Showing posts with label Cerita Anak-anak Tahfiz. Show all posts
Showing posts with label Cerita Anak-anak Tahfiz. Show all posts

Saturday, 19 November 2011

Banyak Cerita

Assalamualikum!

Terlalu banyak cerita nak diupdatekan kerana telah lama aku tidak mencoretkan sesuatu di ruang ini. Jadi sebelum ada orang sms aku mengapa tak update blog ini, aku buatlah entry ini. Maaf ye Pak Uneng dan pengikut-pengikut setia yang lain. Kesibukan dan kesuntukan masa mengakibatkan situasi ini.

Big story yang pertama ialah aku telah mendapat cucu yang kedua seorang pahlawan bernama Mohammad Amir. Sekarang umurnya 2 bulan. Ingat tak dia ada cousin bernama Mohammad Ammar berumur hampir 2 tahun. Alhamdulillah, aku sudah ada 2 orang cucu!Mohammad Amir telah berpantang di Kuala Kangsar dan sekarang dalam perjalanan balik ke Alor Setar mengikut ayahnya yang bekerja dengan Insaniah.Rancangan Amir akan berada di sana selama sebulan sebelum ibunya balik bertugas di UiTM, Kuala Pilah. Kesian Amir! Mailah balik dok Shah Alam dengan maktok. Kalau dok dengan maktok belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab!

Big story kedua adalah kisah Lia, anakku yang kelima, telah bergelar Dr Aliaa. Beliau telah mendapat posting nun di utara tempat lubuk asal kami dekat dengan rumah neneknya. Dia masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan kehidupan seorang houseman. Berita darinya setiap hari ialah tak ada rehat, tak cukup tidur dan tak sempat makan, membuatkan kami sebagai ibubapanya tak senang hati mendengarnya. Nasib dia telah memdapat department O&G sebagai permulaan kerja menjadikan dia sedikit huruhara. Keterujaan yang dia ceritakan adalah apabila dia menyambut kelahiran seorang baby boy arab dan seorang cina dari China yang mana ibu-ibu tersebut tidak pandai berbahasa Inggeris, jadi dia teruja dapat menggunakan bahasa Arab berkomunikasi dengan mereka.

Kisah anak-anak tahfiz pula, mereka sedang menduduki peperiksaan akhir tahun. Peperiksaan akademik dan al-quran telah selesai dan mereka sedang menduduki peperiksaan subjek-subjek agama. Ada juga yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Sebulan lalu anak-anak tahfiz ting 4 telah menduduki peperiksaan SMTQ ( Sijil menengah tahfiz Quran ). Puteri-puteri kami merupakan calon smtq yang pertama dalam sejarah. Insyaallah kami yakin mereka akan mendapat keputusan yang cemerlang.

Hari akhir sesi tahun ini adalah pada 10 Disember ini. Di hari itu juga akan di adakan perjumpaan ibubapa dengan guru-guru dan ibubapa akan diberi taklimat sebelum bercuti oleh Pak Haji. Ini merupakan peluang ibubapa beramah mesra dengan guru-guru dan bertanyakan mengenai prestasi anak-anak mereka.

Hari ini merupakan hari pertama kami menemuduga calon-calon yang memohon untuk memasuki sekkolah ini bagi sesi 2012. Tarikh temuduga seterusnya adalah pada 26 dan 27 november. Nampaknya minat terhadap sekolah ini semakin bertambah. Rencana dan iklan bagi MTAQSA ada terbit dalam majalah Asuh November 2011 ( m.s. 36). Insyallah, kami bercadang untuk mengambil 20 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan.

Sekian dulu buat kali ini. Selamat menjalankan tugas masing-masing. Wassallam!

Monday, 18 July 2011

Adab Makan Di Majlis Jamuan

Assalamualaikum!

