 9.30 malam. Oleh itu mereka melakukan solat Tarawih 8 rakaat sahaja.

Kalau anda bersolat Tarawih di masjid Negeri anda mungkin ternampak anak-anak Tahfiz kami. Mereka kelihatan kemas, berdisiplin, pakaian seragam putih bersih bersolat dalam 2 baris ( bagi lelaki ). Anak-anak yang senior bersolat di barisan belakang Imam dan yang junior di saf ketiga sebelah kiri. Tujuan Pak haji mengaturkan mereka begitu ialah untuk memberi pendedahan awal kepada mereka akan tugas-tugas Imam.

Bagi anak-anak Tahfiz Puteri pula mereka ambil safpertama kawasan tengah masjid. Mereka berpakaian seragam jubah putih dan bertelekung putih serta berstokin hitam. Mereka di latih tidak berbual-bual di dalam masjid dan sentiasa membaca al-Quran semasa menunggu masuk waktu solat.

Bulan ramadhan ini ada sedikit ketenangan dan keringanan bagi Pak haji dan anak-anakku kerana tidak perlu menjadi pemandu mengambil dan menghantar anak-anak tahfiz ke masjid dan pulang dari masjid. Bas yang kami sewa khas untuk tujuan ini mengangkut anak-anak tersebut saban hari dalam bulan ramadhan. Alhamdulillah! Bas ini dapat kami sewa kerana wang sedekah jariah dan zakat dari pihak-pihak tertentu. Syukran jazeelan kepada pihak berkenaan.

Petang nanti kami akan bersiap-siap untuk pergi berbuka puasa di sebuah hotel lima bintang yang telah bermurah hati menjemput kami. Tahun lalupun kami telah di raikan oleh hotel tersebut . Mengikut pengalaman tahun lalu hidangan berbuka puasa di hotel itu amatlah istimewa dan mewah. Mendengar cerita ini, semua anak-anak tahfiz sangat teruja untuk pergi ke majlis berbuka puasa ini. Ada juga ibubapa dan keluarga anak-anak Tahfiz yang tinggal berdekatan akan ikut sama program ini. ( mereka jadi tetamu hotel bayar sendirilah ). Esok mak teh akan ceritakan berkenaan berbuka puasa ini kepada anda. Selamat berbuka puasa!

Thursday, 20 August 2009

Dua Hari Sebelum Ramadhan

Assalamualaikum !

Hari ini mengikut kiraan, hanya dua hari lagi menjelang 1 Ramadhan. Kesibukan kami warga MTAQSA tersa awal pagi lagi apabila Pak haji memberitahu seorang tetamu istimewa akan melawat sekolah kami.

Maka, pada jam 8.45 pagi, tibalah tetamu tersebut masuk ke surau sekolah bertemu kami sambil melihat perjalanan sekolah kami. Masya-Allah kami di lawati oleh seorang Syeikh ternama dari Khaherah! Apabila beliau menyaksikan anak-anak Tahfiz kami yang sedang tekun mennghafal dan mentasme' beliau terus membaca doa-doa untuk sekolah kami. Beliau gembira bertemu dengan ustaz-ustaz kami yang juga merupakan kenalan atau bekas penuntut beliau.

Hari ini juga ada hamba Allah yang berkunjung ke sekolah kami semata-mata untuk bersedekah dan memberi beras. Rahmat bulan Ramadhan sudah terasa apabila ada orang hamba Allah menegurku sedang aku membeli barang-barang keperluan dipasar. Hamba Allah itu terus menbayar harga barang-barang yang aku beli itu. Alhamdulillah, besarnya rahmat Allah kepada kami, hambanya!

" Ibu apa yang hendak kita masakkan untuk makanan esok hari? " bersuara pembantuku.

" Ya, esok hari sebelum puasa, kau buatlah masakan kegemaran mereka." kataku

" kalau begitu, sarapan saya akan sediakan roti dan tuna, jam 10 saya sediakan koay teow. Ibu kena bahagikan nanti tidak cukup." kata pembantuku.

" Ok, kau lebihkan sedikit makanan itu
dari biasa." jawabku.

Pak haji dan anakku Aly, sedang membuat jadual penghantaran anak-anak Tahfiz ke masjid. Memandangkan kapasiti bas ( yang di sewa kahas untuk tujuan ini )hanya cukup untuk anak-anak Tahfiz lelaki sahaja, anak-anak Tahfiz puteri terpaksalah di hantar dengan van sekolah kami. Jarulatih kami Syah akan di minta bertugas petang sehingga malam sepanjang Ramadhan ini. Jadi Syahlah yang akan di tugaskan menghantar anak-anak Tahfiz Puteri setiap hari sepajang Ramadhan.

Aly pula akan bertugas membawa anak-anak Tahfiz bertaddarus di Istana. Mereka akan melakukan solat Tarawih 8 rakaat dahulu kemudian baru bertolak keistana.

Memgikut program kami, anak-anak Tahfiz akan berbuka di masjid setiap hari. Pada tahun ini ada 2 hari yang kami tidak akan berbuka di masjid. Pertama pada malam kami di jemput berbuka di sebuah hotel. Kedua pada malam ada jamuan besar-besaran di masjid. Ramai orang luar akan berbuka pada malam itu menyebabkan terlalu lama menunggu sebelum berbuka puasa sebab kena booking tempat awll lagi. Alhamdulillah pada tahun ini ada orang akan memberi makan anak-anak tahfiz untuk berbuka pada hari itu. Insya-Allah.

Dari segi ibadah yang akan di lakukan sepanjang hari tidaklah banyak perbezaan untuk anak-anak ini kerana mereka telah di latih melakukannya setiap hari seperti bangun awal sebelum subuh untuk lakukan solat-solat malam. Perkara yang mereka nanti-nantikan ialah melakukan solat Tarawaih dan bertaddarus.

Alhamdulillah, Allah SWT telah panjangkan umur kita dapat bertemu Ramadhan sekali lagi. Selamat Beribadah !