Assalamualaikum !
Hari ini kita menyambut hari kemerdekaan yang ke 52. Ini bermakna mak teh sudahpun meningkat tua. Mak teh dilahirkan hanya beberapa tahun lebih awal dari laungan Kemerdekaan negara kita.
Masih teringat betapa aktifnya aku menjelang kemerdekaan. Ibubapaku merupakan ahli Seberkas iaitu sebuah pergerakkan untuk menuntut kemerdekaan dari British sebelum timbulnya UMNO di Kedah. Lepas itu mengikut arus perkembangan politik negara, ahli-ahli Seberkas telah menjadi ahli UMNO dan Seberkas dibubarkan. Mereka sangat keras menentang penubuhan Malayan Union. Aku telah mengikut ibu ke bandar dan kampung ke perhimpunan politik masa itu. ( Aku masih kecil di heret ibu kesana kemari ) Pada masa itu ibu sangat aktif dalam pergerakan politik. Walaupun ibu tidak pandai berpidato, ibu merupakan penyokong kuat pergerakan. Ibu diberi tugas membuat beribu-ribu bunga rossette untuk mengutip derma untuk tabung UMNO pada masa itu.
Aku masih ingat di suatu perhimpunan ibu dan kawan-kawan seperjuangannya menangis kerana berpisah landasan perjuangan. Masa itu aku sangat kehairanan, aku tidak memahami apa yang berlaku. Setelah aku dewasa barulah aku faham bahawa peristiwa itu ialah titik perpisahan apabila tertubuhnya sebuah parti baru iaitu Parti Islam ( PAS ). Ibu di persimpangan jalan dalam perjuangannya kerana seorang bapa saudaranya menjadi orang kuat pergerakan UMNO dan seorang lagi menjadi orang kuat pergerakan PAS. Selepas itu ibu berundur dari aktif dalam mana-mana pertubuhan politik.
Sekarang ibuku sudah uzur kerana tua. Kawan-kawan seperjuangannya ramai yang sudah tiada. Dia tidak lagi bercakap mengenai politik atau Kemerdekaan. Kami anak-anaknyapun yang kebanyakan berada di Lembah Kelang ini tidak sempat menjenguknya di hari Menyambut Kemerdekaan ini kerana kesibukan masing-masing.
Aku mendoakan agar ibu sentiasa bahagia di hari-hari senjanya ini.
Di hari cuti kerana menyambut Kemerdekaan ini, janganlah kita berehat dan bersantai sahaja. Marilah kita semua bertanyakan diri kita " Apakah sumbangan kita untuk memerdekakan bangsa kita? " Walaupun Negara kita telah lama merdeka bangsa Melayu belum lagi merdeka kerana ramai anak-anak muda kita terjebak dengan cara hidup yang merugikan dan memalukan maruah bangsa kita. Fikirlah dan lakukanlah sesuatu yang positif demi anak-cucu kita.
Bangunlah bangsaku demi Bangsa dan Negara !
Permit expired ! Dan kisah ibu tua
4 years ago
No comments:
Post a Comment