Hari ini anak-anak tahfiz puasa sunat. Ada 3 orang yang tak berpuasa kerana demam.
Demam selsema dan sakit tekak melanda sekolah kami. Mungkin juga kerana keadaan cuaca yang panas dan berjerebu. Mereka sudah di beri ubat dan makanan tengah hari. Sebenarnya mak tehpun kena penyakit ini. Dah 2 hari mengalami selsema, sakit tekak dan sakit kepala.Dah makan panadol, dapatlah sedikit kelegaan.

Tengah hari tadi aku masak sphagetti untuk anak-anak tahfiz Junior. Nak beri mereka rasa masakan itu kerana pada majlis kenduri hari sabtu lalu, kami tidak menjemput mereka secara resmi. Anak-anak tahfiz junior, tidak tinggal di asrama, mereka dikira sekolah harian, jadi hujung minggu mereka tidak bersama kami.Namun begitu untuk majlis-majlis yang spesial seperti Majlis Hari Raya Puasa Enam, setiap tahun mereka dan keluarga di jemput bersama.

Seronoklah menjamu anak-anak tahfiz kami, mereka akan menikmati makanan dan tidak akan membazir. Mereka semua telah kami latih supaya beragak mengambil makanan dan sekiranya mereka mengambil makanan itu mereka mesti habiskan. Oleh itu, pada setiap majlis jamuan pinggan mereka akan licin. Pak haji telah menekankan adab makan kepada anak-anak tahfiz terutama dalam majlis buffet, ambil sedikit makanan dahulu kalau rasa sedap bolehlah pergi ulang mengambilnya. Jangan di timbunkan makanan dalam pinggan. Jangan masukkan semua makanan dalam satu pinggan. Ada pinggan dessert untuk meletakan pencuci mulut atau dessert. Oleh kerana sudah biasa dengan keadaan begini aku jadi upset apabila melihat pinggan orang yang menghadiri jamuan bertimbun dengan sisa-sisa makanan.

Baru-baru ini di rumah adikku yang mengadakan majlis hari jadi, aku ternampak pembaziran makanan oleh anak-anak sekolah berumur diantara 9 ke 14 tahun. Bayangkan ketulan ayam yang besar hanya di makan sedikit kemudian disisakan. Aku ke pasar setiap hari membeli ayam yang harganya RM 8 sekilo. Aku jadi marah (upset) melihat pembaziran itu. Maka secara tak disedari, aku terus menegur anak-anak itu supaya makanan yang di ambil hendaklah dihabiskan. Terbeliak mata seorang anak yang berumur 14 tahun melihat pinggannya yang bertimbun dengan makanan yang terpaksa dihabiskannya apabila mendengar teguranku. Kebetulan juga ada seorang bapa yang datang bersama anak-anaknya, aku ternampak dia kemudian menghabiskan makanan yang di sisa oleh anak-anaknya. Rasa serba salah pula kerana aku telah membuat teguran itu. Anyway rasa bagus juga kerana tidak ada lagi sisa makanan terbuang selepas teguran itu.

Untuk juadah berbuka hari ini, kami akan hidangkan, buah kurma, nasi putih, ayam masak merah, telur mata kerbau berbawang kicap, sayur sawi manis, koay teow spesial, buah tembikai dan teh tarik.

Nota: Ada orang tanya kenapa aku sekejap jadi mak teh dan sekejap jadi mak aji? Explaination: Mak aji kerana aku isteri Pak aji. Jadi warga Mtaqsa dan keluarga mereka dan orang di pasar menyebut dan mengenali aku sebagai Mak aji. Mak teh ialah kerana aku berpangkat Mak teh dalam keluarga besar kami. Anak buah memanggil aku Mak teh. Mak teh kurang di senangi kerana selalu menegur kesilapan anak buah. Minta maaf kepada anak buah mak teh kerana terpaksa tolerate your mak teh yang laser! ( Tapi selalunya ada kebenaran dalam teguran itukan? He,he! )

Terima kasih kepada pengikut blog mak teh yang budiman. Salah perkataan dan silap teguran harap di maafkan. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarrak !

Wednesday, 6 July 2011

Minta Maaf !

Assalamualaikum!

Semalam ada 3 orang telefon menjemput anak-anak tahfiz ke majlis kenduri di rumah mereka. Dengan perasaan serba salah kami terpaksa menolak 2 dari jemputan tersebut. Satu jemputan untuk kenduri majlis tahlil, satu lagi jemputan untuk kenduri kesyukuran masuk rumah baru yang terletak luar Shah Alam. Terpaksalah Pak haji menjelaskan dengan panjang lebar kenapa kami tidak dapat memenuhi undangan itu. Kami memohan banyak maaf kepada mereka. Kami hanya menerima jemputan yang ketiga.

Seperti yang aku terangkan dahulu, kalau kami menerima semua jemputan anak-anak tahfiz tidak ada masa untuk menghafal Al-Quran. Petang hari selepas asar mereka menulis ayat-ayat al-quran yang mereka akan menghafalnya malam nanti. Dimalam hari mereka diwajibkan menghafal 1 atau 2 muka ayat-ayat suci itu mengikut kemampuan mereka.

Jadi orang mungkin bertanya, jemputan bagaimana yang kami terima? Kami menerima jemputan dari Masjid Negeri, jemputan dari Istana, dari SUK, dari keluarga pelajar, penderma-penderma yang sedia menderma dan penduduk di kejiranan kami. Ada satu lagi jemputan yang kami sedia terima setiap tahun pada bulan Ramadhan ia-itu jemputan dari sebuah hotel 5 bintang di Shah Alam. Hotel tersebut telah meraikan anak-anak tahfiz kami dengan jamuan yang mewah dan paket duit raya setiap tahun. Anak-anak tahfiz amat suka dan menunggu jemputan ini. Kebiasaannya untuk majlis di hotel tersebut anak-anak tahfiz akan di jemput dengan kenderaan hotel pada jam 6 petang. Majlis bermula dengan bacaan surah Yassin dan doa selamat. Kemudian apabila masuk waktu maghrib, kami di hidangkan sedikit juadah dan air untuk berbuka puasa. Kemudian kami menunaikan solat maghrib ( disertai bersama kakitangan hotel dan sebahgian pelanggan ). Selepas solat kami di jemput makan di dewan makan. Selepas itu kami menunaikan solat Isya dan seterusnya solat Terawih. Setelah solat Terawih kami akan di jemput makan sekali lagi. Sukacita kami telah mendapat jemputan dari hotel itu semalam dan telapun menyatakan kesudian kami. Bak kata pepatah, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan! Terima kasih, terima kasih banyak-banyak!

Namun begitu kami bersedia menerima permohonan untuk membaca tahlil, doa selamat dan solat hajat yang kami lakukan di asrama setiap malam jumaat. Selalulah kami menerima permintaan seperti itu dan anak-anak tahfiz sentiasa melakukannya. Kata orang-orang yang pernah meminta anak-anak tahfiz mendoakan untuk mereka, doa anak-anak tahfiz berkat dimakhbulkan Allah. Begitulah yang mereka ceritakan kepadaku. Wallahua'lam!

Tuesday, 5 July 2011

Hujung Minggu Yang Akan Sibuk

Assalamualaikm!

Hujung minggu ini dijangka akan menjadi sibuk bagiku dan warga MTAQSA. Pertama, kami akan menerima 20 orang tetamu pelajar-pelajar dari Kelab Tahfiz Sekolah Menengah Kota Damansara. Program untuk menyambut mereka sedang diatur. Kedua ada 3 orang wakil sekolah kami akan memasuki pertandingan tulisan Khat. Ketiga pelajar-pelajar kami yang akan mengambil Peperiksaan Sijil Menengah Tahfiz Al Quran ( SMTQ ) akan bertolak ke Kelantan untuk menghadiri kem motivasi.

Berita baru yang kami terima ialah, hanya pelajar lelaki yang di jemput ke kem motivasi di Kelantan. Agaknya pihak Penganjur belum bersedia menerima kehadiran pelajar perempuan kerana pelajar-pelajar kami merupakan kumpulan pelajar perempuan pertama yang akan mengambil peperiksaan ini. Syabas MTAQSA !

Berita ini tentu sekali akan mengecewakan anak-anak tahfiz perempuan berkenaan kerana mereka sudah bersedia untuk berangkat hari Jumaat ini. Apapun kami akan menghantar anak-anak tahfiz lelaki diiringi oleh seorang ustaz.

Saturday, 2 July 2011

Hari Outing

Assalamualaikun!

Hari ini hari Outing bagi anak-anak tahfiz. Mengikut takwim MTAQSA dalam masa 5 atau 6 minggu anak-anak tahfiz belajar, mereka diberi 1 hari keluar bersama ibubapa atau waris. Ini yang kami namakan hari Outing, selalunya jatuh pada hari Sabtu. Ibubapa boleh mengambil anak-anak mereka bawa keluar dari jam 11.00 pagi hingga 6.30 petang.

Mulai jam 10.00 pagi kereta ibubapa sudah mula berderet depan asrama. Terpaksalah ibubapa menunggu kerana anak-anak mereka sedang mengikuti kelas maths.Jam 10.30 sudah ada ibubapa yang menunggu hendak berjumpa Pak haji. Perjumpaan dengan Pak haji diaturkan untuk ibubapa yang anak-anaknya ada masaalah disiplin atau prestasi pembelajaran. Mak ajipun ada bersama untuk berbincang dengan ibubapa mengenai anak-anak.Hari ini kami bejumpa dengan berbelas pasang ibubapa. Hampir jam 1.00 tengah hari barulah selesai perjumpaan tersebut.

Keletihan bagi Pak haji dan Mak aji amatlah terasa pada hari ini. Agaknya faktor usia menyebabkan kami berasa demikian. Selepas makan dapatlah kami berehat sehingga anak-anak tahfiz kembali ke asrama jam 6.30 nanti.

Jam 6.00 petang, anak-anak mula kembali ke asrama. Telefonpun mula berdering, panggilan dari ibubapa yang menyatakan mereka tidak sempat hantar anak sebelum maghrib. Begitu juga handphone buzzing dengan mesej ibubapa meminta kebenaran menghantar anak lewat sedikit. Kisah beginilah yang selalunya berlaku apabila mereka keluar Outing. Ada ibu yang telefon meminta anak-anak tahfiz diberi cuti lebih. Mahu saja aku menuruti permintaannya kerana akupun berasa amat keletihan. Nantilah aku akan usul perkara ini di mesyuarat akan datang. Aku akan usulkan kepada Pk Haji agar hari Outing dilanjut supaya anak-anak tahfiz pulang ke asrama pada petang keesokkannya! Apa pendapat anda? Adakah Pk haji akan bersetuju?

Friday, 1 July 2011

Jadi Tetamu Dan Ada Tetamu

Assalamualaikum!

Semalam seorang wakil Masjid Negeri telah telefon menjemput anak-anak tahfiz menghadiri kenduri aqiqah yang diadakan di Masjid. Keluarga kakitangan masjid telah mendapat seramai 6 orang bayi (baru dilahirkan ). Sukacitalah warga Mtaqsa menerima jemputan itu kerana kami dikira sebagai keluarga Masjid juga. Aktiviti seperti ini akan mengeratkan masyarakat dengan anak-anak tahfiz dan anak-anak tahfiz pula akan belajar mengendalikan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.Pak haji rasa besar hati melihat anak-anak didiknya diraikan dan dijemput duduk di belakang Imam dan untuk sama-sama berdoa dan bersolawat ke atas Nabi Junjungan (S.A.W ) Mereka di perkenalkan kepada bayi-bayi tersebut dan mereka mendapat buah tangan setangkai bunga telur. Setelah itu mereka dijemput menikmati jamuan bersama tetamu-tetamu lain.

Selalu juga anak-anak tahfiz menerima jemputan ke majlis-majlis perkahwinan, aqiqah, tahlil, tazkirah, doa selamat dan berbagai lagi. Pak haji terpaksa menapis jemputan-jemputan kerana kalau kami menerima semua jemputan, maka anak-anak tahfiz akan menjadi terlalu sibuk hingga mereka tidak akan ada masa untuk menghafal Al quran dan mengulangkaji pelajaran mereka. Seperti yang anda telah maklum anak-anak tahfiz kami mempunyai jadual waktu yang sangat padat setiap hari.

Pagi tadi kami menyambut kedatangan tetamu istimewa. Ada 2 orang pegawai bank mengunjungi kami dari sebuah bank yang berdekatan. Mereka datang membawa rezeki kepada kami iaitu merupakan sekeping cek zakat perniagaan mereka. Sudah tentulah kami mengalu-alukan kedatangan mereka dengan senyum lebar dan sedikit juadah yang disediakan. Tahun ini merupakan tahun ketiga mereka menyumbang zakat kepada kami. Zakat di terima diiringi doa agar mereka mendapat keberkatan dalam usaha perniagaan mereka. Jazakallah!

Minggu hadapan kami ada lagi tetamu. Kami akan dikunjungi oleh sekumpulan pelajar-pelajar dari sebuah sekolah menengah kebangsaan di Lembah Kelang. Mereka ingin melihat cara anak-anak tahfiz MTAQSA menghafaz Al qurqn dan menjalani aktiviti harian. Mereka juga ingin melihat ko-kurikulum yang kami kendalikan terutama aktiviti memanah. Insyaalah kami akan menyambut kedatangan mereka dan akan meraikan mereka yang sudi untuk menjenguk kami. Selamat Datang wahai tetamu-tetamu kami. See You next week !

Wednesday, 29 June 2011

Anak-anak Tahfiz Baru

Assalamualaikum!

Alhamdulillah, minggu ini kami mendapat 3 orang anak-anak tahfiz baru. Semuanya lelaki berbadan tegap dan besar.Mereka ni telah mendapat pangkat 4 & 5A UPSR tetapi telah di masukkan ke sekolah tahfiz tanpa akademik. Jadi bagi minggu pertama ini nampaklah mereka agak terpinga-pinga di dalam kelas. Keadaan ini tidak merisaukan kami kerana dari pengalaman kami, mereka akan dapat mengikuti pelajaran dan bersaing dengan rakan sekelas tidak lama lagi.

Dengan kemasukkan terbaru ini, membuatkan Asrama Putra penuh 100%. Oleh itu buat masa ini kami tak dapat menerima mana-mana permohonan masuk lagi. Sekarang masih ada pertanyaan serta permohonan untuk masuk yang kami terpaksa bekukan untuk sementara waktu. Apabila ada calon yang baik yang memohon masuk ke sekolah ini dan keadaan tidak membenarkan kami menerimanya, maka aku dan Pak haji akan merasa terkilan. Kami terkilan kerana tidak dapat membantu anak-anak tersebut menjalani zaman persekolahan yang mantap dan indah seperti yang kami sediakan.

Perhatian kami sekarang tertumpu kepada perkarangan bersebelahan yang telah di pelawa untuk kami membelinya. Bagi kami ini adalah perkara yang sangat besar untuk diusahakan. Kamipun berdoa dan terus berdoa sambil berusaha. Insyaallah sekiranya dapat hajat kami, anak-anak tahfiz akan mendapat ruang yang lebih luas. Semuga kami diberikan rezeki dan dipermudahkan urusan kami. Ameen!

Wednesday, 22 June 2011

Hasil Berbudi Kepada Bumi

Assalamualaikum!

Kami ada mengusahakan sebidang tanah lot kosong sebagai kebun untuk melatih anak-anak tahfiz berkebun. Pada mula masuk ke sekolah ini, boleh dikatakan kesemua anak-anak tahfiz tidak tahu cara memegang cangkul, parang, golok atau cop penggali lubang. Mereka tidak mengenal jenis pokok tanaman, buah-buahan ataupun sayura-sayuran. Pendek kata mereka tidak pernah didedahkan kepada ilmu pertanian. Apabila mereka masuk ke sekolah kami, Pak haji mendedahkan mereka kepada ilmu pertanian. Bagi anak-anak tahfiz lelaki,mereka akan melakukan aktiviti berkebun 1 minggu sekali.

Didalam kebun telah di tanam dengan ubikayu, keladi, pokok cilli,terung,pisang, mangga, kantan, serai, kunyit, halia dan berbagai tanaman herba. Sekarang anak-anak tahfiz senior sudah pandai mencanggkul, menebas dan bercucuk tanam. Mereka nampak teruja melakukan aktiviti berkebun. Mereka juga mula berkenalan dengan cacing tanah, anak ular, siput babi,lipan dan bena yang serang pokok tanaman.

Hari ini giliran anak-anak tahfiz perempuan dapat ganjaran hasil dari berbudi kepada bumi. Ada beberapa biji buah mangga yang dipetik dari pohon mangga dari kebun kami. Semalam anak-anak tahfiz lelaki yang berkebun dapat menikmati buah mangga cecah kuah rojak Mak Bee. Hari ini giliran anak-anak tahfiz perempuan pula.Oleh kerana buah mangga kami tak banyak, maka aku belilah sebagai tambahan buah mangga muda dari pasar semalam. Seronoklah mereka sedang menikmatinya sambil bersantai di petang hari . Insya-Allah bulan hadapan kami akan tuai hasil tanaman ubi kayu pula. Pak haji cadangkan untuk menghidangkan kepada mereka ubi kayu bakar bersama kelapa digaul gula. Lebih sedap lagi apabila mereka menikmatinya didalam kebun itu dan membakarnya sendiri. Mereka juga akan menikmati pisang goreng hasil titik peluh mereka. Ada 4 mayang pisang yang sedang menunggu masa matangnya.

Kesimpulannya, tidak rugi berbudi kepada bumi, hasilnya berbaloi-baloi. Aktiviti begini juga membuat anak-anak tahfiz sentiasa sihat, ceria dan teruja.

Tuesday, 21 June 2011

Persiapan Untuk Ramadhan

Assalamualaikum!

Semalam aku terima panggilan telefon dari individu yang kami panggil Lan Bas. " Assalamualikum! Ramadhan ni nak guna baskah Mak Aji? "

Mula-mula aku terpinga-pinga, aku terdiam sebentar, " Oh, Lan! Ya, tentu kami perlu bas, tapi kami belum bincang hal ni.Nanti saya panggil balik ye!"

Setiap bulan Ramadhan kami menyewa bas khas untuk membawa anak-anak tahfiz ke masjid. Sudah 3 tahun kami menyewa bas Lan.Ia memudahkan aktiviti bulan Ramadhan kami. Jam 6 petang Lan akan membawa anak-anak tahfiz ke Masjid Negeri. Mereka akan mengambil tempat yang di sediakan khas untuk mereka berbuka puasa. Mereka akan menunaikan solat Fardu dan solat tarawih di Masjid Negeri. Ada juga ibubapa yang turut berbuka bersama anak-anak mereka di Masjid. Jam 10.30 malam Lan akan menjemput anak-anak tahfiz pulang ke asrama. Bermula petang sebelum ramadhan jadual ini berlaku hinggalah hari 25 hari Ramadhan. Selepas itu anak-anak Tahfiz akan pulang bercuti panjang hingga kembali semula selepas 10 hari berhari raya di rumah mereka.

Mungkin ada orang yang berkata, awalnya bercakap mengenai persiapan Ramadahn. Bagi kami sememangnya kena buat persiapan sebegini awal. Seperti yang aku ceritakan tadi Tuanpunya bas mahu confirmation awal untuk booking basnya. Menyewa bas pada bulan Ramadhan sudah menjadi satu keperluan bagi kami. Kami kena siap wang sewa bas bukannya sedikit lebihkurang RM 2500 untuk sewa bas Lan sepanjang Ramadhan. Mana nak cari wang sebanyak ini? Insya-Allah, anak-anak tahfiz selalunya dimurahkan rezeki.

Ada lagi yang kami siapkan awal-awal.Jubah baru untuk pakaian Ramadhan mesti di tempah seawal 1 bulan sebelun Ramadhan. Kalau tempah lewat tailor khas kami tidak dapat menyediakannya.Kami tak benarkan anak-anak tahfiz kami pakai jubah yang dah lusuh untuk ke Masjid atau Majlis-majlis tertentu. Kumpulan yang bertaddarus di Istana juga mesti memakai jubah baru. Mereka juga di kehendakki menempah khas baju melayu warna biru untuk majlis Khatam di Istana nanti. (selalunya berlaku pada malam 25 ramadhan)Pak haji sangat menegaskan perkara sebegini. Maka tak hairanlah kalau anda nampak anak-anak tahfiz kami bersih dan segak apabila di masjid atau di mana-mana majlis.

Perkara yang selain dari itu Pak haji akan memastikan kopiah putih dan serban mereka benar-benar putih dan berseh. Setiap mereka mesti mempuyai bersama mereka, tasbih, minyak wangi dan Al-Quran kecil, buku nota dan pen. Perkara-perkara begini mungkin nampak kecil dan remeh tetapi itulah caranya untuk mendidik mereka berperwatakan kemas dan bersih seperti yang dikehendakki dalam Islam.

Tuesday, 14 June 2011

Penggal Kedua Bermula

Assalamualaikum!

Penggal kedua kami telah bermula. Anak-anak tahfiz pulang ke asrama pada petang Sabtu lalu. Alhamdulillah kesemua mereka telah lapor diri melainkan 2 orang yang minta izin masuk lewat. Anak-anak kecil juga masuk pada pagi Isnin semalam. Kesemua mereka kelihatan sihat dan ceria.

Semalam, hari Isnin, anak-anak tahfiz mula berpuasa sunat Rejab.Selepas berbuka ada 2 orang yang muntah-muntah. Aku bertanya apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya mereka muntah akibat makan berlebihan sewaktu berbuka. Biasalah anak-anak ini apabila mula latih berpuasa mereka tak pandai had pengambilan makanan, mungkin ada nafsu gelojoh sedikit.

Petang ini mengikut jadual, anak-anak tahfiz perempuan pergi berenang. Namun Pak Haji membatalkannya. Mereka ada latihan kawad pasukan Kadet Tahfiz. Aku suka melihat mereka berlatih terutama apabila berpakaian unifom lengkap.Bunyi derap but dan kekemasan formasi mereka tatkala berkawad amat menakjubkan. Orang awam yang melihat tidak akan menyangka mereka adalah anak-anak Tahfiz.

Kami sedang mencari premis supaya sekolah dapat berkembang dan dapat menempatkan lebih ramai murid. Namun apakan daya kerana untuk mendapatkan dana bukannya mudah. Setakat ini asrama dan kelas kami kiranya telah maximum capacity.Kepada siapa yang harus kami meminta ? Pusing kiri, pusing kanan maka ternyata sekali hanya kepadaNYA yang kami harus meminta. Kalau ada rezeki kami pohonlah nak hartanah yang berkembar dengan asrama kami sekarang. Setiap malam kami berdoa, membuat permohonan kepada Yang Maha Kaya. Insyaallah sekiranya baik untuk kami Allah akan permudahkan. Ameen!

Wednesday, 16 March 2011

Bersarapan Di Kedai

Assalamualaikum! Cara kami menjaga Anak-anak Tahfiz adalah sama seperti kami menjaga anak-anak kami. Sesekali kami akan membawa anak-anak kami keluar bersarapan di kedai, Begitulah juga yang kami lakukan kepada Anak-anak Tahfiz.

Al-kisah hari Jumaat lepas sebelum mereka balik bercuti kami bawa mereka ke kedai di Seksyen 8 untuk bersarapan. Ini bukan kali pertama kami bersarapan di kedai itu. Selepas solat subuh hari Jumaat di masjid Negeri, mereka dapat 'treat' makan di kedai.Kebiasaannya pada hari Jumaat mereka bangun jam 4.30 pagi untuk bersiap kerana hendak bersolat di Masjid Negeri.Kerana ketabahan, kerajinan dan ketaatan disiplin, kami belanja mereka makan spesial begini kira macam insentiflah untuk mereka. ( Sebulan atau lebih sekali )

Apa jadi pada pagi Jumaat lepas? Aku kelamkabut meyelongkar nak cari cash. Dapatlah sedikit, cukup rasanya tapi agak tak sedap hati sebab wang itu nak di gunakan untuk kepasar nanti. Anyway akupun turut serta anak-anak yang sudah mula makan di kedai itu. Melangkah sahaja aku masuk kedai terdengar namaku di panggil orang. Aku agak pelik sebab itu panggilan namaku di kampus. Segera aku menoleh dan terlihat kawan lama seangkatan iaitu Datuk AN dan bekas Inspektor AZ sedang menikmati makanan di satu sudut. Saat itu juga Pak haji ke sisiku menerangkan bahawa Bekas Inspektor telah membayar harga makanan untuk Anak-anak Tahfiz. Lantas aku tersenyum mendekati 2 sahabat itu lalu menadah tangan dan mengucapkan Jazakallah !

" Small matter!" kata Bekas Inspektor apabila Pak Haji ucapkan terima kasih.

" Small to you but big to us. " kata Pak Haji.

Sesudah berbual sedikit bertanyakan khabar kedua sahabat itupun beredar.

Aku bertanya pada Pak Haji, " Macammana kira sebab kita belum habis makan?"

"Pak haji jawab, " Estimate sahaja nanti selebihnya kita bayar." Sementara itu satu van lagi anak-anak Tahfiz tiba untuk makan bersama kami. Kamipun menjamu selera. Aku dah pesan mereka boleh order 2 roti canai atau 1 roti canai dan 2 biji kuih beserta 1 gelas teh tarik. Sedang mereka makan Pak Haji belegar untuk pastikan apa yang mereka makan supaya kami boleh bayar. Selesai kami semua makan Pak Haji bangun nak bayar tetapi diberi tahu ada orang yang telah bereskan semua bayaran. Pak haji segera bangun nak ucap terima kasih pada orang yang buat bayaran itu tetapi orang itu cepat-cepat meninggalkan kedai tanpa mahu di kenali.

Menyedari apa yang telah berlaku, iaitu makanan sarapan kami pada pagi semua telah orang bayarkan, aku tercengang. " Masyallah! " kataku perlahan. Dalam hati berkata selamatlah duit aku ni nak pergi pasar. Inilah diantara pengajaran yang aku dapat sepanjang menjalankan maahad tahfiz ini: Apabila ikhlas niat nak beri makan Anak-anak Tahfiz, janganlah takut tak cukup kewangan sebab Allah SWT akan sediakan rezeki itu. ( Ini bukan pertama kali perkara seperti ini berlaku pada kami ) Wallahua'lam !